Saturday 14 April 2018

Draisyahafiz bersama Warga Emas Intan Berlian ke Kuching, Sarawak

Kuching Waterfront

Kuching, Sarawak .

Seumur hidup saya 37 tahun ini, tak pernah lagi saya menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang ini. Alhamdulillah tahun ini Kursus Tahunan untuk Oftalmologi Kanak-kanak, diadakan di Hospital Umum Sarawak.

Apabila saya memberitahu Mama dan Ayah yang saya akan ke Kuching, mereka pun teruja nak ikut sekali kerana mereka pernah tinggal di sana pada tahun 1971 hingga 1973. Semasa itu Ayah masih bersama Angkatan Tentera Udara dan mereka baru mendirikan rumahtangga.

Alhamdulillah harga tiket penerbangan pun tidak terlalu mahal, sekitar RM600 pergi balik bersama bagasi. Tambah RM 120 seorang, untuk perkhidmatan kerusi roda.

Hari Rabu 11 April, kami mengambil penerbangan petang kerana saya masih bertugas pagi itu untuk menjalankann laser serta memeriksa bayi-bayi pramatang di hospital.

Selama ini saya sangka Kuching, Sarawak ini jauh, rupanya penerbangan hanyalah 1 jam 45 minit sahaja. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, saya terkagum. Ia sangat moden dan umpama KLIA kecil! Rekabentuk dan sistemnya persis di KLIA Sepang.

Alhamdulillah selepas dihantar ke pintu Balai Ketibaan oleh petugas-petugas Air Asia, kami menaiki Grab untuk ke tempat penginapan kami iaitu Hotel Riverside Majestic. Perjalanan sejauh 7km itu, mengambil masa lebih kurang 20 minit.

Kami sampai di bandar Kuching sekitar jam 8.30 malam, tetapi suasana sungguh lengang. Umpama sudah jam 11 malam di Kuala Lumpur. Pemandu Grab ketawa sahaja apabila saya mengutarakan kehairanan saya.

Sampai di hotel, kami terus berehat sahaja, kerana masih kenyang makan malam di dalam penerbangan.

Hari Khamis 12 April, saya ke Kursus Oftalmologi Pediatrik Tahunan di Hospital Umum Sarawak (HUS). Terletak tidak jauh dari pusat bandar, saya kira ini adalah antara hospital paling lama yang saya pernag kunjungi. Rekabentuknya mengingatkan saya dengan Hospital Seremban. Banyak pembangunan sedang dijalankan di hadapan hospital, hingga pintu masuknya hampir tidak kelihatan.

Auditorium HUS ini baru dibina, dan ia terletak bersebelahan dengan Unit Kecemasan. Alhamdulillah di samping dapat menimba ilmu dengan tajuk-tajuk yang sangat menarik, seronok dapat berjumpa sahabat-sahabat seangkatan dari seluruh Malaysia , terutamanya sahabat-sahabat alumni Sarjana Oftalmologi Universiti Malaya.


Bersama pakar-pakar Oftalmologi dari seluruh Malaysia


Sahabat dari UM semasa sarjana, Dr Fiona dari Hospital Selayang
Klinik Mata HUS


Semua hospital KKM ada hospimart kan hehe


Auditorium yang baru dan cantik

Di dalam auditorium 

Selesai berkursus, saya pulang ke hotel dengan menaiki Grab (RM5 sahaja), dan terus berjalan-jalan dengan Mama dan Ayah.

Perkara pertama yang harus dicuba, pastinya menaiki sampan untuk menyeberangi Sungai Sarawak di hadapan hotel kami. Sampan ini ada kalanya didayung, dan jika ramai penumpang, enjin akan digunakan. Tambangnya hanyalah RM1 seorang untuk satu hala.




Di dalam sampan


Jeti di Mira Cake House


Hotel berwarna biru itulah hotel kami iaitu Riverside Majestic


Biru sungguh langit di Kuching

Di seberang, kami ke Kampung Gersik untuk mencuba kek lapis. Antara yang terkenal di sini adalah Kek Lapis Dayang Salhah (belakang surau) dan Kek Lapis Mira Cake House. Dayang Salhah ada lebih banyak pilihan, jika beli RM100 akan mendapat satu kek lapis berharga RM10 percuma.

Pada saya, Kek Lapis Dayang Salhah lebih besar dan padat, dan Kek Lapis Mira Cake House lebih gebu. Kedua-duanya enak, terpulang kepada pilihan masing-masing. Dengan pembelian minima 6 jenis kek, akan mendapat pembungkusan di dalam kotak secara percuma. Di dalam peti sejuk, kek lapis ini tahan selama 2 minggu, tetapi jika dibekukan, ia tahan lebih lama sehingga berbulan-bulan!


Mama memilih kek di Kedai Kek Dayang Salhah


Boleh naik mabuk nak pilih kek di sini hahahahah


Swiss roll kena duduk dalam peti sejuk


Boleh cuba rasa , nak makan sampai kenyang pun boleh


Mencuba nasib menjadi model kek lapis
Terjumpa sahabat lama Dr Faizal di hadapan kedai Mira Cakehouse


Bersama Dr Shuaibah dari Likas, Dr Jakiah dari Hospital Umum Sarawak dan Dr Jamalia dari HKL, di kedai Mira Cakehouse

Selesai merasa kek lapis, kami kembali ke seberang untuk menikmati pemandangan waktu malam di Kuching Waterfront dan merasai makan malam di sini. Pemandangan yang indah, sungai yang agak bersih (tiada sampah sarap, hanya sesekali ada ranting kayu atau dahan yang hanyut) dan tiada bau hanyir seperti kebanyakan sungai lain, makan malam di Waterfront ini memang amat mendamaikan.

Makanannya tidak terlalu mahal, namun rasanya biasa-biasa sahaja bagi saya. Saya mencuba Nasi Goreng Ikan Terubuk. Enak juga, tetapi agak jenuh nak mengasingkan duri ikan yang banyak haha! Ikan terubuk itu agak masin, tetapi tidaklah masin seperti ikan masin. 


Senja nan indah


Riverside Majestic


Alhamdulillah 


Makan malam


Nasi Goreng Ikan Terubuk

Hari ke tiga kami di Kuching, saya mulakan hari dengan jogging di sekitar Kuching Waterfront. Malangnya baru 3km, hari sudah hujan jadi saya berlari balik ke hotel .

Hari ini, saya menyewa sebuah kereta kerana kasihan melihat Mama dan Ayah yang tidak larat mahu berjalan jauh. Saya google sahaja dan terjumpa dengan website ini, http://www.imancarrentalkuching.com/ dan saya terus hubungi pemiliknya. Harga untuk satu kereta Perodua Bezza, hanyalah RM140 sehari, dan kereta boleh dihantar sama ada ke hotel atau ke lapangan terbang.


Selepas berjogging di dalam hujan merentas jambatan


Cruise ini sekali sehari jam 5.30 petang, untuk melihat matahari terbenam (sunset), Harga tiket adalah RM65 seorang


Sarapan Laksa Sarawak di hotel


Mama Ayah makan buah je?

Hari ini , selepas sarapan pagi di hotel, kami mahu ke Kampung Budaya Sarawak yang terletak di pantai Damai, kira-kira 40minit perjalanan dari bandar Kuching. Walaupun agak jauh, sahabat-sahabat yang tinggal di Kuching sangat-sangat mencadangkan kami ke sana, maka kami pun mencuba pengalaman ini.

Bayaran untuk masuk adalah RM60 seorang, dan warga emas mendapat separuh harga! Cantik sungguh taman ini, dengan berlatar belakang Gunung Santubong yang diliputi awan. Terdapat 7 rumah yang dibina mengikut rumah asal kaum Iban, kaum Bidayuh, kaum Melanau, kaum Penan, kaum orang Ulu, bangsa Melayu dan bangsa Cina, di dalam kawasan seluas 17 ekar ini.


Pintu masuk Kampung Budaya Sarawak

Gunung Santubong 


Rumah Bidayuh


Ayah turun tangga yang dibuat dari batang kayu ditakuk


Orang Bidayuh menjual lepat pulut


Satu ruang ini adalah untuk satu keluarga





Tangga untuk naik ke stor


Baju dari kulit kayu

Suasana selepas hujan, menyebabkan jalan agak licin, jadi Mama dan Ayah hanya melawat rumah Bidayuh dan rumah Iban, sebelum kembali ke kawasan panggung atau theatre untuk pertunjukan kebudayaan.

Pertunjukan ini diadakan dua kali sehari iaitu jam 11.30 pagi dan 4 petang. Alhamdulillah pertunjukan yang penuh warna warni ini, amat bertenaga dan menghiburkan , terutamanya pertunjukan Orang Ulu menyumpit belon di atas pentas.


Tarian Ngajat (Iban)


Tarian Bidayuh


Tarian Melanau

Selesai menonton persembahan, kami minum seketika di cafe di sana (harga makanan dan minuman berpatutan dan ada banyak pilihan), dan seterusnya kami solat di surau yang disediakan. Suraunya luas, bersih dan amat selesa Alhamdulillah

Selepas solat, saya menyambung menjelajah ke seluruh taman ini, sementara Mama dan Ayah berehat di pintu masuk dan melihat-lihat cenderahati yang terdapat di sana.

Saya mengambil masa satu jam setengah untuk melihat semua rumah-rumah yang di sana. Amat unik dan menarik info-info yang disampaikan oleh petugas-petugas di setiap rumah.

Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan adalah dikejar monyet yang mahukan kerepek ubi, yang baru saya beli di Rumah Orang Ulu. Bergema jeritan saya dalam Kampung Budaya itu hahahahha. Mujur ada petugas yang datang membawa lastik tolong halaukan monyet-monyet itu. Tidak ada rezeki saya nak merasa kerepek ubi buatan Orang Ulu. Satu plastik penuh dibawa lari oleh monyet ke atas pokok.


Ruang tamu Rumah Panjang Iban


Pemandangan Rumah Panjang dari luar

Air terjun di Persada Alam


Ukiran hantu pada perisai 


Rumah Orang Ulu yang sangat tinggi


Lukisan "tree of life" di hadapan rumah "ketua kampung" rumah Orang Ulu


Belajar menggunakan sumpit di rumah Penan (3 peluru RM1 sahaja!)


Parang untuk dijual, hasil kraftangan Orang Ulu. Ada yang harganya mencecah RM700-800!

Rumah Melanau yang tinggi, di dalamnya ada 3 tingkat


Kuih orang Melanau ni ada persamaan dengan kuih Apom orang Jawa


Ini alat untuk menumbuk padi 


Rumah Melayu pun ada
Terasa seperti balik kampung untuk berhari raya 

Di bahagian dapur, ada makcik-makcik yang memasak kuih bahulu dan kuih kapit secara tradisional. Kuih muih itu boleh dibeli dan dimakan semasa masih panas. Best! 


Rumah Cina dengan alat mengisar beras untuk dijadikan tepung beras




10 ribu langkah!
Selesai mengelilingi Kampung Budaya Sarawak, kami berjalan-jalan sebentar di Pantai Damai yang terletak berhadapan dengan kampung ini. Bendera merah berkibar, bererti keadaan laut tidak sesuai untuk bermandi manda kerana ombak kuat.


Burung Enggang di Pantai Damai, tetapi struktur tugu ini tidak kuat jadi tidak dibenarkan berada terlalu dekat. Katanya ada risiko roboh jika ombak kuat


Pantai Damai. Mama kata mereka pernah berkelah di sini pada tahun 1970an


Ayah mencuba belimbing jeruk. Sesuai untuk orang yang berani mencuba. Saya awal-awal dah surrender tak mahu!  

Dari Kampung Budaya, kami pulang semula ke Kuching, dan berhenti untuk makan tengahari (pukul 4.30 petang!) di UTC Sarawak. Niat di hati mahu mencari umai. Rupanya tempat makan Top Spot di UTC ini buka jam 5 petang, tetapi malangnya kedai umai tutup! Oleh kerana kelaparan, kami memesan beberapa makanan laut termasuk ikan merah masak 3 rasa, telur dengan tiram (oyster omellete), sup sayur dan bebola ikan, serta sayur pucuk midin yang terkenal di sini. Jangkaan saya pastilah lebih kurang RM150 untuk jumlah bil, rupanya hanya RM90 lebih sahaja. Alhamdulillah . Sedap pula tu!


Gembira betul Mama nak makan! Haha! 


Kedai ni ada halal Jakim


Ikan-ikan segar






Air White Lady. Sedap juga, ada buah-buahan


Pucuk Midin, macam pucuk paku


Sup sayur dan bebola ikan


Ritual sebelum makan kita bergambar dulu hehe


Ikan Merah masak 3 rasa


Oyster Omellete sedap !


Jika nak berkunjung ke sini, kedai buka jam 5 petang  ia di tingkat 6 ya

Waktu malam, selepas berehat seketika, kami dibawa keluar makan malam pula oleh sahabat baik saya semasa Sarjana iaitu Dr Faizal. Beliau orang Negeri Sembilan, yang bertemu jodoh dengan orang Sarawak iaitu isterinya Dr Jakiah dari Mukah. Subhanallah murah betul rezeki kami, dijamu dengan makanan laut yang sangat enak dan bervariasi, dari udang dimasak dengan pucuk midin, hinggalah sotong yang dihidang di dalam buluh. Semoga Allah memurahkan rezeki Dr Faizal dan keluarga in shaa Allah


Menarik sungguh sotong berenang dalam buluh

Akrobatik ikan tu!


Sayur pucuk manis
Thanks Faizal & Jakiah belanja makan!

Hari terakhir di Kuching, kami bersiar-siar di sekitar bandar Kuching termasuk di tugu kucing, Jambatan Darul Hana & Bazaar Lama berhadapan dengan Waterfront yang banyak menjual cendera-cenderahati.


Tugu kucing yang "legend"




Wefie bersama pendayung sampan


Mama Ayah beli ikan terubuk, saya beli kek lapis


Di Jambatan Darul Hana


Latar belakang astana TYT Sarawak


Cayang Mama!


Membeli belah di Bazaar Lama


Deretan kedai di Bazaar Lama berhadapan Waterfront. Kalau membeli belah di sini, boleh menawar dan jika beli banyak, boleh dapat lebih banyak diskaun. Kebanyakan kedai boleh bayar dengan kad debit dan kredit jika pembelian lebih RM50

Alhamdulillah kami sempat merasai Mee Kolok di Warung Nusantara yang terletak dekat dengan hotel kami, sambil berjumpa dengan salah seorang anak murid saya di UiTM iaitu Dr Dahiyah, yang sekarang bertugas di Hospital Umum Sarawak.


Warung Nusantara di belakang Hotel Riverside


Harga yang berpatutan


Daging masak lada hitam 
Ayam Pangsun iaitu sup ayam bersama pucuk ubi




Khusyuknya hahah


Akhirnya dapat juga makan Mee Kolok yang agak manis ni. Meenya adalah seperti mee segera yang sudah direbus, dimasak dengan kicap manis haha! Mujur ambil Mee Kolok Special jadi dihidangkan dengan sup tulang. Dapatlah juga curah kuah 


Anak murid yang baik, post call pun sanggup datang jumpa cikgu.

Thanks Dahiyah for coming!

Kami bertolak ke Lapangan Terbang sekitar jam 2 petang (Alhamdulillah pihak hotel membenarkan check out lambat pada jam 2 petang), dan singgah di kawasan Lapangan Terbang TUDM yang merupakan tempat Ayah bertugas suatu masa dahulu.


See you again Kuching


Ini pas tempat letak kereta yang disediakan pihak hotel . Sangat memudahkan 


Servis terbaik dari porter. Inilah kereta yang kami sewa. Tersangatlah baru, baru 3 minggu . Harga RM140 sehari, kami ambil sehari setengah jadi RM210. Minyak sangat jimat, isi RM 40 luak satu "bar" sahaja. 

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Kuching sekali lagi memberikan kejutan kepada saya. Sudahlah bandarnya tenang, orangnya penyabar (saya memandu 60km/jam pun tidak pernah di hon!) , di dalam tandasnya pun ada kata-kata motivasi!



Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching




Kata-kata motivasi di dalam tandas!







See you again Kuching


Sempat posing sebelum masuk kapal terbang  Mentang-mentanglah orang pertama masuk heheh


Selamat boarding 

Subhanallah, Alhamdulillah bertuah rasanya saya mendapat peluang ke negeri yang indah ini. Tidak sabar rasanya ingin kembali, dengan membawa anak-anak pula lain kali in shaa Allah.

Terima kasih Kuching, hingga berjumpa lagi in shaa Allah !



Selamat sampai di KLIA2 disambut keluarga abang saya 

No comments:

Post a Comment