Thursday 27 September 2018

Rujukan terbaik dalam mendidik anak - Ustazah Maznah Daud

Alhamdulillah hujung minggu lalu saya berpeluang mengikuti satu seminar pendidikan anak-anak yang dianjurkan oleh Al-Amin Edu Oasis. Tajuk seminar ini adalah "Engineering your family" dan ada dua slot iaitu slot "Rujukan terbaik dalam mendidik anak-anak" oleh Ustazah Maznah Daud, dan slot ke dua slot 'Kesihatan Mental Anak-anak". 

Kedua-dua slot ini sangat menarik, tetapi saya kongsikan dahulu slot pertama iaitu slot Ustazah ya. 

Walaupun anak sulung kami sudah berusia 12 tahun, saya masih merasakan banyak yang kami perlu belajar dalam ilmu mendidik anak-anak agar menjadi insan-insan yang diredhai Allah dan dapat memberikan manfaat kepada orang ramai in shaa Allah .




Rujukan Terbaik Dalam Mendidik (Ustazah Maznah Daud)

Hadith Rasulullah : Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang, tidak kamu akan sesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dn hadith

-          Ini bukan sahaja untuk hukum hakam tetapi juga untuk semua aspek kehidupan

Tarbiah : penyuburan dan penambahbaikan , penjagaan , usaha berterusan untuk mencapai sesuatu tujuan

Takziah : membersihkan jiwa dari kekotoran yang melekat pada tabiat , perangai dan tingkah laku, mengurangkan keburukan dan kejelikannya serta menambahbaik sifat dan akhlak yang mulia dan terpuji

Surah Al-Jumaah ayat 2  : 



هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلْأُمِّيِّۦنَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ


Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata, (Al-Jumu’ah 62:2)

Bidang Rasulullah iaitu

  1)      membaca kepada masyarakat ayat-ayat Allah ,
  2)      mentakziah mereka (mendidik) dan
  3)      mengajar dengan hikmah iaitu menunjukkan satu persatu seperti mengajar solat, satu persatu cara solat

Dari proses tazkiah Rasulullah Saidina Umar yang garang dan keras menjadi pemimpin ulung yang menjadi ikon sepanjang zaman. Saidina Bilal dari seorang hamba menjadi muazzin dan pejuang Islam

Proses tazkiah ini berlaku sepanjang zaman, seperti di dalam surah As-Syams . perbandingan mudah jika kita ada sebidang tanah, kita sentiasa perlu bersihkan, potong rumput dan sebagainya. Jika dibiarkan, Lalang yang akan tumbuh, begitulah lalang itu umpama sifat-sifat negatif. Jika kita mahu makan rambutan, maka tanamlah pokok

Beribadahlah kepada TuhanMu hinggalah datang waktu yang yakin iaitu waktu kematian. Termasuk juga proses tazkiah .

Al-Quran mendidik semua peringkat (ali Imran ayat 138) – tidak ada orang yang sudah tidak perlu tazkiah.

Hadith dari hadith 40: Agama ini nasihat

Objektif Pendidikan : Surah Al Baqarah ayat 21 : adalah untuk MENJADI ORANG BERTAQWA

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Orang bertaqwa apabila mahu melakukan sesuatu , sentiasa memikirkan sama ada Allah redha atau tidak. Kisah si ibu penjual susu di zaman Umar al-Khattab adalah contoh orang bertaqwa. Tidak kita apa pun output dan apa pun kerja anak kita nanti, yang paling penting adalah menjadi orang bertaqwa.


Salah seorang anak Umar Al-Khattab yang berkahwin dengan anak penjual susu ini, dapat anak bernama Laila. Laila ini berkahwin dengan lelaki bernama Abdul Aziz dan mendapat anak bernama Umar, dan dari hasil orang-orang bertaqwa ini lahirlah Umar Abdul Aziz.

Matlamat akhir Pendidikan : TERPELIHARA DARI API NERAKA – inilah kejayaan yang hakiki
(Surah At-Tahrim)

Ciri-ciri pendidikan dalam Al-Quran

   1)      Wawasan yang jelas

a)       Surah Al Furqaan 25: ayat 74: 

Dan orang-orang yang berkata, "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.


b)      Doa Ibu Maryam Surah Ali Imran 3, ayat 35 : 

tulisan arab alquran surat ali imraan ayat 35-36

“(Ingatlah), ketika isteri ‘Imran berkata: ‘Ya Rabbku, sesungguhnya aku menazarkan kepada-Mu anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Kerana itu terimalah (nazar) itu dariku. Sesungguhnya Engkau-lah Yang Maha Mendengar lagi Mahamengetahui.’ (QS. 3:35) Maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: “Ya Rabb-ku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau dari syaitan yang terkutuk”. (QS. 3:36)

    Bebas dari urusan dunia bukan bererti bebas dari dicengkam dari mencari kepentingan dunia. Niat ikhlas semata-mata kerana Allah apabila buat apa sahaja di  dunia ini .

c)       Surah Maryam 19: ayat 5-6 

tulisan arab alquran surat maryam ayat 1-6

“Dengan menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”
“1. Kaaf Haa Yaa ‘Ain Shaad. 
2. (yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada hamba-Nya, Zakaria, 
3. Yaitu tatkala ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut. 
4. ia berkata “Ya Tuhanku, Sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, Ya Tuhanku. 
5. dan Sesungguhnya aku khawatir terhadap mawaliku sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, Maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera, 
6. yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya’qub; dan Jadikanlah ia, Ya Tuhanku, seorang yang diridhai”. (Maryam: 1-6)

– jangan ukur doa dengan diri kita. Nabi Zakaria yang sudah tua, isteri sudah sah mandul tetapi doa untuk mendapat zuriat itu makbul . Tiada yang mustahil di sisi Allah. Jangan lihat keterbatasan upaya kita apabila nak berdoa, kita ingat kita nak berdoa itu kepada Allah yang Maha Kuasa dan Maha Kaya

  2)      Islah diri (Surah Al-Kahfi 18 : ayat 82) kisah harta anak yatim yang tersembunyi di bawah tembok peninggalan orang tuanya yang soleh

tulisan arab alquran surat al kahfi ayat 82
    
   “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang shalih, maka Rabbmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Rabbmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemauanku sendiri. Demikian itu adalah takwil (tujuan perbuatan-perbuatan) yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”(QS. Al-Kahfi: 82)

-          Allah menghantar Khidir untuk menjaga kemaslahatan harga dua orang anak yatim bukan kerana anak itu baik tetapi kerana ayahnya soleh.

-          Jika kita cuba untuk berusaha menjadi soleh, Allah akan pelihara zuriat kita à kepentingan ISLAH diri yang berterusan

-          Dalam kisah ini Allah pelihara harta dunia, apatah lagi harta akhirat atau keimanan anak-anak

-          Ada pendapat mengatakan, harta ini bukan harta ayahnya tetapi datuk generasi ke 7 atau 10, bererti kebaikan seorang yang soleh dapat melindungi keturunannya

-          Ada ulama yang muhasabah diri apabila melihat anak atau binatang ternakannya liar, apakah kesilapan dirinya
  
   3)      Menunjukkan kasih sayang

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الْأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِي جَالِسًا فَقَالَ الْأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنْ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَم



Abu Hurairah radliallahu ‘anhu berkata; “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mencium Al Hasan bin Ali sedangkan disamping beliau ada Al Aqra’ bin Habis At Tamimi sedang duduk, lalu Aqra’ berkata; “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memandangnya dan bersabda: “Barangsiapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi.” (HR Bukhari No: 5538)   

-          Anak-anak perlu rasa disayangi dan antara caranya adalah dengan cium

-          Hadith lain Rasulullah memangku Usamah & Hassan Bin Ali RadhiAllahuanhuma dan mendoakan mereka

   4)      Menyeluruh (Surah Luqman 31 : ayat 13-19)



]
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لاِبْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَابُنَيَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
وَوَصَّيْنَا اْلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ& وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلاَ تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ& يَابُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَوَاتِ أَوْ فِي الأِرْضِ يَأْتِ بِهَا اللهُ إِنَّ اللهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ& يَابُنَيَّ أَقِمِ الصَّلاَةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ اْلأُمُوْرِ &وَلاَ تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلاَ تَمْشِ فِي اْلأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللهَ لاَ يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ& وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ اْلأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ[
Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya pada waktu ia memberi pelajaran kepadanya, “Anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, kerana sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.” 
Kami memerintahkan kepada manusia untuk berbuat baik kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu-bapakmu. Hanya kepada-Kulah kembalimu. 
Jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, janganlah kamu mengikuti keduanya; pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.  
Luqman berkata, “Anakku, sesungguhnya jika ada suatu perbuatan seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (balasannya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Tahu. 
Anakku, dirikanlah shalat,   suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari perbuatan yang mungkar, serta bersabarlah atas apa saja yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah. 
Janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai. (QS Luqman [31]: 13-19).

-          Amar maaruf nahi mungkar – anak mesti menjadi Musleh

-          Pendidikan bukan menekankan ibadah semata-mata
  
   5)      Pemantauan yang berterusan (surah Al Baqarah 2: ayat 133)

tulisan arab surat albaqarah ayat 132-134


    “Adakah kamu hadir ketika Ya’kub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: ‘Apa yang kamu sembah sepeninggalku.’ Mereka menjawab: ‘Kami akan menyembah Rabb-mu dan Rabb nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail, dan Ishaq, (yaitu) Rabb Yang Mahaesa dan kami hanya tunduk kepada-Nya’”. (QS. Al-Baqarah: 133) 

   Itu adalah umat yang lalu; baginya apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa yang sudah kamu usahakan, dan kamu tidak akan dimintai pertanggungjawaban tentang apa yang telah mereka kerjakan.” (QS. Al-Baqarah: 134)

-          Nabi Yaaqub sebelum wafat masih lagi bertanya anak-anak lepas ini mahu sembah siapa

  6)      Komunikasi yang berkesan (Surah Al-Saafaat 37: ayat 102)  

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
   
     Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".


-          Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kita tidak tahu berapa kerap Nabi Ibrahim menziarahi anaknya kerana Baitul Maqdis dan Mekah itu jauh, tetapi komunikasi antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu mantap dan lengkap

-          Perkara yang sangat berat nak disampaikan tentang Allah minta menyembelih anaknya , tetapi Nabi Ibrahim ajak berbincang dengan anaknya sendiri, bukan minta ibunya sampaikan. Nabi Ismail pula tidak pula membantah dan galakkan bapanya melakukan perintah Allah dan in shaa Allah akan dapati dirinya orang yang sabar

   7)      Ibu dan ayah sama berperanan

Contoh peranan ibu :

-          Bonda Maryam yang berwawasan untuk menginfakkan anaknya untuk urusan akhirat
-          Bonda Musa yang hanyutkan anaknya untuk selamatkan anaknya, kakaknya yang kemukakan cadangan untuk menjadi ibu susuan dan sebagainya
-          Bonda Nabi Ismail iaitu Hajar sebagai Ummahatul Mukminin

Contoh peranan bapa :
-          Nabi Ibrahim As
-          Nabi Yaakub As – tiada disebut peranan ibu
-          Nabi Zakaria – kisah isterinya tidak disebut
-          Luqmaan – tiada kisah isterinya
-          Nabi Muhammad SAW

Tiada masalah ibu tunggal, bapa tunggal atau yang dua-dua ada, kedua-duanya ada peranan dan perlu main peranan.

*********************************************

Selepas sesi dengan Ustazah, ada sesi soal jawab dan ada ibu bapa yang bertanya soalan. saya kongsikan soalan dan jawapan dari Ustazah 

Q: Bagaimana nak didik anak apabila di sekolah terdedah kepada kawan-kawan yang tidak berakhlak termasuk menggunakan bahasa yang tidak baik

A: Rasulullah kata hati manusia itu umpama dulang yang tidak boleh dihalang apa yang masuk, tetapi apa yang banyak masuk ke dalam itu , itulah yang kekal di dalamnya. Memang perlu sentiasa awasi , dan mungkin jika anak sebut perkara tidak baik suruh istighfar sama ada dengan kata-kata atau menulis.

Q: Peranan bapa dengan anak remaja perempuan ?

A : Rasulullah apabila Fatimah datang, Baginda akan bangun menyambut sebagai penghormatan. 
Ayah perlu selalu puji anak perempuan, jika tidak dipuji, dia akan suka apabila dipuji dengan orang luar kerana di rumah tidak pernah dapat penghargaan sedemikian.

Q ; Bagaimana cara menunjukkan kasih sayang dengan anak lelaki yang tidak suka peluk cium?


A: Tunjuk perhatian dan betul-betul dengar apabila dia mahu bercerita. Anak lelaki mudah terasa dengan ibu, contoh tidak tanya khabar, tidak dengar cerita dia dan sebagainya

Allahu alam, semoga bermanfaat in shaa Allah. 


Tuesday 18 September 2018

Uwais dan tonsillectomy nya


Alhamdullillah pada 12 September yang lalu , anak bongsu saya Uwais telah selamat menjalani pembedahan membuang tonsilnya yang bengkak, atau dalam istilah perubatannya adalah tonsillectomy.

Uwais yang lahir tidak cukup bulan, sememangnya mudah terkena jangkitan kuman. Semasa kurang dari usia setahun sahaja, tiga kali masuk ke hospital kerana jangkitan paru-paru. Selepas ulangtahun ke 2, dia masuk ke wad dengan jangkitan virus yang agak teruk iaitu virus influenza, dan kemudian bocavirus. Hampir sahaja dia masuk ke unit rawatan rapi.  Alhamdulillah Uwais saya berikan suntikan vaksin pneumococcal , maka kurang sedikit risiko terkena jangkitan bakteria yang merbahaya.

Episod kali ini pula berlaku selepas hari raya. Dalam masa 6 minggu, 4 kali Uwais diserang jangkitan kuman atau Upper Respiratory Tract Infection atau URTI , hingga terpaksa mengambil dua jenis antibiotik berbeza. Selepas episod demam kali ke tiga, saya dan suami membawanya berjumpa seorang Pakar kanak-kanak, tetapi menurutnya, tonsilnya bengkak tetapi mungkin hanya jangkitan virus.

Apabila Uwais demam lagi selepas antibiotic habis, saya mula susah hati . Badannya pun semakin kurus kerana tidak lalu makan. Bayangkan beratnya hanya 10kg lebih bagi kanak-kanak 2 tahun setengah.


Ini Uwais, budaknya kecil sahaja tetapi idea banyaaaak. Entah kenapa sekarang ni musim dia nak jalan-jalan sambil pakai goggle walaupun bukan nak pergi swimming kahkahkahkah. Ikut suka awak laaaa

Alhamdulillah di PPUM, klinik Mata bersebelah dengan klinik Telinga, Hidung dan Tekak atau ENT. Saya terserempak dengan sahabat saya, yang mengajak saya berbincang kes anak saya dengan Pakar ENT kanak-kanak iaitu Dr Jeyanthi. Dr Jeyanthi terus meminta saya membawa Uwais ke hospital untuk pemeriksaan.

Pada awal Ogos, selepas diperiksa, ternyata bukan sahaja tonsil Uwais terlalu bengkak hingga hampir menutup tekaknya, adenoid atau kelenjar di hidungnya juga bengkak , menyebabkan Uwais sukar bernafas dan tiada fungsi menghidu. Apabila tiada deria bau, pastinya selera makan berkurang. Ditambah pula dengan kesukaran menelan, ia menyebabkan Uwais sukar naik berat badan.

Dr Jeyanthi terus memberikan antibiotik selama 6 minggu sebagai persediaan untuk pembedahan, dan memberikan tarikh untuk pembedahan. 

Terkejut juga saya, sampai saya bertanya, “Does he REALLY need the surgery? “ 

Dr Jeyanthi dan seorang lagi Pakar ENT Dr Azrina masing-masing berkata iya.

Maka bermulalah episod 6 minggu Uwais dengan antibiotic dan spray hidung untuk mengurangkan bengkak di dalam hidungnya. Punyalah susah nak beri spray hidung, macam nak berperang! Mujur Uwais senang nak minum ubat.

Dalam masa 6 minggu ini, Uwais tidak boleh ada demam, batuk dan selsema langsung, jika tidak pembedahan perlu ditunda. Saya pun susah hati juga. Iyalah saya pula sedang sambung belajar, tidak boleh cuti panjang-panjang.

Tetapi Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Merancang. 

Nak dijadikan cerita, pada penghujung Ogos, saya tersepak hujung kabinet dapur dan patah jari kaki! Maka saya pun dapatlah MC panjang dengan berkasut Robocop dan bertongkat. Tetapi sekurang-kurangnya saya tak perlu ambil cuti . Ada hikmahnya.


Siapa sangka tulang kecil pun kalau patah SAKIT OK. Ma shaa Allah. Harap-harap adalah dosa yang terampun dengan sakit ini. Amin 


2 minggu sebelum tarikh pembedahan, Uwais demam! 

Aduh saya dah susah hati. Saya whatsapp Dr Jeyanthi, dan beliau meminta saya menaikkan dos antibiotik kepada dua kali sehari. 

Alhamdulillah semasa berjumpa doktor bius untuk “pre-operative assesement”, Uwais lulus. Walaupun bersusah payah saya parking kereta di tempat OKU, bertongkat membawa di ke klinik anaesthesia, Alhamdulillah dipermudahkan jua.

Bersama sahabat lama , Jururawat Dila di Klinik Anaestesia

4 hari sebelum tarikh pembedahan, pada hari Jumaat, kami datang ke hospital untuk kemasukan ke wad, walaupun pembedahan adalah pada hari Rabu, kerana Isnin adalah cuti Umum sempena Keputeraan Agong, dan Selasa cuti Awal Muharram.

Pagi-pagi kami sampai di Klinik ENT, Uwais terpaksa ditidurkan dengan ubat Chlorhydrate untuk ujian pendengaran kerana dia tidak boleh bekerjasama. Ujiannya sekejap sahaja, tetapi dia punya meronta, mengalahkan apa sahaja. Hahahaa... 


Kesian pula tengok dah lentok lepas minum ubat tidur hehe

Selepas diperiksa, kami ke kaunter kemasukan dan mendaftar. Selepas mendaftar dan menunggu lebih kurang setengah jam, kami ke Wad 8PB. Selepas berjumpa doktor ENT, menandatangan borang kebenaran pembedahan, Encik Suami ke masjid untuk Solat Jumaat, saya melayan Uwais di wad. Letih juga nak menolak stroller dengan kasut Robocop saya yang berat itu.

Alhamdulilllah sekitar jam 4 petang  Pakar Bius datang dan memeriksa Uwais, dan selepas menandatangan borang kebenaran bius penuh, kami dibenarkan balik. Seram juga mendengar penerangan, ada risiko kecederaan pada mulut, dalam pipi, gigi, lidah dan sebagainya. Pakar Bius kata, jika pendarahan berlaku di dalam tekak, mereka perlu tolak Uwais masuk semula ke Dewan Bedah dan Uwais akan perlu bernafas dengan tiub pernafasan. Ma shaa Allah. Saya yang doktor pun ngeri mendengarnya. Semoga Allah pelihara anak kecil kami ini.

Hari Selasa , sehari sebelum pembedahan, kami ke hospital sekitar jam 5 petang. Mulanya merancang nak pergi awal, tetapi saudara kami yang Pakar Bius kata, tak perlu terlalu awal. Cuma apabila kami sampai di Kaunter Kemasukan Wad, sudah hampir jam 6, kaunter sudah tutup. Rupanya buka hingga jam 4.35 petang sahaja jika hari cuti.

Saya pun tolakkan stroller dengan Uwais dari Menara Selatan ke Unit Kecemasan. Pening kepala saya nak naik tangga di Kecemasan itu, dengan saya berkasut Robocop, dengan stroller Uwais, tiada laluan OKU dan suami pula pergi parking kereta. Mujur ada pemuda berbangsa Cina baik hati menolong saya Alhamdulillah. Bangga saya semangat satu Malaysia.

Pendaftaran di Unit Kecemasan sekejap sahaja. Selepas daftar terus ke Wad 8PB. Sampai di sana, doktor ENT sudah tunggu. Doktor kata perlu ambil darah , untuk mengetahui jenis darah dan persediaan mana tahu Uwais pendarahan banyak, perlu transfusi darah. Ma shaa Allah sekali lagi berderau darah saya

Uwais pula punyalah kuat, susah betul doktor nak pasang branula untuk infusi, hanya sempat ambil darah, kemudian dia meronta dan branula tercabut. Kasihan pula melihatnya. 

Sewaktu ini barulah saya mula terdetik, begini perasaan seorang ibu, yang anaknya mahu dibedah. Selama ini saya sebagai doktor yang membedah, saya tidak melalui semua ini. Mungkin inilah antara hikmah Allah beri anak saya sakit supaya saya lebih empati kepada ibu bapa pesakit selepas ini in shaa Allah.

Oleh kerana Uwais akan menjadi kes ke 4 esok, Uwais dibenarkan minum susu hingga jam 2 pagi, dan boleh minum air kosong hingga 6 pagi. Maka doktor ENT tidak meletakkan branula lagi. Doktor bius juga berkata akan dimasukkan selepas dia tidur esok di Dewan Bedah.

Malam itu, suami dan saya tinggal dengan Uwais. Uwais sangat ceria, tidak tahu apa-apa yang berlaku. Sibuk makan cereal hingga jam 10 malam, bergelak ketawa dengan ayahnya, minta disorong dengan stroller, hinggalah mengantuk dan mahu tidur dengan saya di kerusi malas yang boleh ditukar menjadi katil sementara. Walaupun sedikit sempit, alhamdulillah selesa. Selepas Uwais tertidur, ayahnya mengangkatnya dan meletakkan ke atas katil, dan saya tidur di kerusi malas. Suami saya balik ke rumah.


Malam sebelum pembedahan, masih dengan goofiness dia macam biasa






Sebelum tidur, saya set jam di telefon sekitar jam 2 pagi untuk memberi Uwais minum susu. Tetapi tidurnya nyenyak sungguh, langsung tidak menguit. 

Jam 6 pagi juga tidak mahu bangun untuk minum air. Saya yang tidak boleh tidur sepanjang malam, kerana ada bayi yang baru lepas pembedahan jantung, kerap bangun dan menangis setiap jam. Ma shaa Allah kasihan sungguh saya melihatnya. Tidak dapat saya bayangkan betapa sakitnya dibedah jantung pada usia sebulan. Kasihan juga pada ibunya yang masih dalam pantang dan pastinya keletihan menjaga bayinya seperti setiap hari dan malam. Saya hanya mampu mendoakan agar diberi kesembuhan kepada bayinya. 

Sebelah katil saya pula, adalah bayi anak Pengarah Filem terkenal Aziz M Osman, baik sahaja bayinya. Langsung tidak berbunyi atau menangis. Katil satu lagi kosong tiada pesakit.

Jam 6.10 pagi ketika saya solat Subuh, Uwais bangun. Selepas solat saya beri dia minum air kosong. Sepanjang pagi Uwais ceria sahaja, tidak pula meminta susu atau berkata lapar. Sibuk berjalan ke sana ke mari, melompat-lompat, panjat sana-sini dan sibuk bertanya “mana Abi.” Saya yang berdebar takut dia lapar.

Selesai mandi, Dr Jeyanthi datang dengan team, dan berkata dia jangkakan Uwais akan dipanggil sekitar jam 1 atau 2 petang, jadi boleh beri minum air kosong hingga 10 pagi. 

Sebelum Uwais adalah bayi-bayi yang lebih muda, dan ada satu kes yang lebih kritikal dan perlukan katil di PICU. Saya cuba sembunyikan wajah kecewa dan risau saya. Saya mengharapkan Uwais tidak perlu puasa terlalu lama. Saya tersenyum dan ucapkan terima kasih kepada team ENT.

Mereka berlalu pergi.

Uwais masih ceria.

Ayahnya sampai sekitar 9 pagi, selepas menghantar kakak-kakak dan abangnya ke sekolah. 

Saya pula perlu  pergi ke Klinik Sports Medicine untuk rawatan susulan saya. Saya tinggalkan Uwais seketika dengan berat hati. Saya pun belum bersarapan kerana tidak sampai hati nak makan depan dia yang berpuasa.

Di Klinik Sports Medicine, sambil menunggu giliran, saya teringat kata-kata Dr Muhammad Kamil (penulis buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman) dalam salah satu bukunya, ketika beliau terkena stroke, beliau meminta isterinya menghantar post di FB agar meminta sahabat-sahabat mendoakannya.

Hadith Rasululah SAW :

Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah
bersabda:

"Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan  berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama".
  
(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Maka saya menggunakan waktu lapang itu untuk menghantar satu post di FB memohon titipan doa buat anak kecil saya dari sahabat-sahabat FB saya, mudah-mudahan ada yang makbul in shaa Allah . Saya masukkan juga di whatsapp status saya.

Di klinik, saya berjumpa Pakar Sports Medicine,  Dr Rahmani. X-ray menunjukkan tulang jari kaki saya menunjukkan tanda-tanda akan sembuh tetapi masih terlalu awal dan oleh kerana saya masih belum boleh berjalan tanpa rasa sakit, beliau menasihati saya untuk terus memakai kasut Air Walker untuk seminggu lagi dan menyambung cuti sakit saya bagi mengelakkan pergerakan yang keterlaluan.

Selesai sahaja di Klinik Sports Medicine, sekitar jam 11. 30 pagi, suami menelefon mengatakan Dewan Bedah sudah memanggil Uwais untuk turun ke Dewan Bedah (OT) . 
Ma shaa Allah! 

Benarlah ada di antara doa sahabat-sahabat yang baik hati, yang dimakbulkan Allah yang Maha Baik.

Oleh kerana Klinik Sports Medicine di Menara Selatan sudah dekat dengan Dewan Bedah, saya menunggu sahaja di laluan. 

Tidak lama kemudian Uwais dan ayahnya sampai , diiringi seorang staff dari OT dan seorang jururawat dari wad.
Masuk ke OT, saya diberikan baju untuk disarungkan. Aneh rasanya, biasanya saya masuk sebagai pakar bedah, kali ini sebagai seorang ibu . Jururawat -jururawat dan doktor-doktor yang mengenali saya juga kehairanan. Apatah lagi saya dengan bertongkat dan terdengkut-dengkut. Saya hanya tersenyum dan menerangkan yang anak saya perlu menjalani tonsillectomy.

Hanya seorang ibu bapa dibenarkan masuk, dan Uwais mahukan Ummi, maka saya buka kasut Air Walker saya, dan masuk dengan berselipar OT, berbaju dewan bedah dan menemani Uwais di katilnya. 

Lama juga menunggu giliran kerana kes ke 3 baru sahaja masuk. Lebih kurang sejam, saya melayan Uwais bertanya itu ini, bermain belon dari sarung tangan, berjalan-jalan, sambil melayan perasaan yang silih berganti. Sekejap rasa berani, sekejap rasa sedih, sekejap rasa takut. Muka saya sahaja ceria, dalam hati rasa nak menangis pun ada. Terasa Uwais kecil sangat lagi dan perlu dibedah.

Saya ada satu habit yang saya sendiri tidak tahu sama ada baik atau tidak. Untuk pesakit-pesakit congenital cataract saya, saya sering memberikan nombor telefon peribadi saya kepada ibu mereka, untuk memudahkan mereka menghubungi saya. Masalah congenital cataract tidak berakhir dengan pembedahan. Rawatan susulan akan mengambil masa bertahun-tahun. Cuma syarat saya kepada mereka adalah mereka tidak boleh menyebarkan nombor telefon saya kepada orang lain.

Dalam saya menahan perasaan di ruang menunggu Reception di Dewan Bedah , saya mendapat whatsapp dari beberapa ibu bapa pesakit-pesakit saya , yang terbaca status whatsapp saya yang anak saya akan menjalani pembedahan.
Ma shaa Allah. Hampir saya menitiskan air mata, terharu dengan sokongan dari mereka. Tidak tergambar dengan kata-kata, apabila mereka pula yang memberikan kekuatan kepada saya.

Menunggu giliran di dalam Ruang Menunggu Dewan Bedah. 

Tidak lama kemudian, masuk pula seorang pesakit bayi, dan ibunya menegur saya, “Eh, Dr Aisyah!” 

Subhanallah! 

Seorang lagi pesakit saya juga akan menjalani pembedahan minor pada waktu yang sama. Bayi ini kami sudah merawat sejak dia berusia 6 bulan lagi, dan sekarang sudah 18 bulan. Saya memohon izin bergambar dengannya, dan saya minta kekuatan darinya. Ibu muda berbangsa Cina ini datang dari JB, dan berkata, walaupun anaknya sudah menjalani banyak pembedahan, setiap kali pembedahan, dan anaknya semakin sihat, beliau semakin kuat dan kuat! Subhanallah!

Sungguh, Allah memberi rezeki KEKUATAN ini dari sumber yang saya tidak jangkakan, seperti dalam surah At-Talaq ayat 2- 3: 

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Alhamdulillah Ya Allah. 

Pukul 12.45 Dr Jeyanthi datang berjumpa kami. 

Katanya “Jangan risau, Aisyah, it’ll be ok. I’ll do the surgery myself”. 

Hati saya tenang sedikit.

Tepat jam 12.50 tengahari , kami melangkah masuk ke Dewan Bedah sambil saya mendukung Uwais. Saya melangkah perlahan dengan terdengkut-dengkut, kaki kiri saya masih sakit apabila menapak, apatah lagi sambil mendukung anak. Macam- macam ditanya Uwais, ditunjuk lampu, aircond, wifi dan sebagainya.

Di dalam Dewan Bedah, mulanya Uwais ceria sahaja di dalam dakapan saya. Tetapi apabila dibaringkan, dia mula menangis dan berkata “Jangan Ummi!!” sambil menjerit sekuat hati. Hati saya bagai diruntun. 

Saya peluk dia sambil saya bacakan doa tidur dan bacakan syahadah, tatkala doktor bius memegang topeng gas untuk menidurkannya. Suaranya semakin perlahan, dan tidak sampai satu minit, Uwais sudah tertidur. Saya cium pipinya, dan saya serahkannya kepada Allah. 

Sambil saya menahan air mata melangkah keluar dari OT, saya kerling jam di dinding. Tepat pukul 1 tengahari .

Suami saya menunggu di luar, mengajak saya makan. 

Barulah saya tersedar betapa laparnya perut saya yang langsung tidak makan sejak pagi, hanya sesuap dua mihun goreng yang diberikan pihak hospital.

Kami segera makan di kafe Fakulti Perubatan, dan kemudian suami saya ke Masjid Hospital untuk solat Zuhr. Saya pula solat di Jabatan kerana ia dekat dengan Dewan Bedah.

Selesai solat jam 1.50 tengahari, baru saya perasan yang Dr Jeyanthi sudah whatsapp saya jam 1.40 tengahari yang pembedahan telah selesai dengan selamat tanpa sebarang komplikasi. 

Subhanallah!

Tatkala saya menghadap Allah, dalam sujud saya berdoa, Allah gerakkan tangan Doktor Pakar itu untuk membedah anak saya dengan baik. 

Alhamdulillah ya Allah.

Tidak lama kemudian, jururawat bahagian Recovery menelefon saya dan memberitahu yang Uwais sudah terjaga dan menangis! 

Kelam kabut saya melipat telekung dan sejadah, dan berjalan ke Dewan Bedah.

Sampai sahaja di Recovery, mujur ada sahabat saya Jururawat Ayum sedang memangku dan memeluk Uwais yang katanya mengamuk mencari Ummi . Subhanallah .

Alhamdulilllah
Alhamdulillah

Setengah jam di Recovery, Uwais silih berganti antara menangis ajak berjalan dan mencari Abi, dan tertidur. 
Serak suara tangisannya akibat tiub pernafasan yang digunakan semasa pembedahan. Pakaiannya masih sama, dengan pakaian yang saya pakaikan pagi tadi. Tidak ditukar baju Dewan Bedah pun. Melihatnya tidur, umpama tiada apa yang berlaku sebentar tadi. 


Selepas pembedahan

Sekitar jam 3 petang, staff dari wad datang menjemput kami dan kami balik ke wad 8PB.

Uwais bangun dan minum Vitagen sedikit, dan tertidur semula. Doktor ENT berpesan agar dia mula minum dan makan makanan yang sejuk agar kurang sakit di tekaknya.


Minum Vitagen 
Lepas tu sambung tidurrrr

Sekitar jam 6 petang, datuk dan neneknya datang dengan bubur, Uwais terjaga dan terus minta French fries! 

Ma Shaa Allah Alhamdulillah!


Tok Mi dan Tok Dad datang dari Semenyih

Malam dah mula makan cereal! Alhamdulillah . Posing pun macam BOSS

Alhamdulillah Uwais memang anak yang kuat. Walaupun suara masih serak, petang itu dia sudah makin ceria, sudah mahu makan dan minum susu. Malam itu giliran Abi pula tidur dengan Uwais, kerana kebetulan katil di hadapan kami itu ada pesakit baru masuk dan ditemani ayahnya. Jadi kurang manis pula saya yang menjaga Uwais.

Menurut ayahnya, malam itu Uwais terjaga juga dua tiga kali mencari Ummi, dan sakit pada tekaknya, tetapi tertidur semula apabila ditepuk-tepuk. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya terus ke hospital, suami pula pulang ke rumah untuk berehat.

Alhamdulillah sehari selepas pembedahan,  Uwais sudah boleh makan biskut, nasi dan pisang. Kami pulang ke rumah pukul 4 petang, dengan dokor berpesan agar Uwais makan ubat tahan sakit setiap 6 jam selama 2 minggu,  bagi memastikan dia tidak sakit, dan sentiasa makan. Jika tidak makan, slough atau fibrin akan terbentuk di atas permukaan tempat pembedahan, dan boleh menyebabkan pendarahan jika beralih kelak. 


Uncle Charles & Aunty Pin datang bawa hadiah!

Dalam masa 2 minggu ini juga, Uwais perlu dijaga agar tidak terkena sebarang jangkitan kuman kerana jangkitan sangat merbahaya. Maka kakak dan abang serta pembantu rumah jika ada batuk selsema, perlu memakai mask.

Alhamdulillah , ini satu pengalaman yang berharga buat saya. Allah mahu saya merasai perasaan seorang ibu yang anaknya menjalani pembedahan. Merasai proses pergi membawa anak ke klinik bius, ke kaunter kemasukan, masuk wad, melihat anak diambil darah, melihat anak puasa, melihat anak ditidurkan untuk pembedahan. 

Merasai debaran ketika anak dibedah, menanti detik dan ketika anak selesai pembedahan, melihat anak kembali pulih selepas pembedahan. Itu semua adalah tarbiyah dari Allah buat saya, seorang pakar bedah yang biasa membedah anak-anak tetapi jarang-jarang melihat sebuah pembedahan dari perspektif seorang ibu.

Alhamdulillah hari ini sudah 7 hari selepas pembedahan, Uwais pun sudah semakin sihat. Makan minum seperti biasa, cuma kami perasan suaranya berubah sedikit. Jika dahulu agak lantang, sekarang agak kecil seperti Chipmunk hahahah. 

Alhamdulillah alaa kulli haal. 

Semoga Uwais terus sihat dan tidak perlu pembedahan lagi di masa akan datang in shaa Allah. Doakan ya.

Balik dari hospital, terus singgah beli Air Purifier Atmosphere sebab kakak-kakak dan abang semua tengah batuk dan selsema, takut berjangkit. Tak apalah mudah-mudahan Allah terima sebagai satu amalan baik, investment untuk anak. Udara lebih bersih, kurang risiko jangkitan virus melalui droplet.  Thanks Charles & Pin sebab recommend ya . Kalau berminat silalah contact kawan kami 0177321718 .ya. Kami ni pengguna sahaja hehe