Kisah
Pahlawan kami, Muhammad Umar Mohd Hafiz
Daripada
seorang wanita yang tidak mampu untuk hamil, Alhamdulillah sesungguhnya
kurniaan Allah itu Maha Luas. Kami yang tidak pernah menyangka akan mendapat
walau seorang cahayamata, telah dianugerahkan dua orang puteri yang comel dan
sihat. Selepas melahirkan puteriku yang kedua dalam keadaan tidak cukup bulan
atau pramatang, aku telah menggunakan Implanon iaitu susuk hormon yang dipasang
di lengan, bagi merancang kehamilan. Walaupun kaedah ini kukira lebih mudah
berbanding pil perancang yang memerlukanku mengingat untuk ambil setiap hari,
malangnya Implanon menyebabkan haidku tidak teratur dan berpanjangan. Selepas
18 bulan memakainya, aku mengambil keputusan untuk mengeluarkannya, walaupun
jangkahayat Implanon itu adalah tiga tahun. Masih jelas diingatanku suamiku
ketika itu berkata belum bersedia untuk mendapat cahayamata ke tiga, tambahan
pula peperiksaan Sarjana atau Masters ku bahagian pertama sudah hampir. Aku
meyakinkan beliau bahawa aku sudahpun mendapatkan pil perancang untuk kuambil selepas Implanonku dibuka.
Beberapa hari selepas Implanon itu dibuka, haid ku datang seperti biasa, untuk
bulan Februari 2009 itu.
Pada
awal Mac itu juga, kami bercuti ke Sydney Australia bersama rakan-rakan
seperjuangan Hai-O. Itulah pertama kali aku menjejakkan kaki ke Australia, dan
lebih istimewa lagi ketika itu kami dapat membawa 2 orang rakan kongsi bersama.
Teruja dengan Opera House, Blue Mountain, kangaroo dan koala, tiga hari
berturut-turut aku terlewat mengambil pil perancang.
Sesungguhnya
rezeki dari Allah, andai sudah termaktub bakal menjadi milik kita, pasti tidak
ada yang dapat menahannya. Maha Suci Allah, sekembali dari Australia, haidku
tidak datang lagi. Sahlah aku hamil sebulan selepas Implanonku dibuka!
Alhamdulillah. Walaupun dahulunya suamiku yang berkata belum bersedia, ketika
haidku lewat, dia yang lebih teruja dan menawarkan untuk membelikanku ujian
kehamilan. Sememangnya tiada perasaan yang lebih indah tatkala memberitahu seorang
suami, yang diri ini sedang hamil dengan seorang anak zuriat suami tersebut.
Alhamdulillah
kehamilan peringkat awal berjalan lancar. Aku ternanti-nanti bilakah “morning sickness” ku akan bermula?
Hingga kadang kala aku tertanya-tanya, betulkah aku hamil? Kusimpan pregnancy
test ku hinggalah aku berjumpa dengan doktor pada kira-kira usia kehamilanku 9
minggu. Ketiadaan morning sickness dan muntah-muntah seperti anak-anak sebelum ini
sedikit sebanyak memberikan aku harapan bahawa bayi ini adalah bayi lelaki,
kerana “pembawaan budak” yang berbeza.
Ketika
usia kehamilanku menginjak 9 minggu, aku menduduki peperiksaan Masters bahagian
pertama. Sememangnya kami diberitahu tahap kelulusan adalah kurang dari 50%,
bererti daripada 11 orang di Tahun Satu Oftalmologi di universitiku (in campus) ini, hanya 5 atau 6 orang
akan lulus. Aku tidak bersedia, tambahan pula aku melangkah ke dalam masters
dalam keadaan tidak cukup pengalaman dalam bidang kepakaran mata ini,
berbanding calon-calon lain yang sudah punya 2-3 tahun pengalaman. Aku berusaha
sehabis baik dan bertawakkal kepadaNya. Aku bertekad “aku mesti lulus!” kerana
jika tidak, ujian ulangan adalah pada bulan November iaitu sangat hampir dengan
tarikh aku dijangka bersalin. Ketika itu hanya temanku yang turut sama dalam
bidang oftalmologi di Hospital Kuala Lumpur, yang tahu tentang kehamilanku.
Kurahsiakan dari semua pensyarahku, takut dimarahi.
Alhamdulillah.
Kuasa Allah, aku lulus! Bukan atas usahaku, tapi atas ihsan dariNya. Masih
kuingat salah satu soalan esei semasa peperiksaan itu, aku dan temanku baru
sahaja membincangkannya semasa sarapan, dan soalan itu keluar 30 minit
kemudian. Soalan viva juga begitu, kami berbincang dalam kereta semasa dalam
perjalanan ke hospital, soalan itu juga ditanyakan kepada kami oleh pemeriksa.
Ya Allah, nikmat Allah yang mana lagikah yang boleh kami dustakan? Tiada, ya
Allah!
Dalam
debaran dan tidak percaya aku lulus, aku gagahkan diri untuk melihat sendiri
keputusan peperiksaan yang dipaparkan di pejabat. Khuatir ada yang tersilap
baca nombor matriksku, lantas silap membaca keputusanku. Alhamdulillah betullah
MGL080018 itu nomborku. Aku lulus!! Allahu Akbar!
Namun
kegembiraanku tidak kekal lama. Belum sempat kubersujud syukur, aku dapat
rasakan ada yang tidak kena. Aku ke tandas, dan ketika itu kulihat ada sedikit
darah. “Allahu Rabbi. It’s happening
again.” Dalam kerisauan, aku melangkah ke klinik Obstetrik dan Ginekologi yang terletak bersebelahan dengan klinik mata
kami. Tatkala sahabat-sahabatku keluar makan tengahari bersama untuk meraikan
kejayaan, aku berpeluh dan berdebar menanti untuk diperiksa oleh doktor. Aku risau
kerana sepanjang pengajian masters ini, kami memang telah dipesan berkali-kali
agar TIDAK hamil, dan kami TIDAK ADA cuti bersalin. Apatah lagi MC yang
dibenarkan hanyalah 7 hari bagi setiap 6 bulan atau satu semester. Aku hanya
mampu berserah.
Dari
jam 1.45 tengahari, hinggalah ke pukul 4.30ptg, barulah aku dipanggil. Rupanya
tiada sebarang keistimewaan kepada staf hospital ini. Semua orang harus beratur
menunggu giliran. Suamiku yang kuhubungi tengahari tadi, turut menahan nafas di
tempat kerja beliau, menanti berita dariku berkenaan pendarahan tadi. Hilang
seketika kegembiraan mendapat berita aku lulus dalam peperiksaanku.
Aku
bertemu Dr Wan Ibrahim, yang melakukan scan padaku, dan menyampaikan berita
gembira. Katanya bayiku selamat! Alhamdulillah. Cuma aku harus bercuti untuk
berehat selama dua minggu, hingga hampir masuk ke trimester ke dua, agar janin
lebih kuat. Dalam kesyukuran dan redha, aku pasrah. Andai kerana bayi ini
pengajianku harus diperpanjangkan, biarkanlah. Bayi ini lebih penting
berbanding segulung ijazah yang boleh kusiapkan kemudian. Tambahan pula kukira Allah
sudah mengurniakan anugerah yang besar dengan membantuku lulus dalam
peperiksaanku peringkat pertama.
Selesai
MC selama dua minggu,pendarahan telahpun berhenti dan aku kembali bertugas dan
bertemu dengan supervisorku iaitu Prof Dr Angela Loo, dan Ketua Jabatan iaitu
Prof Dr Mimiwati. Seram sejuk seluruh tubuh ingin menyampaikan berita ini pada
mereka, kerana kudengar ada khabar angin mengatakan SEMUA pensyarah amat marah
kalau ada calon sarjana yang hamil. Rupanya itu tidak benar! Alhamdulillah Prof
Angela sangat gembira dengan berita ini, dan berkata tidak mengapa jika aku
mahu memperpanjang pengajianku atas sebab kehamilanku ini. Tambahan pula aku
sudah lulus peperiksaan peringkat pertama. Prof Mimiwati juga sangat memahami
dan berkata jika aku perlu untuk MC, aku dibenarkan membawa atau “carry forward” MC dari semester depan.
Subhanallah Alhamdulillah! Ini semua kuasa Allah yang melembutkan hati-hati
manusia yang berada di dalam genggamanNya.
Sememangnya
cabaran hamil semasa masters amat berbeza dengan kehamilanku sebelum ini. Ada
sebilangan kecil pensyarah yang tidak suka keadaanku yang hamil dan
berkomplikasi, menyebabkan aku tidak dapat bertugas sepenuhnya seperti
doktor-doktor yang lain. Begitu juga sebilangan kecil rakan setugas, ada yang
“bercakap belakang” dan mempersoalkan mengapa aku diberi “layanan istimewa”
hingga diberikan MC yang panjang. Aku memekakkan telinga sahaja, kerana kita
tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak. Namun tidak kurang jua, staff-staff
dan sahabat-sahabat yang memberi
sokongan dan kata-kata semangat kepadaku. Alhamdulillah pada Jun 2009, aku
melangkah ke Tahun Dua.
Semasa
kandunganku mencecah 16 minggu, kami bercuti ke Nilai Spring Resort untuk
meraikan hari lahir puteri sulungku yang ke tiga tahun. Ketika itulah aku
pertama kali merasakan tendangan bayi dalam kandunganku. Walaupun sudah lewat
malam, kutelefon Mama di kampung bertanyakan hal ini, kerana pergerakannya
secara tiba-tiba amat jelas dan kuat, tidak seperti Fatimah yang lemah lembut
dan Safiah yang hanya kurasai tendangannya pada usia kandungan 24 minggu.
Jawapan ibuku amat mudah. “Anak lelaki
memang lah macam tu. Percayalah cakap Mama. Mama dah mengandung 5 anak lelaki.
Mama tahu”. Tersengih seorang aku mendengarnya. Kuaminkan doa ibuku. Hatiku
sememangnya amat inginkan seorang anak lelaki, namun takut untuk meletakkan
harapan yang tinggi, takut kecewa di kemudian hari.
Ketika
19 minggu, aku menjalani ujian imbasan atau ultrasound
secara terperinci memandangkan kesku dikategorikan sebagai kes berisiko
tinggi kerana pendarahan tempoh hari. Petugas yang menjalankan ujian itu
memaklumkanku bahawa bayiku adalah perempuan! Aku terkejut namun cuba untuk
menerima hakikat. Suamiku tenang sahaja, namun Mamaku tidak percaya dan tetap
dengan pendapat beliau bahawa aku hamil anak lelaki. Apapun aku bersyukur
kerana anakku cukup sifat dan kelihatan sihat.
Benarlah
kata-kata, tanda Allah itu sayang pada hambaNya adalah dengan memberikannya
ujian, agar ia dekat dengan Penciptanya, dan terus berdoa dan bermohon. Seminggu
kemudian, dugaan keduaku tiba. Aku tumpah darah! Ia berlaku semasa aku
menghadiri salah satu kelas perniagaan Hai-O di stokis kami di Batu Caves.
Selepas kelas, kira-kira jam 5.30 petang, ketika aku bangun dari kerusi, terasa
darah keluar menderu-deru, dan aku hampir pengsan melihat terlalu banyak darah
yang tumpah, hingga membasahi kerusi dan lantai. Kutahan air mata, sambil
berdoa sendirian, sambil suamiku pantas memandu kereta ke Hospital Selayang.
Hatiku mula berkata, “Andainya bayi ini
lelaki, rasanya inilah kali terakhir aku hamil. Terlalu banyak dugaan setiap
kali hamil, entah-entah semakin ramai anak, semakin banyak cabaran. Tetapi bayi
ini perempuan! Means I will have to
try again for a boy” .
Alhamdulillah
mujur suamiku ketika itu masih bekerja di Hospital Selayang, dan terjumpa
sahabatnya, Dr Sumayyah Saharom yang bertugas di Jabatan Kecemasan ketika itu.
Aku segera dirujuk kepada doktor bahagian O&G, dan syukurlah bayiku
selamat. Rupa-rupanya uri bayiku agak rendah, menutupi pintu rahim (low lying placenta), maka apabila rahim
membesar, uri itu turut tertarik ke atas & menyebabkan pendarahan. Aku
menolak untuk dirawat di hospital, dan memilih untuk berehat di rumah sahaja. Apabila
dikenangkan semula, apalah sangat jantina anak itu berbanding keselamatan dan
kesihatan bayi yang dikandung. Aku kesal dengan sikapku sendiri. Aku patut
bersyukur hingga kini Allah masih memelihara kandunganku ini.
Alhamdulillah
tiada lagi pendarahan selepas episod itu. Pada 24 minggu, aku berjumpa dengan
atuk saudaraku iaitu Dr Hamid Arshat, untuk mendapatkan pandangan kedua atau second opinion berkenaan kandunganku.
Ternyata ada berita baik dan kurang baik. Yang kurang baik? Ternyata uriku
rendah, dan jika tidak berganjak sehingga saat kelahiran, aku harus menjalani
pembedahan caesarean. Berita baiknya?
It’s a BOY!! Aku masih ingat selepas Dr Hamid bertanya, “ Dulu dua orang girl kan? Baguslah kali ini
boy, In Shaa Allah”, aku pantas bertanya kembali, “ Betul ke Tok?”. Sepantas kilat jua suamiku mencubit pahaku, “ Hish, ada ke tanya macam tu, Atuk tu dah 40
tahun buat O&G tau!”. Dr Hamid hanya tergelak, dan mencetak gambar bayi
lelaki kami itu, sebagai bukti. Aku merasa seperti dalam syurga. Ya Allah,
baiknya Allah. Mengkabulkan segala doa-doa kami tanpa henti tanpa meminta
sebarang balasan. Kusampaikan berita gembira ini kepada Mamaku, yang akan
berlepas menunaikan umrah pada keesokan harinya, untuk menyambut Ramadhan di
Mekah. Kutitipkan doa agar kandunganku selamat dan bayiku sihat-sihat sahaja.
Mamaku berkata,” Kan Mama dah kata.”
Well, “mom’s always right”, is right
indeed!
Sehari
selepas itu, aku menelefon sahabatku yang bertugas di Jabatan O&G Hospital
Putrajaya, iaitu Dr Hayaati Ahmad. Aku ingin meminta jasa baik beliau untuk
menjalankan scan sekali lagi, dengan Scan 3D yang terdapat di sana,kerana aku
masih belum percaya dengan berita gembira ini. Alhamdulillah benarlah telahan
Dr Hamid Arshat. Dr Hayaati turut mengesahkan bahawa bayi dalam kandunganku
adalah bayi lelaki. Pengajaran bagiku, jangan terlalu cepat percaya jantina
bayi yang ditentukan melalui scan yang
terlalu awal.
Aku
menanti saat kandunganku mencecah 28 minggu dengan debaran. Bukan kumengharap,
tetapi dengan kehamilanku yang lalu, 28 minggu adalah “landmark” sesuatu akan berlaku kerana kandungan melangkah ke
trimester ke tiga. “Mother’s instinct”
atau firasat seorang ibuku tepat. Kukira ketika itu adalah 20 Ramadhan, aku
mula merasakan kontraksi atau contraction pada waktu petang sebelum pulang ke
rumah. Kudiamkan sahaja,tidak kuberitahu kepada seorang pun teman setugasku. Namun
menjelang jam 5 petang, ia semakin kuat. Aku mulai cemas. Aku di hospital di
Petaling Jaya, suami di Hospital
Selayang. Aku tidak mahu ke bahagian O&G di sini tanpa suamiku. Kutelefon
sahabatku di O&G Hospital Selayang selepas kuhubungi suamiku, dan beliau
meminta aku segera ke hospital. Masih kuingat detik-detik cemas itu,
contractionku semakin kuat, aku berjalan dari Klinik Mata ke tempat letak
kereta yang jauh, di tingkat 6 atau roof
top! Aku menyeka airmata, memandu pulang ke rumah kami di Ampang,dan sebaik
tiba dirumah, suamiku yang baru tiba dari Selayang, terus memecut kembali ke
Hospital Selayang bersamaku. Scan menunjukkan bayiku masih selamat, namun air
ketubanku sudah terlalu kurang, iaitu AFI (amniotic
fluid index) 9 sahaja, sedangkan 8 adalah paras bahaya. Rupanya aku
ternyahhidrat atau dehydrated kerana berpuasa. Kurangnya air ketuban
menyebabkan rahimku mula kontraksi, untuk memberitahu bayiku tidak cukup
sokongan. Doktor Nik Aniza meminta untuk aku tidak lagi berpuasa, dan berkata,
keselamatan bayiku lebih utama ketika ini. Keadaanku sangat serius, dan katanya
jika air ketubanku mencecah 8 (normal adalah 11 dan ke atas), mereka terpaksa
membiarkan aku melahirkan bayiku yang pramatang, bagi mengelakkan bayiku lemas
dan pertumbuhan paru-parunya terbantut. Suntikan dexamethasone diberikan untuk
mematangkan paru-paru bayi dan aku dibenarkan pulang. Secebis berita baik
mengiringi kejadian ini, uriku sudah naik ke atas, jadi dengan izin Allah, aku
akan boleh bersalin secara normal.
Red flag demi red flag dalam kehamilanku ini. Aku sesal kerana terlalu mengejarkan
pahala berpuasa di bulan Ramadhan sehingga mengabaikan kesihatan bayi dalam
kandunganku,sedangkan rukhsah atau keringanan untuk ibu yang hamil sememangnya
di benarkan dalam Islam. Alhamdulillah Hari Raya kami lalui tanpa sebarang
komplikasi.
Kandunganku
selamat mencecah 36 minggu. Sekali sekala kurasakan contraction tetapi selalunya
akan berhenti dengan sendirinya apabila kuberehat. Walaupun penuh komplikasi,
aku meneruskan tugas di hospital tanpa MC yang panjang, kerana kuota MCku sudah
habis. Aku sudahpun menulis surat kepada pihak UiTM dan Universiti Malaya yang
aku akan menangguhkan pengajianku selama
6 bulan selepas kelahiran anakku.
Orang
kata setiap anak akan disertakan dengan rezekinya sendiri. Alhamdulillah pada
tahun ini jua suamiku telah mencapai pangkat tertinggi di dalam Hai-O Marketing
iaitu Crown Diamond Manager setelah dua tahun bersama syarikat perniagaan
berangkai atau network marketing ini. Majlis penganugerahan akan berlangsung
pada 15 November, iaitu sebulan sebelum tarikh aku dijangka bersalin, pada 13
Disember 2009.
Hati
mana tidak berbunga, ingin mengiringi suami tercinta di pentas indah di Stadium
Malawati Shah Alam. Kutempah baju hitam dan merah, warna rasmi syarikat, untuk
kupakai pada hari bersejarah itu nanti. Alhamdulillah aku tumpang bangga dengan
kejayaan suamiku. Mama dan Ayahku akan turut hadir, mereka datang dari Muar
untuk melihat menantu tersayang menerima anugerah dari pihak syarikat.
14
November 2009. Kami dijemput hadir ke Stadium Malawati Shah Alam untuk majlis
raptai di sana. Aku yang amat teruja, terjaga jam 5 pagi. Lama kutepis mamai
seusai bangun tidur, memikirkan apakah rasa sakit yang baru sahaja
mengejutkanku? Oh! Contractionku sudah bermula! Aduhai, aku tak senang duduk.
Orang kata anak ketiga cepat proses bersalinnya! Suamiku turut bangun, bertanya
bagaimana keadaanku. Lucunya, ketika itu aku berkata, “Sayang tak kira, sayang nak pergi juga majlis tu, nak tengok pentas tu
cantik macamana.” Mulanya tergelak suamiku, namun kemudian beliau diamkan sahaja,mungkin risau memikirkan keadaanku.
Alhamdulillah selepas sejam, contraction berakhir. “Fuh, false alarm rupanya. Nasib baik!”
Majlis
raptai bermula jam 10 pagi. Subhanallah alangkah cantik dan istimewa hiasan
stadium yang disediakan oleh pihak syarikat, untuk meraikan para usahawan yang berjaya.
Aku berpeluang untuk jalan di atas runway
bersama suamiku, menaiki golf buggy
yang dihias khas, dan berdiri di sisi suamiku saat beliau berlatih menerima
anugerah beliau. Teman-teman seperjuangan dari stokis B32 turut sama bertepuk
tangan dan melambai-lambai saat kami berada di atas pentas.
Majlis
raptai berakhir jam 12.30, dan kupinta suamiku membelikanku nasi ayam untuk
makan tengahari. Kami bercadang untuk bermalam di Hotel Concorde Shah Alam
untuk berehat sebelum majlis esok petang. Sebelum berlepas ke hotel, aku
singgah di tandas di stadium. Jeng jeng jeng! I had my “show” already.
Tanda darah yang menandakan waktu untuk
aku bersalin sudah hampir, cukup mendebarkan. Suamiku memujuk, “Tak apalah sayang, kalau sayang terbersalin
esok atas pentas lagi susah!”. Aku memujuk diri, semasa anak sulungku, 3
hari selepas keluar “show” baru aku bersalin. Hati masih degil, ingin melihat
buah hatiku menerima anugerah berprestij itu. Lagi pula, belum ada contraction
lagi, hanya “show” sahaja.
Selepas
check in di hotel, makan dan solat zuhur, kami berehat seketika. Iya, aku masih
lagi solat walaupun sudah keluar “show” kerana pendapatku, selagi proses
bersalin yang aktif belum bermula, aku masih belum dalam keadaan wiladah atau
nifas, maka wajib untukku bersolat.
Jam
4 petang, kedengaran bacaan ayat suci Al-Quran dari Masjid Shah Alam yang indah
itu. Aku mula merasa contraction lagi! Aku terpaksa akur dengan ketentuanNya,
memang aku akan bersalin hari ini juga, kerana contraction semakin kuat dan
kerap. Kukejutkan suamiku, kami bersuci dan menunggu waktu solat Asar, sebelum
kami bersiap untuk ke Hospital Pantai Bangsar. Suamiku tenang sahaja, aku yang
gelabah dan resah gelisah. Entah kenapa, tiba-tiba diserang perasaan takut.
Beberapa kali kusedut gas asthmaku iaitu salbutamol, kononnya nak menghentikan
contraction.
Alhamdulillah
aku dapat bersolat Asar dalam keadaan duduk. Selesai solat, suamiku yang memang
sudah membawa peralatan dari hospital, menjalankan pemeriksaan padaku. Ternyata
laluan lahirku sudah buka 3cm! Apa lagi, tepat jam 5 petang kami bergegas ke
Bangsar.
Ya
Allah, perjalanan melalui Lebuhraya Persekutuan pada petang Sabtu memang
menyiksakan. Dengan aku mula berpeluh kerana contractionku semakin kuat, jalan
pula jem! Suamiku sesekali mengerling kepadaku yang sedang menyeringai menahan
sakit. Katanya, “Tak apa sayang, kalau
sayang rasa nak push, Abang park kereta
dan Abang sambut je. Abang boleh. Sayang jangan risau.”
Mujur
aku tidak mampu berbicara lagi, dek kerana menahan kesakitan. “Hish, ada ke? Malu lah nanti mat-mat motor
lalu lalang nampak pula orang bersalin dalam kereta ni!”, getus hatiku.
Oleh kerana aku lebih mahir jalan-jalan di kawasan Petaling Jaya dan Bangsar,
aku memberi panduan kepada suamiku untuk mengelakkan kesesakan di pintu gerbang
di Lebuhraya Persekutuan, dengan melalui jalan pintas di dalam Universiti
Malaya.
Jam
6 ptg kami tiba di hospital. Suamiku menurunkanku di lobi, meletakkanku di
kerusi roda, dan beliau terpaksa meninggalkanku untuk meletak kereta di basement. Pengawal keselamatan yang
terlihatku dalam kesakitan, cepat-cepat meminta salah seorang staf untuk
menghantarku ke dewan bersalin. Mujur ketika itu juga suamiku tiba dengan beg
keperluanku. Kalau tidak mahu haru juga, kalau suamiku datang melihat aku tidak
ada lagi di lobi.
Sampai
sahaja di Dewan Bersalin, jururawat bertanya adakah aku akan bersalin. Pantas
kujawab, “ I am Gravida 4 para 2+1, I am
36 weeks pregnant and I am contracting 3 in 10 minutes, moderate strength since
4pm!” (Saya hamil kali ke 4, sudah mempunyai anak 2 orang dan keguguran
sekali, usia kandungan saya 36 minggu, dan kontraksi saya adalah 3 kali dalam
setiap 10 minit dengan kekuatan sederhana kuat, sejak jam 4 petang). Apa respon
jururawat itu? “Oh! Doktor! OK jom terus
masuk bilik bersalin.”
6.20
petang, pemeriksaan awal menunjukkan laluan lahirku sudah membuka kepada 5-6
cm, dan sudah bersedia untuk proses bersalin (effaced). Sepanjang perjalanan kucuba hubungi Dr Hamid Arshat,
namun tiada jawapan. Kucuba menelefon rumahnya jua tiada jawapan. Jururawat
cuba sekali lagi menghubungi pakar perbidananku, namun tiada jawapan. “Doktor, doktor dah nak bersalin ni. Prof tak
jawab phone. Doktor nak bersalin dengan siapa ya?”. Kujawab, “tak kisah lah, saya dah rasa baby nak turun
ni!”
Mereka
menawarkan doktor oncall hari itu iaitu seorang pakar perbidanan lelaki cina,
namun aku menolak! Konon tadi tak kisah, sekarang aku pula yang demand. Lucu, lucu.Kupinta mereka menghubungi
mana-mana doktor wanita. Alhamdulillah kebetulan Doktor Idora lalu di hadapan
hospital, dan beliau bersetuju untuk datang.
6.40
petang, Dr Idora tiba di dalam bilikku,dan beliau terus memeriksaku. Katanya
laluanku sudah 8cm, dan beliau memecahkan sarung ketubanku. Sebaik sahaja air
ketuban keluar, menurut beliau, sudah 9cm. “It’ll
be another hour k dear,” katanya dengan sangat lemah lembut. “You are having good contractions”,
katanya lagi.
Masih
kuingat aku memujuk Dr Idora, “ Doctor
please don’t go far, I promise I’ll be quick!” Tergelak Dr Idora, sambil
menjawab,” Don’t worry dear, I’ll be just
outside the door”. Suamiku di sisi, sibuk menelefon kedua mertuaku, memohon
doa restu dan meminta mereka mendoakanku. Masih kuingat kata-katanya,” sekarang dah 9 cm, Abah. In shaa Allah sejam
lagi bersalin lah”. Dalam hatiku, “Sejam?
Ye lah tu! Sakit macam apa je ni! “ Aku tidak mendapat sebarang ubat
penahan sakit kerana sudah terlalu hampir bersalin. Hanya gas ethonox, sedikit sebanyak membantu
mengkhayalkanku.
Sebaik
sahaja Doktor Idora keluar dari bilikku, kukira pintu bilikku juga belum
tertutup, CTG iaitu alat untuk memantau contraction dan degup jantung bayiku
menjadi perlahan. “Baby brady!” getus
hatiku, bererti degup jantung bayiku lemah! Aku hampir menangis. Dr Idora masuk
kembali dan bertanya soalan yang sama, “Eh,
kenapa baby bradicardia ni?” Aku mula risau. Rupanya apabila Dr Idora
memeriksa laluan lahirku, kepala bayiku sudah kelihatan! Aku sudah mahu
melahirkan. Dalam hatiku berkata,”Dah
kata dah. Tak mungkin sejam lagi! Memang la ada history of accelerated labour
aku ni!”. Aku sedikit lega, ianya akan berakhir tidak lama lagi.
Kelam
kabut jururawat menyiapkan peralatan. Suamiku menghampiriku dan berbisik, “sikit je, sayang. Abang dah nampak dah
kepala baby”, sambil memegang tanganku. Subhanallah, memang bersalin anak
lelaki tidak sama dengan anak perempuan. Sakitnya tidak terungkap! Mungkin juga kerana aku tidak mendapat
sebarang ubat penahan sakit. Dengan kata-kata semangat dari Dr Idora, jururawat
dan suamiku , Alhamdulillah dengan tiga kali teran, bayiku selamat dilahirkan
ke dunia ini. Tepat jam 6.45 petang, tidak sampai 3 jam selepas aku mula sakit,
Muhammad Umar lahir sebagai putera kami.
Suamiku
terus mengazankan bayiku, dan kuingat perkara pertama yang terlintas di hatiku
adalah, “Alhamdulillah belum maghrib, tak
adalah aku terhutang apa-apa solat sebelum nifas ini.” Alhamdulillah
Muhammad Umar putih melepak seperti kakak-kakaknya, beratnya 2.80kg sahaja,
kerana dilahirkan pada 36 minggu 2 hari, sebulan lebih awal dari tarikh yang
dijangka. Aku juga tidak memerlukan
sebarang jahitan, kerana sudah tiga kali melahirkan anak.
Malam
itu Umar terpaksa diletakkan di NICU selama 4 jam kerana nafasnya agak laju. 4
jam pun hatiku tidak keruan menahan rindu. Alhamdulillah sekembalinya bayiku ke
dakapanku, dia terus menyusu dengan baik. Mertuaku datang sekeluarga malam itu
juga, manakala Mama , Ayah dan adikku datang keesokkan harinya.
Muhammad Umar 4 jam selepas dilahirkan. Tudung merah yang kupakai inilah yang pada awalnya disediakan untuk naik pentas, rupanya nasib dia hanya sampai ke dewan bersalin :) |
Keluarga mertuaku. Bertuah betul Encik Suami tu buat "peace" atas kepala! Chit! |
Suamiku
menerima anugerah dari syarikat Hai-O dengan diringi ibunya. Aku redha tidak
dapat menyaksikan beliau, dan bersyukur kerana telah selamat melahirkan seorang
putera yang sihat.
Umar bersama sepupu-sepupunya Muhammad Hakimi dan Muhammad Rayyan pada ulangtahun Umar yang pertama 14/11/2010. Semua sebaya lahir pada tahun 2009. |
Ketika
aku menulis cerita ini, Umar sudahpun berusia 4 tahun. Buah hati pengarang
jantung, anak lelaki yang sangat manja dengan Ummi dan Abinya. Alhamdulillah
sudah mula bersekolah tahun ini (2014), dan sudah boleh membaca Al-Fatihah
dengan baik. Semoga Umar menjadi anak soleh dan musleh, dan bakal menjadi salah
seorang pemimpin yang akan membantu menyebarkan dakwah Islam In shaa Allah, seperti Umar Al-Khattab, Umar Abdul Aziz dan Umar Mokthar
Bagiku
pula, umpama mimpi jadi kenyataan. Jika suatu masa dahulu aku pernah berkata
dengan suamiku, andai aku tidak dapat melahirkan zuriat buatnya, aku izinkan
untuk beliau beristeri dua. Sekarang beliau sendiri berkata, tidak ada sebab
untuk beliau mencari isteri kedua, kerana aku telah melahirkan 3 orang
zuriatnya. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang Maha Pengasih dan
Penyayang terhadap hamba-hambaNya. Alhamdulillah! Mudah-mudahan ada lagi rezeki
kami untuk menimang cahayamata ke empat!
Amin :)
Amin :)
seronoknya baca! masyaAllah. skrg dah ada abdullah uwais! :D
ReplyDeleteAlhamdulillah :)
DeleteAlhamdulillah :)
DeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete