Sunday 2 March 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 14) : Hari-hari terakhir di Mekah

Alhamdulillah selesai menunaikan semua rukun dan wajib haji, kami masih ada 8 hari untuk berada di Mekah. Kami habiskan sisa-sisa hari di Tanah Suci ini dengan memperbanyakkan beribadah di Masjidil Haram. Alhamdulillah jua dapat kami melaksanakan ibadah umrah beberapa kali, termasuk sekali kulakukan untuk abangku yang tersayang, Abdul Razak Bin Mohd Abdullah. Memang beliau masih ada, cuma belum berpeluang untuk ke Tanah Suci lagi, namun Ustaz Hasnil menggalakkan melaksanakan badal umrah kerana ganjarannya adalah 7 kali ganda umrah sunat yang dilakukan untuk diri sendiri.

Penanda di Masjid Aisyah atau Masjid Tana'im

Suasana sibuk di hadapan Masjid Tana'im, yang terletak 7km dari Mekah, menjadikannya tempat miqat Umrah yang terdekat

Suasana di kawasan ruang solat wanita

Hari demi hari, semakin banyak bas-bas ekspress yang bergerak meninggalkan kota Mekah bersama ribuan jemaah haji dari segenap pelusuk dunia. Ada yang terus pulang ke tanahair masing-masing, ada yang meneruskan ziarah ke Tanah Suci Madinah untuk menziarahi Rasulullah SAW. 


Setiap waktu solat, semakin kurang sesak jemaah yang menuju ke masjid. Jika sebelum hari wukuf, andai tiba di pekarangan masjid setengah jam sebelum azan Zuhr, bererti tidak ada peluang untuk bersolat di dalam masjid, namun lebih kurang seminggu selepas hari tasyrik, andai tiba di masjid tika azan berkumandang sekalipun, in shaa Allah ada peluang untuk meyelit di saf di tingkat satu atau dua.

Alhamdulillah aku berpeluang bertemu dengan salah seorang sahabatku dari United Kingdom, yang sudah hampir 8 tahun tidak bersua. Kami sama-sama mengembara ke Jordan selama dua bulan pada tahun 2001 untuk mempelajari Bahasa Arab, di bawah anjuran Federation of Student Islamic Society (FOSIS). Alhamdulillah di atas bumbung masjid, seusai solat Subuh kasih sayang kami bertaut kembali. Maha suci Allah yang mempertemukan kami semula, walau terpisah dek lautan dan benua. Sister Amina yang berketurunan Pakistan ini, datang menunaikan haji bersama ibu bapa dan adik-adik beliau. 

Bersama Sister Amina Chowdry dari United Kingdom

Jemaah haji pakej Aqiq turut diberikan peluang untuk menyertai ziarah luar di Mekah ini, yang mana ia termasuk bersiar-siar di Jabal Thur, di mana Rasulullah dan Saidina Abu Bakar bersembunyi selama 3 hari semasa peristiwa hijrah. Melihat betapa tinggi gunung itu, terasa sayu mengenangkan pengorbanan Rasulllah tercinta mendaki gunung berbatu itu, untuk menyebarkan ajaran Islam yang suci ke kota Madinah. 

Jabal Thur

Seterusnya kami ke Jabal Rahmah atau gunung kasih sayang yang terletak di Padang Arafah, iaitu tempat pertemuan Nabi Allah Adam AS dan isterinya Siti Hawa. Di sini dikatakan makbul untuk berdoa, terutamanya untuk kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga. Berada di sini bersama suami tercinta, dan kedua ibu bapanya yang menganggapku seperti anak sendiri, aku berdoa agar cinta dan kasih sayang kami ini kekal hingga ke syurga in shaa Allah. 

Jabal Rahmah


Kami meneruskan perjalanan ke Mina dan seterusnya ke Jakranah di mana para jemaah berpeluang untuk miqat dan menunaikan umrah sunat.

Masjid Jakranah


Selesai menunaikan tawaf umrah

Bergambar kenangan selepas selesai saie dan bercukur

Menghilangkan lapar dan dahaga di Restoran D'Saji (tingkat 3 Safwa Royal Orchid Hotel)


Teh tarik

Roti Telur yang lazat

Tumpang bangga melihat anak bangsa berjaya di luar negara. Restoran ini memang sentiasa penuh dengan jemaah Malaysia dan juga orang tempatan

Hari-hari terakhir aku di Kota Mekah ternyata sangat menyentuh hatiku. Tiap kali bertawaf, hatiku menangis, entah bila agaknya untuk aku berpeluang lagi ke Tanah Suci ini. Tiap kali kupandang Kaabah yang suci, hatiku mengimpikan untuk aku terus menetap di tanah kelahiran Rasulullah ini agar dapat aku berada di Masjidil Haram ini, yang menjanjikan ganjaran 100,000 kali berbanding tempat-tempat lain. 



Namun hari terakhir kami di Kota Suci Mekah tiba jua. Kami akan bergerak ke Madinah pada 27 Oktober 2013 iaitu hari Ahad. Kami dinasihatkan untuk menunaikan Tawaf Wida' iaitu tawaf selamat tinggal pada jam 10 pagi, agar kami dapat berlepas ke Madinah sebaik selepas Zuhr. 

Entah kenapa pagi tu kami berselisih pendapat semasa ingin melangkah ke dalam masjid. Suamiku mengajakku meletakkan kasut di luar, agar mudah untuk mengambilnya nanti. Aku pula berkeras ingin meletakkannya di dalam masjid, kerana kataku, "takut hilang". Ibu bapa mertuaku turut meletakkan kasut di rak kasut di luar masjid, berdekatan pintu Ajyad iaitu pintu 5. 

Kami berempat beriringan ke dataran Kaabah. Bapa dan ibu mertuaku berjalan berdua di hadapanku, suamiku berjalan di sisiku sambil memegang bahuku. Seiring langkah pertama di garisan Hajar Aswad, seiring itu jua airmataku gugur buat sekian kalinya. Sayu yang tidak terhingga, hingga kuteresak-esak sepanjang 5 pusingan tawaf. Basah buku doaku, hingga tercabut dari gegelung yang memegang buku itu. Suamiku sesekali mengerlingku, mungkin beliau rasa bersalah memarahiku kerana insiden kasut tadi, sedangkan aku bersedih kerana terpaksa berpisah dengan Rumah Allah yang suci ini. Umpama janji sepasang kekasih yang akan berpisah, tidak tahu bila akan bertemu lagi. 

Selesai tawaf, kami bersolat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim. Kerana kutahu kami tidak boleh berlengah-lengah dan memanjangkan doa selepas tawaf Wida', aku memilih untuk memanjangkan sujud terakhirku, sambil berdoa, " Ya Allah janganlah kau jadikan ini kunjunganku yang terakhir. Andai ia yang terakhir, maka Kau gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik lagi iaitu SYURGA". 

Saat kami ingin melangkah keluar masjid, kebanyakan pintu sudah ditutup. Jam menunjukkan hampir jam 12 tengahari, bererti waktu Zuhr hampir tiba. Suamiku ditolak oleh tentera penjaga pintu, memarahinya kerana ingin cuba keluar melalui pintu Safa. Aku segera membentuk ayat dalam bahasa Arab, dengan ilmuku yang secebis, aku cuba menerangkan bahawa kami baru sahaja selesai tawaf Wida', dan ingin segera kembali ke hotel. Alhamdulillah mujur beliau faham & membenarkan kami untuk keluar.

Masalah baru timbul, apabila kami sudah keluar, mustahil untuk masuk semula untuk mengambil kasutku! Patutlah suamiku mengajak meletakkan kasut di luar tadi! Sudahnya, aku terpaksa pulang ke hotel berkaki ayam, sambil memohon maaf pada suamiku. Suamiku yang amat penyayang, berkata, " bukan sebab Abang, Allah tak nak sayang "attach" sangat dengan kasut Crocs sayang tu, sebab tu Allah nak dia tinggal dalam Masjidil Haram". Aku pun akur, tambahan pula kasut itu sudah ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan sebagainya, pasti banyak debu tanah yang melekat padanya. Susah pula nanti perlu kubersihkan sebelum meninggalkan kota Mekah.

Dalam perjalanan pulang, suamiku membelikanku sepasang selipar. Katanya, tidak mengapa, tidak membatalkan Tawaf Wida' tadi kerana ini adalah sebahagian keperluan perjalanan. 

Setibanya kami di hotel, aku datang haid! Ya Allah aku bersyukur kerana sepanjang musim haji dan sepanjang aku di Mekah ini, aku dalam keadaan suci, dan dapat beribadah sepuasnya. Ternyata betul pesanan sahabat-sahabatku, tak perlu makan pil untuk menghalang haid, hanya perlu berdoa kerana Allah Maha Kuasa berbanding segala macam pil yang ada. 

Bas kami bergerak tepat jam 2 petang dari Hotel Shohada. Selepas menjemput sebahagian jemaah haji pakej Zamrud di Royal Dar Eman, kami bergerak meninggalkan kota Mekah. Seluruh isi bas senyap sunyi melayan perasaan. Suamiku di sisi jua turut berdiam diri. Air mata kami gugur lagi, melihat menara jam yang berdekatan Masjidil Haram, semakin jauh dan semakin hilang dari pandangan. Entah bila akan dapat kami tiba di sini lagi. Andai ada wangnya sekalipun, pastinya lebih utama untuk menghantar sanak saudara yang belum lagi menunaikan ibadah haji dan umrah, berbanding untuk kami menunaikan ibadah ini yang sudah jatuh hukum sunat sahaja. 

Allahu Alam... Allah yang Maha Tahu. Semoga aroma haji dan aura ibadah yang tersemat di hati selama 24 hari kami di Mekah ini akan kekal abadi. 

Bas kami meluncur laju membelah mentari petang, menuju ke Kota Suci Madinah....

Gambar malam terakhir kami di kota suci Mekah
Bersambung...

No comments:

Post a Comment