Monday 25 December 2023

Ibu mertua ku tak pernah suruh siang ikan


Ini ibu mertua saya. Orangnya memang cantik , bergaya, tapi apa yang membuat saya hormat pada beliau bukan status beliau sebagai isteri pegawai polis atau pangkat Datin. Tetapi mentaliti beliau yang sangat mantap. 


Semasa kami masih bertunang lagi, Ibu pernah beritahu kami berdua, 

1) “Aisyah jangan bayar bil di rumah , itu tanggungjawab suami”

2) “Hafiz kena sediakan pembantu rumah untuk Aisyah, Aisyah nanti bekerja”

3) “Hafiz jangan sampai Ibu nampak Aisyah cuci tandas. Itu bukan tugas seorang isteri”. 


Setelah kami bernikah, saya nak sambung belajar peringkat sarjana, Ibu dan arwah Abah yang menjadi penjamin. 


Saya nak exam, Ibu telefon beritahu “ kalau Aisyah nak study, Aisyah hantar je anak-anak ke rumah Ibu “. 


Bab makan, Ibu bukan sahaja baik kepada saya dengan tidak meletakkan expectation yang bukan-bukan, beliau telah melatih anaknya iaitu suami saya, menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab memberi makan anak isteri , dari peringkat beli barang dapur hinggalah bab tidak cerewet bab makan. 


Ada masa saya masak, banyak masa saya tak masak. Pergi balik kerja saya pun dah lebih 2 jam, tak ada masa nak masak. Sekarang kami ambil perkhidmatan mangkuk tingkat sahaja. 


Kalau balik ke rumah beliau, beliau tak pernah minta saya masuk dapur. Nak raya sahaja kita akan masak sama-sama. Saya masak lodeh , Ibu masak rendang . 


Bab siang ikan, tak pernah timbul. Kita beli saja di kedai yang ada perkhidmatan siang ikan. 


Mak Ayah saya memang insan paling saya sayang di dunia, tetapi saya bercita-cita mendidik anak-anak lelaki saya, sebagaimana ibu mertua saya mendidik suami saya. 


Bagi saya, ibu mertua saya lambang wanita yang lahir tahun 1950an tetapi berjaya memusnahkan budaya patriaki dalam keluarganya. 


Adakah ia menyebabkan saya tak hormat suami? 


In the contrary, saya jadi bukan sahaja hormat suami tetapi saya sayang ibu mertua saya dan suka balik rumah beliau. Malah kadang saya yang ajak suami balik rumah Ibu. 


Tahun 2023 dah nak berakhir. Kalau ada yang masih merasakan tempat wanita di dapur menyiang ikan , saya cadangkan binalah time machine dan kembali ke abad yang lalu.


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita 




Wednesday 29 November 2023

Pemandu Grab yang memahami

 Semalam saya ada seorang pesakit perlu dirawat di hospital. Atas sebab tertentu, saya terpaksa pulang dengan menaiki Grab. 


Dalam perjalanan, saya meminta tolong pemandu saya, Lim untuk berhenti di Petronas untuk membeli aiskrim untuk anak-anak.


Baik sungguh Lim, bukan sahaja beliau sanggup berhenti, malah tolong pegangkan aiskrim sementara saya ambil makanan lain dan beri tisu pada saya, takut tangan sejuk memegang aiskrim sepanjang perjalanan pulang. 


Dalam kereta kami bersembang. Saya bertanya adakah beliau memandu Grab sepenuh masa? 


Beliau bercerita, dahulu beliau seorang pereka grafik. Tetapi kemudian berhenti dan memandu Grab sepenuhnya masa. 


Saya pun bercerita tentang anak ke dua saya yang sangat pandai melukis. Saya menggalakkan dia mengambil jurusan pereka grafik tetapi tak sangka dia nak belajar perubatan.  Katanya dia mahu melukis sebagai hobi sahaja, bukan sebagai kerjaya.


Lim memuji anak saya. Kata-kata beliau sangat menyentuh hati saya.


“Saya rasa anak you ada fikiran yang bagus. Sebab apa yang paling penting dalam pekerjaan, bukan kerja itu. Kita kerja apa pun boleh buat duit. Tetapi yang lebih penting adalah passion. Passion yang akan membuat kita happy dengan apa yang kita buat.”


Ma Shaa Allah. Kagum saya. 


Sudah lah fasih berbahasa Melayu, peramah, malah sangat berminda terbuka. 


Terus saya pun teringat ketika saya bertanya anak, kenapa nak belajar perubatan?


Jawabnya, “sebab nampak Ummi setiap hari pergi kerja happy je. Tempat kerja Ummi punya lah jauh. Tapi Ummi happy je.” 


Ya, sebab saya cintakan kerjaya saya Alhamdulillah. 


Passion over money. 


Kita patut bersyukur kalau ketika ini kita ada kerjaya yang kita suka, dan Alhamdulillah melaluinya kita dapat lalui kehidupan dengan baik dengan rezeki yang mencukupi. 


Betul juga, kalau gaji banyak pun tapi hati tak bahagia, susah juga kan. 

(Kerja teruk, gaji teruk lagi lah merana kecuali tahap kesabaran tinggi 😅)


In Shaa Allah let us encourage our children to do what they are passionate about as long as it adhere to the shariah. 


What a great and refreshing  conversation on a Sunday afternoon.


#drazlindarita 

#kisahkehidupanDrAzlindarita




Sunday 17 September 2023

Wanita berkerjaya berlagak?

 "Wanita berkerjaya berlagak" 


Amboi statement. 


Alhamdulillah dah bekerja sejak tahun 2004 hingga sekarang. Tak pernah lagi Encik Suami kata saya berlagak.  


Makin lama makin manjaaah, lagi.


Hahaaa berlagak tak statement saya 😂 


Iyalah manja dengan suami sendiri. Bukan dengan suami orang kan. 


Saya tak nak jawab bagi pihak orang lain. Tetapi nak jawab bagi diri saya. 


1) Kami sama-sama doktor, sebelum bernikah pun dah tahu masing-masing ambil medic. Degree pun sama. Nak berlagak apa kan?


2) Saya ambil Masters, suami saya tidak. Ini pilihan beliau. Saya hormati dan syukuri keputusan beliau. Saya rasa kalau kami dua-dua sambung belajar, dengan anak 3 orang ketika itu, mungkin kami tak survive. 


3) Setiap kejayaan saya, suami saya penyokong nombor satu saya. Pada bila-bila masa saya rasa ragu-ragu, beliau sentiasa kata, "I KNOW you can do it. " Keyakinan beliau kadang melebihi kepercayaan diri saya sendiri.


4) Saya mungkin berpangkat tinggi di hospital, tetapi balik di rumah, saya wajib patuh setiap arahan beliau, hatta sekecil-kecil permintaan, suruh buat kopi. Saya pernah minta balik awal dari boss besar saya, pada hari Sabtu (selepas waktu pejabat), sebab suami saya nak balik dah. Saya kena buat kopi untuk dia. Patriarchal? Mungkin. Tetapi saya yakin keredhaan Allah itu terletak pada redha suami yang soleh. 


5) Alhamdulillah suami saya adalah kiriman Allah, hasil doa Mama Ayah saya di Mekah semasa mereka menunaikan haji tahun 2001. Waktu itu ramai yang masuk meminang, tetapi saya memilih untuk istikharah dan berdoa. Allah pilih untuk saya. Saya yakin pilihan Allah itu yang terbaik. 


Ya. 


Kami pun tak sempurna. 


Tipulah kalau tak pernah gaduh, merajuk dan sebagainya. 


Dah 20 tahun bernikah kot.


Tetapi sebagaimana saya letak tingginya Mama Ayah di mata saya, kerana syurga saya dahulu terletak di bawah tapak kaki Mama, begitu juga saya melatih diri meletakkan suami saya sebagai kunci syurga, selepas patuh kepada Allah dan Rasulullah. 


Berlagak kerana berkerjaya? 


Kalau suami tak izinkan, kita wanita berkerjaya, langsung tak boleh bekerja pun kan? 


Jadi saya rasa tidak timbul soal berlagak atau tidak, terutamanya bagi pasangan yang sudah bernikah.


Paling penting harus ingat, setiap yang kita lakukan, adalah untuk mendapat redha Allah. 


Dan suami yang baik adalah yang dapat mendidik isteri agar sentiasa meletakkan matlamat ini dalam hidup berumahtangga, sama ada isteri itu berkerjaya atau tidak. 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Tak pandai masak, pandai buat kopi untuk suami saja. 


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita


Monday 11 September 2023

Impian mendaki Gunung Kinabalu yang tercapai!

 Impian jadi kenyataan. 


Alhamdulillah hari ini dalam sejarah, 11 September 2023, saya dapat mencapai salah satu cita-cita saya iaitu mendaki Gunung Kinabalu. 


Pastinya ia bukan satu perjalanan yang mudah. 


Bermula dari menyemai azam pada September 2022, mendaftar pada November 2022 untuk pendakian Jun 2023. Takdir Allah kumpulan itu dibubarkan 4 minggu sebelum penerbangan, sedangkan saya sudah bersedia dari segi fizikal dan sudah membeli peralatan. 


Alhamdulillah ditakdirkan ada sahabat saya Fadly Khairi juga merancang pendakian ke Kinabalu pada bulan September. Saya cuba menyertai kumpulan beliau, tetapi sudah penuh. 


Saya nekad, cuba mendapatkan tarikh pendakian yang sama, melalui agensi pelancongan yang biasa saya gunakan.


Alhamdulillah dapat! Saya terus mendaftar untuk saya dan hiking buddy saya. 


Saya terus berlatih ke Gunung Angsi, Gunung Datuk, Gunung Ledang , Twin Peaks dan terakhir Gunung Nuang. 


Ujian datang lagi, sebulan sebelum tarikh pendakian, saya terkena sakit belakang akibat annular tear pada disc tulang belakang. Pakar Neuro kata kerana terlalu banyak hiking dan mungkin ada jatuh semasa hiking. Saya rasa ada juga faktor saya banyak buat pembedahan mata sambil duduk terlalu lama. 


Apa pun, sejak 5 Ogos 2023, saya dinasihatkan untuk tidak hiking langsung untuk mengelakkan kecederaan yang lebih teruk. Mahu tidak mahu saya hanya berlatih di gym dengan jurulatih peribadi saya. 


Pesanan doktor, saya boleh mendaki Kinabalu jika tiada rasa sakit. Beliau berkata, " Awak cuba naik sampai Panalaban. Kalau awak rasa OK, boleh teruskan. Kalau tak, jangan teruskan sebab pendakian dari Panalaban ke puncak itu sangat mencabar. Banyak guna tali." 


Saya patuhi nasihat doktor.

Saya hadiri sesi fisioterapi. 

Saya berehat dari hiking. 


Namun hampir sahaja trip saya ini tidak jadi, kerana hiking buddy saya tiba-tiba tidak sihat dan menarik diri.


Suami saya agak bimbang saya pergi sendirian.


Saya terus berdoa agar Allah permudahkan semuanya. Alhamdulillah kumpulan Fadly itu rupanya ada 8 orang, 6 orang daripadanya perempuan. Semua sporting pula tu! 


Maka akhirnya suami pun membenarkan saya pergi dengan rela hati.


In Shaa Allah lain kali saya ceritakan pengalaman pendakian saya.


Hari ini saya ingin berterima kasih kepada semua yang membantu dalam menjayakan pendakian ini. 


Alhamdulillah. I cherish each and everyone of you ❤️ 


And guys, dreams do come true if you BELIEVE in it and you work for it. 


Alhamdulillah. I did it! 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Gunung Kinabalu 





#drazlindarita

#hiker

#thehikingdoctor 

#Ophthalmologist

#kisahkehidupanDrAzlindarita

Tuesday 5 September 2023

Bercuti bersama warga emas dan anak-anak

 Bercuti dengan warga emas dan anak-anak.


Kisahnya bermula, awal tahun yang lalu ada seorang ahli keluarga kami bercuti ke Pulau Perhentian. 


Semasa saya menelefon Mama, Mama bercerita tentang percutian ahli keluarga kami itu. Saya pun cakap, " Mak, kami in shaa Allah nak pergi Pulau Lang Tengah bulan 9 nanti.  Mama nak ikut ke?".


Mama pantas menjawab," Hmmm.. Nak lah. Dah lama tak pergi pulau. Pulau di Terengganu tak pernah pergi seumur hidup. Pernah pergi Tioman saja masa kau masih di Ireland."


Terkejut saya mendengar jawapan Mama yang beliau tak pernah melihat keindahan pulau di Terengganu. 


Maka selepas mendapat persetujuan suami, saya pun menempah penerbangan dan hotel. Pastinya saya tidak lupa menempah perkhidmatan kerusi roda dari Malaysia Airlines yang disediakan percuma. 


Kami turut mengajak mertua saya, namun beliau tidak berkelapangan untuk turut serta. 


Jujurnya, saya gementar menjelang percutian kami. 


Bolehkah saya tangani anak-anak 4 orang dan kedua-dua orang tua saya yang hampir 80 tahun? 


Namun Alhamdulillah ternyata Allah permudahkan. 


Tema pelancongan kami kali ini adalah "bersabar".


Ujian pertama hadir apabila Uwais secara tidak sengaja terbawa gunting di dalam beg. 


Maka kami tersangkut lama di bahagian keselamatan KLIA. Mama dan Ayah sudah laju menuju ke Balai Berlepas, ditolak dengan kerusi roda oleh staff MAS. 


Kami pula harus solat Subuh dahulu.  Mama dan Ayah yang sudah tiba di KLIA lebih awal, telah selesai solat di luar lagi. 


Selesai solat, kami ke pintu Balai Berlepas. 


Tapi Mama dan Ayah tiada! 


Saya mula gelabah. Takkan mereka salah hantar kot? 


Penumpang lain sudah mula boarding. 


Saya pun menelefon Mama. 


Rupanya Mama dan Ayah sudah di dalam pesawat! Ma Shaa Allah hebat perkhidmatan MAS. 


Dari situ, hinggalah perjalanan ke pulau, percutian kami berjalan lancar. 


Yang paling saya tidak sangka adalah Mama dan Ayah nak ikut kami pergi snorkeling ke Pulau Redang! Malah Ayah sempat snorkeling dua kali. 


Mama pula sempat belajar snorkeling di hadapan resort kami. Mama dah tak berapa kuat, jadi takut dipukul ombak, Mama berpaut saja dengan tiang jeti dan gunakan topeng snorkel untuk melihat ikan-ikan di dalam laut. Comel kan?


Walaupun saya tidak pernah menyebut kepada anak-anak," Tengok macamana Ummi layan Mak Tuk dan Atuk. Nanti Ummi Abi dah tua you all kena jaga Ummi Abi macam ni tau", tetapi apabila melihat cara anak-anak kami menyantuni datuk dan nenek mereka, alhamdulillah sejuk hati kami. 


Terutamanya Umar, yang rajin memimpin Atuknya. 


Suami saya juga melayan Mama dan Ayah seperti beliau melayan ibubapa kandungnya. 


Alhamdulillah.


Saya amat bersyukur dengan pengalaman ini. 


Sebelum berpisah selepas tiba di KLIA semula, saya memohon maaf kepada Mama dan Ayah jika ada terkasar bahasa. 


Pastinya satu pengalaman berharga buat kami semua, terutamanya anak-anak, dapat bercuti bersama Atuk dan Mak Tuk. 


Mudah-mudahan ada rezeki untuk kami pergi bercuti lagi, walaupun terdengar Mak mengadu dengan abang saya dalam telefon, " Ya Allah Jaaak. Naik kapalterbang kejap je 40 minit. Lama lagi naik bot. Dalam bot tadi Mama dah tawakkal je pada Allah. Ombak kuat!" 


Hahahaha. 


Masa dalam bot nampak cool saja Mama. Rupanya dalam hati seram juga ya. 


Kita tunggu hilang seram, nanti kita ajak lagi ya. 


😆 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Siapalah saya tanpa Mama dan Ayah


#drazlindarita

#drazlindaritatravels

#kisahkehidupanDrAzlindarita




Sunday 3 September 2023

Don't fight fire with fire

 Anak kedua dah balik ke asrama semalam. 


Ada 2 kisah dia di asrama yang saya tak boleh lupakan. 


Yang pertama, beliau dapat tempat pertama dalam salah satu subjek semasa peperiksaan pertengahan tahun yang lepas. Selepas guru umumkan di kelas, dia ingin berterima kasih kepada salah seorang pelajar yang pernah mengajar dia sebelum peperiksaan. 


Pelajar perempuan ni memang popular, tetapi memang anak saya tahu dia tak berapa suka dengan dia. Anak saya kata, "I don't like to fight fire with fire, so I bought her a chocolate and gave it to her to say thanks. The next day, she brought chocolate for everyone in my class, and left me out intentionally. " 


Saya pernah bercerita dalam post saya sebelum ini. Saya sedih melihat sikap pelajar-pelajar cemerlang begini. 


Ini bukan kali pertama. Pernah sekali mereka ada study group bertujuh, salah seorang pelajar sengaja membeli 6 aiskrim, dan meninggalkan anak saya seorang. 


Tetapi saya berpesan dengan anak saya, "Don't let them get to you. Rise above them. The only reason they treat you like that, is because you are a threat to them. You are a new form four and you are already so excellent. If you are an average, they will not single you out like that." 


Satu lagi kisah, agak lucu. 


Satu hari anak saya sedang membaca surat khabar. Tiba-tiba datang  seorang pelajar lelaki, menunjukkan gambar seorang lelaki  tua dia dalam surat khabar  itu dan berkata, " Itu bapa kau". 


Tahu apa anak saya jawab?


Dia jawab," Eh bapa aku hensem OK. Bapa aku pergi gym. Dia berotot. Dia lagi berotot dari kau". 


Pelajar lelaki itu terkejut dan terus berkata, " Aduh", sambil memegang dadanya. 


Hahaha


You go girl!


In shaa Allah.


Life is not easy. 


And we are never everyone's cup of tea. 


And that's OK

 

Sebelum bertolak balik ke asrama semalam, pesanan akhir saya adalah, "It doesn't matter what people do to you. One day you will never have to meet them again. They are like a little spot in the universe. They never matter before. They never will. You can either ignore them, or be better and be kind to them. The most important thing is every morning, you look at the mirror and you say "I love myself". And you always have Ummi, Abi and your siblings to support you 100% all the time."


Doakan perjalanan hidup anak-anak kita dipermudahkan dan dilindungi Allah sentiasa in shaa Allah. 


Life is tougher on our kids nowadays. 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Sentiasa belajar dari kisah anak-anak. 


#drazlindarita 

#kisahkehidupandrazlindarita

#microsurgeonmom




Monday 26 June 2023

Pine Tree Hill dan Twin Peak Bahagian 1 : Pendakian dari trailhead hingga ke kaki Pine Peak Hill

 Pine Peak Hill dan Twin Peak.


Entah kenapa saya tergerak hati nak hike di sini.


Tetapi yang pasti ia satu pengalaman yang sangat best. 


Saya kongsikan pengalaman mendaki track ini. 


Bahagian satu : Pendakian dari trailhead hingga ke kaki Pine Peak Hill. 


https://youtu.be/vyN-G06aNUs


Semoga boleh menjadi panduan bagi yang berminat nak ke sana.



#drazlindarita 

#hiker 

#HIROhikers 

#M3hiker 

#pinetreehill

#TwinPeak

Wednesday 24 May 2023

3 orang Abang, 3 watak berbeza

 Saya ada 3 orang abang. 


Tiga-tiga watak berbeza. Macam langit dengan bumi dan matahari. Haaa macam tu lah. 


Yang seorang, tegas, garang. Iyalah sulung kan. Tapi kalau dengar orang berlaku zalim pada adik-adik dia, dia lah yang pertama akan bela adik-adik dia. Kalau saya jadi orang lain pun takut nak mess up dengan saya lah, gitu. Ni bukan gertak, saja nak bercerita haha.


Abang ke dua, nampak serius je. Muka pun boleh tahan garang. Tapi dalam hati ada taman. Semasa belajar di USA, selalu hantar surat pada saya, siap gambar dia main salji, nak bakar semangat saya. Kalau pergi mana-mana sekarang, saya sebut nak kirim apa-apa, coklat ke, mangga ke, mesti belikan. Terasa disayangi sangat bila dia buat macam tu.


Abang ke tiga, ini buah hati saya. Abang ni dari kecil layan saya macam princess. Main masak-masak dengan saya walaupun kawan-kawan dia sibuk panggil dia main bola. Sampai besar dia pandai masak. 


Pernah sekali semasa di matrikulasi, saya homesick sangat. Nangis nak exam, telefon dia. Beritahu tak ada pen nak exam esok. Abang pun tanya, nak pen apa. Saya beritahu, nak pen kilometrico. 


Malam tu Abang pinjam kereta kawan, bawakan pen beberapa batang. Sebenarnya nak peluk dia je. Lepas tu Abang tanya, "ada duit belanja lagi tak? Kalau tak ada, Abang masih ada RM5 ni."


Walaupun itu duit terakhir dia, dia sanggup beri kepada saya. Saya cakap, duit ada lagi sebab baru dapat biasiswa.


Sehingga dewasa, Abang ni kata, dia takkan kahwin selagi saya dan adik saya belum kahwin. Dia nak jaga adik-adik. 


Dan dia kotakan janji. Dia kahwin selepas saya dan adik saya dah beranak pinak. Sampai sekarang juga kalau  saya dan adik saya ada masalah, Abang yang inilah kami akan telefon dulu.


Mama Ayah, tak payah cerita lah. Saya anak perempuan pertama selepas 5 anak lelaki ( dua orang Abang saya meninggal semasa bayi). Jadi boleh bayangkan macamana Mama Ayah manjakan saya. 


Tetapi adakah membesar dengan suasana begini menjadikan saya seorang yang manja? 


Entah lah.


Saya tak mahu menilai diri sendiri. 


Saya cuma mahu sebutkan , saya rasa bertuah membesar dengan insan-insan yang menyayangi saya. 


I just hope I can raise my children as good as my parents had raised us. ❤️


And I love my siblings so much, words can't describe them.


#drazlindarita 

#kisahkehidupanDrAzlindarita



Sunday 16 April 2023

Dari pelantar minyak kepada cleaner

 Cleaner.


Selalu dipandang enteng, tetapi penting. 


Semalam kami mengambil cleaner untuk membersihkan rumah. Payah nak dapat dari supplier biasa , kami ambil dari aplikasi yang dipercayai sahaja. 


Beliau sampai hampir sejam lambat kerana tersalah lokasi. Tetapi saya pun malas nak bising di bulan Ramadan . 


Sampai sahaja, beliau terus buat kerja. 


Satu perkara yang saya suka dengan syarikat ME ini, kebiasaannya pekerja adalah warganegara Malaysia . 


Sejam selepas bekerja , masuk waktu Zuhr. Saya menyuruh pekerja solat , beliau terus solat. 


Saya sangka 6 jam cukuplah untuk membersihkan rumah kami ini. Rupanya sebab sudah lama tidak dibersihkan, lima jam baru selesai membersihkan bilik- bilik tidur dan tandas di atas sahaja. 


Walaupun seorang lelaki, beliau amat teliti membersihkan rumah. Setiap kali selesai satu bahagian, beliau akan minta saya periksa jika perlu diperbaiki pembersihannya. 


Sejam terakhir , saya meminta beliau membersihkan ruang tamu sahaja. Tak sempat nak bersihkan dapur. 


Apa-apa yang beliau tidak pasti, beliau minta izin saya dahulu untuk menyusunatur barang-barang. 


Sebelum pulang, saya bertanya beliau tinggal di mana. 


“Bukit Beruntung, kak”. 


“Wah jauhnya naik motor. Buat kerja ni full time ke?, ” saya bertanya lagi. 


“ Ya kak. Kontrak juga dengan ME. Dulu saya kerja pelantar minyak. Sekarang dah tak ada projek, saya buat kerja ni lah. Tapi Ok juga jadi cleaner kak. Pukul 6 dah boleh balik jumpa anak. Dulu balik pukul 10 malam.” 


“Oh dah kahwin ? Anak berapa orang?,” saya bertanya. Saya sangka beliau bujang lagi . 


“Nampak muda kan kak , hahah. Anak dah dua kak,” jawabnya.


Ma shaa Allah kagum saya melihat kegigihan seorang ayah mencari nafkah untuk keluarganya. 


Setelah beliau pulang, saya periksa hasil kerjanya , memang puas hati . 


Kalau dahulu bekerja di pelantar minyak , pasti gajinya besar. Bekerja sebagai cleaner pastinya tidak sama dengan gajinya yang dahulu . 


Namun daripada menganggur dan meminta-minta, beliau sanggup bekerja sebagai tukang cuci rumah orang. 


Semoga Allah memurahkan rezeki beliau in shaa Allah. 


Begitulah sebenarnya di Malaysia ni saya kira peluang pekerjaan yang halal sentiasa ada. Kerana Allah sebut dalam surah Az- Dzariat ayat 57 Allah yang beri makan kepada kita . Banyak kali disebut juga, Allah yang sempitkan atau luaskan rezeki seseorang itu mengikut kehendakNya. 


Yang pasti , bekerja sebagai cleaner demi menyara keluarga itu, jauh lebih mulia dari orang yang mendapatkan duit dengan cara menipu atau mencuri hak orang lain. 


Allahu alam. 


#drazlindarita 

#catatan26Ramadan



Apa yang anda banggakan dengan anak anda?

 Apa yang membuatkan anda bangga dengan anak anda? 


Umar adalah anak sulung lelaki kami. Anak ketiga yang hadir selepas 2 orang anak perempuan. Pastinya kehadirannya amat dinanti-nanti. 


Namun dia hadir ketika saya sedang sibuk dengan Masters . Seperti kehamilan dengan adik beradiknya yang lain, episod kehamilan dengan Umar, tak kurang dramatik .


Pada usia 19 minggu dalam kandungan, saya pendarahan teruk hingga darah menitik di kerusi . 


Ketika usia 21 minggu , imbasan ultrasound kata dia adalah perempuan, maka saya pilih nama Aminah Camelia untuknya, tetapi suami tak setuju . Rupanya pada 24 minggu, imbasan sekali lagi , menunjukkan dia adalah boy! 


Encik suami lah paling gembira sekali , balik dari berjumpa doktor terus beliau belikan semua baju bayi boy. 


Semasa bayi, Umar yang paling mudah dijaga. Jarang meragam. Nak tidur pun, beri susu dan letak saja di atas tilam, dia akan tidur sendiri . 


Umar umur 9 bulan dia sudah tidur sepanjang malam. Terakhir minum susu pukul 11 malam, pukul 5 atau 6 pagi baru bangun .


Walaupun tiba-tiba mendapat adik setelah 6 tahun menjadi bongsu, dia langsung tidak cemburu. Adiknya tarik rambut, ambil mainan dia semasa kecil, dia tak pernah balas. 


Mulai 7 tahun Umar solat 5 waktu tak tinggal Alhamdulillah . 


Dia sangat penyayang kepada saya sebagai ibu, dan protective juga. Jika balik kerja, dialah orang pertama buka pintu atau datang ke kereta saya untuk tolong ambilkan barang-barang saya. 


Cuma dari segi akademi, Umar belum cemerlang seperti kakak-kakaknya. Sebagai ibu pasti saya risau juga. 


Tetapi minggu lepas, saya menaiki Grab yang biasa kami tempah. Aunty itu berkata , “your eldest son has grown so tall! He is so polite and he likes to chat with me when I fetch them from school. When I drop them off, he always waves and say “Thank you Aunty Amber!!”. 


Ma shaa Allah, sejuk rasa hati mendengar akhlak baik seorang anak, dengan orang lain , apatah lagi dengan insan non Muslim. 


It’s not his birthday today, but I just felt that I need to write this to remind me in the future. 


That I am proud , and thankful of Umar, for being a good kid. Alhamdulillah . 


Semoga Umar membesar menjadi anak yang cemerlang iman, akhlak dan berjaya dunia akhirat ya in shaa Allah. 


#drazlindarita 

#kisahkehidupandrazlindarita 

#ceritaMakMak

#microsurgeonmom




Sunday 9 April 2023

Cantik ke?

 Cantik ke? 


Perasan tak, ada orang yang kita nampak dia cantik, pakaian bergaya, tapi sekali bercakap dengan dia, terus kita rasa dia tak cantik dah. Rasa dalam hati, "cepat lah dia ni blah, malas nak sembang dah". 


Sebab apa?


Bila muka mulut, asyik kerja nak kutuk orang je. Dia saja lah yang hebat, orang lain semua selekeh, tak best, macam orang kampung. (Saya pun orang kampung k) 


Ada pula orang yang kita nampak dia manis, tapi muka biasa-biasa je. Baju pun standard, tudung RM15-20 je. Kadang matching, kadang tak.


Tetapi bila kita bercakap dengan dia, rasa sejuk je hati. Rasa nak sembang lama dengan dia, dan makin hari makin rasa dia tu cantik.


Sebab kita tahu hati dia cantik.


Hati dia ikhlas.


Itulah kecantikan dari dalam.


Semasa saya 18 tahun, ada seorang "kawan" ni, anak orang besar- besar. Dia pernah panggil saya "pathetic". Masa tu kelas Bahasa Inggeris di matrikulasi. Saya tak faham maksud perkataan tu. 


Disebabkan dia pernah duduk luar negara semasa Mak Ayah dia belajar dulu, saya tanyalah dia.


Dia jawab, "pathetic tu macam you lah."


Balik tu saya buka kamus baru saya faham maksud sebenar perkataan itu. Sampai sekarang saya ingat. 


Dia sangat cantik. 


Tapi sampai sekarang kalau tak ada apa-apa urusan antara hidup dan mati, saya tak nak lah jumpa dia ni. 


Dia  pernah minta tolong saya untuk cari kerja. 


Pernah minta tolong saya hantar pergi bengkel kereta juga. 


Tapi adakah saya ungkit balik dia  panggil saya "pathetic" dulu? 


Tidak sama sekali.


Sebab dia telah mengajar saya satu pengajaran hidup yang sangat besar.


Berhati-hati dengan apa yang kita katakan kepada orang lain, hatta kepada tukang sapu di tempat kerja kita. 


Biar kita tidak cantik di mata manusia, tetapi catatan amal cantik di sisi Allah. 


Orang yang kita anggap hina, mungkin jauh lebih tinggi martabatnya di sisi Allah. 


Paling penting, biarlah kita cantik, mengikut kayu ukur yang ditetapkan syarak, bukan nilaian mata manusia, yang hakikatnya semua hamba belaka.


#drazlindarita 

#catatan19Ramadan2023



Tuesday 7 February 2023

Pendakian gunung yang pertama dalam hidup : Gunung Datuk Rembau, Negeri Sembilan

 

Hiking sudah.

Berlari sudah.

Menyelam sudah. 


Apa lagi nak buat ya?


Itulah penyakit orang midlife crisis ni agaknya. 


Teringin nak panjat gunung pula.


Apabila kawan-kawan Johan Zie, Arash Halim, Ainun Mahani selalu cerita tentang naik gunung, kita pun rasa nak mula. 


Pada mulanya bukan apa, takut stamina tak kuat. Selepas setahun saya selalu hiking di Bukit Gasing dengan team Abang Johan, akhirnya saya kuatkan semangat. 


Maka saya pun memutuskan untuk memulakan dengan gunung yang dekat dulu.


Pengalaman ini memang takkan saya lupakan.

  1. Mendaki dalam keadaan hujan. 

Sudahlah pertama kali nak naik gunung, dalam perjalanan hujan pula tu. Hati dah berbelah bagi nak naik ke tidak. Alhamdulillah , sampai di kaki gunung, hujan renyai-renyai sahaja. Baru tahu pentingnya ada simpan baju hujan di dalam kereta. Walaupun baju hujan pakai buang, dapat jugalah mengelakkan daripada basah kuyup. 

Bergambar sebelum memulakan pendakian. Alhamdulillah semua ada baju hujan. Abang Joe tak ada baju hujan, beg plastik pun boleh convert jadi baju hujan. Yang penting beg duduk dalam baju hujan OK. Unless beg you water proof. 


  1. Mendaki dan menuruni trek yang licin sepanjang perjalanan. Waktu ni barulah tahu betapa pentingnya pemakaian kasut hiking yang betul, terutamanya yang water proof. Jadi termasuk ke dalam lopak air pun tidak lah stokin dan kaki basah. 


Gambar ni nak tunjuk kasut yang dah berselut tu. Tapi tak apa yang penting selamat. Kakak balik pokok tu nama kak Nor. Beliau dah 50an tapi dah berjaya tawan Kinabalu tau. Hebat kan! 

  1. Kepentingan ada trekking pole. Kalau bawa 2 lagi best untuk membantu mengurangkan tekanan kepada lutut semasa mendaki atau pun turun. 


  1. Pentingnya bawa makanan! Biasa kalau hiking di Bukit Gasing, saya jarang bawa makanan kecuali buah jadi kali ini sebab bertolak dari Muar seawal 6.40 pagi, tak sempat nak bawa bekal. Alhamdulillah guide bagi Himalayan salt dan roti. Dah mendaki satu jam yang pacak, baru sedar betapa penting bawa makanan tu.  Saya bawa protein shake dan kurma saja. Nikmat dapat makan roti tu, Allah saja yang tahu. Ada juga kawan-kawan yang bawa nasi lemak lagi! 


Nampak tak muka lapar tengah makan roti tu hahahah

  1. Bawa air minum yang mencukupi. Lebih tak apa, jangan kurang. Saya baca review pendaki yang pernah mendaki Gunung Datuk sebelum ini, kebanyakannya mencadangkan untuk bawa sekurang-kurangnya 2 liter air. Saya bawa 2 liter, sehingga turun ke bawah semula hanya habis lebih kurang 1.2 liter. Mungkin kerana cuaca sejuk dan hujan,maka tidak terasa dahaga. 


Saya minum protein shake sebaik sampai di puncak. 

  1. Kelebihan ada guide yang berpengalaman. Alhamdulillah all the way up naik dengan trail runner Si Hady tu, banyak juga dia ajar cara naik supaya tak injured lutut, cara turun dan cara cari trek yang paling selamat. Antara tips beliau, semasa mendaki, pastikan lutut tidak melebihi hujung jari kaki. Dan cuba untuk membuat langkah yang tidak terlalu besar agar tidak cepat penat. 


Encik Hady yang selfie gambar ni. Baju hitam tengah tu Abang Nizam, salah seorang guide tapi lajunya laaa dia tu. Berdesup terus hilang!
  1. Mendakilah dengan pace sendiri. Tidak perlu berlumba dengan sesiapa. Enjoy the journey. Saya sangat enjoy dengan laluan, pemandangan pokok-pokok yang permai, hujan renyai-renyai yang dingin, bunyi unggas hutan. Semua saya nikmati satu persatu. Siapa laju, kita persilakan potong. Siapa perlahan kita bye bye dulu, nanti jumpa di puncak. 


My favorite shot of the day! Alhamdulillah I did it!


Secara keseluruhan, saya rasa trek Gunung Datuk doable selepas dilatih dek geng Bukit Gasing sejak bulan Februari tahun lepas. Rasanya trek Gasing lagi penat woi ðŸ˜‚


Menyesal ke naik gunung? 


Langsung tak!


Sakit kaki tak habis lagi dah fikir nak naik gunung mana pula lepas ni? 




Geng Bukit Gasing di puncak Gunung Datuk. Abang Nizam dan Hady menikmati nasi lemak mereka. Apa yang best tentang pendakian ini adalah trek, view cantik dan of course geng yang awesome!! 

Wednesday 1 February 2023

Penghargaan


Tahun 2021-2022 saya rasa tahun yang mencabar.


Ayah selalu sakit, Abah meninggal dunia. 


Banyak  benda yang saya nak buat, contohnya nak tulis buku tentang kisah kehidupan mereka, tak pernah berkesempatan. 


Suatu hari, semasa Ayah tak sihat, saya  bersembang dengan Ayah tentang pengalaman beliau berkerja di Denmark dahulu . 


Ayah kata, ada satu misi menyelamat yang beliau hadiri semasa di Denmark, dengan usahasama kerajaan Belgium ketika itu kerana menyelamatkan kapal dan kru warga Belgium yang terdampar di kawasan batu karang di tengah laut. Alhamdulillah misi itu berjaya, membawa 7 orang anak kapal ke dataran. Kapten kapal tersebut berkeras mahu menunggu air pasang dan membawa pulang kapalnya maka beliau tinggal di atas kapal. 


Ayah kata, misi tersebut selesai pada waktu senja. Pagi keesokan harinya , ayah dan pasukannya terus mendapat sijil penghargaan dari syarikat penerbangan mereka atas jasa mereka semalam . 


Kemudian Ayah bercerita pula kisah menyelamatkan orang di Sarawak pada tahun 70an. Ayah bersama seorang juruterbang dan pembantu juruterbang helikopter, terpaksa menjalankan satu misi pada waktu malam. Seorang 

ranger iaitu Leftenan Anuar telah diserang Parako (pihak komunis di Sarawak ketika tahun 1970an) sewaktu menyeberang sungai Rajang dengan bot . Beliau yang cedera parah perlu diterbangkan segera ke Sibu untuk mendapatkan rawatan.


Ayah sebagai Air Quarter Master bertanggungjawab membantu memberikan navigasi dan panduan kepada juruterbang , adakah kawasan selamat , berapa meter helikopter harus bergerak ke hadapan , ke belakang , hover pada ketinggian berapa. Ayah sendiri membantu menurunkan alat untuk membawa naik mangsa dari tepi sungai ke dalam helikopter. 


Misi itu menurut Ayah tersangat sukar kerana keadaan yang sangat gelap dan keadaan di persisir sungai yang merbahaya, namun Alhamdulillah misi itu berjaya. 


Tidak lama kemudian , sewaktu Hari Kemerdekaan Sarawak, surat penghargaan tiba. Namun, anugerah Ahli Bintang Sarawak itu hanya untuk juruterbang iaitu Leftenan Leong Fook Seong dan pembantu juruterbang, Leftenan Munusamy. 


Tiada langsung ucapan terima kasih mahupun penghargaan kepada Ayah iaitu Flight Sarjan Mohd Abdullah , yang turut bersama di dalam misi itu, sedangkan tanpa Ayah, tidak mungkin juruterbang dan pembantu berdua sahaja mampu menyelesaikan misi tersebut . 


Saya analogikan, umpama saya sebagai Pakar Bedah , tanpa scrub nurse saya . Nampak tidak penting tetapi tiada pembedahan yang akan berjaya tanpa mereka. 


Pastinya Ayah berasa kecewa, dan kisah itu Ayah ceritakan kepada saya tahun lalu. Malah hari ini, Ayah ceritakan sekali lagi . 


Saya suka merakamkan kisah -kisah ini dengan satu nota suara. 


Hari ini, sambil menunggu temujanji dengan doktor Pakar, saya ambil peluang untuk merakam lagi kisah-kisah Ayah semasa menjadi air quarter master di TUDM . 


Ayah paling suka bercerita kisah-kisah beliau semasa terbang . 


Saya dapat lihat sinaran di mata Ayah jika beliau bercerita , terutamanya bagaimana beliau mencapai 3000 jam terbang bersama helikopter . 


Ya, saya pasti banyak tugas-tugas Ayah yang dilakukan tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya, tetapi saya harap Ayah tahu bahawa di mata saya, tiada insan yang lebih hebat daripada Ayah. 


Ayah hero saya, dulu , kini dan selamanya. 


Mungkin saya tak dapat menulis buku buat Ayah, tetapi biarlah saya nukilkan kisah-kisah Ayah di sini, agar sahabat-sahabat saya dapat sama-sama mendoakan yang baik-baik untuk Ayah in shaa Allah .


Mengharapkan penghargaan dari manusia , ada kalanya umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Pada usia 40an ini juga saya sudah belajar untuk tidak lagi mengharap apa-apa penghargaan dari manusia , hatta insan paling dekat . Pengharapan yang tidak kesampaian biasanya hanya mengundang kecewa. Sesungguhnya penghargaan terbaik pastinya dari Allah SWT jua. 


Love you to the moon and back Ayah. Thank you for being my first and truest love, and forever my hero.



#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita

Tuesday 17 January 2023

Si mata biru, penyebab saya jatuh cinta


20 tahun yang lalu, di bumi Ireland, saya ketika itu seorang pelajar perubatan tahun 4.


Saya pun tak ingat siapakah pensyarah Oftalmologi saya, adakah Mr Kinsella atau siapa. 


Yang pasti hari itu, pensyarah saya telah membuat saya jatuh cinta.


Pensyarah mengajar kami cara menggunakan alat slit lamp. Semua pelajar tak berani ke depan, jadi macam biasa, saya volunteer.


Pensyarah saya duduk di kerusi pesakit, dan meminta saya memeriksa matanya.


Ketika itu manalah saya tahu cara menggunakan alat itu. Ke depan ke belakang, saya cuba fokus. 


Kemudian, saya bertanya kepada pensyarah saya," Er, what am I suppose to see, sir?"


Jawab beliau,"You are suppose to see the iris details, the crypts and the bumps, the hippus of the iris movement as the light hits the iris, and you are suppose to say, "wow, what a wonderful organ, the eye is!"


Saya pun mencuba lagi.


Tiba-tiba, mikroskop pada slit lamp itu memfokus kepada anak mata pensyarah saya itu.


Subhanallah itulah pertama kali saya melihat anak mata secara dekat, dan jantung saya berdetak kencang melihat keindahan iris yang berwarna biru itu.


"Wow! I can see it, sir! It's amazing!"


Dan pensyarah saya pun tersenyum melihat saya yang sudah jatuh cinta. 


Ya, itulah detik saya jatuh cinta dengan Oftalmologi.


Jatuh cinta dengan keindahan mata ciptaan Allah. 


Kagum dengan betapa halus jalinan saraf, 

susunan kolagen pada kornea, 

betapa cantik setiap bahagian di dalam sebuah organ bernama mata ini.


Organ kecil, 

namun membolehkan seseorang melihat senyuman, 

menikmati pelbagai rupa makanan dan pakaian, 

menghargai indahnya warna pelangi petang. 


20 tahun sudah berlalu, dan hari ini seorang pesakit bermata biru, membuat saya mengimbau kembali saat saya jatuh cinta dengan bidang ini. 


Alhamdulillah ya Allah.


Terima kasih atas cinta ini, yang sentiasa berbalas. 


I will never grow tired of seeing the eye. 


For from the eyes, I get a peek into your soul.


#drazlindarita 

#ophthalmologist 

#Ilovemyjob

#kisahkehidupanDrAzlindarita 




Sunday 8 January 2023

Melawati Run : larian 15km yang pertama!

 "Runners are awesome"


Hari ni dalam sejarah hidup saya, saya berjaya menamatkan larian 15km dalam masa yang ditetapkan penganjur iaitu 2 jam setengah. 



Semasa mendaftar untuk Melawati Run ini, saya baru saja habis larian Score Marathon 10km. Jadi tengah euphoria. 


Tengah seronok, rasa boleh lakukan apa sahaja. 


Jadi daftarlah 15km. 


Bulan Disember memang tersangatlah sibuk. Pesakit pun ramai.


Kemudian saya pergi bercuti.


Tak sempat training.


Seminggu sebelum larian hari ini, saya dah mula cuak. Hanya sempat buat HIIT beberapa kali di rumah. Langsung tak sempat berlari untuk berlatih. 


Cuma saya pastikan jaga diet supaya berat badan tak bertambah. 


Semalam, saya dah gelabah ayam. Saya tak yakin boleh habiskan larian dalam masa COT. 


Petang semalam, saya cuba brisk walking di kawasan rumah.


1km saya ambil masa 10 minit.


"I can do it!"


"I just have to run and brisk walk alternately," saya bisik ke hati. 


Pagi ini, saya tertinggal earphone!


Haih, satu kesilapan besar pada saya sebab saya perlu lagu sebagai motivasi saya.


Maka nak tak nak, sepanjang larian saya terpaksa membuka lagu menggunakan speaker. 


Risau juga takut mengganggu pelari lain, tetapi sepanjang 2 jam lebih saya berlari, hanya seorang yang menegur. Saya minta maaf dan terangkan saya tertinggal earphone.


Kata beliau, "Eh it's ok. Boleh saya tumpang dengar." 


Runners are indeed awesome people. 


Ada yang tak kenal pun, saling beri semangat terutamanya pada 2km terakhir semasa masing-masing rasa nak pancit. 

Suasana semasa flag off pukul 7 pagi. Pelik juga kenapa sunyi tak ada lagu. Rupanya PA system down. Annisa sampai dari Klang pukul 6 pagi lagi.

Alhamdulillah cuaca baik 

Lalu depan rumah Abang saya heheh


Antara pemandangan yang indah sepanjang larian

6KM mark rasa semangat sikit sebab tinggal 9KM je lagi 


Depan air terjun ni ada cafe. Lain kali boleh check out. Kita ambil gambar dengan team medic satu 

Masa saya lari di atas jalan tu, nampak runners lain dah pusing sini. By the time saya sampai sini, toleh atas dah tak ada orang dah kahkahkah. Nasiblah, I'm only competing with myself.

Approaching 10km, matahari dah memancar. Abang volunteer kata jap lagi naik bukit. Saya dah seram dah 

Inilah Bukit Steroid atau Bukit Tonggek. Adoi minta nyawa juga lah memanjat ni. Nak pujuk hati, takpe lah, 3 tahun lagi baru naik lagi (konon)


Rupanya di puncak Bukit Steroid ni ada rumah Yusuf Haslam, atau namanya Darul Haslam

Lepas rumah Yusuf Haslam, ada water station, barulah turun bukit. Alhamdulillaaaaah panjang kesyukuran masa ni 

Boleh nampak KL skyline dari sini. Kalau malam mesti cantik 

Sampai kaki bukit, dah pukul 9 pagi. Masa ni dah start nervous takut tak sempat COT. 

Masa ni 9.22 pagi, you all!! COT tinggal 10 minit and I still have 1km and rasa dah pancit. Actually boleh lagi tapi sebab PANAS! Lain kali depa kena flag off awal sikit atau saya kena lari laju sikit laa kasi habis cepat. The last 1km memang mental dah koyak, menyumpah-nyumpah bila nak sampai. Tapi mujur sis tersedar dan cepat-cepat istighfar  ðŸ˜‚

Alhamdulillah berjaya!! Thank you Mia dan Izzat tunggu sampai saya habis. Siap rakam lagi. Boleh tengok kat tiktok ya. 

Secara keseluruhan, saya rasa pihak penganjur #melawatirun2023 sangat bagus.


Ada water station setiap 2km. 


Ada banyak petugas kesihatan.


Pegawai polis yang menjaga keselamatan juga sangat ramai. 


Alhamdulillah, no regrets. 


Today's run is a gift to myself. 

Thank you for believing in yourself!


To more runs in the future in shaa Allah. 


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita 

#Runner



Pix by SmartPix.