Saturday 30 November 2013

Happiness captured in photographs .... Sekitar hari graduasi 1 Oktober 2013..

Salam,

After a long overdue, here are our photos during the Convocation Day in University of Malaya last 1st October. This is the third time we hired Abang Rozmi from the Marathon World Photography & we loved it.

My intention in putting it here only so that it'll become our memory, perhaps for my children in the future. If it helps in inspiring young doctors to pursue their dreams in becoming a specialist, then Alhamdulillah...

Saya tiada niat untuk berbangga dengan kejayaan yang sedikit ini. Semuanya dari Allah, tiada yang kekal kecuali Dia. Semoga ini adalah salah satu lorong kehidupan saya yang dipilih olehNya, agar saya lebih dekat denganNya, dan dapat menghulur secebis bantuan buat insan-insan yang memerlukan.

Enjoy the pics :)
























Tuesday 26 November 2013

Travelog Hajjah (Bahagian 5) : Hotel lebih dekat, ibadah lebih hebat?

8 Oktober 2013

Jam 2.30 pagi..

Mimpiku terhenti bersama terhentinya bas yang membawa kami. Di sebuah lorong gelap, di sebelah bangunan kecil, di pinggir kota Mekah.

"Eh? Ini bukan Masjidil Haram". Lucu bukan? Fikiran orang separa sedar. Kalau dalam istilah perubatan, Glasgow Coma Scale 13/15. Tidak markah penuh.

Naik seorang pemuda Melayu, berambut ikal hitam berjubah putih. Bertutur bahasa Arab selancar anak itik di permukaan kolam. Petugas Tabung Haji menyampaikan, ini check point Muassasah Arab Saudi. Kugenyeh-genyeh mata melihat jam di dalam bas. Rupanya sudah lebih dua jam kami menempuh perjalanan dari Jeddah ke Mekah, yang biasanya mengambil masa setengah jam cuma. 

Seketika kemudian, setelah kami dibekalkan dengan gelang getah berwarna biru, identifikasi kami di Masya'ir kelak, bas bergerak lagi. Sayup di kejauhan kulihat Menara Jam yang berwarna hijau, membantu kami mencari lokasi Masjidil Haram dikejauhan. 

Dalam kesamaran, pantas kumencari buku doa. Alangkah istimewanya Tanah Suci Mekah yang diwartakan haram oleh Nabi Ibrahim, melihat rumah-rumahnya sahaja sudah ada doa istimewa.

Ya Allah! Sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya, semuanya kepunyaanMu. HambaMu ini telah datang menyahut panggilanMu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, daku pohonkan kepadaMu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepadaMu dan takut kepada azabMu supaya Dikau terima daku dengan limpahan kemaafanMu dan masukkanlah daku ke dalam syurgaMu, Jannatun Naim,
Ya Allah! Sesungguhnya ini adalah Tanah HaramMu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka .
Ya Allah! Selamatkanlah daku dari azab Dikau di hari Dikau membangkitkan hamba-hambaMu. Daku memohon denganMu kerana Dikaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Dikau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani! Dikau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya.

Seolah tersekat nafasku tatkala bas menghampiri Masjidil Haram. Aku terpana melihat perubahan yang besar pada wajahnya. Semakin hampir, semakin sukar pula kulihat pintu-pintu masuk masjid. Rupanya ada laluan bawah tanah untuk bas menghampiri pintu lobi hotel. Jemaah haji pakej Zamrud segera turun. Aduhai hatiku terdetik, alangkah istimewanya tempat mereka! Lobi Hotel Hajar Movenpick hanya sekangkang kera dengan escalator naik ke dataran masjid. Berbaloilah dengan harga lebih RM80,000 seorang untuk pakej tiga minggu mereka. 

Bas bergerak menjauhi masjid, berhenti pula di Safwa Royal Orkid. Kupaling ke belakang, "Wah masih dekat dengan masjid!". Rupanya untuk pakej Topaz dan Nilam sahaja. Royal Dar Eiman sebaris dengan Sofwa Royal Orchid. Katanya kalau malas nak ke tandas masjid, boleh pulang ke bilik hotel sahaja. Jaraknya tidak jauh beza, cuma 80m dari masjid.

Tatkala bas bergerak semula, hanya tinggal 9 orang jemaah, semuanya dari pakej Aqiq, pakej paling murah Tabung Haji Travels. Buntang mataku melihat jalan yang sesak pada jam 3.30 pagi! Bukan sesak dengan kereta, tapi dengan manusia! Masing-masing bergegas ke arah masjid, seolah-olah ada sesuatu yang dikejar mereka. Aku mula berdebar, sempatkah keluargaku bersiap untuk menunaikan fardhu Subuh di masjid nanti? Pastinya masjid mula penuh.


Katanya 600m, tapi rasanya hampir 800m dari Masjidil Haram, kami tiba di Hotel Shohada. Kalau berdiri dari kaki lima, memang tidak nampak masjid di depan mata. Syaitan menggoda agar aku mengeluh, tapi aku teringat jemaah muassasah Tabung Haji Malaysia, ada yang 5km dari masjid. Aku WAJIB bersyukur! 


Bila melangkah ke lobi, memang ternyata kami berpuas hati. Bukan hotel sederhana seperti semasa kami menunaikan umrah, tetapi bertaraf lima bintang (note to self: JANGAN RIAK! Penghapus AMALAN!) . Biliknya cukup luas, ada ruang untuk beg-beg besar kami berlabuh. Getus hatiku," Ini juga cabaran. Kalau hotel terlalu selesa, ada yang nak solat di dalam bilik nanti!" 






Alhamdulillah kami bersuci dan bersiap secepat kilat, kerana azan pertama sudah dilaungkan, menandakan waktu subuh adalah sejam dari sekarang. Berjalan kaki ke masjid, dalam hawa pagi yang dingin sememangnya tiada masalah. Kami hanya mampu sampai di dataran kerana pintu masuk semua sudah ditutup dan dikawal rapi oleh barisan tentera. Lampu isyarat di pintu masuk juga merah, menandakan Masjidil Haram sudah mencapai kapasiti maksimum. 1.7juta jemaah! Subhanallah... Di dataran sahaja boleh menampung 1 juta jemaah lagi. Total 2.7 juta jemaah, semua siap sedia untuk menunaikan haji. Siapa yang boleh mencabar Allah ketika ini? TetamuNya sahaja 2.7 juta orang! Tiada manusia mampu menerima tetamu seramai itu, jangankan 2.7 juta, 27,000 orang pada satu ketika pun belum tentu. Kalau Firaun masih adapun, pasti dia tersungkur malu dengan Ilahi. 


Saat orang solat, aku duduk dicelah-celah "makcik-makcik" Arab. Walaupun belum boleh bersolat, aku ingat pesanan Ustaz Hasnil dari Kursus Asas Haji. "Jangan jadikan keuzuran seorang wanita menjadi penghalang untuk ibadah. Berjalan ke masjid jua satu ibadah. Bayangkan setiap langkah mendapat 100,000 kebajikan. Berzikirlah sepanjang masa". 

5 hari sebelum wukuf kami usahakan semaksimum mungkin untuk beribadah di Masjidil Haram. Kesihatan dijaga, hampir setiap masa air zamzam menjadi penghilang dahaga. 

Di waktu terik mentari tengahari, sesekali terfikir, alangkah baiknya kalau aku berusaha keras lagi, agar aku dapat menyertai pakej yang menawarkan hotel yang lebih dekat lagi berbanding Hotel Shohada. Pastinya ada yang tidak setuju dengan pendapatku. Katanya lebih susah di Mekah dan Madinah semasa haji, lebih terasa sifat diri sebagai hamba, tidak dibeza-beza sesama manusia. Lebih jauh masjid, lebih banyak langkahnya, dan sesuai dengan itu, lebih banyak pahalanya. 


Padaku, lebih dekat bererti lebih banyak tenaga disimpan untuk beribadah sepuasnya di hadapan Kaabah. Setiap sen yang dibelanjakan jua, pasti tidak disia-siakan oleh Allah, dan pasti ada ganjaran buatnya. Pun begitu aku bersyukur, diberi rezeki yang mencukupi untuk kami ke Tanah Suci. 

Cuma yang pasti jati diri harus kuat, iman harus mantap untuk menghadapi jeneral-jeneral syaitan dan iblis yang diutus ketuanya, untuk menghasut supaya tidak meninggalkan sejuknya hawa dingin di hotel untuk menempuh perjalanan ke masjid. Pandangan mata dipaku pada Kaabah, agar sentiasa rindu padanya, dan tidak mahu bersolat di surau hotel, walau sangat mudah perjalanannya. Doa harus berterusan, sebagaimana tidak putusnya jemaah yang bertawaf di dataran Kaabah, agar Allah memberi kekuatan untuk beribadah di dalam Masjidil Haram, kerana yang disyariatkan adalah untuk bersusah payah ke tiga buah masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa, bukannya ke Mekah, Madinah dan Palestin.

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu dari Nabi Muhammad Sallallhu 'alaihi Wasallam  sabdanya : "Tidak sepatutnya ( bersusah payah ) keluar belayar ( untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali ( pergi ) ketiga-tiga buah masjid ( yang berikut ) : Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa  di Palestin." Hadis Al-Bukhari

Apabila berkenalan dengan jemaah haji Muassasah, ada yang tinggal lebih 1km dari masjid, namun mampu bertahan beriktikaf dari Zuhr hingga ke Isyak, kembali lagi ke masjid jam 1.30 pagi untuk qiamullail hingga ke waktu dhuha. 

Malu aku pada diri sendiri. Sememangnya dalam urusan dunia, kita dituntut melihat orang yang kurang dari kita, agar kita sentiasa bersyukur. Namun dalam urusan ibadah dan akhirat, biarlah kita melihat mereka yang lebih dari kita, agar tidak riak dalam menyembahNya. Masih kurang amalanku berbanding orang lain. Aku termenung sendiri. Saban hari meminta agar Allah pilih diri menjadi tetamuNya yang paling istimewa, tetapi amal tidak selari dengan apa yang dipinta. 

Allahu Rabbi... Lemahnya aku... 

Subhanallah... Ternyata tidak semestinya hotel lebih dekat, ibadah lebih hebat. 

Jawapannya adalah, IMAN lebih mantap, ibadah pasti berlipat kali ganda HEBAT! 

Bersambung





Thursday 21 November 2013

Travelog Hajjah (Bahagian 4) : Lapangan Terbang di Jeddah...

7 Oktober 2013

7.30 malam waktu di Arab Saudi...



Alhamdulillah penerbangan selama 7 jam berjalan dengan lancar. Kami selamat mendarat di Lapang Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz. Mega merah di ufuk barat menandakan sudah masuk waktu Maghrib. 

Kami diminta menunggu di sebuah ruang, sementara menunggu giliran di kaunter imigresen. Ada jemaah haji yang bersegera berwuduk dan menghamparkan sejadah di kaki lima untuk menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak. Dalam hatiku tidak putus-putus melafaskan syukur, akhirnya aku berpijak di bumi Saudi. Namun kegusaran masih berbaki. Urusan visa inilah yang akan menentukan sama ada kami dapat meneruskan perjalanan ke Kota suci Mekah. 

Urusan imigresen dijangka mengambil masa empat jam. Aku memerhati, hampir setiap 5 minit pasti ada pesawat yang mendarat, membawa jemaah-jemaah haji, pastinya. Benarlah seperti yang diterangkan oleh pihak Tabung Haji Travels, 7 hari sebelum wukuf adalah waktu kemuncak di mana jemaah-jemaah haji terutamanya dari negara-negara teluk akan tiba. Kami diminta bersedia menghadapi kemungkinan untuk berhadapan sedikit "favouritism". Jemaah haji berbangsa Arab selalunya diutamakan untuk urusan imigrasi, walaupun kami tiba dahulu. Aku belajar mendidik hati untuk bersabar... 


Tanpa diduga, tidak sampaipun setengah jam kami menanti, kami dipanggil ke kaunter imigrasi. Kuberbisik dengan suami, "Baca Rabbi Yassir sebanyak-banyaknya, ya. Biar Allah permudahkan semuanya". Seram sejuk mengenangkan ada sahabat bercerita, tahun lepas bapanya terpaksa berpatah balik ke Malaysia kerana visa tidak ada apabila sampai di Jeddah. Allahu Rabbi, hanya padaMu kami berharap. 

Keajaiban mula berlaku. Apabila kami berempat mendekati kawasan kaunter, ada kaunter baru yang dibuka, maka kami tidak perlu beratur langsung. Alhamdulillah! Nafas lega kuhela tatkala kesemua passport kami siap dicop oleh pegawai imigresen bertugas.

Di kawasan pengambilan bagasi, beg kami sedia tersusun. Alhamdulillah bagus juga idea bapa mertuaku membeli tali rajut beg berwarna oren, jadi amat mudah mengenalpasti beg kami di dalam lautan beg-beg ribuan jemaah haji. 

Seterusnya kami ke laluan kastam. Ujian kesabaran dalam bentuk beratur. Nampak mudah tetapi ada juga jemaah yang tidak mahu beratur. Kami menanti dengan sabar. Ada jemaah yang diminta untuk membuka beg masing-masing. Aduhai aku terbayang, alangkah malunya kalau aku terpaksa berbuat demikian! Bukan apa, habislah semua pakaian dalamku berterbangan nanti! Namun Alhamdulillah pegawai itu tidak berminat dengan bagasi kami. Kami terus menyorong dua troli berisi empat beg besar kami. 

Selesai urusan kastam, kaunter seterusnya adalah pendaftaran kepada pihak Muassasah Arab Saudi yang bertanggungjawab menjaga semua jemaah haji tahun ini. Sekali lagi, kaunter yang baru dibuka, tersedia di depan mata. Segala puji hanya buatMu Ya Allah....

Kami melangkah keluar dari hiruk pikuk manusia yang sedang berurusan di dalam. Bayu malam Jeddah menyapa ketibaan kami. Pihak muassasah Arab Saudi meminta kami meninggalkan semua beg besar, yang akan diuruskan pihak mereka, hingga ke hotel kami di Mekah. 


Hati mula berbunga tatkala melihat beberapa bendera Malaysia berkibar megah. Kami mengikut saja laluan yang disediakan yang ditandai bendera dan bunting Tabung Haji Travel, hinggalah tiba di tempat istirehat yang disediakan. Sangat sederhana tapi cukup memadai. Surau yang luas, tandas yang bersih, tempat duduk yang selesa tersedia. Sempat aku bergambar dengan CEO Tabung Haji Travel iaitu Dato' Hajjah Yasmin, yang turut turun padang memastikan semua urusan jemaah haji berjalan lancar. Kagum aku melihat beliau, yang tidak segan silu membahagi-bahagikan makanan untuk jemaah haji, bertanya khabar, sesekali menyapa petugas di kaunter untuk memastikan semuanya baik-baik sahaja.


Surau untuk jemaah haji Malaysia

Bergambar kenangan bersama Dato Yasmin, CEO Tabung Haji Travels


Selesai makan malam dengan nasi arab berlauk ayam panggang, kami disajikan pula dengan santapan rohani. Ustaz memberikan tazkirah ringkas, menerangkan betapa Mekah adalah sebuah kota yang terletak di sebuah lembah. Signifikasinya, kita yang akan melangkah masuk kepadanya, harus membuang segala ego, letakkan diri serendah lembah Bakkah yang barakah, sedar diri bahawa diri menghadap Ilahi. Seru beliau, masuklah Mekah dengan kerendahan hati, mengharap kasih sayang Rabbul Izzati. Seharusnya semua pangkat, gelaran dan kedudukan, telah ditinggalkan di pintu rumah di Malaysia lagi. 


Tepat jam 12 tengah malam, bas kami tiba di terminal. Dua buah bas membawa kami ke Kota Suci Mekah. Sebelum bertolak, pihak muassasah mengambil passport kami untuk disimpan, hinggalah kami akan bertolak balik nanti. Sayu hatiku melihat jemaah-jemaah warga emas, yang terlentuk tidur sebaik sahaja duduk di dalam bas. Maklumlah ketika itu di Malaysia sudahpun jam 5 pagi. Perjalanan dari rumah ke KLIA, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah, urusan di Lapangan Terbang Jeddah, semuanya hampir memakan masa 24 jam. Pastinya memamah tenaga yang tersisa di tubuh-tubuh tua mereka. 

Dengan lafaz Bismillah kami meneruskan perjalanan. Perjalanan menuju Kota Mekah membelah hening dinihari. Kaabah sudah bermain-main di mataku. Terasa ingin terbang sahaja ke sana. 

Sesungguhnya perasaan mengantuk itu jua anugerah dari Allah. Aku terlelap dibuai hayunan bas yang meluncur laju.... 

Bersambung...




Saturday 16 November 2013

Travelog Hajjah (Bahagian 3): Terbang di celah-celah sayap para malaikat....

2 Oktober 2013...

Enam hari sebelum penerbangan....

Beg-beg hampir siap kukemas... 

Senarai barang-barang dan pakaian yang harus dibawa kubelek berulang-ulang kali, dan kutanda yang mana sudah dimasukkan ke dalam beg besar dan kecil...

Berdebar, gembira, teruja, terharu, sedih, sayu silih berganti.. umpama sebuah CD filem rosak yang dimainkan di DVD player... 

Berdebar dan berdoa semua urusan dipermudahkan Allah..
Gembira hari yang dinanti bakal tiba...
Teruja ingin melihat Baitullah dengan kedua-dua mata...
Sedih mengenangkan bagaimana bakal ditinggal anak-anak tercinta...
Sayu mengenangkan kasih sayang Allah yang sudi menerima seorang hamba yang berdosa...

7 Oktober 2013...

Kami bangun seawal jam 4.30 pagi... Kami bersujud bertaubat padaNya... 
Sepersalinan baju ihram putihku siap tergantung...
Sepasang ihram suci menanti untuk dililit di tubuh suamiku.. 
Sayup-sayup kedengaran ibuku menyiapkan sarapan buatku di dapur... 

Jam 9 pagi, beg diturunkan. Aku yang sedang uzur, hanya dapat mandi sunat ihram, tetapi tidak dapat menunaikan solat sunai ihram bersama suamiku. 

Abang-abangku sedia menanti untuk membawa kami ke KLIA. 



Saat suamiku bersalaman dengan anak-anak, sempat anak sulung kami, Fatimah bertanya, "kenapa Abi nak pergi Mekah pakai tuala?". Lucu juga... anak-anak yang masih belum mengerti, hati yang murni, memandang dunia seadanya. 

Hakikatnya, haji itu satu kepulangan. Kepulangan kepada fitrah. Dua helai kain putih yang tidak berlabel, menanggalkan segala pangkat yang disandang, menghilangkan berbezaan kaum dan bangsa yang dipandang. Kain putih ini bakal menjadi saksi, seorang hamba yang datang dari jauh kepada Tuhannya, membawa dosa yang banyak, amalan yang sedikit, dan mengharapkan HANYA pada Tuhannya. Mengharapkan pengampunan, mengharapkan agar dibuang segala sifat mazmumah dalam diri, mengharapkan dianugerahkan syurga yang hakiki. 

Abangku Abdul Razak melaungkan azan saat kami ingin melangkah ke luar halaman rumah. Aku menyeka airmata, tidak mahu anak-anakku melihat Ummi pergi menghadap Allah dengan sedih hati. Selesai azan, tiba-tiba datang Umar, anak lelaki kami yang berusia empat tahun, berlari ke arahku. Aku menahan nafas, " Ya Allah, kuatkan aku!" . Rupanya dia hanya mahu bersalam sekali lagi, dan saat kereta beredar, dia melambai-lambai seolah-olah kami mahu pergi bekerja. Saat rumahku hilang dari sudut pandangan, aku menghela nafas lega. Alhamdulillah, kutinggal mereka dalam keadaan tenang. 

Sepanjang perjalanan ke KLIA, mulutku tidak berhenti berzikir, "La haulawalaa quwwata illa billah"... Tiada kekuatan kecuali kekuatan dari Allah. Tiada outrider polis seperti jemaah haji dari Kelana Jaya, tiada yang istimewa, kecuali dua buah kereta yang membawa ahli keluargaku. Alhamdulillah aku bersyukur kerana perjalanan itu menyedarkanku, kami tidak perlu outrider, kerana perjalanan kami diiringi para malaikat... Mungkin Allah mahu tanamkan perasaan rendah diri dalam diri kami, maka kami tidak mendapat layanan istimewa seperti jemaah haji lain. 

Sampai di KLIA, kami disambut oleh deretan kereta polis, pengiring-pengiring bapa mertuaku yang merupakan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia. Alhamdulillah, dari tiba di KLIA, urusan bagasi kami diuruskan oleh pegawai-pegawai polis dan Tabung Haji Travel. 



Sempat kami ditemuramah oleh wartawan dari TV1 (RTM) yang membuat liputan tentang Haji Muda. Katanya bakal ditayangkan semasa Hari Raya Haji. Aku ditanya, apa cabaran paling besar bagiku, untuk menunaikan haji. Jawapanku, ternyata tatkala rumah sudah kutinggalkan, yang masih bermain di mata adalah anak-anakku yang masih kecil. Tetapi inilah jihad bagi seorang wanita. Manakan ada jihad tanpa pengorbanan. Yang pasti aku bersyukur kedua-dua ibu bapaku masih punya kudrat untuk membantuku menjaga ketiga-tiga anak-anakku. Alhamdulillah Ya Rabb..



Selesai check-in, kami ke Bilik Khas. Alhamdulillah waktu menunggu yang sangat selesa. Terasa gelombang kasih sayang yang tidak berpenghujung tika di kelilingi keluarga tercinta. Melihat ruang yang luas, teringat bagus juga kalau kubawa anak-anak ke sini, namun cepat-cepat kupadamkan anganku, kerana kumahu fokus 100 persen pada ibadah. Pastinya kalau Fatimah, Wardina dan Umar turut serta, aku sibuk melayan mereka, terlalai dari mengingati Allah yang menjadi Tuan Rumah perjalanan kami ini. 




Setengah jam sebelum boarding, rakan kongsi dan sahabat-sahabatku  menelefon, katanya mereka sudah sampai ke KLIA! Subhanallah, satu kejutan yang sangat tidak kusangka. Antara yang hadir adalah  Hj Azlan Deraman dan Hjh Siti Rohana sendiri. Ternyata satu nilai persahabatan yang amat luar biasa. 



Tepat jam 3.30 petang, kami mengatur langkah ke Balai Berlepas. Doa dibacakan oleh salah seorang pegawai Badan Dakwah Pasukan Polis Seremban. Suasana hening menyelubungi segenap ruang. 

Dengan tenang kami melangkah keluar. Alhamdulillah keluargaku turut sama ke Pintu pelepasan kerana mendapat pas khas. 


Bacaan doa sebelum bergerak ke Balai Berlepas


Saat bersalaman dengan Ibu Bapaku adalah saat yang tidak dapat kulupakan. Aku tahu aku mungkin tidak bertemu lagi dengan mereka. Aku tinggalkan anak-anakku yang masih kecil, di dalam jagaan ibuku yang sudah lanjut usia. Tawakkal pada Allah, pasti Dia yang akan memelihara mereka. Kupohon ampun dan maaf dari orang tuaku, kupohon dihalalkan segala makan minumku dari saat aku bernafas di dalam kandungan ibuku hingga ke saat itu. 

Sayup mereka melambai, hingga kami masuk ke dalam. Doa perjalanan kulafaz, semoga Allah merahmati perjalanan sejauh 7000km ini.

Penerbangan komersial MH150 membelah awan, meniti angkasa membawa hampir 100 orang jemaah haji, bersama penumpang-penumpang komersial yang lain. 



Saat tiba di Qarnul Manazil, matahari sudah bertukar merah di ufuk barat. Selesai sahaja Kapten mengumumkan inilah tempat untuk berniat haji atau umrah (bagi yang menunaikan haji tamattuk), aku melafazkan niat. 

Bercucuran airmata tatkala selesai membacakan niat dan melafazkan talbiah buat pertama kali.



Satu lafaz, yang jua merupakan satu ikrar kepada Pencipta kita... 

Satu lafaz di mana apabila dibacakan, seluruh makhluk Allah yang berada di sekeliling kita turut bertalbiah... 

Lafaz suci, yang hanya boleh dilafazkan oleh mereka yang telah melucutkan segala pakaian keagungan mereka, dan telah berjanji setia dengan Rabbnya, bahawa mereka sedang dalam perjalanan menujuNya, semata-mata untuk mengabdikan diri padaNya, semata-mata untuk ibadah, bukan untuk melancong, berniaga, atau untuk menempah nama. 

Bermulalah mujahadahku menjaga diri dari 13 larangan ihram selama 9 hari, sehingga aku melontar Jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah kelak. Secara rasminya, kami sekarang adalah tetamu Yang Maha Agung, iaitu tetamu Allah.... Andai kami meninggal dunia, in shaa Allah syahid di jalanNya. 



Sekali lagi hadis ini datang dalam fikiranku:

    Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.       
[Sahih Muslim – no: 2675]

Aku membayangkan, dan mengharapkan, sebagaimana lajunya pesawat yang membawa kami, seribu kali lebih laju Allah mendekati kami. 

Dalam genangan airmata, aku membayangkan, kapalterbang ini bukan lagi membelah awan, tetapi terbang di celah-celah sayap para malaikat... 


Bersambung...

Friday 15 November 2013

Travelog Hajjah : ( Bahagian I ) Dari panggilan hingga keberangkatan....

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah 2 hari berada di tanahair setibanya dari Saudi, terasa hilang segala penat lelah 32 hari berada di Tanah Suci. Menatap wajah ceria anak-anak, menghirup aroma rumahku syurgaku, ternyata aura teratak sendiri takkan sama walau di hotel lima bintang manapun, pernah lena kedua mata ini, pernah dilabuhkan tubuh ini.

Semoga Allah melindungi saya dari riak, takbur, sombong dan ujub (merasa diri hebat), dalam saya menulis. Niat saya tiada lain, adalah untuk berkongsi apa yang saya rasa, secara fizikal, emosional, dan spiritual, sepanjang perjalanan saya dan keluarga, dalam perjalanan menuju Allah.

**************************************************


9 September 2013...

Tarikh keberangkatan kurang dari sebulan, tetapi urusan visa masih belum selesai. Hati berdebar, doa meniti di bibir dan mengiringi detak jantung. Hampir setiap kali sujud terakhir solat, tiada yang dipinta kecuali tiga perkara; agar Allah ampunkan segala dosa, semoga Allah permudahkan segala urusan dan semoga Allah sudi menerima diriku sebagai tetamuNya. Diriku sedar, tiada amalan istimewa yang dapat dibanggakan, yang boleh dijadikan wasilah dalam berdoa kepadaNya. Diri bergelumang dosa, masa muda banyak digunakan untuk mengejar dunia, dunia, dunia. Namun dalam ketakutan, ada pengharapan. Aku yakin Allah MAHA PENYAYANG. Hadis mengatakan selangkah kita rapat kepadaNya, seribu langkah Dia rapat pada hambaNya.

Hampir setiap hari Tabung Haji Contact Centre dihubungi, masih tiada jawapan. Surat meminta bukti mahram sampai sekali lagi, walaupun salinan sijil nikah yang telah disahkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah kuserahkan ke Pejabat Tabung Haji Batu Caves seminggu yang lalu.

Pilihan hanya dua, sama ada kutunggu jawapan yang tidak pasti, atau kuusaha lagi. Suamiku yang amat penyabar, memilih yang ke dua. Mujur Ketua Jabatanku, walaupun berlainan agama dan bangsa, amat memahami betapa pentingnya HAJI ini buatku. 11 September 2013, walaupun hari Rabu adalah hari yang sibuk di Klinik Mata kami, Ketua Jabatan memberi pelepasan untukku uruskan apa yang patut. Suamiku mencari locum untuk kliniknya, dengan menaiki motor, kami ke Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan sekali lagi, untuk mendapat pengesahan sijil nikah kami, dan terus ke Tabung Haji Pusat di Jalan Tun Razak. Kuserahkan sendiri ke pegawai bertugas di tingkat 10.

Kemudian? Apalagi yang boleh kulakukan kecuali terus menunggu... dan berdoa... 

Sirna harapan muncul seminggu kemudian. Seorang sahabat yang merupakan petugas Tabung Haji, telah pun sampai di Baitullah. Aku sedar, Allah Maha Mendengar walau di mana pun, malah Dia lebih dekat dari urat halkum seorang hamba, namun kuyakin ada keberkatan dengan doa di hadapan Multazam. Kepada Azie kutitip doa melalui Facebook. Tak kusangka, beliau pantas membalas sambil memberikan nombor telefon sahabatnya yang bertugas di Tabung Haji. Tika konsentrasiku untuk menjalankan pembedahan ke atas pesakit hampir terjejas, dek kerisauan dan kebimbangan tak kunjung surut, kuatur langkah ke luar bilik bedah untuk membuat satu panggilan penting dalam hidupku. 

Alhamdulillah, visa lulus! Menggeletar seluruh tubuh, syukur tidak terkira. Terbit sedikit kesal kerana kurang yakin pada sifat RahimNya... Ampunkan daku, Ya Rabb... 

Waktu tiga minggu sebelum berlepas yang tersisa, kupenuhi dengan membaca, membaca, membaca. Dari buku panduan haji, ke buku sirah (sejarah) dua Kota Suci Mekah & Madinah, hingga lah ke buku motivasi haji oleh beberapa penulis terkemuka. 


Tidak pernah dalam hidupku, aku betul-betul "fight" untuk khatam Al-Quran. Aku terasa sangat hina andai menjejakkan kaki ke Makkah & Madinah, tempat turunnya kalimat-kalimat dari Sang Pencipta, tapi aku tidak khatam bacaannya. Teringin sangat rasanya, duduk berteleku di dataran Kaabah, mengadakan majlis khatam Al-Quranku sendiri. 

Semua aktiviti selain tugas sebagai pensyarah & doktor aku kurangkan. Semua urusniaga perniagaan hanyalah melalui atas talian atau online. Sedikit demi sedikit persiapan barang-barang yang mahu dibawa ke sana kusiapkan. 

Masa yang terluang kuhabiskan dengan anak-anak tersayang. Aku mempersiapkan diri, seolah-olah aku pergi tidak kembali. Andai inilah hari-hari terakhirku bersama mereka, biarlah memori kami bersama, yang indah-indah sahaja.

Waktu petang kugunakan untuk beriadah dengan mereka. Mereka berbasikal, aku berjalan mengejar mereka. Tabung Haji Travel sudah memaklumkan in shaa Allah khemah kami di Mina akan terletak dekat dengan jamrah (tempat melontar), jadi kami tidak perlu berjalan hampir 7km berulang alik untuk melakukan ibadah melontar pada Hari Tasyrik. Pun begitu, kutahu aku perlu menguatkan stamina untuk tawaf dan saie, serta berulang alik dari hotel tempat penginapan dan Masjidil Haram. 


Saban hari kumelihat siaran langsung dari Masjidil Haram. Kain putih membaluti Kaabah, tanda Kaabah jua sudah berihram, dan hari wukuf bakal menjelang. 

Detik 7 Oktober 2013 kunanti penuh debaran, dengan seribu pengharapan... Hanya kepada Allah kusandarkan segalanya... 

Bersambung... 

Travelog Hajjah (Bahagian 2) : Graduasi atau Haji?

Semenjak 2012 lagi sebenarnya hati ini ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Bapa mertuaku sedia membantu jika ingin membuat rayuan ke Tabung Haji. Namun kerana aku masih belum selesai pengajianku di peringkat sarjana, aku keberatan untuk menangguhkan pengajian selama enam bulan bagi membolehkanku pergi menunaikan haji. Sekali lagi, tuntutan agama aku ketepikan demi dunia. Astaghfirullahal azim... Mujur Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun. 

Selepas menerima panggilan haji pada akhir Mac, ketika itu terlintas di hatiku, sempatkah aku menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Malaya tahun ini? Tambahan pula hari wukuf adalah dapat bulan Oktober, dan majlis konvokesyen yang biasanya diadakan dalam bulan Ogos, juga ditunda ke bulan Oktober tahun ini.

Hati berbelah bagi. Haji pun kumahu, graduasi juga mahu kuhadiri. Sesungguhnya manusia itu sentiasa bersifat tidak bersyukur dengan apa yang Allah berikan. 

Namun kuasa Allah, sekitar bulan Ogos selepas hari raya, ketika aku masih berdebar menanti tarikh penerbangan, suamiku mendapat satu panggilan dari Tabung Haji Travels mengatakan kami telah menolak tawaran pakej Aqiq bersama mereka, kerana kami tidak menjawab surat tawaran mereka. Ketika itu barulah terasa peluh dingin mengalir di dahi. Suamiku berkali-kali bertanya mengapa tidak menjawab surat itu, dan aku pula langsung tidak teringat ada surat sedemikian sampai. Mahu mengikuti muassasah takut sudah terlewat, dengan pakej Tabung Haji pula "sudah ditolak".
Allahu Akbar... 

Alhamdulillah suamiku bertindak pantas dan menghubungi ibu pejabat Tabung Haji Travels, dan memberitahu pihak mereka yang kami tidak menerima surat sedemikian, dan masih mengharap agar kami berempat diterima. Pihak Tabung Haji Travels menyatakan, hanya ada satu tempat kosong yang tinggal, iaitu untuk 4 orang satu bilik, dengan penerbangan akhir, iaitu beberapa hari sebelum wukuf. Pakej dua orang sebilik yang kami minta sudah penuh.

Dilema! 

Pertama, kalau diterima, mungkin aku akan terlepas graduasi yang kutunggu selama empat tahun setengah. Hari aku akan diraikan atas segala usaha, jerit perih, darah dan airmata yang tumpah demi segulung ijazah. Aku tidak dapat melihat wajah bangga kedua orang tuaku, andai ketika itu aku sudah di Tanah Suci.

Kedua, seminggu sebelum wukuf adalah waktu kritikal di mana kebanjiran jemaah akan berlaku, terutamanya dari negara-negara teluk. Khabar angin mengatakan, pada bila-bila masa kerajaan Arab Saudi boleh batalkan visa jika Makkatul Mukarramah terlalu sesak (ini tidak benar, aku saja yang terpengaruh dengan sumber tidak bertauliah)

Ketiga, empat orang sebilik bererti aku akan sebilik dengan kedua mertuaku selama sebulan. SEBILIK! Memang hubungan kami baik, tidak pernah berlaku pertelagahan selama sepuluh tahun aku menjadi menantu mereka, namun pastinya banyak cabaran jika 24 jam bersama? Sepatah kata Prof Kamil dalam buku Travelog Haji, "jauh bau wangi, dekat bau tahi"...


Penginapan empat orang sebilik di Hotel Shohada Mekah, sebahagian dari pakej Aqiq Tabung Haji Travel & Services

Keputusan harus dibuat secepat mungkin. 

Aku menyerahkan pada yang empunya Baitullah... 

Usai berdoa selepas solat hajat, terlintas di mindaku,rupanya di sini juga satu tarbiyah buatku.

1) Adakah aku bersedia mengorbankan satu hari yang penting iaitu majlis graduasiku, untuk sesuatu yang lebih penting iaitu haji. Betulkah cintaku pada Allah mengatasi segalanya?

2) Betulkah tawakkal ku hanya pada Allah? Bukankah urusan visa, penerbangan dan semua urusan haji di dalam genggamanNya, bukan milik kerajaan Arab Saudi?

3) Tidakkah aku malu mahu menggelar diriku beriman, kalau aku tidak sedia diuji, dengan ujian yang sedikit cuma, iaitu sebilik dengan mertua? Pastinya dugaan lebih besar andai sebilik dengan orang yang tidak dikenali, yang rambutnya mungkin sama hitam, tapi hati pasti berbeza?

Kami terima tawaran itu. 

Aku memberitahu ayahku, aku ingin dia yang menerima gulungan ijazahku nanti andai aku sudah berangkat ke Tanah Suci. 

Kami bertawakkal berkenaan urusan visa dan sebagainya.

Aku berjanji dengan diriku, untuk menjadi seorang muslimah yang akan mencari redhaNya sentiasa, kemudian baru kuletakkan diriku sebagai isteri dan menantu. 

Sesungguhnya Allah Maha Penyayang. Lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya. Malah 70 kali lebih hebat lagi. Dan perhitungan dan pembalasan dariNya sangat pantas.

Dalam masa beberapa hari, kami mendapat tarikh penerbangan kami iaitu pada 7 Oktober, dan tarikh graduasiku adalah pada 1 Oktober.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! 

Allah izinkan untuk aku dapat kedua-duanya. Terngiang di telinga dan minda, ayat yang berulang kali diturunkan di dalam surah Ar-Rahman...

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai manusia dan jin)?"

TIADA Ya Allah.. TIADA yang dapat dan mahu aku dustakan.... 

Alhamdulillah atas kasih sayangMu ini Ya Rabb.... 



Alhamdulillah majlis graduasi berjalan lancar... 
Selesai majlis, "countdown" yang lebih besar menanti... Hari kami akan terbang menuju Allah... 

Bersambung....