Monday 25 January 2021
Tiada bibik, maka hak kita untuk "memetir" pada anak?
Hari ni antara yang trending adalah ramai orang kata, "Iyalah, ada helper, ada bibik boleh lah artis tu lemah lembut dengan anak online class, tak kena masak, basuh baju, basuh berak anak."
Ya, saya sedar, sejak saya ada anak, saya pun jarang-jarang tak ada pembantu, jadi saya bukan contoh yang baik.
Alhamdulillah juga kejadian online class segala ni, berlaku dengan anak-anak saya 2 orang sudah di sekolah menengah, hanya seorang sekolah rendah dan seorang tadika.
Saya pula bekerja, dan kurang masa untuk memerhatikan anak-anak, maka mungkin kurang kesempatan untuk "memetir" dengan mereka hahaha.
Tapi itulah kan,
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
-Surah Al-Baqarah, Ayat 286
Saya nak beri contoh Mak saya.
Mak saya, sekolah sampai darjah 3 sahaja. Membesarkan kami 5 beradik, masa tu Mak bukan surirumah sepenuh masa.
Pagi Mak menoreh, tapi pagi Mak siapkan sarapan kami dulu, baru pergi kebun . Kami adik beradik semua bersiap, tak pernah pula dengar Mak jerit-jerit marah kami pagi-pagi.
Abang-abang 3 orang tu semua gosok baju sendiri, pandai saja sarapan sendiri. Saya je lah kecil lagi, kadang kala Ayah kena tolong ikatkan rambut sementara Mak carikan stokin abang lah, bungkuskan nasi lemak untuk jual kat sekolah lah.
Abang saya part time jual nasi lemak ni. Saya tak diberi tugasan ni sebab matematik kurang cekap. Haha.
Bila terfikir, agaknya pukul berapa Mak saya bangun masak sambal semua tu kan?
Kami pergi sekolah, Mak pergi menoreh. Adik kecil masa tu baby, Mak hantar rumah Mak dia, iaitu nenek kami.
Atuk dan nenek kami belah ayah, yang duduk serumah, Mak dah siapkan sarapan untuk mereka.
Kami balik tengahari, Mak dah balik dari menoreh, makanan tengahari dah siap.
Entah bila Mak masak.
Petang, kami balik sekolah agama, Mak pesan, "Kalau nak pergi main, sebelum Maghrib mesti balik. Solat Maghrib jemaah. Kalau Maghrib tak ada kat rumah, siap!"
Huuuuu itu je Mak gertak, kecut.
Maghrib berjemaah, lepas tu mengaji Mak juga yang mengajar.
Sejak saya darjah 3, Ayah kerja di KL.
Makan malam, semua Mak juga yang siapkan.
Bila fikir balik, sepanjang saya membesar, saya tak pernah dengar Mak saya ni menjerit ke, memekik ke marah kan kami.
Jangan salah faham, Mak garang! Bukan jenis lemah lembut sangat pun hehe.
Kalau tak nak mengaji, Mak suruh duduk dalam tandas!
Kalau buat bising masa Atuk nak rehat, Mak rotan!
Tapi mulut Mak tak bising.
Alhamdulillah, kami berlima, jadi manusia yang pandai hormat orang tua.
Pandai turun ke dapur bila hujung minggu nampak Mak masak.
Bila Mak suruh, tak berani nak lambat-lambat kan.
Rasa hormat dan sayang pada Mak Ayah tu, tak pernah surut.
Kami faham nilai sebuah buku adalah kena pakai untuk 5 beradik sebab lepas Ayah pencen askar, kami bukan orang senang.
Begitulah.
Ya, saya pun tak lulus juga, belum jadi ibu sebaik Mak saya, tetapi saya pun tak nak jadi ibu yang memekik menjerit marah anak. Sebab saya ada role model Mak saya yang baik.
Saya tak nak anak-anak ingat kenangan "dulu Ummi tu suka jerit-jerit marah-marah".
Sepatah kata Ustaz Abd Muien, Firaun yang jahat, bakal ahli neraka pun Allah suruh Nabi Musa bercakap LEMBUT dengan dia.
Anak-anak kita tak lah sejahat Firaun.
Kalau kita belum jadi ibu yang baik hari ini, biarlah kita bertekad jadi ibu yang baik mulai esok in shaa Allah.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Tak mungkin terbalas semua jasa Mak Ayah
Sunday 24 January 2021
Mimpi Atuk
Atuk.
Ini arwah datuk saya Haji Mohd Noh, bapa Mak saya.
Saya rasa Atuk saya ni antara orang yang paling warak saya pernah jumpa.
Pada usia 70an beliau mula hilang pendengaran. Tapi hidup beliau sentiasa dengan Al Quran, dengan kitab-kitab hadith dan sebagainya.
Kalau Hari Raya, semua orang akan dapat duit raya RM1 dari Atuk, kerana Atuk kata nak sedekah.
Atuk selalu ingatkan, zikir itu bagus. Tetapi zikir paling baik adalah Al Quran.
Seminggu sebelum Atuk meninggal, Atuk tanya Mak. Masa tu Atuk masih tinggal di rumahnya, tak jauh dari rumah Mak saya.
Atuk tanya, dalam bahasa jawa, "Hari ini hari apa?"
Mak saya jawab, "Hari Isnin."
Atuk jawab, "Isnin depan nak balik."
Mak saya tanya, "Isnin depan nak balik mana, Pak? "
Atuk cuma kata, "Nak balik sana. Dah, sudah." Sambil melambai tangan menyuruh Mak saya balik, selepas Mak hantar makanan.
Rupanya Atuk nak pergi Isnin depan itu. Waktu itu saya sedang sarat hamil Uwais. Usia Atuk 90an.
Semalam saya mimpi Atuk. Atuk muda, wajah Atuk kacak sekali. Ma shaa Allah saya tak pernah nampak Atuk masa muda begitu, tetapi wajah Atuk nampak berseri sekali.
Dan saya rasa gembira sekali dapat jumpa Atuk.
Walaupun sekejap.
Alhamdulillah, mudah-mudahan Atuk berada di dalam taman-taman syurga. Semoga Atuk mendapat pahala yang mengalir kerana Atuk mengajar Mak mengaji, Mak mengajar saya mengaji, saya pula mengajar anak-anak saya mengaji.
Mudah-mudahan nanti kita berjumpa di syurga ya Atuk.
Rindu Atuk.
Rindu Mak juga.
Semoga Allah pelihara semua warga emas yang kita sayangi in shaa Allah. Tiada perlindungan yang lebih hebat, berbanding perlindungan dariMu ya Allah.
Tuesday 12 January 2021
Nafas PKP 2.0 13 Jan 2021
Lama dakapan suami saya sebelum beliau pergi bertugas pagi ini.
Klinik baru nak bernafas, pesakit baru nak bertambah.
Pasti akan terkesan semula selepas ini.
Ada staff perlu digaji.
Ada sewa kedai perlu dibayar.
Belum lagi difikir, dengan setiap pesakit yang datang, ada risiko Covid juga.
Tiada kata-kata yang lahir dari mulutnya tentang kerja, hanya katanya risau pelajaran anak-anak.
Saya pun tidak terkata apa-apa.
Hanya teringat satu hadith yang Ustaz Abd. Muien pernah sebutkan di dalam kelas.
Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:
"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan,
kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya."
(Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)
In shaa Allah, usah sedih, sahabat baikku.
Usah bimbang, kawan-kawan semua.
Allah hapuskan dosa kita, in shaa Allah.
Selagi kita bergelar Muslim.
In shaa Allah.
Allah sentiasa ada.
#PKPMalaysia2021
Sunday 3 January 2021
Buang masa temankan isteri shopping?
Tadi pergi beli barang-barang sekolah anak dengan Encik Suami. Beritahu dia, saya nak singgah kedai baju kesukaan saya di Seremban ni.
Dia OK saja, tunggu di luar kedai.
15 minit saya pusing-pusing dalam kedai, ada yang berkenan warna, tiada saiz.
Ada yang ada saiz, tiada potongan yang saya suka.
Akhirnya saya keluar tak beli apa-apa.
Encik Suami tanya, "Eh tak ada ke?"
Saya pun cakap, "Tak adalah, macam yang saya beli dulu. Saya suka baju tu, material dia sesuai pakai dalam aircond. Cutting pun cantik. Dah tak ada. "
Dia jawab, "Alah, sayang betul."
Wajahnya ikhlas betul.
Sambil dia ajak pula saya tengok gerai-gerai lain di sekitar mall, jika ada blouse seperti yang saya mahu.
Puas membelek, tiada yang berkenan, saya pun ajak masuk Mydin cari barang anak-anak.
Beli barang anak-anak, dia tolong saya ambil barang anak-anak boys, saya pilih barang anak-anak girls.
Secara jujur, hari ini saya rasa sangat disayangi, walaupun tiada acara makan berdua, berjalan berpegangan tangan, mahupun dibelikan apa-apa hadiah istimewa.
Ya, begitu ya, kawan-kawan.
Seorang isteri tu, kadang bukan mahu sesuatu yang istimewa dari seorang suami.
Tetapi yang paling istimewa, adalah PERHATIAN yang diberikan
1) menunggu isteri memilih pakaian, tanpa memberi had masa
2) tidak menunjukkan wajah kecewa atau marah apabila isteri dah masuk kedai lama, tapi tak beli apa-apa pun
3) acknowledge atau iyakan perasaan isteri yang hampa apabila sesuatu yang dihajati itu tidak ada. Kami ni nak meluah saja, bukan sentiasa nak minta solution atau penyelesaian
4) Jika ada masa terluang, temankan isteri pilihkan pakaian untuk dia. Lebih bagus jika pilihkan yang patuh syariah
5) Sama-sama membantu mencari barang keperluan sekolah anak-anak, dan tidak menyerahkan semuanya 100% ke bahu isteri, walaupun isteri adalah surirumah dan suami beri semua duit yang diperlukan. Lebih best apabila suami pilihkan pattern beg sekolah atau beg pensil anak.
Entah, bagi sayalah, apabila nampak seorang ayah bersungguh-sungguh menyiapkan barang sekolah anak-anak, hati ini tersentuh dan berdoa pada Allah, agar setiap ringgit yang dibelanjakan, Allah ganjari dengan pahala sedekah in shaa Allah.
Selesai pilih barang anak tadi, sempat Encik Suami pilih satu kemeja untuk dirinya sendiri.
Dia kata, "Awak ada baju warna ni kan? Nanti kita boleh pakai sama-sama. Matching."
Heheh.
Betul lah orang kata.
Orang lelaki ni, makin tua makin romantik.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Makin berusia makin suka shopping di Mydin
Subscribe to:
Posts (Atom)