Tuesday 11 February 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 13) : Jalan-jalan subur iman di sekitar Masjidil Haram

Alhamdulilah pada 14 Zulhijjah 1434H, selepas Subuh suamiku selesai menunaikan ibadah tawaf dan saie haji beliau. Ibu dan Abah pula melakukannya selepas Isyak pada hari itu, kerana Abah diserang sakit pinggang pagi itu. Kiranya suamiku melakukan dua kali tawaf dan saie pada satu hari. Sekali untuk dirinya, sekali lagi untuk menyorong bapa mertuaku di kerusi roda dan menemani ibunya. Alhamdulillah terasa bersyukur, dan lega selepas keempat-empat kami selesai menyempurnakan semua rukun dan wajib haji.

Pulang dari Mina, memang ramai jemaah haji yang jatuh sakit, terutamanya mereka yang sudah berusia. Suamiku yang keletihan, juga demam dan sakit-sakit badan. Kami ke pusat kesihatan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji, di Hotel Hassan Khazindar yang terletak tidak jauh dari hotel kami.

Hotel Hassan Kazindar yang menjadi penginapan bagi jemaah haji muassasah. 


Suamiku diperiksa oleh Medical Assistant yang bertugas. Semoga Allah merahmati semua petugas yang bertungkus lumus memberikan yang terbaik untuk keselesaan jemaah haji Malaysia. Semua perkhidmatan kesihatan di sini adalah PERCUMA

Kaunter Pengeluaran wang yang turut disediakan di Hotel Hassan Kazindar ini. Jemaah haji hanya perlu membawa tanda nama, dan memberikan cap jari untuk mengeluarkan duit, dalam matawang Riyal. 
Antara aktiviti jemaah haji pakej Aqiq selepas ibadah haji adalah acara Jalan-Jalan Subur Iman. Kami dibawa berjalan-jalan di sekitar kawasan Masjidil Haram, sambil Ustaz Syukri, Ustazah Asma dan Ustaz Ayahanda dari Tabung Haji berkongsi sirah atau sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat.

Bergambar di hadapan Hotel Hilton Mekah. Sebuah surau di dalam hotel ini dinamakan Surau Saidina Abu Bakar kerana di sinilah terletaknya rumah asal beliau pada zaman Rasulllah SAW

Jemaah haji khusyuk mendengar penjelasan dari Ustaz berkenaan tempat-tempat bersejarah di sekitar Masjidil Haram

Antara jemaah pakej Aqiq yang turut serta. Suamiku yang masih belum sihat, tidak menyertai rombongan kali ini. Kami bergerak dari Hotel Hilton ke Jabal Qubais

Suhu sekitar jam 10 pagi

Di belakangku adalah Istana Singgah Raja Arab Saudi, yang didirikan di atas JABAL QUBAIS atau Jabal Abi Qubais.

 Antara peristiwa bersejarah di Jabal Qubais yang terletak bersetentang dengan bucu Hajar Aswad di Kaabah adaalah adalah:

1) Tempat Rasulullah dan Saidina Abu Bakar duduk semasa mereka masih kecil, sambil menjuntaikan kaki ke bawah

2) Tempat di mana Hajar Aswad diturunkan dari syurga. Selepas Nabi Ibrahim mendirikan kaabah, Jibril diperintahkan oleh Allah Subhanahu wataala untuk mengeluarkan Hajar Aswad dari bukit ini, untuk diserahkan kepada Nabi Ibrahim dan diletakkan di sisi kaabah

3) Ketika firman Allah diturunkan: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman"), dikatakan bahawa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah melakukan seruan haji ini dari puncak Jabal Abi Qubais. 

4) Peristiwa Rasulullah SAW membelah bulan berlaku di sini.


Bukit Safa
 Bertentangan dengan Jabal Qubais pula adalah pintu masuk ke Bukit Safa iaitu tempat permulaan untuk ibadah saie. Antara kisah menarik di sini adalah:

1) Di sinilah rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam yang merupakan tempat pertemuan kaum Muslimin yang pertama semasa zaman Islam disebarkan secara sembunyi. Di rumah ini jugalah tempat Saidina Umar Al-Khattab menyerah diri untuk memeluk agama Islam selepas beliau mendengar adik dan adik iparnya membaca surah Taha ayat 1 hingga 5

2) Di sini tempat Rasulullah mengumpulkan kaum Quraisy dan bertanya, "andai aku katakan ada musuh yang datang di balik bukit ini, bersedia untuk menyerang kamu, adakah kau percaya?". Kesemua pemimpin besar kaum Quraisy mempercayai kerana Rasulullah sememangnya terkenal sebagai Al-Amin iaitu amanah. Namun apabila Rasulullah menyeru mereka kepada Islam, mereka mencemuh dan berpaling. Semasa peristiwa inilah Abu Lahab yang tersangat marah dengan seruan Rasulullah itu, mengibas-ngibaskan tangannya dek kerana terlalu benci dengan seruan itu, hingga turun ayat surah Al-Lahab yang mengutuk perbuatannya itu. 

3) Pada zaman Rasullah para sahabat merasa keberatan untuk menunaikan ibadah saie kerana dahulunya bukit Safa dan Marwah dicemari dengan berhala, hingga mereka khuatir perbuatan saie itu umpama menyamai perbuatan jahiliyyah, hinggalah Allah membenarkan ibadah ini seperti yang tertulis di dalam surah Al-Baqarah ayat 158  "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) antara kedua-duanya. Dan sesiapa suka rela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui." 

4) di sinilah tempat  Daabatul Ard atau haiwan yang akan muncul pada akhir zaman nanti. Di riwayatkan rupanya seperti biawak tetapi boleh berdiri dengan 2 kaki, dan haiwan ini akan mampu membezakan dan berkata, " Engkau Muslim, dan engkau kafir". 

Meneruskan perjalanan ke Maulid Nabi atau rumah kelahiran Rasulullah SAW. Di sebelah adalah Ustaz Zahari atau lebih dikenali sebagai Ayahanda. 

Rumah di mana manusia paling mulia, Rasulullah SAW dilahirkan oleh ibunya Aminah Alaihassalam, dibidankan oleh Saidatina Maryam dan Saidatina Asiah Alaihassalam. Rumah ini sekarang dijadikan sebuah perpustakaan atau maktabah

Di belakangku dan Ustazah Asma adalah kawasan tempat tinggal Rasulullah dan Saidatina Khadijah. Di kawasan inilah terletaknya rumah mereka dan di sinilah mereka membesarkan anak-anak mereka. Aku terasa agak sedih melihat kawasan ini dijadikan tandas oleh pihak Arab Saudi, dan tidak diabadikan menjadi tempat bersejarah.
Alhamdulillah selesai jalan-jalan subur iman, aku dibawa oleh Ustazah Asma untuk makan roti canai di restoran Felda di Safwa Royal Orchid Hotel. Mungkin beliau kasihan melihat aku keseorangan. Jazakillah Ustazah, semoga ukhuwah yang terjalin kekal hingga ke syurga in shaa Allah. 


Aiskrim Arab yang memang tiada bandingannya.

Alhamdulillah haji kali ini, banyak yang kupelajari, tidak seperti semasa menunaikan umrah 3 tahun lalu. Mungkin kerana waktu yang suntuk, tiada masa untuk menghayati tinggalan-tinggalan sejarah ini. Betullah orang kata, "tak kenal maka tak cinta". Setelah kutahu sejarah di sebalik tempat-tempat ini, cara pandang dan cara fikirku berbeza tiap kali pandangan mataku jatuh di Hotel Hilton, Jabal Qubais, Bukit Safa dan Maulidur Rasul. Semoga apa yang kukongsikan di sini, turut dapat dimanfaatkan oleh pembaca yang berniat untuk datang ke tanah suci ini. In shaa Allah Amin...

No comments:

Post a Comment