Showing posts with label Tabung Haji Travels and Tours. Show all posts
Showing posts with label Tabung Haji Travels and Tours. Show all posts

Friday, 6 June 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 17) : Hari-hari terakhir di Madinah

Assalamualaikum Wrh Wbt

Bahagian ini agak lama tertangguh penulisannya, dek kerana kesibukan tugas harian, dan dugaan dari segi kesihatan yang berterusan dari bulan Februari hingga Mei tahun ini. Alhamdulillah kini Jun menjelang, dan hari ini, hanya 21 hari lagi sebelum bulan Ramadhan yang mulia bertandang lagi. Rasa hati berbelah bagi, antara mengharap yang amat sangat agar usiaku dipanjangkan hingga ke bulan Ramadhan, bersulam dengan rasa malu dengan diri sendiri kerana amalan harian dan hafazan yang tidak seberapa, dan jua rasa sebak, kerana Ramadhan selalunya menandakan bakal berakhirnya kursus asas haji yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji buat bakal jemaah haji. 

Kita teruskan pengembaraan dalam siri travelog hajjah Draisyahafiz in shaa Allah..

*********************************************************

Tarikh penerbangan kami untuk pulang ke tanahair semakin hampir. 4 hari sebelum kami berangkat pulang, Alhamdulillah haidku selesai dan dapatlah aku menunaikan solat di dalam Masjid Nabawi. Dalam redha yang dipujuk, ada sekelumit rasa sedih kerana aku tidak dapat menunaikan 40 waktu solat secara berjemaah di dalam Masjid Nabawi. Mungkin ada hikmahnya juga kebanyakan jemaah haji Malaysia adalah di kalangan warga emas, yang pastinya sudah menopause dan tidak diganggu oleh permasalahan haid. Namun apabila difikirkan lagi, mujur juga aku dapat datang menunaikan fardhu haji pada usia muda, tenaga pun masih kuat Alhamdulillah. Mungkin warga emas tidak dibayangi haid, namun kekuatan fizikal mereka pasti terbatas. Ibu mertuaku sendiri setibanya di Madinah tempoh hari, demam hingga tidak dapat menunaikan solat di masjid untuk beberapa waktu. Ya Allah, betapa aku ini banyak keluh kesahnya, seperti yang Allah sebutkan dalam Al-Quran. Ampuniku Ya Allah.

Setiap waktu solat, kami sekeluarga berusaha agar sampai ke masjid sejam lebih awal, agar dapat bersolat di dalam masjid. Indahnya ukiran dan senibina Masjid Nabawi,ku kira memang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana masjid di dunia. Ia banyak dipengaruhi senibina Turki, yang dibawa semasa khilafah Turki Uthmaniyah masih memerintah dunia 100 tahun yang lalu. 

Ada beberapa kubah yang boleh digerakkan dan dibuka pada waktu malam, membolehkan jemaah haji menikmati hembusan angin malam yang dingin semasa beribadah. 




Waktu melawat Raudhah iaitu taman syurga yang terletak di antara rumah dan mimbar Rasulullah SAW, bagi jemaah wanita adalah terhad kepada selepas solat subuh, selepas solat Zuhr, dan selepas solat Isyak hingga jam 11 malam. Jemaah lelaki bertuah kerana Raudhah terbuka 24 jam bagi mereka. Namun oleh kerana sudah 6 hari aku tidak dapat menjejakkan kaki ke Raudhah, kuusahakan agar dapat ke sini setiap hari. 

Jemaah haji dibahagikan mengikut kawasan. Malaysia, Indonesia dan Brunei di gelar "ibu-ibu" oleh petugas wanita di Masjid Nabawi, dikumpulkan dengan satu bendera "Bahasa Melayu". Kami bergilir-gilir masuk dengan kumpulan jemaah dari negara-negara Arab, Turki, Pakistan dan Iran. Ini bagi mengelakkan kita yang bersaiz kecil berbanding saudara-saudara negara lain, tertolak dan dihimpit oleh bangsa-bangsa lain. Terdapat beberapa check-point di mana kami harus berhenti, dan selalu perjalanan ke Raudhah mengambil masa 1-2 jam. 


Bersama jemaah Indonesia, menunggu untuk masuk ke Raudhah selepas subuh

Check point terakhir sebelum melangkah masuk ke Raudhah

Jemaah "Bahasa Melayu" yang menanti dengan sabar


Apakah amalan yang sunat dijalankan di Raudhah? Memberi salam kepada Rasulullah Solallahu Alaihiwassalam dan 2 sahabat Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab, dan seterusnya bersolat dua rakaat. Tidak ada hadis yang mengatakan berdoa di Raudhah ini lebih mustajab berbanding di tempat lain, hanya Rasulullah menyatakan bahawa ia adalah taman syurga, namun menjadi kebiasaan untuk jemaah berdoa di tempat ini. Kebiasaannya aku akan bersolat taubat dan kemudian solat hajat memohon kebahagiaan dunia dan akhirat buat kami sekeluarga, teman-teman dan kaum muslimin dan muslimat. Tidak terdaya untukku berdoa satu persatu buat para sahabat, ada kalanya tatkala bersujud, ada yang melangkah kepalaku, dek kerana sesak dan padat di kawasan Raudhah yang sempit itu. Apa yang termampu kulakukan adalah untuk berdoa agar semua doa mereka yang baik-baik dimakbulkanNya, walau di mana mereka berada. Tidak lupa doaku buat saudara kita di Syria, Mesir, Palestin, Rohingya, Malaysia dan di mana jua. 


Karpet hijau yang menandakan anda berada di kawasan Raudhah

Laluan keluar bagi jemaah wanita

Pemandangan kubah hijau dari dalam Masjid Nabawi. Kawasan ini kebiasaannya adalah untuk jemaah lelaki

Suamiku di kawasan yang sama, pada waktu jemaah wanita tidak dibenarkan masuk ke kawasan ini

Selain solat lima waktu di Masjid Nabawi, setiap hari selepas Asar, aku dan suamiku akan berjalan-jalan di sekitar kubah hijau yang terletak di atas maqam Rasulullah, sambil membaca ma'thurat bersama. Cuba kami hidupkan bayangan, bagaimana rasanya andai ketika ini Rasulullah masih hidup, berjalan bersama para sahabat menuju ke masjid, bersama laungan azan yang merdu di balik sinaran mentari senja. Mungkinkan udara ini jua yang dihirup Baginda 1400 tahun yang lalu? Mungkinkah ada kawasan tanah yang dipijak kakiku, jua pernah dipijak oleh kaki mulia Baginda? Aduhai, semakin kufikirkan, semakin sebak hati dan perasaan ini. Entah bila akan dapat ke sini lagi, kerana selepas umrah dan haji yang wajib, lebih utama untuk wang kami dibelanjakan ke jalan Allah, fi sabilillah, berbanding ke Tanah Suci berulang-ulang kali.


Tiang inilah yang selalu menjadi titik pertemuanku dan suamiku. Gambar ini diambil oleh suamiku tanpa aku sedari, aku hanyut dalam anganan ingin bertemu dengan Rasulullah SAW
Suatu senja di Masjid Nabawi

Hampir sebulan tinggal sebilik dengan kedua mertuaku, ada ketikanya kami suami isteri ingin bersendirian. Kami menyewa sebuah bilik di Hotel Elaf Taiba di sebelah hotel kami, untuk satu malam "berbulan madu" di Kota Madinah. Perkhidmatan "Bilik Rahmah" iaitu bilik untuk pasangan suami isteri bersama tidak disediakan di Madinah, tidak seperti di Mekah tempoh hari. Ustaz dan Ustazah pembimbing Tabung Haji sering mengingatkan, tidak salah untuk menunaikan nafkah batin suami isteri kerana ia adalah fitrah. Tambahan pula Pakej Aqiq yang kami ambil ini hampir semua adalah bilik bertiga atau berempat mengikut jantina, maka suami isteri tidak tinggal bersama.  Atas dasar inilah pihak Tabung Haji menyediakan Bilik Rahmah itu, yang mana permohonan untuk menggunakannya boleh dimajukan kepada Ustaz atau Ustazah pembimbing Tabung Haji. 


Hari keberangkatan pulang kami tiba jua. Entah kenapa semenjak beg pakaian kami dikemaskan, wajah anak-anak kami Fatimah, Safiah dan Umar mula bermain-main di mata, sedangkan 32 hari sebelumnya amat jarang kami teringatkan mereka. Namun kugenggam erat-erat pesanan Professor Haji Kamil dalam bukunya, "jangan terlalu gembira ingin meninggalkan Tanah Suci". Pada mulanya aku tertanya-tanya, adakah jemaah yang sebegitu? Sewaktu menunggu bas kami sampai, di ruang lobi, soalanku terjawab. Kebanyakan jemaah mula bersembang tentang perancangan apa yang mereka akan buat di Malaysia nanti. Ada yang nak makan makanan Malaysia, berbincang siapa yang akan menjemput mereka di Lapangan Terbang dan sebagainya. Padaku semua itu mungkin tidak mengapa. Cuma apa yang kukesalkan, ada yang berkata padaku, " Aisyah nanti balik Malaysia keep in touch tau. Tapi nanti jangan tak kenal pula Auntie, Auntie kat Malaysia tak ada tutup-tutup macam ni. Tengok gambar Auntie ni, selalu Auntie macam ni lah, " sambil menunjukkan gambar tidak bertudung. Aku hanya mampu tersenyum, dan berkata, "Kalau Auntie terus pakai tudung, lagi cantik", dan cepat-cepat aku beredar dari situ. Ampunkan kami Ya Allah.... 

Di luar hotel, para petugas Tabung Haji berkumpul untuk mengucapkan selamat jalan kepada kami. Satu demi satu ustazah kusalam dan kucium pipi mereka. Terlalu banyak tunjuk ajar yang mereka telah curahkan, dan tidak terbalas segala jasa mereka dengan satu ucapan "terima kasih". Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka. 


Tatkala bas kami mula bergerak meninggalkan kota Madinah, kulihat kubah hijau semakin jauh kami tinggalkan. Hanya sedu sedan mengisi ruang perjalanan kami. Hatiku bagai disiat-siat, belumpun kutinggalkan Rasulullah, hati sudah dilanda rindu bak omibak laut yang tidak berpenghujung. Semakin jauh kubah hijau itu, semakin kuat esak tangisku, hingga suamiku menggenggam tanganku. Tiada lafaz dari bibirnya, tapi hatinya berkata kepada hatiku, "jangan sedih sayang, in shaa Allah kita akan bertemu dengan Rasulullah di padang Mahsyar kelak". 

Solat pertamaku selepas meninggalkan Tanah Suci adalah di sebuah perhentian Rehat dan Rawat, dalam perjalanan kami dari Madinah ke Jeddah. 

Ya Rabb, 

Betapa berbezanya solat maghribku hari ini 

Jika semalam aku berwudhu' di hotel yg selesa, berdiri solat di dalam saf yang tersusun rapi, mendengar bacaan Imam yang lunak merdu, sambil ditiup hawa malam Madinah yang dingin... 

Hari ini aku bersolat di sebuah perhentian , serba sederhana, di tengah padang pasir entah di mana. Tatkala kulihat mega merah kian menghilang, pantas kuberwudhu' di tandas ringkas, dan kutunai jamak takdim maghrib & isyak. 

Bersolat sendirian di musolla empat persegi, nyata khusyukku berbeza. Aduh... Belum kutinggal bumi Saudi, kemabruran haji sudah teruji.... 

Namun kutahu, inilah mujahadahku hingga hujung nyawa. 

Ya Rabb, 
Berikanlah kekuatan untuk menjaga solatku, kerna kutahu itu yang pertama akan dihitung di Mahsyar kelak. Itulah sauh yang mempasak aku ke bumiMu, walau apa gelora dan badai melanda.. 

Ya Rahman, janganlah Kau hilangkan nikmat solat, umpama melihat kaabah di depan mata, atau merasa kehadiran jasad RasulMu sedepa cuma, atau tika bersujud di Raudhah, taman syurga.. 

Ya Rahim, berilah kami kekuatan untuk mempertahankan jihad tanpa senjata kami ini. Kurniakanlah kami haji mabrur, yang tiada balasan baginya kecuali syurga indahMu. 


Hentian R&R 
Kami bermalam di Jeddah, dan sempat berjalan-jalan di kota Jeddah pada pagi hari sebelum kami berangkat pulang. Alhamdulillah urusan penerbangan kami untuk pulang ke Malaysia berjalan lancar. Satu ketika, semasa menanti pesawat untuk "take-off", bekalan elektrik terputus seketika. Kami bergelap di dalam pesawat selama beberapa saat sahaja, namun cukup mencemaskan setiap penumpang. Kami terbayang andai ini berlaku di ruang udara, pastinya tiada peluang untuk kami terus bernafas. Mujur tiada sebarang masalah berlaku selepas itu. Kubisikkan di telinga suamiku, "ironis kan, kita semua baru selesai menunaikan haji, Allah janjikan semua dosa telah terampun semasa di Arafah, namun masih lagi takut mati." Suamiku hanya tersenyum, sambil mengangguk-angguk.  

Hotel tempat penginapan kami di Jeddah

Lapangan Terbang Jeddah




Alhamdulillah penerbangan kami pulang ke Malaysia berjalan lancar, dan kami tiba di KLIA, disambut oleh keluarga yang setia menanti. Anak-anak kami melompat mendapatkan kami, memeluk erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi. Subhanallah, satu perasaan yang amat indah. Kami bersujud syukur di KLIA, sebelum bertolak pulang




Dalam perjalanan pulang ke rumah, dikelilingi anak-anak yang kerinduan, barulah ibuku membuka cerita, Safiah beberapa kali demam rindukan Umminya, Umar selalu berdiri di hadapan pintu pada waktu petang menanti kami pulang, dan Fatimah menyembunyikan rindunya dengan banyak berdiam diri. 

Subhanallah 33 hari ternyata terlalu lama buat anak-anak kecil ini, berjauhan dari Ummi dan Abi tersayang. Namun Alhamdulillah kami kembali dengan selamat, dan pengorbanan yang sedikit itu, berbaloi dengan tertunainya rukun Islam yang kelima. 

Bagaimanakah nanti aku hendak berhadapan dengan cabaran pasca haji? Bagaimana mampu aku pertahankan haji mabrurku (in shaa Allah)?

Tiada kekuatan kecuali dengan kekuatan dariNya. Hanya kepadaNya aku memohon bantuan dan panduan agar kami dijauhkan dari keasyikan dunia, dan menggantungkan hati dan jiwa kami untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. In shaa Allah.. Doakan kami...

Monday, 28 April 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 16) : Ziarah Luar di Sekitar Kota Suci Madinah


Hari untuk ziarah luar tiba jua. Kami akan dibawa ke tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Madinah yang suci ini, yang mana di setiap pintu masuknya terdapat malaikat yang menjaganya. 

Perhentian pertama kami adalah Masjid Quba' iaitu masjid yang pertama dibina oleh Rasululah SAW dengan dibantu oleh para sahabat, semasa peristiwa hijrah Rasulullah., pada 8 Rabiulawal, tahun 1 Hijrah. Bayangkan betapa seorang kekasih Allah yang begitu tinggi darjatnya di sisi Allah, masih mengangkat batu-batuan sendiri untuk membina masjid ini, yang terletak di sebuah ladang kurma. Mulianya masjid ini, barangsiapa yang bersuci dari rumahnya dan kemudian datang untuk solat di sini sebanyak 2 rakaat, pahalanya adalah seperti menunaikan sekali ibadah umrah (hadith riwayat Ibnu Majah). Tidak hairanlah ada hadith yang meriwayatkan Rasulullah akan datang ke masjid ini setiap minggu, dari Masjid Nabawi, sama ada dengan menaiki unta atau berjalan kaki. Khabarnya masjid ini di"naiktaraf", kerana para sahabat mencemburui para mukminin yang berada di Mekah, yang saban hari dapat menunaikan umrah di Kaabah di Masjidil Haram. Indahnya Islam, tidak memberatkan umatnya, malah menambahkan kebaikan bagi mereka yang dambakan keredhaan dan kasih sayang Allah sentiasa



Pasar pagi di sekitar Masjid Quba



Pepohon kurma di sekitar kota Madinah

Dari Masjid Quba' , kami meneruskan perjalanan ke sebuah ladang kurma. Di sini banyak terdapat kurma yang berkualiti, dan di lorong-lorong kecil di celah-celah pepohon kurma, diletakkan beberapa banner berisi hadith-hadith berkaitan kurma. Yang paling menarik perhatianku adalah hadith berkaitan kurma ajwa iaitu kurma nabi, andai dimakan sebanyak 7 biji setiap hari, in shaa Allah dapat menghindar dari racun atau sihir (hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Terdapat banyak lagi hadith berkaitan kurma yang penuh keberkatan ini dan bolehlah baca di sini . 

Pohon kurma secara amnya memerlukan banyak air, dan kebiasaannya akan ada perigi yang dibina di dalam ladang tersebut, dan seiring dengan modenisasi zaman, tali-tali air kecil dibina di seluruh ladang bagi memenuhi keperluan pohon-pohon kurma di sini. 


Suamiku bersama Ustaz Nasib, ustaz pembimbing Tabung Haji


Antara perigi yang dibina di sini
Dari ladang kurma, kami meneruskan perjalanan ke Jabal Uhud, tempat di mana berlakunya perang Uhud. Sejarah menceritakan bahawa perang ini tercetus kerana dendam dan kemarahan kaum Quraisy Mekah yang tewas dalam peperangan Badar pada tahun sebelumnya. Kekuatan mereka seramai 3000 orang bersama kaum wanita mereka yang turut sama untuk memberikan sokongan dan semangat buat tentera mereka, bertempur dengan tentera kaum Muslimin di Jabal Uhud iaitu terletak 5 batu dari kota Madinah. 

Bukit Pemanah
Kumpulan pemanah yang terdiri daripada 50 orang mukminin telah diletakkan di Bukit Pemanah sebagai benteng pertahanan dan Rasulullah SAW telah berpesan agar mereka jangan meninggalkan bukit itu, sekalipun mereka melihat kaum Muslimin menang, atau kalah dan meninggal dunia dan syahid, hatta andai mereka melihat burung memakan mayat-mayat mereka sendiri (iaitu menandakan peperangan telah lama tamat dan mereka tewas). Begitu tegasnya pesanan Rasulullah SAW kepada mereka. Tetapi malangnya mereka di uji, tatkala mula melihat kaum musyrikin kalah dan meninggalkan harta mereka, sebahagian besar dari mereka turun dari bukit itu untuk mendapatkan harta tersebut, meninggalkan 14 orang yang masih setia. Akibatnya kaum musyrikin membuat serangan balas dan ingin membunuh Rasulullah SAW. Malah ada yang menyebarkan berita bahawa Rasulullah SAW telah meninggal dunia, bagi melemahkan semangat kaum muslimin yang lain. Ketika inilah para sahabat membuat satu kepungan, mengelilingi Rasulullah SAW, menjadikan tubuh badan mereka sebagai perisai bagi melindungi Rasulullah SAW, yang ketika itu sudah turut tercedera di muka,  bibir, pipi, kedua-dua lutut dan patah gigi Baginda akibat bertempur dengan kaum musyrikin. 

Melihat kesungguhan para sahabat, kaum musyrikin yang berang kerana tidak dapat membunuh Rasulullah, telah turun dan mencederakan anggota para sahabat yang telah syahid, termasuk Saidina Hamzah yang dipotong dan diambil jantungnya oleh Hindun. Seramai 70 orang muslimin syahid, termasuk seorang sahabat iaitu Hanzalah, yang baru sahaja bernikah, dan meninggalkan kamar pengantinnya untuk berjihad. Dikhabarkan ketika beliau ditemui, jenazahnya dalam keadaan basah, dan Rasulullah memberitahu para sahabat bahawa beliau dimandikan oleh para malaikat kerana ketika beliau datang ke medan perang, beliau dalam keadaan berjunub. 

Antara peristiwa yang tidka dapat dilupakan adalah apabila jenazah Saidina Hamzah hendak dialihkan untuk dibawa pulang ke Madinah dan disemadikan, gunung Uhud bergegar kerana tidak rela kekasihnya di bawa pergi, lantas semua jenazah para syuhada disemadikan di kaki gunung Uhud itu jua, atas arahan dari Rasulullah SAW. Semoga para syuhada semua berbahagia di syurga, dan semoga kita semua bakal menyusul mereka, in shaa Allah.

Jabal Uhud

Salah seorang pelajar Malaysia yang bertugas sebagai pemandu pelancong. Mudah-mudahan anakku Umar berpeluang belajar di Madinah kelak.




Perkuburan para syuhada Uhud. Asal tempatnya bukan di sini, tetapi berlaku banjir dan semua jenazah yang masih utuh terkeluar dari kubur, maka ia dipindahkan di kawasan ini.

Selesai melawat di Jabal Uhud, kami di bawa ke pasar kurma untuk membeli kurma segar pada harga yang amat berpatutan. Sempatlah kami membeli serba sedikit untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak. Lebih memudahkan para jemaah haji, apabila Pos Malaysia menyediakan perkhidmatan pos dari pasar kurma itu sendiri, dan juga di lobi hotel kami bagi memudahkan proses penghantaran. Sebelum Zuhr, kami bergerak pulang ke hotel untuk bersiap dan bersolat di Masjid Nabawi.



Thursday, 20 March 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 15): Menziarahi Kekasih Allah di pemberi syafaat

27 Oktober 2013

Bas meluncur laju menuju Kota Madinah. Mentari kian rapat ke ufuk barat, memberikan suatu pemandangan padang pasir yang sangat indah. Kami berhenti di sebuah perhentian untuk solat Asar, dan kemudian berhenti sekali lagi menjelang Maghrib untuk makan malam dan solat jamak Maghrib dan Isyak. 
Perhentian pertama kami, "check out" point dari Mekah, di bawah kelolaan kerajaan Arab Saudi

Kerajaan Arab Saudi memang terkenal dengan sifat pemurah. Di sepanjang jalan kami dibekalkan dengan snek berupa jus, buah, kek dan roti.
Perhentian untuk solat Maghrib dan Isyak

Menjamu selera di Tajaz

Alhamdulillah saya dan suami memang peminat nasi Arab, jadi memang berselera bila makan


Wajah Kaabah masih terbayang di mata, apatah lagi tatkala kegelapan menyelubungi kiri dan kanan kami. Tiada lagi pemandangan indah, tiada lagi ladang unta yang kelihatan, hanya sekali sekala berselisih kenderaan lain di seberang jalan. 

Perjalanan kami yang mengambil masa hampir 7 jam berakhir tatkala satu kawasan bercahaya kelihatan di tengah padang pasir. Subhanallah tidak hairanlah kota Madinah di gelar kota Munawwarah iaitu bercahaya. Dari jauh sudah kelihatan tiang-tiang Masjid Nabawi. Kami berhenti seketika untuk melapor diri kepada pihak Muassasah kerajaan Arab Saudi. Setiap seorang diperiksa bagi memastikan pasport dan pemiliknya bertepatan. 


Check point Muassasah di Madinah

Setibanya kami di Hotel Madinah Movenpick, jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Sekumpulan petugas Tabung Haji sedia menyambut kami, dengan senyuman dan salam yang hangat. Alhamdulillah bilik hotel kami sangat selesa, dan dapatlah aku tidur di sisi suamiku, selepas lebih 2 minggu tidur berjauhan. 





Dewan makan juga amat selesa, dan makanan yang dimasak oleh chef yang diimport khas dari Malaysia, sentiasa membuka selera kami.



Apa yang lebih mengujakanku adalah jarak hotel kami dengan Masjid Nabawi yang amat dekat. Malah kami boleh melihat masjid dari jendela bilik kami. Kami dimaklumkan bahawa akan dibawa untuk ziarah dalaman Masjib Nabawi jam 7.30 pagi esok. 

Subuh itu aku hanya tinggal di bilik, keletihan dari perjalanan yang jauh kelmarin. Jam 7.30pagi, seusai sarapan pagi, kami di bawa mengelilingi Masjid seperti yang dijanjikan. 

Masjidil Nabawi yang kelihatan dari jendela kamar kami

Suasana sibuk "pasar pagi" di kaki lima hotel, berhadapan Masjid Nabawi. Kuambil gambar ini dari bilik hotel kami

Subhanallah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan Cuaca Madinah yang dingin, angin yang bertiup lembut, terasa ingin kuberlari ke arah kubah hijau yang dibawahnya disemadikan insan agung sepanjang zaman iaitu Rasulullah Sollallahu Alaihiwasalam bersama Saidina Abu Bakar AS dan Saidina Umar AS. 

Ustaz menunjukkan Babus Salam iaitu pintu bagi jemaah lelaki, dan akhirnya kami sampai di hadapan kubah hijau. Ustaz mengetuai kami untuk berdoa menghadap kiblat, selepas memberikan salam buat Rasulullah dan dua sahabat, memohon agar diberikan syafaat pada masa dan ketika tiada seorang pun mampu memberi bantuan, kecuali Baginda, iaitu pada hari kiamat.

Ibu mertuaku di hadapan Babussalam

Walaupun baru 3 tahun lalu kami tiba di sini, apabila berada begitu hampir dengan jasad Rasulullah, rindu semakin menyala-nyala untuk menatap wajah suci Baginda. Sempat kusampaikan salam teman-temanku kepada Rasullah SAW, dan kudoakan agar semua sahabatku akan dapat menunaikan haji secepat mungkin. 


Di hadapan kubah hijau, di mana bersemadi Rasulullah SAW dan 2 sahabat, Saidina Abu Bakar AS dan Saidina Umar AS
Suasana hening di perkarangan Masjid Nabawi
Kami meneruskan perjalanan ke perkuburan Baqi', dan memberikan salam kepada para Syuhada' dan para sahabat yang telah dimaqamkan di sana. Sesungguhnya mereka telah mendahului kita, dan kita pasti menyusul. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang dikurniakan syurga Allah in shaa Allah. 

Dari Baqi', jemaah lelaki dan wanita berpisah. Jemaah lelaki di bawa menuju Raudhah iaitu Taman Syurga yang terletak antara rumah Rasulullah dan mimbar Baginda, melalui pintu Babussalam, manakala jemaah wanita di bawa ke pintu Nisaa' iaitu pintu wanita. Aku yang masih belum suci, pulang ke hotel sendirian, selepas kutitip doa melalui ibu mertuaku.

Pintu Nisaa' untuk jemaah wanita

Jadual harian kami di Madinah tidak lain adalah untuk mengejar 40 waktu solat berjemaah di Masjid Nabawi, yang dijanjikan ganjaran syurga buat yang mampu melakukannya (Al-hadith). Malah solat di dalam Masjid Nabawi diberikan ganjaran 1000 kali lebih, berbanding di tempat-tempat lain, kecuali Masjidil Aqsa (500 kali) dan Masjidil Haram (100,000 kali) . Aku yang masih haid, redha dengan ketentuanNya , dan cuba sedaya mungkin untuk tetap berjalan ke masjid dan duduk di perkarangan masjid setiap waktu solat, sambil membaca tafsir Al-Quran. Semasa di Mekah mungkin kerana terlalu sibuk membaca, tiada masa untuk membaca tafsir ayat-ayat suci, maka aku manfaatkan waktu di Madinah untuk melakukannya, seperti yang dicadangkan oleh Professor Kamil Ibrahim, pengarang buku Travelog Haji, Mengubah Sempadan Iman. 

Suasana di perkarangan masjid pada waktu Zuhur

Sebaik-baiknya adalah solat di DALAM masjid bagi mendapatkan fadhilat 1000 kali ganjaran. Mungkin ada yang berbeza pendapat AllahuAlam

Mendung

Berlari-lari anak jemaah wanita yang ingin berdoa tatkala hujan turun di bumi Madinah, menandakan musim sejuk akan bermula
Suasana Senja di Masjid Nabawi

Tiga hari di Madinah, kami dijadualkan untuk melakukan ziarah luar, iaitu menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Madinah. In shaa Allah akan saya kongsikan dalam entri seterusnya. 

Bersambung