Wednesday 29 July 2020

Antara sebiji mata dan air mata


12 Julai 2018

Hari bersejarah, kali pertama saya terpaksa membedah mata seorang kanak-kanak setahun setengah.

Ya saya membuang mata seorang budak .

Tak usah cerita air mata mak dan ayah budak comel itu.

Di hadapan ibu bapa budak itu, saya, Prof dan doktor yang lain berulang kali menerangkan yang ia perlu demi mengelakkan kanser di dalam matanya merebak ke otak .

Jika tidak dibuang matanya, budak itu akan mati dalam masa beberapa tahun.

Si Ibu mendakap anaknya erat, teresak-esak menangis.

Anak perempuan sulung yang comel, tidak tahu apa-apa. Baru pandai bercakap, berbaju berbunga penuh gaya.

Ayahnya melihat anaknya penuh simpati.

Kami bertegas dalam empati.

Selepas lebih sejam kaunseling, akhirnya keluarga itu setuju.

Mungkin, nampak macam kami kejam

Nampak macam tak ada perasaan

Nampak macam kami robot

Hakikatnya, seminggu yang berlalu menjelang pembedahan itu, hati saya tidak tenteram, gundah gulana

Beberapa hari sebelum hari pembedahan, saya rasa nak muntah, rasa nak pitam, semua ada.

Sebelum pembedahan bermula, rasa nak marah saja. Serba tak kena.

Panik, gelisah.

SEDIH.

Saya mengambil bidang subkepakaran Pakar Mata Kanak-Kanak untuk membantu kanak-kanak melihat.

Tetapi hari ini, saya akan “membutakan” mata seorang kanak-kanak.

Prof kata, “ That eye is blind, already, Aisyah. This is a life saving procedure”.

Saya diam.

Selesai mencuci dan mensterilkan tangan , saya mengenakan gaun pembedahan.

Saya berkata pada Prof, “Prof, let me apologise in advance, if I cry during the surgery.”

Tegas Prof menjawab, “Don’t you dare cry on me! I need you during that surgery!”

2 jam pembedahan berlangsung.

Bola mata yang penuh dengan kanser kami buang, diganti dengan mata tiruan.

Letih badan selepas membedah, ditambah dengan emosi yang bercelaru, saya melangkah keluar Dewan Bedah.

Tiada kekuatan rasanya untuk memandu merempuh jem untuk pulang, walaupun jam sudah pukul 6 petang.

“Aku perlu debrief. I need coffee.”

Dalam pada saya melangkah ke gerai kopi, tiba-tiba saya mendapat pesanan whatsapp di telefon . Kawanku Azura memberitahu , “Didi, dah habis OT ke? Zoe ada di wad KWKK ni”.

Baru saya teringat, ada seorang sahabat yang sedang menjalani kemoterapi akibat kanser, sedang dirawat di PPUM.

Minggu sebelum, semasa saya selesai berjumpa ibu bapa pesakit saya, saya terserempak dengan Azura di koridor. Agaknya beliau perasan wajah saya yang seperti hendak menangis , cepat-cepat beliau tegur saya. Padahal saya pun perasan, beliau pun baru mengelap air mata.

Dalam pertemuan yang sebentar, sempat saya beritahu serba sedikit, yang saya perlu membedah budak itu minggu depan. Azura pula memberitahu yang dia pun akan masuk ke wad untuk rawatan , pada hari yang sama. Ujarnya Ketika itu, “Kalau Didi habis awal, nanti datanglah wad Zoe lepak.”

Petang itu, pesanannya sampai, tepat pada waktunya.
Saat saya keletihan dan kesedihan, Azura mengajak saya bersamanya.

Masih saya ingat, saya membeli 2 gelas kopi, dan 2 biji pastri, lantas berjalan ke wad Azura.

Senja itu, saya yang sihat, meminta kekuatan dari Azura yang sedang berjuang menghadapi kanser

Saya yang duduk di kerusi, menumpang aura positif dari Azura yang di atas katil.

Sayu mata saya mengenangkan pesakit saya, sedikit demi sedikit , semakin ceria mendengar kata-kata Azura.

Kata beliau, “It’s Ok Didi. It’s OK to feel sad. It makes you human. You are a mother. Tapi apa yang Didi buat tu untuk masa depan budak tu. In shaa Allah kita doalah supaya dia OK nanti.”

Alhamdulillah saya berjaya untuk tidak menangis di hadapan beliau, kerana saya tahu beliau juga ada satu beban yang sedang digalas.

Saya bertanya keadaan beliau. Jawapan beliau, sentiasa, “Zoe OK,” sambil tersenyum.

Itulah Azura Zoe Azlee yang saya kenal.

Sepanjang 24 tahun perkenalan kami, 2 tahun beliau berjuang dengan kanser, puluhan kali melalui perit kemoterapi yang melalui salur darahnya, hanya sekali yang saya dengar beliau mengeluh sakit.

Sekali.

Hari ini, 29 Julai 2020, berakhir sudah penderitaan sahabat saya itu.

Sahabat yang mengelap airmatanya, untuk memujuk sahabat yang lain yang dalam kesedihan, kerana baru membedah mata anak orang lain.

Hari ini, beliau kembali menemui penciptaNya.
Meninggalkan kami yang pasti merinduinya .

Saya teringat kelas tadabbur Al Quran beberapa minggu lalu. Ustaz menghuraikan surah Ash-Syahr.

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ - 94:4
Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
Surah Ash- Syarh ayat 4

Rasulullah SAW di angkat dengan sebutan kemuliaan , hingga ke hari akhirat.

Zoe, Didi mahu kebaikan Zoe disebut-sebut selepas pemergianmu, kerana itulah salah satu lambang husnul khatimah.

Didi mahu anak-anak Zoe mengetahui yang mereka ada seorang ibu yang hebat.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhmu, dan mengampuni dosa-dosamu dan dosa-dosa kita semua in shaa Allah.

Ustaz kata, jika kita orang hebat, kita mesti sentiasa doakan semua saudara kita yang telah pergi dengan doa ini. In shaa Allah , mulai hari ini, Didi akan ingat Zoe bila baca doa ini.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansor), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Al Hasyr ayat 10)

Pergilah dahulu, kami juga pasti akan menyusul.
Semoga pemergian kami nanti juga, dikenang dengan kenangan yang baik-baik, dan kebaikan yang diterima oleh Allah.

Amin.

Belasungkawa buat Azura Azlee

29072020

Dari sahabatmu
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Friday 10 July 2020

Kalau orang sedih, tak semestinya suruh dia sabar? Sedikit tadabbur surah Al Kauthar



Alhamdulillah 10 Julai 2020, bermula satu lagi “yang pertama” buat saya, iaitu Kelas Tadabbur Al Quran yang pertama di Management and Science University.



Jika sebelum ini saya sudah biasa mengikuti kelas tadabbur dengan Ustaz Abdul Muien dari Pertubuhan Ghulam Al Dakwah iaitu sebuah NGO, kali ini saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menambah ilmu yang diharap dapat saya amalkan agar menjadi mukmin yang mendapat redha Allah kelak in shaa Allah

Kelas kali ini dihadiri lebih kurang 50 orang , dari kalangan Dekan, Timbalan Dekan, Professor, Pakar-pakar Perunding dari MSU Medical Centre, pensyarah-pensyarah, serta Tan Sri Mohd Shukri , Puan Sri Junainah dan  Dato Sharifah Huda sendiri.

Saya kongsikan sedikit ilmu yang saya perolehi semasa kelas tersebut, agar mudah-mudahan menjadi sedikit ilmu yang bermanfaat buat semua.

Apakah tujuan kita belajar Tadabbur Al Quran ?

   1)      Tadabbur Al Quran adalah maqasid iaitu tujuan terbesar tafsir Al Quran , kerana kebanyakan ayat-ayat Al Quran adalah berkaitan dengan ibrah dan pengajaran , yang menerangkan maksud ayat tersebut .

Salah seorang yang hadir, bertanya kepada Ustaz, apakah beza “ibrah” dan “pengajaran”.

Ustaz menjawab: Ibrah adalah apabila kita mencari pengajaran dari ayat tersebut, dan kita mengadaptasikannya ke dalam kehidupan kita.

   2)      Apakah beza tafsir dan tadabbur?

Maksud asal tafsir adalah menerangkan makna dan maksud kalam Allah, manakala tadabbur adalah mengambil pengajaran dan iktibar.

   3)      Tadabbur adalah TUJUAN Al Quran diturunkan, iaitu untuk manusia mengambil manfaat dari ayat-ayat Allah itu.

Ustaz Azrul memberikan contoh yang sangat menarik melalui satu surah yang pendek iaitu Surah Al Kauthar

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ - 108:1
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ - 108:2
إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ - 108:3

Surah yang sangat pendek ini, ada sangat banyak pengajarannya

Asbabun nuzul atau sebab turunnya surah ini adalah, Rasulullah SAW telah diuji oleh Allah, dengan anak lelakinya dijemput oleh Allah Subhanahu wa Taala. Rasulullah SAW yang tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah, hanya sempat merasai kasih sayang seorang ibu sebentar cuma, pastinya apabila dikurniakan anak, amat-amat menyayangi anaknya.

Namun Allah menguji Baginda dengan anaknya itu diambil semula.

Jiran Baginda iaitu bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab, meraikan kematian anak Baginda, iaitu cucu saudaranya sendiri, dengan mengatakan “ Abtar! Abtar!” iaitu gelaran bagi lelaki Arab yang tiada anak lelaki , simbol mereka yang tidak ada zuriat waris.

Maka bagi menggembirakan hati Baginda, Allah menurunkan surah ini.

Secara logiknya, apabila seseorang sedang sedih, dan disakiti hatinya, pasti kita akan berkata ,”sabarlah”, kan?

Namun di dalam surah ini, tiada satu pun perkataan sabar yang Allah gunakan.

Di dalam ayat pertama :

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ - 108:1

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat)

Al Kauthar ini ulama mengatakan ada 2 maksud iaitu

   1)      Nikmat yang melimpah ruah 
   2)      Telaga di syurga

Perkataan الكوثر adalah berasal dari perkataan katheer كثىر iaitu banyak.

Contohnya air yang dituang ke dalam gelas, dan ia penuh, maka ia adalah katheer كثىر

Just a Glass of Water – faithandsciencemeet.com


Jika air dituang hingga gelas itu melimpah, maka ia adalah kathuur كثور.

Glass Of A Water With Overflow On White Background Stock Photo ...

Namun perkataan al kauthar  الكوثر adalah tidak boleh dibandingkan.

Pemilihan perkataan sahaja , di dalam Al Quran itu sudah sangat tepat, apatah lagi maksud dan makna di dalamnya . 


Maka apakah ibrah dari surah Al Kauthar ini?

   1)      Apabila ditimpa musibah, apa yang harus kita lakukan pada fasa  pertama adalah BERTENANG, dengan cara kita mengenang NIKMAT ALLAH YANG BANYAK yang telah Allah kurniakan kepada kita. Usahlah kita fokus kepada masalah yang kecil itu

   2)      Fasa ke dua , apa yang perlu dilakukan adalah SEGERA BERSOLAT KEPADA ALLAH.

      فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ - 108:2
      Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Bersolat sahaja tidak cukup, ia perlu dilakukan dengan segera dan tidak bertangguh
Bersolat sahaja tidak memadai, ia perlu solat kepada Rabb , kerana ramai manusia yang solat tetapi hati dan jiwa menerawang ke tempat lain
Rabb itu juga datang dari perkataan murabbi, iaitu pendidik.
Setiap kali musibah datang, yakinlah pendidik itu sedang melihat didikan yang sedang kita lalui.

Bahagian kedua ayat ke dua ini :
An Har : berkorban , bersembelih dan bersedekah.
Apabila kita menggembirakan orang lain, Allah akan menggembirakan kita.

    3)      Ayat ke tiga menunjukkan, siapa yang mencela Rasulullah itu abtar kerana terputus tiada waris, sebenarnya dialah yang abtar kerana TERPUTUS dari RAHMAT ALLAH, dan itulah abtar yang sebenar-benar rugi.

      إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ - 108:3
       Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).

Ibrahnya adalah, usahlah kita mengata keburukan orang lain, dikhuatiri ia kembali kepada diri kita .



Ada banyak ilmu-ilmu yang diperlukan untuk kita mempelajari tadabbur Al Quran, tetapi ini shaa Allah Ustaz akan memasukkan ilmu-ilmu ini di dalam kelas tadabbur beliau.


Ustaz mengakhiri kelas dengan meminta hadirin merenung ayat 20 surah Al Hadid

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ
كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ
وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ - 57:20


Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Allah menggariskan dunia ini adalah

   1)      Permainan
   2)      Hiburan
   3)      Perhiasan
   4)      Sesuatu yang kita bermegah-megah dengannya sesama kita
   5)      Menjadikan kita mengejar anak dan harta
   6)      Ilusi

Dan hakikatnya Allah menyediakan azab yang berat bagi golongan yang mengutamakan dunia, serta disediakan juga keampunan dan keredhaanNya bagi golongan yang tidak mengutamakan dunia.

Semoga kita semua tidak tergolong dalam golongan yang tertipu dengan dunia, in shaa Allah. 

Alhamdulillah saya rasa sejam setengah yang amat bermakna. In shaa Allah mudah-mudahan Allah akan memberi kesempatan untuk saya mengikuti lagi kelas tadabbur ini pada masa akan datang , dan dapat memperbaiki akhlak dan iman saya in shaa Allah.


Monday 6 July 2020

Kenapa saya tak nak lahirkan anak sulung saya pada 6 Julai 2006

14 tahun yang lalu, saya sakit nak bersalin lebih kurang waktu ini lah.

Dalam pukul 11.45 malam, saya mula rasa nak pushing.

Doktor Pakar O&G kata, "Push, Rita. Jalan dah buka 10cm."

Dalam pada mamai saya sedut gas ethonox, dan dalam kesakitan, saya tanya staff nurse, "Sekarang pukul berapa?"

Dia jawab, "11.45, doktor."

Saya pun jawab, "Tak nak! Sekarang belum midnight! Masih 6 Julai! Saya tak nak push! Saya tak nak birthday anak saya sama dengan George W Bush. Dia jahat, bunuh ramai orang Islam!"

Suami saya tepuk dahi.

Doktor O&G itu iaitu Atuk saudara saya pun kata, "Tak apa, nanti kita adjust waktu itu. Push sahaja. Baby dah nak keluar tu."

Saya pun sebenarnya dah tak tahan sakit sebab tak ambil epidural.

Maklumlah tiga tahun tunggu nak dapat baby lepas bernikah, konon nak merasa sakit bersalin.

Ambil pethidine dan ethonox sahaja.

Push punya push, uwaaaaa....

Baby pun keluar.

Doktor O&G pun tanya staff nurse, pukul berapa baby keluar.

Staff nurse jawab, "11.59, Prof."

Doktor Pakar  O&G pun kata, "Tak apalah, mungkin jam tu tak betul. Letak 12.01 minit."

Maka birthday anak sulung saya pun 7 Julai 2006, 00.01 malam.

Hahaha.

Sorry, Kakak.

Besar harapan Ummi supaya Kakak jadi seorang hebat, penyumbang kepada ummah.

Birthday pun Ummi tak nak sama dengan George W Bush.

Happy coming birthday!

Semoga bertambah usia dalam keberkatan, in shaa Allah.

#drazlindarita
#ceritamakmak
#anaksulung14tahun