Monday, 13 June 2022

Role reversal. Kenapa saya tak boleh jadi heroin kepada hero saya

 Role reversal.


Ayah adalah hero pertama anak perempuan.


Ayah adalah hero saya.


Masakan tidak, sejak kecil saya melihat gambar Ayah sebagai "body builder", Ayah sebagai juruterbang helikopter, sebagai perwira negara!


Ayah jugalah lelaki pertama mendukung saya, memujuk saya jika abang-abang membuli saya (biasalah, bukan namanya adik beradik kalau tak bergaduh), dan Ayah juga lelaki pertama mengajar saya apa itu "dating"


Saya ingat lagi dahulu Ayah masih bertugas di Kuala Lumpur, kami tinggal di Muar.


Hujung minggu, Ayah balik ke Muar, adalah waktu yang amat saya nantikan. Rindu sungguh nak memeluk susuk tubuh Ayah yang sasa.


Suatu hari, ketika saya berusia sekitar 5 tahun, Ayah kata Ayah nak hadiahkan saya sebuah anak patung beruang. 


"Teddy bear" saya yang baru!


Selama ini mainan saya adalah hadiah dari orang atau mainan abang-abang yang mereka berikan kepada saya.


Tetapi kali ini, saya akan dapat teddy bear baru!


Seawal pagi saya sudah bangun. Mandi, bersiap, berbedak.


Teruja sungguh pagi itu, sampai tak lalu nak bersarapan.


Mama mengusik saya, "Pergi cepat sangat, supermarket pun belum buka."


Tetapi saya degil, nak juga pergi awal pagi.


Ayah ketawa sahaja.


Tetapi ternyata, Mama memang betul.


Setibanya kami di Bandar Muar, pasaraya belum buka.


Maka tercongoklah kami dua beranak di hadapan pasaraya itu.


Tetapi tatkala saya terlihat pintu pasaraya itu terbuka, seakan saya mahu ajak Ayah terbang ke dalamnya.


Saya masuk ke dalam pasaraya itu dengan penuh ceria, naik ke tingkat atas, dan melihat anak-anak patung yang tersusun rapi.


Saya tanya Ayah, saya boleh pilih yang mana?


Ayah kata, "Yang mana-mana je Rita suka."


"Yeay!" saya bersorak gembira. 


Saya pilih teddy bear yang agak besar, berwarna kuning air dan hitam. Saya ingat lagi, ia memakai sebuah riben atau bow tie. Entah kenapa, saya namakan teddy bear itu Hisyam!


Melayu sangat kan.


Hari ini, 37 tahun kemudian, seawal 6.30 pagi saya mendapat pesanan dari Ayah. Ayah kata kakinya bengkak. Ayah bertanya adakah saya ada ramai pesakit di hospital. Bolehkah saya balik ke Muar sekejap jika Ayah masuk wad. 


Subhanallah, pastinya saya sangat sayang pesakit-pesakit saya, tetapi in shaa Allah saya boleh aturkan agar pesakit-pesakit saya akan dapat saya rawat kemudian. 


Pastinya saya perlu dahulukan Ayah, kerana di dunia ini saya hanya ada seorang Ayah. 


Selesai menemui pesakit-pesakit sesi pagi, saya bergegas balik ke Muar. 


Jika dahulu, saya yang ternanti-nanti Ayah pulang, kini Ayah pula yang ternanti-nanti saya pulang. Walaupun surat rujukan ke hospital sudah Ayah terima, beliau tetap mahu menunggu saya sampai, baru mahu ke hospital. 


Alhamdulillah, kini Ayah sedang dirawat oleh doktor, di wad kecemasan. Walaupun saya juga seorang doktor, keadaan Ayah memerlukan Ayah dirawat oleh seorang Pakar Perubatan Dalaman atau Internal Medicine Specialist.  


Walaupun Ayah hero saya, saya tak dapat menjadi heroin untuk membantu Ayah. Namun, saya dan adik beradik, pasti akan berusaha sedaya mungkin untuk memberikan apa yang Ayah pinta. 


Doakan hero saya ini, kembali sembuh ya in shaa Allah. 


Masih banyak kenangan manis yang ingin saya ukirkan dengan Ayah. Mungkin saya pula boleh belikan Ayah hadiah yang Ayah inginkan, di mana-mana kedai atau pasaraya yang Ayah idamkan.


#drazlindarita

#AnakAyah

#kisahkehidupanDrAzlindarita