Saturday 21 October 2017

Tempat Menarik di Hong Kong Untuk Warga Emas Intan Berlian

Mama Ayah di Stanley, Hong Kong. 10 Oktober 2017

Hong Kong adalah salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di Asia, selepas Jepun dan Korea. Pastinya yang menjadi tarikan utama bagi kanak-kanak adalah Disneyland dan Ocean Park. Di taman tema sebegitu, orang dewasa pun seakan menjadi kanak-kanak semula kerana suasana meriah dan ceria sentiasa

Kenangan di Disneyland Tokyo pada 2014

Semasa ke Tokyo, saya sudah membawa Mama dan Ayah ke Disneyland Tokyo. Tetapi di Hong Kong, ke mana tempat yang menarik untuk warga emas intan berlian seperti mereka ya? Sudah ke Disneyland Tokyo yang jauh lebih besar dari Disneyland Hong Kong, pastinya keterujaan itu kurang.

Selepas membuat sedikit bacaan, saya memilih untuk membawa Mama dan Ayah ke Stanley di Pulau Hong Kong.

Hari ke dua kami di Hong Kong, kami bangun seawal 5 pagi kerana waktu Subuh adalah awal dan tamat pada pukul 6.15 pagi.

Selepas bersarapan, sekitar jam 9 pagi,kami berjalan kaki ke Temple Street untuk menaiki Big Bus untuk ke Pier di Tsim Sha TSui. Dari Peninsula Hotel, kami berjalan ke Pier dengan melintas menggunakan terowong di bawah jalan raya. Mujur ada lif disediakan, jika tidak kasihan juga Mama dan Ayah

Di Pier, saya perlu menukarkan tiket yang saya beli melalui laman web, kepada beberapa kupon termasuk pass menaiki bas, tiket feri untuk ke pulau Hong Kong, pass untuk menaiki Tram atau menaiki bangunan Sky 100 (pilih salah satu) dan tiket untuk menaiki sampan di Aberdeen.

Feri Star untuk menyeberangi selat yang memisahkan dua bahagian utama Hong Kong iaitu Kowloon dan Pulau Hong Kong, datang setiap 7- 8 minit, dan perjalanan hanya mengambil masa 10 minit. Alhamdulillah tempat duduk juga banyak dan selesa.

Di Tsim Sha Tsui Pier. Hari yang indah Alhamdulilllah 

Menyeberangi selat untuk menuju ke Pulau Hong Kong.
Lucu juga Mama tanya, "Oh semalam kita belum sampai Hong Kong?" Saya pun menerangkan yang Hong Kong terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu Pulau Hong Kong (utama), Kowloon dan Pulau Lantau, serta beberapa pulau kecil lain. 


Sampai di pelabuhan Victoria Harbour, ada beberapa Big Bus sudah menunggu. Big Bus mempunyai 3 laluan iaitu laluan biru di Kowloon, laluan merah untuk berjalan-jalan di Pulau Hong Kong bahagian kota, dan laluan hijau untuk ke Stanley iaitu kawasan perkampungan nelayan di selatan Pulau Hong Kong. Selepas seharian semalam berada di hutan batu, kami memilih untuk ke Stanley




Perjalanan ke Stanley mengambil masa hampir satu jam dan jalannya agak bengkang bengkok, jadi pening juga saya di dalam bas. Bas dua tingkat, dengan tingkat atas ada kawasan yang tidak berbumbung. Kerana cuaca panas , kami memilih untuk duduk di tingkat bawah sahaja yang berhawa dingin . Big Bus juga turut menyediakan peta laluan dan earphone untuk mendengar komentar yang sudah dirakamkan berkaitan tempat-tempat yang kami lalui

Dari Victoria Harbour, kami melalu Ocean Park yang merupakan salah satu taman tema yang besar di Hong Kong. Ia terletak di atas bukit, maka pengunjung harus menaiki kereta kabel untuk ke atas. Melihat roller coaster yang tinggi di atas bukit, hati saya sudah gayat. Tak dapat bayangkan bagaimana jika menaikinya! In shaa Allah mungkin jika mengunjungi Hong Kong dengan anak-anak saya akan berkunjung ke sini

Roller Coaster di Ocean Park yang kelihatan di atas bukit

Dari Ocean Park, kami melalui Repulse Bay yang merupakan kawasan pantai. Sungguh saya tidak sangka Hong Kong mempunyai kawasan seindah ini, yang sesuai untuk anak-anak bermandi manda. Ramai juga saya lihat Mat Salleh dan keluarga berpiknik di sini

Pemandangan yang indah dari kawasan Ocean Park ke Repulse Bay



Repulse Bay, gambar dari laman web Thousand Wonders
Dari Repulse Bay, kami terus ke Stanley Plaza. Jam pun sudah menunjukkan 12.45, perut pun sudah berkeroncong, jadi kami turun untuk mencari makan tengahari. Alhamdulillah di sini ada restoran makanan India yang halal. Ada juga restoran McDonalds, Starbucks dan beberapa bar yang menghadap laut


Kedai makan halal di Stanley Plaza

Selepas makan, kami bersiar-siar menikmati pemandangan indah di perkampungan nelayan Stanley . Tak sangka di tengah hiruk pikuk kota metropolitan Hong Kong, ada pula kawasan yang amat menenangkan seperti Stanley ini. Sangat sesuai untuk bersantai bersama keluarga







Bas Big Bus datang setiap 30 minit. Maka selepas sejam di sini, kami meneruskan perjalanan kembali ke Victoria Harbour. Ramai juga pengunjung yang turun dari bas di Aberdeen untuk menaiki sampan. Tetapi dengan cuaca panas terik, dan kita sebagai orang Malaysia yang sudah biasa menaiki sampan, tiada yang istimewa rasanya, jadi kami meneruskan perjalanan sahaja.

Kami sampai ke Victoria Harbour semula lebih kurang jam 2.45 petang, dan saya mengajak Mama dan Ayah untuk ke salah sebuah masjid terbesar di Hong Kong iaitu Masjid Ammar dan Osman Ramju Islamic Centre. Ia tidak jauh, hanya 15 minit dari Victoria Harbour dengan menaiki teksi. Tambangnya dalam HKD35 . Apa yang saya sangat suka dengan Hong Kong adalah teksinya yang sangat banyak dan harga berpatutan.

Bergambar kenangan di Victoria Harbour , berlatar belakang Kowloon 

Masjid Ammar dan Islamic Centre Osman Ramju Sadick



Waktu solat di Hong Kong

Sampai di Masjid Ammar, kami solat jamak Zuhr dan Asar. Sangat bersih masjid ini, dan ruang solat wanita amat luas dan selesa. Telekung juga ada disediakan di sini, tetapi bentuknya agak berbeza dengan telekung negara kita. Tetapi Alhamdulillah mencukupi untuk menutup aurat dan menunaikan kewajipan menyembah Yang Maha Pencipta .  


Tempat ambil wudhu


Tandas yang bersih

Dewan solat wanita yang sangat selesa 



Mama menunaikan solat di atas kerusi 
Selesai solat, kami mengambil peluang untuk merasa dim sum halal yang terkenal, di Islamic Centre Canteen yang terletak di tingkat 5.


Pada mulanya Mama Ayah kata belum lapar, tetapi saya berkeras juga mahu mereka merasa juadah ini. Alhamdulillah pada mulanya kami hanya memesan 4 pinggan. Apabila sudah merasa, baru Ayah pesan 4 pinggan lagi hahahah. Sangat sedap, dan harga juga berpatutan, hanya HKD 130 untuk kami bertiga. Teh bunganya pun sangat segar , dihidang dengan gula batu.






Gembira melihat wajah teruja Mama dan Ayah untuk mencuba Dim Sum halal 


Rupanya seperti karipap tetapi lebih rangup 
Teh bunga
Dari Masjid Ammar, kami kembali ke pelabuhan untuk menaiki feri kembali ke Kowloon. Niat di hati mahu melihat matahari terbenam dari atas Sky 100, tetapi bas agak lambat dari Peninsula Hotel.
Kami sampai di Sky 100 lebih kurang jam 6.30 petang, dan Maghrib sudahpun masuk pada jam 6.08 petang. Tiket untuk menaiki Sky 100 ini adalah HKD 168 seorang, tetapi harganya sudah termasuk semasa kami membeli tiket the Big Bus .
Sky 100 adalah bangunan komersil ke 10 tertinggi di dunia, dan apa yang menakjubkan saya adalah, dari tingkat 2 hingga ke tingkat 100, ia hanya mengambil masa 60 saat! Pening juga kepala saya menaiki 393 meter dengan kelajuan sebegitu, tetapi apabila sampai di atas, ma shaa Allah, Subhanallah pemandangannya amat menakjubkan. Terasa seolah saya berada di atas sebuah kapal terbang!

Matahari terbenam di ufuk barat
Kota Kowloon bermandi cahaya

DSLR shot







Gambar di ambil dengan telefon Huawei P9 night shot mode 

Gambar di ambil dengan telefon Huawei P9 night shot mode juga. Ternyata lebih cantik berbanding DSLR , atau mungkin tangan saya kurang steady dengan DSLR




Selepas lebih kurang sejam di sana, kami pulang semula ke apartment, dengan menaiki teksi. Mujur ada kari ayam Brahims. Saya memasak nasi, dan kami makan malam berlaukkan Brahims sahaja kerana masing-masing sudah kepenatan berjalan seharian
*************************************************
Hari ketiga di Hong Kong, saya keluar seawal 8.30 pagi untuk menghadiri persidangan APSPOS di Hong Kong Eye Hospital . Pada mulanya saya terkejut juga melihat majlis yang agak “sempoi”, diadakan di Dewan Besar Hospital sahaja. Namun apabila mendengar ceramah-ceramah dari pakar-pakar mata pediatrik dari seluruh dunia, saya terkagum dengan persidangan ini.


Majlis perasmian oleh Presiden iaitu Prof Dr Frank Martin

Semua delegasi persidangan pertama Asia Pacific Strabismus and Paediatric Ophthalmology Society (11-12 Oktober 2017)

Secara keseluruhan majlis agak sederhana, makan tengahari pun dibungkus di dalam bekas sahaja, dan  cenderahati untuk para penceramah diberikan selepas setiap ceramah , tiada majlis formal pun. Tetapi nilai ilmu yang diperolehi memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit

Dari jam 8.45 pagi hingga 6 petang, penuh dengan ceramah dan seminar. Pada jam 6 petang, kami dibawa untuk melihat Hong Kong Eye Hospital , diketuai oleh Professor Dr Clement Tham iaitu Pengarah Hospital tersebut . Canggih sungguh peralatan yang terdapat di hospital ini, termasuk kelengkapan makmal untuk kajian dan bengkel pembedahan mikro untuk para pelatih pakar mata.


Lawatan ke sekitar Hong Kong Eye Hospital 


Bergambar kenangan dengan Pengarah Hospital Mata Hong Kong iaitu Prof Dr Clement Tham

Pulang dari hospital, Mama dan Ayah sudah siap sedia untuk berjalan-jalan. Bosan agaknya seharian di apartment. Oleh kerana saya pun sudah lapar, kami pergi ke restoran halal yang terkenal di kawasan Kowloon iaitu Ma’s Restaurant. Ia tidak jauh dari Nathan Road, lebih kurang 10 minit sahaja dengan menaiki teksi
Alhamdulillah memang enak sungguh makanan di sini, terutamanya mee daging dan “kebab” kambingnya. Air teh disediakan percuma, dan harga untuk kami bertiga adalah lebih kurang HKD160 sahaja. Porsi mee adalah besar, jadi saya cadangkan jika anda ke sini, bolehlah berkongsi 2 mangkuk mee untuk tiga orang.



Mee daging


Lamb rolls



Dari Ma’s Restaurant, kami berjalan kaki ke Ladies Market untuk membeli belah cenderahati untuk keluarga tersayang. Jauh juga berjalan, tetapi Mama dan Ayah nampaknya kuat sahaja. Rupanya Ladies Market hampir tutup pada jam 11 malam, tetapi masih banyak yang buka. Kelebihan membeli belah pada waktu ini adalah sangat mudah untuk menawar harga. Contohnya kemeja T untuk kanak-kanak jika biasanya HKD100 untuk 7 helai, boleh ditawar hingga 9 helai untuk harga yang sama. Pelekat magnet juga dari HKD60 untuk 6 keping, tinggal HKD 40 sahaja.

Ladies Market




Mama Ayah memberi kemeja T untuk cucu-cucu 

Bangga melihat produk Malaysia sudah sampai ke pasaran antarabangsa
Jam 11.30 malam, saya sudah keletihan tetapi nampaknya Mama Ayah masih mahu membeli belah. Alhamdulillah setelah dapat membeli sebuah beg tangan, Mama mengajak balik. Walaupun tidak jauh dari apartment, kami menaiki teksi kerana sudah lenguh berjalan.
Hari terakhir, saya membawa bagasi saya ke hospital, kerana kami perlu check out pada jam 12.30 dan persidangan saya berlanjutan hingga petang.
Selepas menghadiri “free paper” oleh salah seorang sahabat saya dari UM, saya pulang ke kawasan apartment , di mana Mama dan Ayah sudah menunggu dengan bagasi mereka. Kami menaiki bas A21 semula (di seberang jalan) dan terus ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.


Bersama delegasi dari Indonesia, Prof Rowena dan Dr Rozalina ananknya. Kedua-duanya pakar mata, dan mereka menghadiahkan saya tudung dan rendang istimewa dari Surabaya. Semoga ukhuwah berkekalan in shaa Allah 

Lagi delegasi dari Indonesia, Dr Rita dari Jakarta, Dr Julie Barliana dari Jakarta, dan Dr Asri Setiawati dari Lombok

Free Paper presentation oleh doktor mata (registrar) dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Christine Ong. 


Di lapangan terbang, Alhamdulillah perkhidmatan kerusi roda disediakan dengan baik. Walaupun penerbangan Air Asia kami terlewat sedikit, perjalanan berjalan lancar, hinggalah kami tiba semula ke tanah air.


Bergambar kenangan di Nathan Road sebelum menaiki bas A21 ke Lapangan Terbang

Mama Ayah melakar impian untuk destinasi seterusnya in shaa Allah 


Menanti pesawat tiba

Kerusi roda dan petugas sedia menunggu setibanya kami di KLIA2

Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dengan KLIA Express 

Alhamdulillah walaupun sekejap, puas rasanya dapat membawa Mama dan Ayah melihat negeri orang. Mama saja yang kata tak puas membeli belah di Ladies Market. Katanya mahu ke Hong Kong lagi, tetapi Ayah pula ajak ke Beijing


In shaa Allah sebagai anak, akan saya usahakan untuk memenuhi kehendak Mama dan Ayah selagi hayat dikandung badan. Semoga Allah mempermudahkan in shaa Allah dan semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat kami semua in shaa Allah.

Amin