Thursday 21 November 2013

Travelog Hajjah (Bahagian 4) : Lapangan Terbang di Jeddah...

7 Oktober 2013

7.30 malam waktu di Arab Saudi...



Alhamdulillah penerbangan selama 7 jam berjalan dengan lancar. Kami selamat mendarat di Lapang Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz. Mega merah di ufuk barat menandakan sudah masuk waktu Maghrib. 

Kami diminta menunggu di sebuah ruang, sementara menunggu giliran di kaunter imigresen. Ada jemaah haji yang bersegera berwuduk dan menghamparkan sejadah di kaki lima untuk menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak. Dalam hatiku tidak putus-putus melafaskan syukur, akhirnya aku berpijak di bumi Saudi. Namun kegusaran masih berbaki. Urusan visa inilah yang akan menentukan sama ada kami dapat meneruskan perjalanan ke Kota suci Mekah. 

Urusan imigresen dijangka mengambil masa empat jam. Aku memerhati, hampir setiap 5 minit pasti ada pesawat yang mendarat, membawa jemaah-jemaah haji, pastinya. Benarlah seperti yang diterangkan oleh pihak Tabung Haji Travels, 7 hari sebelum wukuf adalah waktu kemuncak di mana jemaah-jemaah haji terutamanya dari negara-negara teluk akan tiba. Kami diminta bersedia menghadapi kemungkinan untuk berhadapan sedikit "favouritism". Jemaah haji berbangsa Arab selalunya diutamakan untuk urusan imigrasi, walaupun kami tiba dahulu. Aku belajar mendidik hati untuk bersabar... 


Tanpa diduga, tidak sampaipun setengah jam kami menanti, kami dipanggil ke kaunter imigrasi. Kuberbisik dengan suami, "Baca Rabbi Yassir sebanyak-banyaknya, ya. Biar Allah permudahkan semuanya". Seram sejuk mengenangkan ada sahabat bercerita, tahun lepas bapanya terpaksa berpatah balik ke Malaysia kerana visa tidak ada apabila sampai di Jeddah. Allahu Rabbi, hanya padaMu kami berharap. 

Keajaiban mula berlaku. Apabila kami berempat mendekati kawasan kaunter, ada kaunter baru yang dibuka, maka kami tidak perlu beratur langsung. Alhamdulillah! Nafas lega kuhela tatkala kesemua passport kami siap dicop oleh pegawai imigresen bertugas.

Di kawasan pengambilan bagasi, beg kami sedia tersusun. Alhamdulillah bagus juga idea bapa mertuaku membeli tali rajut beg berwarna oren, jadi amat mudah mengenalpasti beg kami di dalam lautan beg-beg ribuan jemaah haji. 

Seterusnya kami ke laluan kastam. Ujian kesabaran dalam bentuk beratur. Nampak mudah tetapi ada juga jemaah yang tidak mahu beratur. Kami menanti dengan sabar. Ada jemaah yang diminta untuk membuka beg masing-masing. Aduhai aku terbayang, alangkah malunya kalau aku terpaksa berbuat demikian! Bukan apa, habislah semua pakaian dalamku berterbangan nanti! Namun Alhamdulillah pegawai itu tidak berminat dengan bagasi kami. Kami terus menyorong dua troli berisi empat beg besar kami. 

Selesai urusan kastam, kaunter seterusnya adalah pendaftaran kepada pihak Muassasah Arab Saudi yang bertanggungjawab menjaga semua jemaah haji tahun ini. Sekali lagi, kaunter yang baru dibuka, tersedia di depan mata. Segala puji hanya buatMu Ya Allah....

Kami melangkah keluar dari hiruk pikuk manusia yang sedang berurusan di dalam. Bayu malam Jeddah menyapa ketibaan kami. Pihak muassasah Arab Saudi meminta kami meninggalkan semua beg besar, yang akan diuruskan pihak mereka, hingga ke hotel kami di Mekah. 


Hati mula berbunga tatkala melihat beberapa bendera Malaysia berkibar megah. Kami mengikut saja laluan yang disediakan yang ditandai bendera dan bunting Tabung Haji Travel, hinggalah tiba di tempat istirehat yang disediakan. Sangat sederhana tapi cukup memadai. Surau yang luas, tandas yang bersih, tempat duduk yang selesa tersedia. Sempat aku bergambar dengan CEO Tabung Haji Travel iaitu Dato' Hajjah Yasmin, yang turut turun padang memastikan semua urusan jemaah haji berjalan lancar. Kagum aku melihat beliau, yang tidak segan silu membahagi-bahagikan makanan untuk jemaah haji, bertanya khabar, sesekali menyapa petugas di kaunter untuk memastikan semuanya baik-baik sahaja.


Surau untuk jemaah haji Malaysia

Bergambar kenangan bersama Dato Yasmin, CEO Tabung Haji Travels


Selesai makan malam dengan nasi arab berlauk ayam panggang, kami disajikan pula dengan santapan rohani. Ustaz memberikan tazkirah ringkas, menerangkan betapa Mekah adalah sebuah kota yang terletak di sebuah lembah. Signifikasinya, kita yang akan melangkah masuk kepadanya, harus membuang segala ego, letakkan diri serendah lembah Bakkah yang barakah, sedar diri bahawa diri menghadap Ilahi. Seru beliau, masuklah Mekah dengan kerendahan hati, mengharap kasih sayang Rabbul Izzati. Seharusnya semua pangkat, gelaran dan kedudukan, telah ditinggalkan di pintu rumah di Malaysia lagi. 


Tepat jam 12 tengah malam, bas kami tiba di terminal. Dua buah bas membawa kami ke Kota Suci Mekah. Sebelum bertolak, pihak muassasah mengambil passport kami untuk disimpan, hinggalah kami akan bertolak balik nanti. Sayu hatiku melihat jemaah-jemaah warga emas, yang terlentuk tidur sebaik sahaja duduk di dalam bas. Maklumlah ketika itu di Malaysia sudahpun jam 5 pagi. Perjalanan dari rumah ke KLIA, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah, urusan di Lapangan Terbang Jeddah, semuanya hampir memakan masa 24 jam. Pastinya memamah tenaga yang tersisa di tubuh-tubuh tua mereka. 

Dengan lafaz Bismillah kami meneruskan perjalanan. Perjalanan menuju Kota Mekah membelah hening dinihari. Kaabah sudah bermain-main di mataku. Terasa ingin terbang sahaja ke sana. 

Sesungguhnya perasaan mengantuk itu jua anugerah dari Allah. Aku terlelap dibuai hayunan bas yang meluncur laju.... 

Bersambung...




2 comments:

  1. Alhamdulillah. Semoga selama pergi dan balik..

    ReplyDelete
  2. hopefully dapat sampai ke sana juga satu hari nanti...

    ReplyDelete