Kenangan melihat sakura di Yangminshan Park, Taipei |
Penghujung tahun lalu, apabila suami saya mencadangkan untuk
bercuti ke Taiwan, perkara pertama yang terlintas di hati saya adalah ,
“Taiwan? Apa yang ada?”
Namun suami saya kata, seronok juga mengembara ke negara
yang belum pernah dilawati. Kata beliau, ia satu-satunya negara Asia Timur yang
belum dilawati. Mati-mati saya sangka Taiwan adalah sebuah negara sendiri.
Rupanya ia adalah sebuah pulau di bawah jajahan Republik Cina, tetapi mempunyai
pemerintahan sendiri iaitu parti pembangkang. Rata-rata orang Taiwan tidak suka
dikaitkan dengan negara besar itu. Budaya mereka pun agak berbeza.
Penerbangan Air Asia kami adalah pada pukul 10 pagi, dan
kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyun pada jam 2.40 petang.
Selepas urusan di imigresen dan tuntutan bagasi, kami menaiki bas ke bandar
Taipei. Oleh kerana kami pergi bersama sekumpulan warga Malaysia yang
lain, semua aturan ini sudah disiapkan lebih awal.
Perkara pertama yang saya nampak adalah, rakyat Taiwan amat
mementingkan masa. Sejak dari Malaysia lagi pemandu pelancong kami sudah pesan,
jika terlewat pemandu bas tidak akan menunggu kerana mereka sangat menepati
masa.
Alhamdulillah sekitar jam 4, kami bertolak ke Taipei, dan
perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Cuaca amat cerah, dan suhu 24
darjah.
Setibanya di Lapangan Terbang |
Tiba di hotel, Alhamdulillah sempat kami solat Zuhr dan Asar
jamak. Dan setengah jam kemudian iaitu kira-kira jam 5.57 petang, masuk waktu
Maghrib. Waktu siang di sini, seperti di Sabah dan Sarawak iaitu waktu Subuh
dan Maghrib awal satu jam dari semenanjung Malaysia.
Pemandangan dalam perjalanan ke hotel |
Hotel Sunworld Dynasty Taipei |
Bilik yang luas dan selesa Alhamdulillah |
Selepas solat , kami ke rumah kenalan mertua saya iaitu
Aunty Zai dan Uncle Ismail yang bekerja di kedutaan Malaysia di sana.
Alhamdulillah Hotel Sunworld Dynasty yang disediakan sangat dekat dengan
kediaman mereka, iaitu kira-kira 10 minit berjalan kaki sahaja .
Semasa berjalan kaki, saya sedar bangunan dan reka bentuk
bandar di Taipei, banyak mirip kota di Jepun seperti Tokyo dan Yokohama yang
pernah saya lawati. Orang-orangnya juga sangat sopan dan berhemah, saling tak
tumpah seperti rakyat negara matahari terbit.
Sambil berjalan kaki, Uncle Ismail yang sudah 4 tahun
tinggal di Taipei, menceritakan bahawa oleh kerana Taiwan pernah dijajah Jepun,
mereka memang “berkiblatkan” Jepun dan bukan negara Cina. Menurut Uncle Ismail,
Taipei juga sangat selamat, ada CCTV di setiap penjuru dan hampir tidak pernah
dengar berita ragut atau rompakan. Paling kami kagum, menurut Uncle, ada
kawannya yang pulang ke kampung selama sebulan, langsung tidak dikunci rumahnya
dan semuanya selamat sahaja.
Bersama Uncle Ismail di hadapan hotel |
Taipei Arena yang terletak dekat dengan hotel kami |
Alhamdulillah di rumah Aunty Zai dan Uncle Ismail, kami
dijamu nasi putih, asam pedas ikan, ayam goreng dan tomato Taiwan yang segar.
Berselera sungguh kami makan , apatah lagi ada kicap Jalen dari Malaysia sebagai penambah
perisa.
Rumah Aunty dan Uncle agak luas dan selesa. Apartment 3
bilik, ruang tumu yang luas, ruang makan, ada satu bilik air dan ruangan dapur kering dan basah, sewanya RM10, 000
sebulan. Hampir tersedak saya mendengarnya. Tetapi begitulah kos sara hidup
yang tinggi di Taiwan. Kata mereka, ,rumah apartment sahaja boleh mencecah
harga RM10 juta.
Namun , kata Uncle, ramai juga orang kaya millionaire dan
billionaire di Taiwan, hingga mereka ada kelab mereka tersendiri.
Selesai makan malam, kami berjalan-jalan di taman
berdekatan, dan dapatlah saya melihat beberapa pohon sakura yang sudah mula
berbunga. Sebelum ini saya pernah melihatnya di Tokyo, tetapi ini kali pertama
saya menikmati keindahan bunga yang mekar setahun sekali ini, bersama buah hati
saya. Pastinya sangat istimewa.
Bersama Aunty Zai & sakura |
Sakura pertama kami |
Ubike yang terkenal di Taipei, hampir sama dengan Obike di Malaysia. |
Dari taman bunga, kami ke stesen MRT untuk ke Pasar Malam
atau Night Market. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Aunty dan Uncle,
kami menaiki MRT dari Nanjing Fuxing ke
stesen Shilin. Uncle sudah meminjamkan kami dua keping kad seperti kad Touch
& Go untuk tambang MRT. Satu perjalanan tersangat murah, iaitu NT$15-16
sahaja. Untuk kadar tukaran wang asing sekarang, NT$100 adalah lebih kurang
RM13, tetapi untuk memudahkan, kami anggap sahaja NT$100 sama dengan RM10. Jadi
sekali naik MRT, tambangnya hanyalah lebih kurang RM1.50!
Pasar Malam Shilin adalah antara yang terkenal, tetapi
melihat di pintu masuknya ada banyak jualan makanan berundurkan daging khinzir,
tak lalu pula rasanya nak melintas. Maka kami hanya berjalan di lorong-lorong
kecil di sekitar pasar malam ini.
Antara yang banyak di jual adalah pakaian, sehelai sekitar
NT$290-300 bererti dalam RM30 (sebenarnya RM39). Saya membeli buah strawberi
yang sangat manis dengan harga NT$100 satu cawan, dan sayur-sayuran yang
di-dihidrasi dan rangup, harganya NT$500 untuk 3 plastik.
Sekitar jam 10.30 malam, kami bergerak pulang ke hotel
dengan teksi, kerana sudah tidak larat berjalan. Tambang teksi dari Shilin ke
kawasan hotel kami (landmark Taipei Arena) adalah sekitar NT$200.
Sudah malam pun semua orang masih beratur. |
Penuh juga MRT walaupun sudah malam |
Sekitar Shilin |
Strawberi yang manis, NT$100 satu gelas |
Sihat sungguh snek orang sini, sayur-sayuran sahaja |
Hari ke dua di Taipei, kami mengikut bas pelancong anjuran
syarikat Skyway, untuk ke kawasan bandar. Bayarannya adalah NT$800 seorang.
Sebelum bergerak, kami bersarapan di hotel, yang sangat mengambil berat
keperluan pelancong Muslim, telah menyediakan kawasan makan yang halal untuk
kami. Alhamdulillah lega rasa hati.
Cakoi Taiwan, yang dimakan bersama nasi putih |
Oleh kerana saya
memang teruja untuk melihat bunga sakura, saya telah menempah sepasang skirt
khas bertemakan bunga sakura, dari peniaga Instagram iaitu Doll Kertas untuk
lawatan hari ini. Maklumlah semasa bernikah dahulu, kami masih bergelar pelajar
perubatan dan belum mampu nak mengambil gambar “outdoor photoshoot”. Inilah
peluang kami, sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke 15, Ogos nanti in
shaa Allah
Bas kami bertolak dari hotel sekitar jam 8.45 pagi hari
Jumaat itu, dan kagum saya melihat jalan raya yang tiada kesesakan lalu lintas.
Mungkin kerana ramai yang menaiki kenderaan awam.
Perhentian pertama kami adalah sebuah kawah gunung berapi di
kawasan Xiaoyoukeng, iaitu berdekatan Taman Negara Yangminshan. Gunung berapi
ini yang terletak hanya satu jam dari bandar Taipei, suatu masa dahulu pernah
aktif, tetapi sekarang sudah dorman. Namun di kawah ini, masih ada wap panas
dan gas sulfur yang berbau , disebarkan. Hasil letusan gunung berapi ini dan
beberapa gunung berapi lain di Taiwan, menyebabkan tanah di sini subur untuk
bercucuk tanam.
Dari Xiaoyoukeng, kami ke Yangminshan Park untuk menikmati
keindahan bunga sakura. Menurut pemandu pelancong, sekarang (awal Mac), masih
awal dan bunga belum berkembang penuh, dan dijangka akan berkembang pada
pertengahan Mac. Di sini agak awal, berbanding di Jepun yang rata-rata sakura
berkembang pada akhir Mac dan awal April. Boleh baca pengalaman saya melihat
sakura di Jepun , di sini (Cherry Blossom Journey Tokyo).
Dari pintu masuk Yangminshan Park, kami harus bertukar bas
kerana jalannya agak sempit, maka bas ekspres kami tidak boleh masuk ke dalam
kawasan taman. “Shuttle bus” ini agak kerap, dan bayarannya hanya NT$15 sekali
naik.
Shuttle bus menghantar kami ke kawasan taman bunga di Flower
Clock , dan dapatlah kami bersiar-siar di kawasan itu. Ma shaa Allah memang
cantik sungguh pemandangan di sini, dengan berlatar belakang gunung ganang, ada
sungai yang mengalir di tengah-tengah taman dan bunga sakura yang berwarna
merah jambu terang, menghiasi seluruh taman ini. Bertuah sungguh saya rasa
dapat bersiar-siar di sini bersama buah hati saya.
Flower Clock |
Selepas setengah jam di sini, kami kembali menaiki shuttle
bus ke kawasan bas ekspres kami, dan kami bergerak ke bandar Taipei semula. Pada
mulanya kami berniat mahu solat Jumaat di Masjid Besar Taipei atau Taipei Grand
Mosque, tetapi perjalanan yang memakan masa sejam itu agak lewat, dan setibanya
kami di masjid, orang ramai baru sahaja selesai solat Jumaat. Maka kami pun
bersolat Zuhr dan Asar secara jamak sahaja.
Selesai solat, kami ke restoran makanan halal di sebelah
masjid. Pemiliknya orang Indonesia, maka menunya juga makanan Indonesia seperti
ikan goreng, nasi goreng dan sebagainya. Harganya juga agak berpatutan, NT$150
untuk sepinggan nasi goreng. Porsinya juga besar, boleh berkongsi berdua.
Ruang solat utama |
Taipei Grand Mosque |
Nasi Goreng |
Nasi Pecal Ayam |
Bersama Joyce, pemandu pelancong kami yang berminat dengan Islam Semoga Allah beri hidayah kepadanya in shaa Allah |
Dari masjid, kami ke menara mercu tanda Taipei iaitu Taipei
101. Jika bulan Oktober lepas saya ke Hong Kong dan menaiki Sky100 iaitu mercu
tertinggi di sana, ternyata ada pesaing bangunan tertinggi di sini iaitu Taipei
101 ini. Ketinggiannya adalah lebih 500 meter, hingga katanya jika mercu in
boleh dipindahkan ke selat yang memisahkan Taiwan dengan negara Cina, ia masih
akan berdiri megah kerana kedalaman laut di selat itu hanyalah 100 meter.
Perbandingan ketinggian pencakar langit di dunia |
Berbeza dengan Sky100 Hong Kong yang ultra moden, Taipei 101
masih mengekalkan senibina Cina yang unik, di mana bangunan ini dibahagikan
kepada 8 sektor kerana nombor 8 adalah bermaksud “luck” atau bernasib baik.
Oleh kerana hari agak berkabus, kami teragak-agak juga mahu
menaiki menara ini. Pada pendapat saya, mungkin pemandangan lebih cantik jika menaiki
menara ini pada waktu malam. Tetapi menurut
suami saya, mungkin malam kabus akan lebih tebal dan menghalang pemandangan
juga. Maka kami putuskan untuk menaikinya sekarang.
Beberapa arca seni yang terdapat di luar Menara Taipei 101 |
Sebuah teknologi mengawal kesan bencana alam terletak di tingkat ke-88 mampu mengawal kestabilan bangunan terhadap ancaman gempa bumi, taufan, dan angin Teknologi ini mampu mengurangkan sehingga 40% pergerakan menara. Maha Suci Allah yang mengurniakan manusia dengan ilmu untuk membina bangunan setinggi ini di sebuah negara yang terdedah kepada taufan dan gempa bumi setiap tahun.
Alhamdulillah cantik pemandangan kota Taipei dari atas menara ini. Sempat saya rakamkan sebuah video Sembang-sembang Oftalmologi di sini.
Menaiki tangga untuk ke tingkat 91, dari tingkat 89 |
Pemandangan dari tingkat 91 |
Ini adalah wind damper yang membantu menstabilkan bangunan apabila dilanda angin kuat |
Mencuba cold infusion tea berharga NT$80 |
Tepat jam 4.45 petang, kami turun semula untuk menaiki bas
untuk pulang ke hotel. Alhamdulillah dua hari di Taipei, kami langsung tidak
menggunakan data internet, kerana terdapat wifi di mana-mana secara percuma,
dari Visitor Centre, tempat membeli belah (contohnya di Taipei 101 Mall),
restoran-restoran dan di stesen MRT. Jadi tiada masalah untuk kami “check-in”
di Facebook di tempat-tempat yang kami lawati, sebagai kenangan suatu masa
nanti.
Esok kami akan ke bahagian utara Taipei pula, untuk melihat
keindahan alam di sana. In shaa Allah nanti saya kongsikan ya.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment