Thursday 20 March 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 15): Menziarahi Kekasih Allah di pemberi syafaat

27 Oktober 2013

Bas meluncur laju menuju Kota Madinah. Mentari kian rapat ke ufuk barat, memberikan suatu pemandangan padang pasir yang sangat indah. Kami berhenti di sebuah perhentian untuk solat Asar, dan kemudian berhenti sekali lagi menjelang Maghrib untuk makan malam dan solat jamak Maghrib dan Isyak. 
Perhentian pertama kami, "check out" point dari Mekah, di bawah kelolaan kerajaan Arab Saudi

Kerajaan Arab Saudi memang terkenal dengan sifat pemurah. Di sepanjang jalan kami dibekalkan dengan snek berupa jus, buah, kek dan roti.
Perhentian untuk solat Maghrib dan Isyak

Menjamu selera di Tajaz

Alhamdulillah saya dan suami memang peminat nasi Arab, jadi memang berselera bila makan


Wajah Kaabah masih terbayang di mata, apatah lagi tatkala kegelapan menyelubungi kiri dan kanan kami. Tiada lagi pemandangan indah, tiada lagi ladang unta yang kelihatan, hanya sekali sekala berselisih kenderaan lain di seberang jalan. 

Perjalanan kami yang mengambil masa hampir 7 jam berakhir tatkala satu kawasan bercahaya kelihatan di tengah padang pasir. Subhanallah tidak hairanlah kota Madinah di gelar kota Munawwarah iaitu bercahaya. Dari jauh sudah kelihatan tiang-tiang Masjid Nabawi. Kami berhenti seketika untuk melapor diri kepada pihak Muassasah kerajaan Arab Saudi. Setiap seorang diperiksa bagi memastikan pasport dan pemiliknya bertepatan. 


Check point Muassasah di Madinah

Setibanya kami di Hotel Madinah Movenpick, jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Sekumpulan petugas Tabung Haji sedia menyambut kami, dengan senyuman dan salam yang hangat. Alhamdulillah bilik hotel kami sangat selesa, dan dapatlah aku tidur di sisi suamiku, selepas lebih 2 minggu tidur berjauhan. 





Dewan makan juga amat selesa, dan makanan yang dimasak oleh chef yang diimport khas dari Malaysia, sentiasa membuka selera kami.



Apa yang lebih mengujakanku adalah jarak hotel kami dengan Masjid Nabawi yang amat dekat. Malah kami boleh melihat masjid dari jendela bilik kami. Kami dimaklumkan bahawa akan dibawa untuk ziarah dalaman Masjib Nabawi jam 7.30 pagi esok. 

Subuh itu aku hanya tinggal di bilik, keletihan dari perjalanan yang jauh kelmarin. Jam 7.30pagi, seusai sarapan pagi, kami di bawa mengelilingi Masjid seperti yang dijanjikan. 

Masjidil Nabawi yang kelihatan dari jendela kamar kami

Suasana sibuk "pasar pagi" di kaki lima hotel, berhadapan Masjid Nabawi. Kuambil gambar ini dari bilik hotel kami

Subhanallah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan Cuaca Madinah yang dingin, angin yang bertiup lembut, terasa ingin kuberlari ke arah kubah hijau yang dibawahnya disemadikan insan agung sepanjang zaman iaitu Rasulullah Sollallahu Alaihiwasalam bersama Saidina Abu Bakar AS dan Saidina Umar AS. 

Ustaz menunjukkan Babus Salam iaitu pintu bagi jemaah lelaki, dan akhirnya kami sampai di hadapan kubah hijau. Ustaz mengetuai kami untuk berdoa menghadap kiblat, selepas memberikan salam buat Rasulullah dan dua sahabat, memohon agar diberikan syafaat pada masa dan ketika tiada seorang pun mampu memberi bantuan, kecuali Baginda, iaitu pada hari kiamat.

Ibu mertuaku di hadapan Babussalam

Walaupun baru 3 tahun lalu kami tiba di sini, apabila berada begitu hampir dengan jasad Rasulullah, rindu semakin menyala-nyala untuk menatap wajah suci Baginda. Sempat kusampaikan salam teman-temanku kepada Rasullah SAW, dan kudoakan agar semua sahabatku akan dapat menunaikan haji secepat mungkin. 


Di hadapan kubah hijau, di mana bersemadi Rasulullah SAW dan 2 sahabat, Saidina Abu Bakar AS dan Saidina Umar AS
Suasana hening di perkarangan Masjid Nabawi
Kami meneruskan perjalanan ke perkuburan Baqi', dan memberikan salam kepada para Syuhada' dan para sahabat yang telah dimaqamkan di sana. Sesungguhnya mereka telah mendahului kita, dan kita pasti menyusul. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang dikurniakan syurga Allah in shaa Allah. 

Dari Baqi', jemaah lelaki dan wanita berpisah. Jemaah lelaki di bawa menuju Raudhah iaitu Taman Syurga yang terletak antara rumah Rasulullah dan mimbar Baginda, melalui pintu Babussalam, manakala jemaah wanita di bawa ke pintu Nisaa' iaitu pintu wanita. Aku yang masih belum suci, pulang ke hotel sendirian, selepas kutitip doa melalui ibu mertuaku.

Pintu Nisaa' untuk jemaah wanita

Jadual harian kami di Madinah tidak lain adalah untuk mengejar 40 waktu solat berjemaah di Masjid Nabawi, yang dijanjikan ganjaran syurga buat yang mampu melakukannya (Al-hadith). Malah solat di dalam Masjid Nabawi diberikan ganjaran 1000 kali lebih, berbanding di tempat-tempat lain, kecuali Masjidil Aqsa (500 kali) dan Masjidil Haram (100,000 kali) . Aku yang masih haid, redha dengan ketentuanNya , dan cuba sedaya mungkin untuk tetap berjalan ke masjid dan duduk di perkarangan masjid setiap waktu solat, sambil membaca tafsir Al-Quran. Semasa di Mekah mungkin kerana terlalu sibuk membaca, tiada masa untuk membaca tafsir ayat-ayat suci, maka aku manfaatkan waktu di Madinah untuk melakukannya, seperti yang dicadangkan oleh Professor Kamil Ibrahim, pengarang buku Travelog Haji, Mengubah Sempadan Iman. 

Suasana di perkarangan masjid pada waktu Zuhur

Sebaik-baiknya adalah solat di DALAM masjid bagi mendapatkan fadhilat 1000 kali ganjaran. Mungkin ada yang berbeza pendapat AllahuAlam

Mendung

Berlari-lari anak jemaah wanita yang ingin berdoa tatkala hujan turun di bumi Madinah, menandakan musim sejuk akan bermula
Suasana Senja di Masjid Nabawi

Tiga hari di Madinah, kami dijadualkan untuk melakukan ziarah luar, iaitu menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Madinah. In shaa Allah akan saya kongsikan dalam entri seterusnya. 

Bersambung


No comments:

Post a Comment