Enam hari sebelum penerbangan....
Beg-beg hampir siap kukemas...
Senarai barang-barang dan pakaian yang harus dibawa kubelek berulang-ulang kali, dan kutanda yang mana sudah dimasukkan ke dalam beg besar dan kecil...
Berdebar, gembira, teruja, terharu, sedih, sayu silih berganti.. umpama sebuah CD filem rosak yang dimainkan di DVD player...
Berdebar dan berdoa semua urusan dipermudahkan Allah..
Gembira hari yang dinanti bakal tiba...
Teruja ingin melihat Baitullah dengan kedua-dua mata...
Sedih mengenangkan bagaimana bakal ditinggal anak-anak tercinta...
Sayu mengenangkan kasih sayang Allah yang sudi menerima seorang hamba yang berdosa...
7 Oktober 2013...
Kami bangun seawal jam 4.30 pagi... Kami bersujud bertaubat padaNya...
Sepersalinan baju ihram putihku siap tergantung...
Sepasang ihram suci menanti untuk dililit di tubuh suamiku..
Sayup-sayup kedengaran ibuku menyiapkan sarapan buatku di dapur...
Jam 9 pagi, beg diturunkan. Aku yang sedang uzur, hanya dapat mandi sunat ihram, tetapi tidak dapat menunaikan solat sunai ihram bersama suamiku.
Abang-abangku sedia menanti untuk membawa kami ke KLIA.
Saat suamiku bersalaman dengan anak-anak, sempat anak sulung kami, Fatimah bertanya, "kenapa Abi nak pergi Mekah pakai tuala?". Lucu juga... anak-anak yang masih belum mengerti, hati yang murni, memandang dunia seadanya.
Hakikatnya, haji itu satu kepulangan. Kepulangan kepada fitrah. Dua helai kain putih yang tidak berlabel, menanggalkan segala pangkat yang disandang, menghilangkan berbezaan kaum dan bangsa yang dipandang. Kain putih ini bakal menjadi saksi, seorang hamba yang datang dari jauh kepada Tuhannya, membawa dosa yang banyak, amalan yang sedikit, dan mengharapkan HANYA pada Tuhannya. Mengharapkan pengampunan, mengharapkan agar dibuang segala sifat mazmumah dalam diri, mengharapkan dianugerahkan syurga yang hakiki.
Abangku Abdul Razak melaungkan azan saat kami ingin melangkah ke luar halaman rumah. Aku menyeka airmata, tidak mahu anak-anakku melihat Ummi pergi menghadap Allah dengan sedih hati. Selesai azan, tiba-tiba datang Umar, anak lelaki kami yang berusia empat tahun, berlari ke arahku. Aku menahan nafas, " Ya Allah, kuatkan aku!" . Rupanya dia hanya mahu bersalam sekali lagi, dan saat kereta beredar, dia melambai-lambai seolah-olah kami mahu pergi bekerja. Saat rumahku hilang dari sudut pandangan, aku menghela nafas lega. Alhamdulillah, kutinggal mereka dalam keadaan tenang.
Sepanjang perjalanan ke KLIA, mulutku tidak berhenti berzikir, "La haulawalaa quwwata illa billah"... Tiada kekuatan kecuali kekuatan dari Allah. Tiada outrider polis seperti jemaah haji dari Kelana Jaya, tiada yang istimewa, kecuali dua buah kereta yang membawa ahli keluargaku. Alhamdulillah aku bersyukur kerana perjalanan itu menyedarkanku, kami tidak perlu outrider, kerana perjalanan kami diiringi para malaikat... Mungkin Allah mahu tanamkan perasaan rendah diri dalam diri kami, maka kami tidak mendapat layanan istimewa seperti jemaah haji lain.
Sampai di KLIA, kami disambut oleh deretan kereta polis, pengiring-pengiring bapa mertuaku yang merupakan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia. Alhamdulillah, dari tiba di KLIA, urusan bagasi kami diuruskan oleh pegawai-pegawai polis dan Tabung Haji Travel.
Sempat kami ditemuramah oleh wartawan dari TV1 (RTM) yang membuat liputan tentang Haji Muda. Katanya bakal ditayangkan semasa Hari Raya Haji. Aku ditanya, apa cabaran paling besar bagiku, untuk menunaikan haji. Jawapanku, ternyata tatkala rumah sudah kutinggalkan, yang masih bermain di mata adalah anak-anakku yang masih kecil. Tetapi inilah jihad bagi seorang wanita. Manakan ada jihad tanpa pengorbanan. Yang pasti aku bersyukur kedua-dua ibu bapaku masih punya kudrat untuk membantuku menjaga ketiga-tiga anak-anakku. Alhamdulillah Ya Rabb..
Selesai check-in, kami ke Bilik Khas. Alhamdulillah waktu menunggu yang sangat selesa. Terasa gelombang kasih sayang yang tidak berpenghujung tika di kelilingi keluarga tercinta. Melihat ruang yang luas, teringat bagus juga kalau kubawa anak-anak ke sini, namun cepat-cepat kupadamkan anganku, kerana kumahu fokus 100 persen pada ibadah. Pastinya kalau Fatimah, Wardina dan Umar turut serta, aku sibuk melayan mereka, terlalai dari mengingati Allah yang menjadi Tuan Rumah perjalanan kami ini.
Setengah jam sebelum boarding, rakan kongsi dan sahabat-sahabatku menelefon, katanya mereka sudah sampai ke KLIA! Subhanallah, satu kejutan yang sangat tidak kusangka. Antara yang hadir adalah Hj Azlan Deraman dan Hjh Siti Rohana sendiri. Ternyata satu nilai persahabatan yang amat luar biasa.
Tepat jam 3.30 petang, kami mengatur langkah ke Balai Berlepas. Doa dibacakan oleh salah seorang pegawai Badan Dakwah Pasukan Polis Seremban. Suasana hening menyelubungi segenap ruang.
Dengan tenang kami melangkah keluar. Alhamdulillah keluargaku turut sama ke Pintu pelepasan kerana mendapat pas khas.
Bacaan doa sebelum bergerak ke Balai Berlepas |
Saat bersalaman dengan Ibu Bapaku adalah saat yang tidak dapat kulupakan. Aku tahu aku mungkin tidak bertemu lagi dengan mereka. Aku tinggalkan anak-anakku yang masih kecil, di dalam jagaan ibuku yang sudah lanjut usia. Tawakkal pada Allah, pasti Dia yang akan memelihara mereka. Kupohon ampun dan maaf dari orang tuaku, kupohon dihalalkan segala makan minumku dari saat aku bernafas di dalam kandungan ibuku hingga ke saat itu.
Sayup mereka melambai, hingga kami masuk ke dalam. Doa perjalanan kulafaz, semoga Allah merahmati perjalanan sejauh 7000km ini.
Penerbangan komersial MH150 membelah awan, meniti angkasa membawa hampir 100 orang jemaah haji, bersama penumpang-penumpang komersial yang lain.
Saat tiba di Qarnul Manazil, matahari sudah bertukar merah di ufuk barat. Selesai sahaja Kapten mengumumkan inilah tempat untuk berniat haji atau umrah (bagi yang menunaikan haji tamattuk), aku melafazkan niat.
Bercucuran airmata tatkala selesai membacakan niat dan melafazkan talbiah buat pertama kali.
Satu lafaz, yang jua merupakan satu ikrar kepada Pencipta kita...
Satu lafaz di mana apabila dibacakan, seluruh makhluk Allah yang berada di sekeliling kita turut bertalbiah...
Lafaz suci, yang hanya boleh dilafazkan oleh mereka yang telah melucutkan segala pakaian keagungan mereka, dan telah berjanji setia dengan Rabbnya, bahawa mereka sedang dalam perjalanan menujuNya, semata-mata untuk mengabdikan diri padaNya, semata-mata untuk ibadah, bukan untuk melancong, berniaga, atau untuk menempah nama.
Bermulalah mujahadahku menjaga diri dari 13 larangan ihram selama 9 hari, sehingga aku melontar Jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah kelak. Secara rasminya, kami sekarang adalah tetamu Yang Maha Agung, iaitu tetamu Allah.... Andai kami meninggal dunia, in shaa Allah syahid di jalanNya.
Sekali lagi hadis ini datang dalam fikiranku:
Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.
[Sahih Muslim – no: 2675]
[Sahih Muslim – no: 2675]
Aku membayangkan, dan mengharapkan, sebagaimana lajunya pesawat yang membawa kami, seribu kali lebih laju Allah mendekati kami.
Dalam genangan airmata, aku membayangkan, kapalterbang ini bukan lagi membelah awan, tetapi terbang di celah-celah sayap para malaikat...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment