Showing posts with label ophthalmology. Show all posts
Showing posts with label ophthalmology. Show all posts

Thursday, 26 November 2020

"Saya akan buta ke, doktor?"

 "Semoga kekuatan milikmu" , bisik hati saya, sebelum saya menuturkan kata-kata.


Satu ayat, satu ketika,

bisa mengubah hidup seseorang buat selamanya.


"Maknanya saya akan jadi butalah, Doktor?", tanya pesakit saya yang baru berusia awal 30an.


Saya mengambil sedikit masa, untuk mengatur ayat. 


"Tidak mudah saya nak sampaikan berita ini kepada awak. Tetapi, maafkan saya, Retinitis Pigmentosa, memang penghujungnya awak akan hilang penglihatan mata secara total, " jawab saya, dengan hati yang maha berat. 


Sunyi sahaja bilik pemeriksaan saya. 


Wajah pesakit saya kelihatan  tenang.


Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil melihat gambar saraf di dalam matanya.


Mujur juga beliau ada latar belakang sains perubatan, agak mudah untuk saya menerangkan. Beliau pun berpendidikan tinggi, berjawatan kukuh di syarikatnya sendiri. 


Seorang anak muda yang berjaya, pada pandangan saya. 


Menurut beliau, semenjak kebelakangan ini, beliau rasa seolah-olah medan penglihatan tengahnya sedikit kabur. 


"Macam blind spot saya makin besar. Saya tak boleh drive malam dah, doktor." 


Ini kata-kata beliau yang menggetarkan hati saya, tatkala beliau mula bersua dengan saya di bilik pemeriksaan, awal tadi.


Rabun malam adalah simptom awal RP. Ia boleh berlaku secara keturunan, sama ada secara dominon atau resesif. Autosomal dominon selalunya akan mula ada simptom pada usia tua. Kes resesif pula, pada usia kanak-kanak. 


"Subhanallah kesian betul pesakit ini, baru 30an," detik hati saya lagi. 


Saya telah memeriksa mata pesakit ini dengan teliti, dan ternyata terdapat tompok-tompok di sarafnya, yang kelihatan seperti Retinitis Pigmentosa atau RP , iaitu sejenis penyakit keturunan, di mana sel fotoreseptor atau sel penglihatan, bertukar menjadi hitam dan hilang fungsi. 


Setelah beberapa lagi ujian dijalankan, saya terpaksa juga memberitahu beliau diagnosa yang bakal mengubah hidupnya itu. 


"Tiada rawatan ke Doktor?" 


"Buat masa ini, di Malaysia, masih belum ada. Kali terakhir saya ke persidangan antarabangsa di Singapura, mereka ada menyebut di USA sudah ada gene therapy. Tetapi masih dalam peringkat kajian," jawab saya. 


Saya terangkan padanya, saya tidak dapat menjangkakan berapa lama jangka masa yang beliau ada sebelum beliau akan buta sepenuhnya. 


Mungkin 3 tahun, mungkin 10 tahun. 


Saya tidak tahu. 


Tetapi amat penting untuk beliau pulang dan berbincang dengan keluarga. Buat persediaan dari segi mental dan fizikal. Mungkin mula belajar braille. 


Apatah lagi RP pesakit ini adalah variant atau jenis yang cepat melibatkan medan penglihatan tengah, tidak seperti RP yang biasa, yang mana medan penglihatan tengah biasanya tidak terganggu hingga saat akhir. 


Saya cadangkan juga untuk membuat ujian genetik, jika mahu mengetahui jenis RP yang manakah beliau hidapi. Anak-anak beliau juga akan perlu disaring. 


Jika mahu menunaikan haji, saya boleh berikan surat sokongan kepada Tabung Haji.


Kekalkan insuran kesihatan yang ada. 


Ini antara pesanan-pesanan saya. 


Ma shaa Allah kagum saya dengan reaksi wajah beliau yang biasa - biasa saja.


Mungkin tenang pada wajahnya, di dalam hati, hanya Allah yang tahu.


Setelah hampir sejam berdiskusi panjang, pesakit melangkah pulang. 


Meninggalkan saya termenung sendirian, menatap hujan yang membasahi bumi Shah Alam. 


Maha Suci Allah yang tidak pernah menzalimi makhluknya. 


Hadith Rasulullah SAW :


Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:


"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya." 


(Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)


Tatkala kita merasakan sukarnya dugaan yang kita hadapi, ada insan lain yang diuji Allah dengan cabaran yang lebih getir lagi. 


Saya doakan buat semua pesakit-pesakit saya, dan semua insan yang sedang diuji dengan sakit, agar ia menjadi penghapus dosa, lantas menjadi asbab buat kalian dan kita semua ke syurga, in shaa Allah. 


Siapalah kita yang mahu mempersoalkan kejadian yang telah ditetapkan Pencipta kita, yang pasti Maha Mengetahui. 


Mungkin pesakit ini hadir, untuk mengingatkan saya agar bersyukur dengan setiap apa yang ada pada saya.


Nikmat mata. 


Nikmat penglihatan.


Nikmat sihat.


Subhanallah. 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Bersyukur dengan peringatan yang selalu hadir bersama pesakit.




Sunday, 11 February 2018

Musim dingin di Hong Kong, APAO 2018


Bunga-bunga yang cantik sekitar Hong Kong Convention and Exhibition Centre 


Alhamdulillah dari 8 hingga 11 Februari yang lalu, saya berpeluang ke Hong Kong sekali lagi selepas ke negara itu pada Oktober yang lalu. Jika Oktober yang lalu adalah untuk menghadiri persidangan Asia Pacific Strabismus and Paediatric Ophthalmology Conference (APSPOS), kali ini saya menghadiri persidangan tahunan bagi semua pakar mata dari kawasan Asia Pasifik iaitu Asia Pacific Association of Ophthalmology Conference (APAO 2018 )

Bertempat di Hong Kong Convention and Exhibition Centre (HKCEC) di pulau Hong Kong, persidangan 4 hari ini dihadiri lebih 7000 orang pakar mata dari seluruh dunia.
Persidangan bermula pada Khamis 8 Februari 2018, dan penerbangan saya sampai tengahari hari itu. Jangkaan saya sempatlah saya menghadiri sesi petang. 

Untuk perjalanan ini, saya menempah tiket penerbangan dengan Malaysia Airlines sekitar bulan November (3 bulan awal) , dan harga tiket adalah RM890, berbanding RM770 jika menaiki Air Asia. Jika diberi pilihan, pasti saya akan memilih MAS kerana pada saya ia lebih selesa, dan tidak perlu bimbang tentang bagasi, kerana setiap penumpang dibenarkan membawa 30kg.

Pesawat MH72 

Alhamdulillah dapat berkenalan dengan ketua pramugara, Encik Qismat yang sangat peramah. Subhanallah beliau ini
adalah seorang "cancer survivor" Non Hodgkin Lymphoma. Beliau sangat positif orangnya

Banyak hiasan untuk Tahun Baru Cina kerana perayaan itu hanya beberapa hari lagi 

Pelekat ini diberikan semasa kami di kaunter imigresen. Oleh kerana kami akan menghadiri APAO2018, kami mendapat laluan khas dan tidak perlu beratur panjang 

Dari Lapangan Terbang Hong Kong, saya dan sahabat saya Dr Menaha, mengambil keretapi laju Airport Express. Perjalanan satu hala adalah HKD115, dan pergi balik adalah HKD205. Jika menaiki bas, tambang adalah lebih murah iaitu sekitar HKD 40 seorang tetapi ia akan mengambil masa satu jam, berbanding menaiki keretapi ekspress, hanya 24 minit. Teksi agak mahal iaitu HKD 300 satu hala, jadi kami memilih menaiki keretapi



Kami disambut dengan angin dingin dengan suhu 17 darjah Celcius. Menurut orang Hong Kong, musim sejuk agak lewat tahun ini, maka bulan Februari masih sejuk. Mujur saya ada mencari maklumat di Google beberapa hari sebelum berlepas, dan saya sudah menyiapkan baju sejuk.

Di dalam Airport Express, perkhidmatan Wifi tersedia secara percuma, maka dapatlah saya mengirim khabar kepada suami yang saya sudah selamat sampai. Apa yang istimewa dengan Hong Kong, Wifi percuma terdapat di mana-mana sahaja, baik dari lapangan terbang, dalam keretapi, di restoran, taman-taman tema dan juga di tempat persidangan, maka tak perlulah kita membeli data  dengan harga RM38 sehari, untuk 500 MB sahaja.

Suhu 17 darjah 


Tiket pergi balik menaiki Airport Express

Suasana dalam keretapi yang selesa 

Setibanya di stesen keretapi Hong Kong, kami menaiki bas khas yang disediakan percuma buat penumpang- penumpang Airport Express. 

Sampai di HKCEC, saya terus menghadiri persidangan selepas mendaftar, dan Dr Menaha pergi bersiar-siar. Sekitar jam 3.30 petang, perut saya sudah berkeroncong kerana belum makan tengahari. Sukar mahu menumpukan perhatian kepada seminar jika sedang lapar. Saya pun mengambil keputusan untuk pulang dan check in di hotel , tambahan pula saya belum solat Zuhr dan Asar.

Terminal bas percuma dari stesen Hong Kong 


Alhamdulillah selamat sampai di tempat persidangan

Bukti kehadiran hehe
Berjumpa pensyarah-pensyarah saya dari Universiti Malaya, Prof Dr Norlina dan Prof Dr Amir
Plenary session 



Saya hubungi Dr Menaha, telefon beliau tidak aktif pula. Silap saya juga sudah berpesan dengan beliau untuk berjumpa jam 5 petang. Saya pun tawakkal sahaja, dan pulang dahulu ke hotel dan akan kembali ke tempat persidangan jam 5 petang nanti untuk menjemput sahabat saya itu.

Nak mendapatkan teksi juga satu cabaran rupanya. Hotel Holiday Inn Express Causeway Bay yang saya tempah itu, terletak di kawasan yang sibuk. Sehingga 4 pemandu teksi saya bertanya, semua tidak mahu ke kawasan itu.  Tambah mencabar, tidak semua pemandu teksi boleh berbahasa Inggeris. Mujur saya sudah cetak nama hotel saya dalam Bahasa Cina juga, maka mudah untuk saya tunjuk sahaja kepada mereka.

Hampir 20 minit berlalu, belum ada teksi yang mahu mengambil saya sebagai penumpang. Apatah lagi waktu itu sudah hampir waktu orang pulang dari pejabat. Seorang wanita berbangsa Cina dan temannya dari negara Jerman (menurut tanda nama beliau), nampak kesukaran yang saya hadapi dan beliau terus menegur saya . Alhamdulillah rupanya mereka juga mahu ke Kawasan yang sama. Menurut teman baru saya itu, Daisy Li dari Shanghai, patutnya saya masuk sahaja ke dalam teksi, kemudian beri arahan untuk ke destinasi saya. Kata beliau, pemandu teksi tidak boleh menolak , jika mengikut undang-undang. Baru saya perasan memang ada papan tanda yang menunjukkan peraturan begitu.

Daisy Li segera mendapatkan satu teksi untuk kami kongsi, dan Alhamdulillah seorang pemandu teksi bersetuju. Pastinya lebih mudah mereka berkomunikasi dengan bahasa yang sama . Itupun beliau agak keberatan untuk membawa kami, hinggalah Daisy menawarkan kami membayar dua kali ganda tambangnya, barulah beliau bersetuju.

20 minit dalam perjalanan, baru saya faham mengapa wajah pemandu teksi itu mencuka sahaja, walaupun ditawarkan tambang yang tinggi. Kawasan Causeway Bay sesak! Sampai di kawasan hotel kami, kami terpaksa turun di tepi jalan dan berjalan ke hotel kerana jalan raya terlalu sesak. Tambang saya adalah HKD50.
Sahabat baru, Daisy Li dari Shanghai

Sebelum ke hotel, saya yang sudah hampir menggigil kelaparan, singgah di Times Square yang terletak di hadapan hotel, untuk mencari makanan. Entah kenapa yang saya nampak hanya restoran-restoran eksklusif, tetapi kerana sudah sangat lapar, saya pergi juga ke salah sebuah restoran yang menyediakan makanan vegetarian. Harganya memang tinggi, HHKD 157 atau RM82 untuk sekeping pizza saiz biasa, tetapi tiada pilihan, saya makan juga. Kemudian barulah saya ke hotel.

Pizza termahal saya pernah makan hahahahah

Alhamdulillah urusan check in saya di hotel tiada masalah. Jam 5.30 saya dapat bersolat jamak Zuhr dan Asar di bilik hotel. Bilik hotel pun agak luas dan selesa, walaupun hanya bertaraf 3 bintang. Tidak lama kemudian, Dr Menaha whatsapp saya dan berkata jangan bimbang kerana beliau boleh mencari jalan ke hotel sendiri dengan menaiki MTR iaitu seperti LRT di negara kita. Alhamdulillah saya menghela nafas lega. Lupa pula saya, Dr Menaha dari angkatan tentera, pastinya “survival skill” beliau mantap!


Pemandangan dari bilik hotel di Holiday Inn Express Causeway Bay. 



Jam 6 petang, Dr Menaha sampai di bilik hotel. Selesai saya bersolat Maghrib dan Isyak (Maghrib masuk jam 6.17 petang), kami bersiap-siap untuk bersiar-siar di kota Hong Kong. Iyalah, dua hari berikutnya saya akan sibuk di persidangan.

Kami menaiki MTR Causeway Bay iaitu stesen terdekat dengan hotel kami, menuju ke seberang Kowloon iaitu stesen Tsim Sha Sui. Alhamdulillah sempatlah kami menikmati Symphony of Light berdekatan Avenue of the Stars. Sayangnya Avenue of the Stars sedang dalam proses pembaikan, maka tidak dapatlah melawat tempat itu.


Peninsula Hotel dihias indah


Symphony of Light

Pose wajib di sini kalau datang berkunjung ke Hong Kong

Dari Tsim Sha Sui, kami menaiki teksi ke restoran kegemaran saya di Kawasan Kowloon iaitu Ma’s Restauran. Mee Tarik dengan daging halal yang empuk dan enak, tidak tertanding dengan semua mee tarik di Malaysia. Selain mee tarik, hidangan dim sum dan ghoulash juga sangat sedap. Harganya juga berpatutan, untuk kami berdua, hanya HKD130.


Noodle with beef brisket


Dr Menaha dan dumpling ayam 

Dari Ma’s Restaurant, kami berjalan kaki ke Ladies Market. Tidak jauh, hanya sekitar 15 minit berjalan. Bagus juga membakar sedikit kalori makan malam tadi. Seperti biasa, Ladies Market memang tempat yang sesuai untuk membeli belah cenderahati, harganya boleh ditawar. Satu papan rantai kunci atau pelekat magnet (6 biji) harganya HKD60 tetapi boleh ditawar hingga HKD40. Saya juga membeli sebuah power bank dan sebuah bagasi sederhana kerana bagasi saya terlalu kecil.

Bersiar-siar pada waktu malam 


Ladies Market

Sebelum shopping , beli beg dahulu supaya senang nak isi barang. Itu tektiknya hehe

Dari Ladies Market, kami menaiki sebuah bas awam, dengan tambang HKD5 untuk ke stesen MTR terdekat. Tambang MTR dari Kawasan Mong Kok ke Causeway Bay pula adalah sekitar HKD13.50.

Kami sampai ke hotel sekitar jam 11.30 malam. Badan pun sudah letih, cepat saja kami sudah dibuai mimpi. Saya bersyukur katil di hotel ini agak lembut, berbanding tilam di hotel dan apartment lain yang saya pernah tinggal di Hong Kong. Sebelum tidur, saya tetapkan jam loceng di telefon jam 5.40 pagi untuk solat subuh, kerana subuh berakhir agak awal iaitu sekitar jam 6.45 pagi. Esok adalah hari yang menarik untuk saya menambahkan pengetahuan dalam bidang Oftalmologi yang sangat saya minati.

 Bersambung...


Saturday, 21 October 2017

Tempat Menarik di Hong Kong Untuk Warga Emas Intan Berlian

Mama Ayah di Stanley, Hong Kong. 10 Oktober 2017

Hong Kong adalah salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di Asia, selepas Jepun dan Korea. Pastinya yang menjadi tarikan utama bagi kanak-kanak adalah Disneyland dan Ocean Park. Di taman tema sebegitu, orang dewasa pun seakan menjadi kanak-kanak semula kerana suasana meriah dan ceria sentiasa

Kenangan di Disneyland Tokyo pada 2014

Semasa ke Tokyo, saya sudah membawa Mama dan Ayah ke Disneyland Tokyo. Tetapi di Hong Kong, ke mana tempat yang menarik untuk warga emas intan berlian seperti mereka ya? Sudah ke Disneyland Tokyo yang jauh lebih besar dari Disneyland Hong Kong, pastinya keterujaan itu kurang.

Selepas membuat sedikit bacaan, saya memilih untuk membawa Mama dan Ayah ke Stanley di Pulau Hong Kong.

Hari ke dua kami di Hong Kong, kami bangun seawal 5 pagi kerana waktu Subuh adalah awal dan tamat pada pukul 6.15 pagi.

Selepas bersarapan, sekitar jam 9 pagi,kami berjalan kaki ke Temple Street untuk menaiki Big Bus untuk ke Pier di Tsim Sha TSui. Dari Peninsula Hotel, kami berjalan ke Pier dengan melintas menggunakan terowong di bawah jalan raya. Mujur ada lif disediakan, jika tidak kasihan juga Mama dan Ayah

Di Pier, saya perlu menukarkan tiket yang saya beli melalui laman web, kepada beberapa kupon termasuk pass menaiki bas, tiket feri untuk ke pulau Hong Kong, pass untuk menaiki Tram atau menaiki bangunan Sky 100 (pilih salah satu) dan tiket untuk menaiki sampan di Aberdeen.

Feri Star untuk menyeberangi selat yang memisahkan dua bahagian utama Hong Kong iaitu Kowloon dan Pulau Hong Kong, datang setiap 7- 8 minit, dan perjalanan hanya mengambil masa 10 minit. Alhamdulillah tempat duduk juga banyak dan selesa.

Di Tsim Sha Tsui Pier. Hari yang indah Alhamdulilllah 

Menyeberangi selat untuk menuju ke Pulau Hong Kong.
Lucu juga Mama tanya, "Oh semalam kita belum sampai Hong Kong?" Saya pun menerangkan yang Hong Kong terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu Pulau Hong Kong (utama), Kowloon dan Pulau Lantau, serta beberapa pulau kecil lain. 


Sampai di pelabuhan Victoria Harbour, ada beberapa Big Bus sudah menunggu. Big Bus mempunyai 3 laluan iaitu laluan biru di Kowloon, laluan merah untuk berjalan-jalan di Pulau Hong Kong bahagian kota, dan laluan hijau untuk ke Stanley iaitu kawasan perkampungan nelayan di selatan Pulau Hong Kong. Selepas seharian semalam berada di hutan batu, kami memilih untuk ke Stanley




Perjalanan ke Stanley mengambil masa hampir satu jam dan jalannya agak bengkang bengkok, jadi pening juga saya di dalam bas. Bas dua tingkat, dengan tingkat atas ada kawasan yang tidak berbumbung. Kerana cuaca panas , kami memilih untuk duduk di tingkat bawah sahaja yang berhawa dingin . Big Bus juga turut menyediakan peta laluan dan earphone untuk mendengar komentar yang sudah dirakamkan berkaitan tempat-tempat yang kami lalui

Dari Victoria Harbour, kami melalu Ocean Park yang merupakan salah satu taman tema yang besar di Hong Kong. Ia terletak di atas bukit, maka pengunjung harus menaiki kereta kabel untuk ke atas. Melihat roller coaster yang tinggi di atas bukit, hati saya sudah gayat. Tak dapat bayangkan bagaimana jika menaikinya! In shaa Allah mungkin jika mengunjungi Hong Kong dengan anak-anak saya akan berkunjung ke sini

Roller Coaster di Ocean Park yang kelihatan di atas bukit

Dari Ocean Park, kami melalui Repulse Bay yang merupakan kawasan pantai. Sungguh saya tidak sangka Hong Kong mempunyai kawasan seindah ini, yang sesuai untuk anak-anak bermandi manda. Ramai juga saya lihat Mat Salleh dan keluarga berpiknik di sini

Pemandangan yang indah dari kawasan Ocean Park ke Repulse Bay



Repulse Bay, gambar dari laman web Thousand Wonders
Dari Repulse Bay, kami terus ke Stanley Plaza. Jam pun sudah menunjukkan 12.45, perut pun sudah berkeroncong, jadi kami turun untuk mencari makan tengahari. Alhamdulillah di sini ada restoran makanan India yang halal. Ada juga restoran McDonalds, Starbucks dan beberapa bar yang menghadap laut


Kedai makan halal di Stanley Plaza

Selepas makan, kami bersiar-siar menikmati pemandangan indah di perkampungan nelayan Stanley . Tak sangka di tengah hiruk pikuk kota metropolitan Hong Kong, ada pula kawasan yang amat menenangkan seperti Stanley ini. Sangat sesuai untuk bersantai bersama keluarga







Bas Big Bus datang setiap 30 minit. Maka selepas sejam di sini, kami meneruskan perjalanan kembali ke Victoria Harbour. Ramai juga pengunjung yang turun dari bas di Aberdeen untuk menaiki sampan. Tetapi dengan cuaca panas terik, dan kita sebagai orang Malaysia yang sudah biasa menaiki sampan, tiada yang istimewa rasanya, jadi kami meneruskan perjalanan sahaja.

Kami sampai ke Victoria Harbour semula lebih kurang jam 2.45 petang, dan saya mengajak Mama dan Ayah untuk ke salah sebuah masjid terbesar di Hong Kong iaitu Masjid Ammar dan Osman Ramju Islamic Centre. Ia tidak jauh, hanya 15 minit dari Victoria Harbour dengan menaiki teksi. Tambangnya dalam HKD35 . Apa yang saya sangat suka dengan Hong Kong adalah teksinya yang sangat banyak dan harga berpatutan.

Bergambar kenangan di Victoria Harbour , berlatar belakang Kowloon 

Masjid Ammar dan Islamic Centre Osman Ramju Sadick



Waktu solat di Hong Kong

Sampai di Masjid Ammar, kami solat jamak Zuhr dan Asar. Sangat bersih masjid ini, dan ruang solat wanita amat luas dan selesa. Telekung juga ada disediakan di sini, tetapi bentuknya agak berbeza dengan telekung negara kita. Tetapi Alhamdulillah mencukupi untuk menutup aurat dan menunaikan kewajipan menyembah Yang Maha Pencipta .  


Tempat ambil wudhu


Tandas yang bersih

Dewan solat wanita yang sangat selesa 



Mama menunaikan solat di atas kerusi 
Selesai solat, kami mengambil peluang untuk merasa dim sum halal yang terkenal, di Islamic Centre Canteen yang terletak di tingkat 5.


Pada mulanya Mama Ayah kata belum lapar, tetapi saya berkeras juga mahu mereka merasa juadah ini. Alhamdulillah pada mulanya kami hanya memesan 4 pinggan. Apabila sudah merasa, baru Ayah pesan 4 pinggan lagi hahahah. Sangat sedap, dan harga juga berpatutan, hanya HKD 130 untuk kami bertiga. Teh bunganya pun sangat segar , dihidang dengan gula batu.






Gembira melihat wajah teruja Mama dan Ayah untuk mencuba Dim Sum halal 


Rupanya seperti karipap tetapi lebih rangup 
Teh bunga
Dari Masjid Ammar, kami kembali ke pelabuhan untuk menaiki feri kembali ke Kowloon. Niat di hati mahu melihat matahari terbenam dari atas Sky 100, tetapi bas agak lambat dari Peninsula Hotel.
Kami sampai di Sky 100 lebih kurang jam 6.30 petang, dan Maghrib sudahpun masuk pada jam 6.08 petang. Tiket untuk menaiki Sky 100 ini adalah HKD 168 seorang, tetapi harganya sudah termasuk semasa kami membeli tiket the Big Bus .
Sky 100 adalah bangunan komersil ke 10 tertinggi di dunia, dan apa yang menakjubkan saya adalah, dari tingkat 2 hingga ke tingkat 100, ia hanya mengambil masa 60 saat! Pening juga kepala saya menaiki 393 meter dengan kelajuan sebegitu, tetapi apabila sampai di atas, ma shaa Allah, Subhanallah pemandangannya amat menakjubkan. Terasa seolah saya berada di atas sebuah kapal terbang!

Matahari terbenam di ufuk barat
Kota Kowloon bermandi cahaya

DSLR shot







Gambar di ambil dengan telefon Huawei P9 night shot mode 

Gambar di ambil dengan telefon Huawei P9 night shot mode juga. Ternyata lebih cantik berbanding DSLR , atau mungkin tangan saya kurang steady dengan DSLR




Selepas lebih kurang sejam di sana, kami pulang semula ke apartment, dengan menaiki teksi. Mujur ada kari ayam Brahims. Saya memasak nasi, dan kami makan malam berlaukkan Brahims sahaja kerana masing-masing sudah kepenatan berjalan seharian
*************************************************
Hari ketiga di Hong Kong, saya keluar seawal 8.30 pagi untuk menghadiri persidangan APSPOS di Hong Kong Eye Hospital . Pada mulanya saya terkejut juga melihat majlis yang agak “sempoi”, diadakan di Dewan Besar Hospital sahaja. Namun apabila mendengar ceramah-ceramah dari pakar-pakar mata pediatrik dari seluruh dunia, saya terkagum dengan persidangan ini.


Majlis perasmian oleh Presiden iaitu Prof Dr Frank Martin

Semua delegasi persidangan pertama Asia Pacific Strabismus and Paediatric Ophthalmology Society (11-12 Oktober 2017)

Secara keseluruhan majlis agak sederhana, makan tengahari pun dibungkus di dalam bekas sahaja, dan  cenderahati untuk para penceramah diberikan selepas setiap ceramah , tiada majlis formal pun. Tetapi nilai ilmu yang diperolehi memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit

Dari jam 8.45 pagi hingga 6 petang, penuh dengan ceramah dan seminar. Pada jam 6 petang, kami dibawa untuk melihat Hong Kong Eye Hospital , diketuai oleh Professor Dr Clement Tham iaitu Pengarah Hospital tersebut . Canggih sungguh peralatan yang terdapat di hospital ini, termasuk kelengkapan makmal untuk kajian dan bengkel pembedahan mikro untuk para pelatih pakar mata.


Lawatan ke sekitar Hong Kong Eye Hospital 


Bergambar kenangan dengan Pengarah Hospital Mata Hong Kong iaitu Prof Dr Clement Tham

Pulang dari hospital, Mama dan Ayah sudah siap sedia untuk berjalan-jalan. Bosan agaknya seharian di apartment. Oleh kerana saya pun sudah lapar, kami pergi ke restoran halal yang terkenal di kawasan Kowloon iaitu Ma’s Restaurant. Ia tidak jauh dari Nathan Road, lebih kurang 10 minit sahaja dengan menaiki teksi
Alhamdulillah memang enak sungguh makanan di sini, terutamanya mee daging dan “kebab” kambingnya. Air teh disediakan percuma, dan harga untuk kami bertiga adalah lebih kurang HKD160 sahaja. Porsi mee adalah besar, jadi saya cadangkan jika anda ke sini, bolehlah berkongsi 2 mangkuk mee untuk tiga orang.



Mee daging


Lamb rolls



Dari Ma’s Restaurant, kami berjalan kaki ke Ladies Market untuk membeli belah cenderahati untuk keluarga tersayang. Jauh juga berjalan, tetapi Mama dan Ayah nampaknya kuat sahaja. Rupanya Ladies Market hampir tutup pada jam 11 malam, tetapi masih banyak yang buka. Kelebihan membeli belah pada waktu ini adalah sangat mudah untuk menawar harga. Contohnya kemeja T untuk kanak-kanak jika biasanya HKD100 untuk 7 helai, boleh ditawar hingga 9 helai untuk harga yang sama. Pelekat magnet juga dari HKD60 untuk 6 keping, tinggal HKD 40 sahaja.

Ladies Market




Mama Ayah memberi kemeja T untuk cucu-cucu 

Bangga melihat produk Malaysia sudah sampai ke pasaran antarabangsa
Jam 11.30 malam, saya sudah keletihan tetapi nampaknya Mama Ayah masih mahu membeli belah. Alhamdulillah setelah dapat membeli sebuah beg tangan, Mama mengajak balik. Walaupun tidak jauh dari apartment, kami menaiki teksi kerana sudah lenguh berjalan.
Hari terakhir, saya membawa bagasi saya ke hospital, kerana kami perlu check out pada jam 12.30 dan persidangan saya berlanjutan hingga petang.
Selepas menghadiri “free paper” oleh salah seorang sahabat saya dari UM, saya pulang ke kawasan apartment , di mana Mama dan Ayah sudah menunggu dengan bagasi mereka. Kami menaiki bas A21 semula (di seberang jalan) dan terus ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.


Bersama delegasi dari Indonesia, Prof Rowena dan Dr Rozalina ananknya. Kedua-duanya pakar mata, dan mereka menghadiahkan saya tudung dan rendang istimewa dari Surabaya. Semoga ukhuwah berkekalan in shaa Allah 

Lagi delegasi dari Indonesia, Dr Rita dari Jakarta, Dr Julie Barliana dari Jakarta, dan Dr Asri Setiawati dari Lombok

Free Paper presentation oleh doktor mata (registrar) dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Christine Ong. 


Di lapangan terbang, Alhamdulillah perkhidmatan kerusi roda disediakan dengan baik. Walaupun penerbangan Air Asia kami terlewat sedikit, perjalanan berjalan lancar, hinggalah kami tiba semula ke tanah air.


Bergambar kenangan di Nathan Road sebelum menaiki bas A21 ke Lapangan Terbang

Mama Ayah melakar impian untuk destinasi seterusnya in shaa Allah 


Menanti pesawat tiba

Kerusi roda dan petugas sedia menunggu setibanya kami di KLIA2

Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dengan KLIA Express 

Alhamdulillah walaupun sekejap, puas rasanya dapat membawa Mama dan Ayah melihat negeri orang. Mama saja yang kata tak puas membeli belah di Ladies Market. Katanya mahu ke Hong Kong lagi, tetapi Ayah pula ajak ke Beijing


In shaa Allah sebagai anak, akan saya usahakan untuk memenuhi kehendak Mama dan Ayah selagi hayat dikandung badan. Semoga Allah mempermudahkan in shaa Allah dan semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat kami semua in shaa Allah.

Amin