Wednesday, 19 January 2022

Secebis ilmu, setitis airmata



Dalam gambar inilah rumah di kampung Parit Pinang Seribu, di mana Mama dilahirkan dan dibesarkan , hinggalah Mama berusia 11 tahun.


Mungkin satu masa dahulu, rupanya berbeza, tetapi di tapak rumah inilah, Mama dibesarkan. 

Arwah Atuk Hj Mohd Noh dan nenek Hjh Fatimah Binti Hj Jono, Mama dan arwah Mak Ngah yang sangat comel. 


Ketika Mama berusia 11 tahun , Atuk mendengar ada peluang untuk meneroka tanah di Benut, Pontian, maka mereka sekeluarga berpindahlah ke sana.


Atuk pada awalnya memberitahu guru di Sekolah Parit Pinang Seribu yang akan memindahkan Mama dan Mak Ngah ke sekolah di Benut. Mama yang ketika itu baru nak melangkah ke darjah tiga, hatinya riang sahaja. Iyalah, budak-budak apalah yang tahu.


Rupanya apabila sudah sampai di Benut, Atuk memberitahu Mama, untuk duduk di rumah sahaja, menjaga adik yang ke empat yang masih bayi iaitu Mak Teh. Apatah lagi ketika itu adik Mama yang ke tiga iaitu Mak De juga sudah mahu masuk darjah satu. Mana lah mampu Atuk sebagai peneroka, nenek sebagai penoreh getah, mampu nak menyekolahkan tiga orang anak serentak.


Dengan sedih hati, Mama pun berhenti sekolah Melayu. Mujur Atuk masih menyambung persekolahan agama Mama. 


Mama bercerita, sekolah Melayu di Benut itu sangat jauh. Rumah mereka jauh ke dalam kampung di tepi hutan, adik-adik Mama perlu berjalan sejauh 3 kampung untuk sampai ke sekolah, dengan berkaki ayam. 


Jika tidak ke sekolah agama, Mama akan mengikut nenek ke kebun getah semasa nenek menoreh. Kata Mama, nanti Mama akan dibentangkan tikar untuk menjaga adik, serta pisau toreh mainan, boleh digunakan untuk menoreh di pokok-pokok getah tua.


Selesai menoreh, nanti nenek mengajak pulak ke tempat memproses susu getah untuk dijadikan getah keping, atau dalam bahasa Jawanya "ngebris".


Mama bercerita, "Tiba-tiba dari jauh nampak ada budak tengah main mesin ngebris sambil pakai baju sekolah warna putih, kain biru. Rupa-rupanya Mak De patah balik, tak nak pergi sekolah. Mak Ngah dah pergi sekolah. Alasannya katanya rindu Mak," kelingan mak" dalam bahasa Jawanya. 


Atuk (Fatimah) pun apa lagi, selesai dia ngebris, mereka semua balik rumah, Atuk suruh ikat Mak De di pokok betik sambil marah dalam bahasa Jawa, "Ikat dia sana, jangan bagi makan minum. Aku suruh pergi sekolah biar jadi orang pandai, biar jadi orang, jangan menoreh macam aku, tak nak! Kalau suruh Long (mak saya) tu, rajin aje Long. Aku nak suruh kau duduk rumah, jaga adik, biar Long yang pergi sekolah, kau bukan pandai jaga adik! Ikat dia sana, Long. "


Mama yang serba salah, terpaksa ikat jugalah adiknya walaupun kasihan. Kadang kala sampai pukul 3 petang, Mak De diikat, Mama akan curi-curi beri makan dan minum bila nenek tak nampak kerana kasihan. Ada kala Mak De hingga tertidur kerana keletihan, tetapi nak lepaskan, Mama tak berani.


Kalau sedang Mama suapkan Mak De makan, tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki nenek di lantai rumah kayu mereka, cepat-cepat Mama ke tangga rumah, pura-pura Mamalah yang sedang makan nasi itu. 


Menurut Mama, beberapa bulan jugalah Mak De degil tak mahu ke sekolah, walaupun dihukum begitu. Berbeza dengan Mak Ngah, yang rajin ke sekolah setiap hari, sambil memujuk Mak De untuk ke sekolah dengannya. 


Begitulah berlangsung, hinggalah tidak lama kemudian, Atuk Hj Mohd Noh jatuh sakit kusta. Atuk terpaksa meninggalkan keluarga di Benut, untuk dirawat di Hospital Kusta Sungai Buloh.


Bayangkan sengsaranya hidup nenek membesarkan 4 orang anak, dengan mengambil upah menoreh getah di kebun tauke Cina.


Mama kata, daifnya rumah mereka itu, dinding rumah pun bukan daripada papan, tetapi daripada kulit pokok. Sayu hati saya mendengarnya.


Kemuncak penderitaan 5 beranak itu, adalah ketika zaman komunis sedang mengganas di Tanah Melayu.


Talibarut komunis masuk kampung sesuka hati, menangkap ayam itik bak harta sendiri, menggali ubi, mencabut hasil tanaman yang menjadi sumber rezeki keluarga, adakala tanpa tersisa.


Sepatah kata Mama, mereka memang membela itik untuk mendapatkan telur. Adakala boleh mendapat hasil sehingga 30 biji telur sehari. Tetapi jika malam itu diserbu talibarut komunis, terdengar bunyi ayam itik riuh, mereka sekeluarga hanya mampu berdoa. Mama kata, nenek selalu berdoa, "Biarlah nak ambil ayam itu sampai habis pun tak apa. Yang penting jangan apa-apakan keluarga."


Tak dapat bayangkan ketakutan mereka, dengan tiada sosok lelaki untuk melindungi, dengan rumah yang serba daif hinggakan pintu dapur pun bertutup kain guni sahaja.


Mama kata, ada kala, waktu pagi selepas diserbu talibarut Komunis, yang tinggal hanya batang ubi, dan daripada 30 biji telur, tinggal 3 biji sahaja.


Maka, nenek Fatimah pun meminta Mak Ngah menulis surat kepada bapanya iaitu Atuk Hj Jono di Air Hitam, menceritakan keadaan kehidupan mereka yang sangat perit ketika itu. Atuk Hj Jono pun meminta Mama sekeluarga untuk berpindah ke Air Hitam, demi keselamatan semua.


Alhamdulillah di Air Hitam, sekolah pun sudah lebih dekat, hanya seberang jalan dan naik bukit sedikit sahaja dari rumah Atuk Hj Jono yang ditumpangi mereka itu. Mama pun dapat menyambung pengajian di sekolah agama.


Tetapi yang lucu, Mak De masih lagi dengan perangai lepas dihantar pergi sekolah dek datuknya, datuknya baru sampai ke rumah, Mak De dah patah balik.


Mama kata, "Kesian orang tua tu, tercungap-cungap baru lepas naik bukit turun bukit hantar cucu pergi sekolah, baru nak duduk, nampak Mak De dah ada di tepi jalan nak balik rumah." 


Berderai tawa kami sekeluarga mendengar kisah yang diceritakan Mama ini.


Alhamdulillah, dalam degil tak nak ke sekolah semasa kecil itu, siapa sangka Mak De itulah yang akhirnya berjaya menjadi seorang guru sekolah menengah.

Bersama Mama dan Mak De Zaharah yang merupakan guru sains saya semasa saya belajar di Sekolah Dato Sri Amar Diraja Muar 


Mama pula berjaya menamatkan pengajian hingga ke darjah khas sekolah agama, walaupun terpaksa mengulang darjah 4 sebanyak dua kali. Namun permohonan untuk menjadi guru agama tidak berjaya kerana Mama tiada kelulusan sekolah Melayu. Menurut Mama, beliau hanya pandai membaca, apabila adik bongsu Mama iaitu Mak Su sudah masuk tadika, beliau mengajar nenek membaca, Mama pun tumpang sekali.


Oleh kerana Mama sangat ingin belajar, Mama dan nenek juga hadir ke sekolah dewasa di Parit Pinang Seribu, setelah mereka pulang dan berpindah semula ke sini, selepas Atuk Hj Mohd Noh sembuh dari penyakit  kusta, selepas 3 tahun dirawat di Sungai Buloh.


Kisah perjuangan Mama untuk mendapat pendidikan sangat menginsafkan saya. Betapa kita sangat acuh tidak acuh, betapa mudahnya kita mendapat pendidikan pada hari ini.


Saya juga faham mengapa nenek Fatimah begitu marah apabila Mak De tak mahu ke sekolah. Pada beliau, itu satu peluang untuk mereka  keluar dari kepompong kemiskinan.


41 tahun usia saya, baru kini saya faham mengapa Mama dari dulu sangat bertekad mahu anak-anak beliau berjaya dalam pendidikan, mahu anak-anaknya masuk ke asrama penuh, malah sanggup melepaskan saya pergi jauh ke Ireland selama 6 tahun.


Kini saya faham nilai air mata Mama semasa melihat saya mendapat gulungan ijazah Sarjana Oftalmologi di Universiti Malaya satu masa dahulu. Ketika itu kata beliau kepada suami saya di sisi beliau di Dewan Chanselor Universiti Malaya, "Mama bangga dengan Rita. Dulu Mama tak dapat peluang tu."


Kini saya faham.


Dan saya abadikan dalam tulisan pada hari ini, supaya ia tersemat di hati anak cucu kita, nilai ilmu di sisi orang tua kita.


Secebis ilmu, setitis air mata, segunung emas pun tidak terbanding nilainya.


#kisahkehidupanDrAzlindarita


Arwah Atuk Hj Mohd Noh bersalaman dengan Abang sulung saya iaitu cucu sulung Atuk. Atuk memang suka beri duit raya kepada semua anak-anak dan cucu-cucu. Masa ni semua orang ketawa sebab nak tengok ada tak cucu yang nak salam dua kali Atuk tak perasan. Ada yang cadangkan guna dakwat kekal macam masa pilihan raya, siapa yang dah salam. Tu yang gelak besar semua orang. Suspek utama nak salam dua kali adalah Faris anak Redza Udeng Fahlawi 😆


Tuesday, 18 January 2022

"Kono.. Kono!"



Malam tadi kami minum malam bersama selepas solat Isyak di masjid.


Seronok bersembang dengan Mama Ayah, sambil melayan mereka makan murtabak.


Mama bercerita kisahnya semasa kecil.


Sedih bercampur gembira, sambil terkekeh-kekeh kami ketawa.


Mama dilahirkan di kampung Parit Pinang Seribu inilah, di sebuah rumah di tiang lampu 44.

Di kampung ini, tiada nombor rumah. Semua rumah ditanda menurut tiang lampu.


Mak dan bapa Mama iaitu nenek dan datuk saya memang orang Jawa. Malah Mama tak pernah tahu bercakap Melayu, hinggalah Mama masuk sekolah, pada usia 9 tahun.


Nama datuk saya Hj Mohd Noh Bin Hj Marzuki


Nama Nenek saya Hjh Fatimah Binti Hj Jono.


Nama moyang saya, yang amat saya bangga kan, adalah Hj Jono Karmowijoyo bin Musa bin Al Faruq.


Al Faruq inilah keturunan kami yang datang dari Turki, berdagang ke Indonesia, menjual Kitab-Kitab agama Islam. Al Faruq bernikah dengan wanita Indonesia bernama Mbah Sanem, melahirkan keturunan kami yang berhijrah ke Tanah Melayu, yang digelar Tanah Sabrang. 


Kembali kepada kisah semasa Mama kecil, pada satu hari, ketika Mama berusia sekitar 5- 6 tahun, datang 3 orang Pegawai dari Pejabat Tanah. Seorang Pegawai Kanan, ditemani dua orang pembantunya.


Menurut Mama ketika itu bulan Ramadan. Sudah dipesan dengan Nenek, usah bermain di luar rumah, takut nanti tak tahan berpuasa, sibuk pula nak berbuka sebelum Maghrib.


Jadi sekitar jam 10 pagi itu, Mama bersama dua orang adik perempuannya yang masih leka berguling-guling di tempat tidur, terdengar orang memberi salam.


Mama pun menjawab salam. Apabila keluar rumah, Mama berjumpa dengan 3 orang Pegawai tadi. 


Pegawai itu bertanya, "Dik, bapa mana?"


Mama menjawab dalam bahasa Jawa, "Bapak ngebris".


Ertinya Atuk ketika itu sedang menggilis getah untuk dijadikan kepingan getah, di tempat memproses susu getah.


Pegawai itu mengerutkan dahi, dan bertanya lagi, "Bapa mana, dik?"


Mama menjawab lagi, "Bapak ngebriss!!"


Pegawai itu pun bertanya dengan pembantunya, "Apa budak ni cakap? Bahasa apa ni?"


Pembantunya pun menjawab, "Dia cakap bahasa Jawa ni, Tuan."


Sambil menggaru kepala, pegawai itu pun bertanya sambil membuat bahasa isyarat, "Bapa ngebris di mana?"


Mujur Mama faham bahasa isyarat itu, dan menjawab, "Nggo nae Mbah Udhi! KONO.. KONOO.."sambil Mama menunjukkan arah rumah di mana Atuk berada. 


Apa yang Mama cuba sampaikan adalah, bapanya berada di rumah Atuk Marsudi. Mbah itu Atuk, Udhi itu nama pendek untuk Marsudi. Kono itu adalah di sana.


Kami semua ketawa mengekek mendengar cerita Mama malam tadi. Mama kata memang beliau langsung tak tahu bercakap Melayu, hinggalah berusia 9 tahun.


Kisahnya pada awalnya memang Atuk tidak berniat untuk menyekolahkan Mama. Hanya Mak Ngah iaitu adik Mama yang kedua disekolahkan pada usia 7 tahun. Mama terpaksa berkorban supaya boleh menjaga adik.


Tetapi setiap hari, Mama melihat kanak-kanak lain ke sekolah, memakai baju putih, kain biru, berkasut putih, Mama menangis minta disekolahkan.


Hinggalah akhirnya nenek meminta Atuk menyekolahkan juga Mama.


Pada usia 9 tahun, barulah Mama masuk darjah satu.


Hari pertama di sekolah, apabila guru kelas memanggil "awak nama Zukariah Binti Haji Mohd Noh ya?", Mama menggelengkan kepala.


Kawannya berkata, "iyolah koe  jeneng ae Jukariah!"


(Iyalah, kau tu namanya Zukariah!)


Mama berkata, "Orak lah, jeneng ae aku Yah".


(Taklah, nama aku Yah)


Sampai usia 9 tahun, Mama tidak tahu yang nama beliau adalah Zukariah, kerana selama ini hanya dipanggil Yah.


Alhamdulillah, mulai hari itu, dapatlah Mama bersekolah hinggalah beliau berusia 11 tahun, sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Benut, Pontian. 


Alhamdulillah, saya bersyukur kehidupan kami sekeluarga tidaklah seperit kehidupan Mama semasa kecil dahulu. Saya berjanji dengan Mama, saya akan terus menulis kisah-kisah kehidupannya, agar suatu hari dapat menjadi tatapan anak cucu saya pula in shaa Allah. 


#MamaRatuhatiku 

#kisahkehidupanDrAzlindarita




Friday, 7 January 2022

Kalau boleh kembali kepada satu hari pada zaman dahulu.

Kalau boleh diberi sehari untuk kembali, hari apa yang anda pilih?


Pernah tak tengok cerita Shrek Forever After?


Shrek yang letih dengan kehidupan seharian, diberi peluang untuk kembali kepada satu hari kepada kehidupannya yang lama.


Well, saya bukanlah nak buat deal dengan Rumpelstiltskin tapi saja terkenang zaman muda.


Satu hari yang penuh keriangan, sehari sebelum ulang tahun saya ke 20.


19 Disember 2000.


Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Disneyland Paris, sebagai hadiah ulang tahun saya, bersama 2 orang sahabat baik saya iaitu Sumaiya Termizi  dan Mardiana Abdul Aziz. 


Ingat lagi, agak lama juga nak kumpul duit nak pergi Paris.


Pergi pun serba sederhana, naik pesawat Ryanair, tumpang rumah kawan. Ryanair zaman tu, bukan macam Air Asia tau. Tempat duduk pun macam tak berapa ada kusyen. Tiket dia print atas kertas murah saja. Terminal dia jaaauuuuhhh nun di hujung. Kalau naik dari Airport besar macam London Stansted, bersedialah untuk menapak.


Tetapi kalau tiket sedang ada jualan murah, murah sungguh. Kadang Euro 0.99 saja satu hala. Dan tak ada penerbangan dibatalkan tiba-tiba koh koh. 


Kami nak murah, ambil tiket penerbangan Dublin - Paris malam. Malam kami sampai di Paris, perkhidmatan keretapi mogok pula. Perancangannya dari Paris kami nak ke rumah housemate kami iaitu Malika. Beliau seorang Algerian French, tinggal di Caen. 


Maka semalaman kami tersadai di cafe sebelah bar. Order secawan kopi dan teh, duduk di cafe sampai pagi,menunggu keretapi beroperasi semula. Ingat lagi masa tu, kawan-kawan saya sahaja yang memesan minuman . Saya tak pesan apa-apa kerana tiada dalam budget. 


Takut memanglah takut. Orang mabuk keluar masuk bar di sebelah tu. Kami pula bertudung.


Alhamdulillah pagi itu seawal jam 7 pagi sudah ada keretapi ke rumah Malika di Caen.


Kami tinggal di rumahnya beberapa hari, kemudian baru berjalan-jalan di Paris.


Di Paris, sebagai tanda terima kasih kami kepada beliau, kami belanja tempat tinggal kepada Malika.


Tetapi kami tinggal di asrama sahaja, iaitu hostel. Tidak kami ketahui rupanya di Paris, tandas adalah campur ya, Tuan Puan.


Terkejut badak kawan saya, sedang gosok gigi di tandas hostel, tiba-tiba ada lelaki masuk. Mujur kawan saya menutup aurat lengkap! Sejak itu tahulah kami, kalau ada seorang masuk tandas, seorang kena jadi sentri!


Jalan-jalan di Paris pun naik Metro mereka, macam LRT kita. 

Sistemnya antara yang tertua di dunia. Walaupun usang, tetapi laju dan tepat masa.


Alhamdulillah puaslah kami berjalan ke Champs Elysees,  muzium Lourve (tengok dari luar lah, mana ada duit nak masuk), La Fayette, dan akhir sekali ke Disneyland!

Di pintu masuk Disneyland Paris 

Teruja benar berjumpa Buzz Lightyear 


Seronok betul ke Disneyland ini, tak terkata rasanya. Inilah kali pertama saya ke taman tema ini, dan orang pun tak ramai. Kalau nak naik roller coaster seperti Big Thunder Mountain tu, boleh naik 2-3 round sampai pening haha.


Makan? Tahan saja lapar. Kami ada juga seludup sandwich sebab sebenarnya tak dibenarkan bawa masuk makanan, tetapi iyalah, nak hidup kenalah pandai. Kami letak makanan dalam sejadah. Apabila pengawal tanya, kami kata prayer clothes.


Solat di mana?


Apabila belajar di luar negara, kita jadi survivor dan akan solat di mana-mana sahaja yang suci. Ambil wudhu di tandas dan kemudian cari sahaja tempat solat di taman, tepi tangga, changing room dan sebagainya.


Itulah pengalaman manis saya pertama kali ke Kota Paris.


Jika saya ada peluang untuk kembali, saya nak kembali kepada 19 Disember 2000. Pakai baju pun baju orang sedekah. Perut pun sentiasa sedikit lapar kerana tak cukup makan, tetapi hati gembira tak ada apa nak risau.


Tugas hanya untuk belajar sampai jadi doktor, ada duit lebih kita kumpul untuk jalan-jalan di Eropah.


Alhamdulillah syukur atas memori indah itu.


Mana tahu kan, satu hari ada rezeki bawa anak-anak ke Disneyland.


Suatu hari apabila Covid tidak lagi berleluasa di atas muka bumi Allah ini. 


Amin.

Kenangan terindah di bumi Paris bersama sahabat baik Maya dan Mar


#kisahkehidupanDrAzlindarita

Saturday, 1 January 2022

1st January 2022



Last night it was raining in Seremban.


Our room turned very cold, that I woke up at 4.40am looking for a sweater.


It woke my husband up, and he asked if I was looking for a prayer mat. And I said I was looking for a sweater. I didn't want to turn on the light as Uwais was sleeping, so in the dark, I found one that belonged to Abah, a bright yellow one. I took it and wore it to sleep.


When we woke up for the Fajr prayer, my husband handed me this black sweater instead. He said, "Pakailah yang ni. Yang tu gedobosh sangat"


It meant that the yellow one was way too big for me, so he looked for a smaller one, that'll fit me well.


I felt nothing but love, emitting from his gesture.


He is not a man of romantic words, but he cares enough to go through the trouble of looking for a sweater that'll fit me, through none other but his late father's pile of clothes.


That couldn't have been easy for him, but he did it.

For me.


So that's what I felt, the very first thing this year 2022.


Being deeply loved.


And for that, I'm grateful.


Alhamdulillah.


#drazlindarita

#gratitudepost

Sunday, 28 November 2021

Abah pergi jua..

Innalillahi wainnailaihirajiun.




28112021


Abah pergi jua....


Akhirnya Covid menjadi asbab salah seorang ahli keluarga kami pergi menghadap Ilahi.


Ya, Abah fully vaccinated.


Ya, Abah sihat orangnya, cuma ada darah tinggi biasa-biasa, macam orang seusia 65 tahun macam beliau.


Abah rajin exercise, malah 5 hari sebelum masuk hospital pun Abah masih exercise macam biasa.


Abah jaga makan, tak minum manis-manis.


Tetapi yang pasti Allah sayang Abah, sebab tu Allah jemput Abah pergi dulu.


6 hari sahaja Abah sakit kuat.


Sepanjang hidup, Abah memang insan yang tak suka menyusahkan orang. Hingga akhir hayat, Abah pergi dengan mudah.


Pada ramai orang, Abah adalah seorang boss, pegawai tinggi, kenalan sekerja yang baik.


Pada saya, Abah adalah bapa mertua yang sayang saya macam anak sendiri sejak saya bernikah dengan anaknya 18 tahun yang lalu.


Seorang Datuk yang amat penyayang, dari bayi baru beberapa minggu dalam kandungan, sudah seperti menatang minyak yang penuh. Apatah lagi apabila sudah lahir, sebut sahaja apa cucu mahu, pasti dicarikannya.


Tetapi walau setinggi mana kasihnya Abah itu, pasti tidak tertanding kasih Allah pada hambaNya.


Orang kata hanya insan terpilih pergi dengan cara ini. Iyalah, sebelum Abah tidur Selasa lepas, Abah sempat solat Asar, syahadah. Pastinya masih berwudhu, kan Abah. 


Mudah-mudahan Allah redha pada Abah, cucuri rahmat kepada Abah dan kurniakan syurga buat Abah in shaa Allah.


Baru petang tadi kami tinggalkan Abah di rumah baru Abah, hati dah rindu tak tertahan.


Selamat jalan Abah.


In shaa Allah kita jumpa lagi di syurga nanti.


Hingga akhir hayat Abah, Aisyah satu-satunya menantu Abah.


Belasungkawa buat Abah

28.11.2021

Seremban, Negeri Sembilan.




Sunday, 7 November 2021

Tips bawa maid balik ke Malaysia semula, dalam era pandemik

Oleh kerana ramai yang bertanya, maka saya sharekan bagaimana proses saya bawa maid saya balik ya.


Saya janji, ini bukan karangan cerpen macam post sebelum ini hahaha


Here goes :


Tips bawa maid balik Malaysia semula selepas cuti pada musim pandemik Covid-19 ✅


1) Pastikan maid anda legal dan sudah ada permit. Maid kami memang dah ada permit yang masih valid, beliau pulang bercuti sahaja.


Jangan tanya kalau yang tak ada permit, atau permit dah mati macamana. Saya tak pasti


2) Sebaiknya maid sudah dapat 2 dos vaksin dan dah cukup 14 hari selepas dos ke dua, jadi nanti boleh apply untuk kuarantin di rumah melalui HQA.


- kalau maid atau anda antivaksin, sila skrol laju-laju.


- kalau tak cukup dos, boleh masuk tapi nanti kena kuarantin di hotel. Siapkan duit saja ya.


3) Langkah pertama, apply MyTravelPass di


https://mtp.imi.gov.my/myTravelPass/main


Ini valid semasa proses kami nak bawa maid balik dalam September 2021. Kalau sekarang dah tak perlu, sila skip. 




4) Apabila dah lulus MyTravelPass (ambil masa dalam 3 hari dalam kes saya) , boleh buat pembayaran untuk MySafeTravel iaitu untuk PCR Covid test semasa tiba di KLIA dan bayaran pusat kuarantin. Masa ni sebaiknya dah tahu tiket balik maid tu bila.


- jika nanti nak apply HQA, tak boleh bayar PCR Covid test ni secara online.


- jika nak duduk hotel, semua bayaran untuk PCR Covid test dan hotel boleh bayar secara online di MySafeTravel. Nah saya belanja link terus 


https://safetravel.myeg.com.my/ 


- jika dah lengkap vaksin, kuarantin 7 hari. Kalau belum lengkap, 10 hari. Ini valid untuk masa sekarang la. Nanti kalau MKN tukar lagi, sila rujuk telegram MKN.


5) Sila book flight yang akan terbang ke pintu masuk Malaysia yang dibenarkan. Sila rujuk website KKM ke, Imigresen Malaysia ke .


Saya beberapa hari sebelum flight maid, kerja jadi stalker airport Jakarta dan KLIA, tengok flight apa yang betul-betul landing. Saya tengok Malindo, Garuda, MAS ada. Jadi saya book tiket itu. Air Asia saya tak tengok pun. Takut sakit jantung.


6) Jika maid akan naik connecting flight macam maid saya, sebaiknya naik penerbangan yang landing dan depart dari terminal yang sama. Contoh dari Medan ke Jakarta naik Malindo, Jakarta ke KL naik MAS. Semua penerbangan ini di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno Hatta Jakarta. Kalau tukar terminal, nanti susah. 


Maid saya somehow tak dibenarkan check in bagasi terus dari Medan dengan alasan beg dia ada calar, takut makin rosak. Kena keluarkan dan check in semula. 


Pastikan ada masa yang cukup untuk proses ini. 


Di Lapangan Terbang Jakarta juga maid saya hampir kena tipu dengan orang yang kononnya nak tolong hantar pergi tempat check in, kemudian minta duit Rp500, 000. Orang tu ambil bagasi dia dan bawa ke kereta. Mujur ada orang tolong. 


Sila berhati-hati. 


7) Majikan apply Home Quarantine Application (HQA) di website 7 hingga 10 hari sebelum penerbangan pulang. 


https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/index 


Ada banyak syarat, selain maid dah cukup vaksin. Rumah tu kena ada cukup bilik, cukup toilet yang tak payah kongsi dengan orang lain, tak ada orang sakit kronik, kanak-kanak dan sebagainya. Keputusan pun dalam masa 3 hari juga. Nanti minta maid print dan bawa masa balik, sekali dengan MyTravelPass. 



8) Dalam masa 72 jam sebelum berlepas, maid kena buat PCR covid test di negaranya. Ya, ini waktu yang mendebarkan. Sebab tu kena cari tiket flight yang flexible. Kot tiba-tiba positive, hangus pula tiket. Saya ambil langkah, result keluar baru beli tiket. Ini kamikaze dah ni. Maka tiket jadi mahal. Ikut korang lah nak buat macamana. Kredit card masing-masing. 


Pastikan maid daftar PCR covid test tu DENGAN PASSPORT, bukan dengan KTP atau IC Indonesia mereka. Kadang nama/tarikh lahir  diorang ni di IC dan di passport tak sama. Airlines akan nak tengok sama di passport ya. 



9) Bila maid dah terbang, doa banyak-banyak dan sila stalk di flightaware.com macam aku ni ha. Kahkahkah. OK, gurau. Step ni tak payah. 



10) OK bila dah sampai di KLIA, mereka kena buat


a) daftar MySejahtera jadi kena ada simcard. Bab ni I is pening juga. Dia call pakai WiFi, abih tu camno nak bagi simcard Malaysia kat dia? Dia kat dalam? Jadi kalau dah ada nombor Malaysia better. Entah macamana kelmarin tu ada orang tolong dia daftar MySejahtera.


b) dia kena buat PCR covid swab test. Kalau dah bayar dengan MySafeTravel tadi, tunjuk saja resit. Kalau belum, kena bayar cash. 


Haaaaa inilah kisah sangkutan terakhir kami hari tu. 


Maid kami mana ada cash RM250 nak bayar. Kami nak bayar online tak boleh. 


Maka saya pun kena ambil pass masuk di kaunter Polis Bantuan di Level 2 KLIA (dekat Food Garden), bayar RM2 untuk pass, RM50 untuk upah escort oleh polis bantuan. 



Maka saya pun masuk laaa dengan diiringi polis, lalu ikut laluan crew, jumpa laaa maid saya di tempat saringan. 



Boleh bayar pakai cash atau kad, RM250 untuk swab test tu. Maid dah siap swab pun, dah siap pakai gelang pink. Masa tu maid dah tunjuk HQA letter pada petugas KKM. 


Dan terakhir, 


11) lepas bayar, maid pun lalu di kaunter Imigresen, tunjuk permit, MyTravelPass, chop, ambil beg, dan kami pun balik, hantar dia pergi kuarantin di rumah. 




Maka kuarantin lah dia di rumah tu 7 hari, setiap hari kena jawab soalan di MySejahtera. 


OK selamat maju jaya semua kawan-kawan yang nak bawa maid balik Malaysia. 


Semoga dipermudahkan urusan in shaa Allah. 


Doa banyak-banyak. 


Allah boleh atur bulan matahari planet semua, takkan Allah tak boleh bantu kita kan? 


In shaa Allah. 


Peace!