Saturday 23 May 2020

Bagaimana mengubati kesedihan di ambang Raya 2020

Saya teringat doa ini, di petang 30 Ramadan ini, doa orang yang berpuasa pasti makbul.




Hadith Rasulullah SAW, dari Anas Radiallahu Anhu meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki berdoa, "Ya Allah, aku memohon kepadaMu, bagiMu segala puji, tiada Tuhan selain Engkau Yang Maha Memberi, Pencipta langit dan bumi, Ya Zal Jalali wal Ikram, Ya Hayyu Ya Qayyum."

Rasulullah bersabda, "Sungguh, dia berdoa dengan nama Allah yang paling Agung yang jika dipanggil dengan nama itu, Dia pasti menjawab dan jika diminta , Dia pasti mengabulkan."

(Hadith Riwayat as Sunan dan Ibn Hibban)

Semoga dengan doa ini menghilangkan kesedihan kita dengan perginya Ramadan, dengan tidak dapat menatap wajah ayah bonda, tidak dapat pulang ke kampung halaman lebaran ini.

Amin

Indahnya terawih bersama Mak Ayah tahun lepas 


#drazlindarita
#Aidilfitri2020
#RayaMusimCovid19


Thursday 14 May 2020

Akibat rindu anak, lelaki berjalan kaki dari Segamat ke Kuala Terengganu , tetapi menemui ajal di Muadzam


"COVID -19 : Lelaki ditemui mati di tepi jalan"



Seluruh negara bagai tersentak dengan berita pemergian lelaki berusia 30 tahun yang menemui ajal di tepi jalan, yang merupakan kes kematian akibat Covid-19 ke 110 di negara ini tempoh hari.


Hati ibu dan ayah mana yang tidak sayu mendengar kisah ini.


Akibat rindu yang tidak tertahan, seorang ayah nekad memilih untuk berjalan kaki sejauh 370km dari Segamat ke Kuala Terengganu , di tengah terik panas Ramadan ini, demi anak dan keluarga


Ketika ditemui, arwah berada di Muadzam Shah. Jika dihitung, sudah lebih 80km perjalanan dilaluinya. Sudah ada sekatan jalanraya yang dilalui dan dikhabarkan, beliau sudah kelihatan lemah dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya.


Namun arwah nekad.


Ahli keluarganya juga menyifatkan beliau sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab.


Pulang ke rumah dari tempat kerja semalam, saya kongsikan kisah ini dengan anak-anak.


Betapa saya amat merindui ibu ayah saya, dan saya ingatkan anak-anak saya agar bersyukur kerana Ummi dan Abi mereka masih di depan mata setiap hari.


Reaksi yang berbeza-beza saya lihat pada wajah anak-anak. Secara general, semua sedih dan terkejut dengan berita tersebut.


Umar, anak lelaki saya bertanya , “Kenapa tak ada orang bantu dia? Tumpangkan dia naik kereta?” .


Jawapan saya, pasti ada hikmah. Jika tidak , mungkin sudah ada orang yang berjangkit dengannya.


Anak perempuan ke dua saya berkata, “ Maknanya kan, Ummi. Kita boleh mendapat jangkitan Covid di mana-mana sahaja kita berada, kalua kita keluar rumah.”


Alhamdulillah anak berusia 13 tahun ini, memang agak prihatin bab kesihatan.


Namun, jawapan anak sulung saya membuatkan saya terpana.


Ujarnya, “ Allah sayang dia, sebab itu Allah ambil dia. “


Pantas saya bertanya, “Kenapa pula, Kakak? “


Jawab Fatimah , “ Allah tak mahu dia jangkitkan pada anak dia. Sebab itu Allah ambil dia dahulu sebelum sampai (ke rumahnya). “


Subhanallah.  Saya terdiam


Sehingga malam tadi, sewaktu saya berbaring hendak melelapkan mata, menitis air mata saya.


Teringat sebuah hadith Qudsi , dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


“Allah SWT berfirman: Aku sesuai persangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingatKu. Jika ia mengingatKu saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Jika ia mengingatKu di suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada pada itu (kumpulan malaikat).”


(Hadis Qudsi: Muttafaqun ‘alaih) [HR. Bukhari, no. 6970 dan Muslim, no. 2675


Semoga kita akan sentiasa bersangka baik dengan Allah, walau apapun keadaan.


Kita merasa kasihan kepada lelaki itu, kadang tertanya mengapa dia menyusahkan diri, mengapa tidak boleh bersabar, mengapa tidak ada orang nak bantu beliau, tetapi kita kadang terlupa yang Allah itu Maha Mengasihani dan Dia Maha Merancang.


Kasih sayang Allah kepada hambaNya itu melebih 70 kali kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.


Pastinya Allah itu tidak pernah berlaku zalim pada hamba-hambaNya.


Semoga Allah merahmati arwah, dan memberikan kekuatan kepada seluruh keluarga arwah.


Semoga anak-anak kita membesar menjadi insan yang sentiasa berbaik sangka dengan Allah, dan terus menjadi insan yang memberi peringatan kepada ibu bapa mereka yang kadang kala lupa.


Astaghfirullah

Terima kasih Kakak…


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Nukilan 22 Ramadan 1441H


Saturday 9 May 2020

Sifat orang PALING bertaqwa adalah BUKAN orang paling banyak solat malam? Jadi, apa sifat orang PALING BERTAQWA? - Tadabbur Surah Al Lail Ayat 11-18




Tadabbur Surah Al Lail Ayat 11-18 (10/5/2020)

Alhamdulillah hari ini 10 Mei 2020, Nuzul Al Quran , 17 Ramadan 1441 H, dapat lagi kita mengikuti kelas tadabbur Al Quran dengan ustaz kesayangan kita , Ustaz Abdul Muien. 

Hari ini kita belajar tadabbur surah Al Lail ayat 11 hingga ayat 18. 

Saya kongsikan notanya ya. 

Semoga bermanfaat dan jemput kongsikan. 
_______________________________________________________________

Kupasan ayat-ayat dalam Surah Al Lail yang sebelum ini: 

  1)      Syarat amalan diterima adalah taqwa. Dalilnya ada di dalam:

Surah Al Maidah ayat 27

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;

Syarat Allah terima sesuatu pemberian , mestilah kita bertaqwa

Syarat Allah terima puasa kita, adalah apabila kita bertaqwa

Hadith Rasulullah :

 مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه


Maksudnya:Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1770, 5597]. à tidak ada taqwa   


   2)      Orang yang membenarkan kebenaran (Surah Al Lail)

-          Yakin dengan syurga à juga membawa kepada taqwa

-          Apabila yakin dengan syurga, maka harta tiada nilai berbanding dengan syurga . Contoh Saidina Abu Bakat infakkan semua hartanya kerana tidak merasakan semua hartanya mahal

   3)      Golongan kedua : bakhil (menyimpan harta) kerana merasa dirinya tidak perlu pada rahmat Allah, dan merasa cukup dengan hartanya . Dan dia tidak percaya kepada janji Allah


Ayat 11 Surah Al Lail

وَمَا يُغْنِي عَنْهُ مَالُهُ إِذَا تَرَدَّىٰ - 92:11

Dan tidaklah mencukupkannya hartanya apabila dia celaka

Harta ini tidak akan boleh selamatkannya, apabila mati. Malah apabila nak mati, orang itu akan meminta dikembalikan ke dunia untuk sedekahkan, bukan untuk tambah harta. Di akhirat juga hartanya tidak berguna

Di neraka jika orang kafir memiliki emas sebesar bumi, dia nak tebus untuk keluarkan dirinya keluar dari neraka , Allah takkan terima

Maka jangan kedekut dengan harta kerana satu ketika , semua harta itu tidak berguna.

Hadith qudsi, ditanya pada ahli neraka apa yang akan dilakukan jika ada harta. Ahli neraka nak tebus semua harta mereka. Allah kata Allah minta lebih mudah dari itu untuk selamat dari api neraka .

Ayat 12 Surah Al Lail

إِنَّ عَلَيْنَا لَلْهُدَىٰ - 92:12

Sesungguhnya ke atas Kami pasti petunjuk

Allah beritahu untuk selamat, kita perlu ada petunjuk.

Hidayah ada 2 jenis iaitu

              1)      hidayah ilmu dan panduan (dari Allah, Rasul, ulama, ustaz)

Surah As Shura ayat 52


Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,

2)  taufiq dan amal (untuk beramal,khas untuk Allah yang beri)

Ada orang ada ilmu tapi tak beramal . Hidayah jenis ke dua ini, Rasulullah pun tak dapat berikan, contoh kepada pakciknya Abu Talib

Surah Al Qasas ayat 56


Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Hidayah ilmu itu semulajadi memang ada. Orang bukan Islam pun ada hidayah sebab itu ketika dalam kesusahan mereka akan sebut nama Allah.
Hidayah yang disebut dalam surah Al Lail ini adalah dua-dua jenis hidayah iaitu hidayah ilmu dan hidayah taufiq dan amal.

Surah Fussilat ayat 17 (Dalil semua manusia sudah dapat hidayah ilmu)

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

Kaum Thamud mendapat hidayah ilmu tetapi tidak mendapat hidayah taufiq kerana mereka mengutamakan kesesatan

Hidayah taufiq juga wajib Allah beri tetapi ada manusia yang tak mahu.

Jika manusia minta, PASTI Allah akan beri hidayah itu. Jika tak dapat, mungkin kerana KITA tak ikhlas.

Ayat 13 Surah Al Lail

وَإِنَّ لَنَا لَلْآخِرَةَ وَالْأُولَىٰ - 92:13

Dan sesungguhnya milik Kami akhirat dan dunia

Jika mahu dunia, carilah pemiliknya, bukan cari dunia itu. Kaedah ringkas, jika mahu barang, cari pemilik barang itu . Jika ambil barang tanpa izin, itu mencuri

Tadabbur ayat : Allah suruh cari akhirat dulu baru cari dunia, sedangkan ikut turutan masa, dunia sampai dulu.

Ini kerana antara dunia dan akhirat, sebut YANG PENTING dahulu dan FOKUS YANG PENTING dahulu. Maka dalam ayat ini akhirat disebut dahulu. Kita hidup di dunia 70 tahun sahaja, di akhirat infiniti. Jika kamu waras, lebihkan masa untuk yang kekal.

Sebab ke dua dunia disebut kemudian, dalam surah ini semua penghujung ayat adalah huruf alif, keindahan surah Al Quran.

Sehingga ayat ini, Allah sebut 3 perkara

  1)      Hidayat
  2)      Akhirat
  3)      Dunia

Kita minta hidayah 17 kali sehari dalam surah Al Fatihah , jika tambah 12 rakaat solat sunat rawatib, 3 rakaat witir, 2 rakaat Dhuha, semua sekali 34 kali minta hidayah.

Minta hidayah lebih kerap tetapi kita lebih banyak luang masa untuk bekerja untuk dunia berbanding dapatkan hidayah Allah. Adakah ada sifat munafik dalam diri kita? Soal diri kita semula (Astaghfirullah

Soalan kepada Ustaz : Tetapi kena bekerja untuk dapatkan duit untuk infak?

Surah At Talak – siapa berTAQWA Allah akan tambah rezeki. Rasulullah tidak berkerja keras macam kita tetapi paling bertaqwa dan paling banyak berinfak. Bukan tak payah kerja kerana bekerja juqa sebahagian taqwa (Surah Jumuah) . Mencari hidayah bukan mesti berada di dalam kelas. Hidayah ada di mana-mana, bila-bila masa, sambil tunggu customer, tunggu bas dan sebagainya

Ayat 14 Surah Al Lail

فَأَنذَرْتُكُمْ نَارًا تَلَظَّىٰ - 92:14

Maka Aku ingatkan kamu api yang menyala-nyala

Jika kita tak rasa akut dengan amaran dari Allah, ini bukan amaran dari polis atau PM. Ini bukan penjara atau pusat kuarantin Covid, tetapi api.

Percikan api di dunia pun kita tak tahan. Apatah lagi api neraka yang 69 kali ganda . Dalam Al Quran banyak kali Allah terangkan tentang api neraka supaya kita takut dan untuk kita elakkan

نَارُ اللَّهِ الْمُوقَدَةُ - 104:6
الَّتِي تَطَّلِعُ عَلَى الْأَفْئِدَةِ - 104:7

(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya),
Yang naik menjulang ke hati;

(surah Al Humazah)

Para sahabat jika mendengar tentang api neraka , boleh jatuh sakit, pengsan hingga mati . 

Kita tak rasa apa-apa kerana hati kita keras dan cinta dunia. (Astaghfirullahalazim

Ayat 15 Surah Al Lail

لَا يَصْلَاهَا إِلَّا الْأَشْقَى - 92:15

Tidak akan memasukinya kecuali paling celaka

Di dunia orang paling celaka, yang miskin, selalu sakit, tak kahwin, kahwin tak dapat anak dan sebagainya. Tetapi di akhirat, siapakah orang paling celaka ini? :

Ayat 16 Surah Al Lail

الَّذِي كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ - 92:16

Yang telah berdusta dan berpaling

Apa beza berdusta dan berpaling?

كذب – dustakan segala yang Allah beritahu termasuk syurga neraka , azab kubur, manusia akan dibangkitkan

تولئ – engkar semua perintah Allah, tak mahu solat, seluruh anggota badan tidak patuh

Satu percikan api neraka jika jatuh dalam dunia, akan hancur seluruh dunia

Siapa pula yang akan selamat dari neraka talazzo تلظئ ini?

Ayat 17 Surah Al Lail

وَسَيُجَنَّبُهَا الْأَتْقَى - 92:17

Dan akan dijauhkan orang paling bertaqwa

Ayat 18 Surah Al Lail

الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّىٰ - 92:18

Yang sentiasa memberi hartanya untuk membersihkan

Sifat utama orang paling bertaqwa

   1)      SUKA INFAK
-          Siang dan malam (surah Al Baqarah)
-          Rahsia dan terang-terangan
-          Susah dan senang (Surah Ali Imran)

   2)      IKHLAS untuk bersih hati dari CINTA DUNIA – bukan untuk digelar dermawan , viralkan supaya bisnes lebih maju dan sebagainya

Jika suka infak hanya dalam Ramadan sahaja- belum lagi termasuk dalam golongan ini

Kenapa Allah sebut sifat ini , dan bukan solat malam, pergu masjid dan umrah? Kerana infak ini paling susah

Infak kepada siapa? Surah Al Insan ayat 8-9

Ini sifat Al Abrar , beri makan makanan yang disukai kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan perang termasuk orang kafir .

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا - 76:8

Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,

Sukar nak beri pada orang miskin kerana tiada pulangan

Rekod Abu Bakar As Siddiq bukan kerana solat malam tetapi kerana infak. Ayat Surah Al Lail ini ada ulama kata turun kerana beliau.

Q&A
  1)      Yang mana utama? Bayar hutang atau sedekah?

-          Hutang wajib bayar, jangan risau tak dapat sedekah . Allah tidak membebankan seseorang melebihi kemampuannya . Pahala menunaikan yang wajib adalah lebih besar 


Allahu Alam 



Thursday 7 May 2020

Uwais dan botol kaca, kisah 14 Ramadan 1441H

14 Ramadan 1441H

Uwais main botol kaca, jatuh, pecah.

Botol itu pula hadiah anak sulung saya kepada Abinya sempena hari lahir yang lepas.

Saya tanya, kenapa Uwais main botol kaca?

Dia jawab, "Uwais main khemah ni, macam khemah Mekah. Botol tu tempat Uwais ambil wudhu. Uwais nak solat."

Di tepi serpihan kaca botol, memang ada sejadah kecil dia.

Saya pun minta anak sulung ambilkan vacuum.

Uwais bawa diri, dia ingat saya senyap sebab saya marah.

Sebenarnya sambil bersihkan kaca, sambil menahan sebak.

Teringat dalam Ramadan ini, antara doa yang saya cuba hafaz dan bacakan berulang kali selepas solat adalah doa Nabi Zakaria ini :

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُۥۖ قَالَ رَبِّ هَبۡ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةٗ طَيِّبَةًۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".

-Surah Ali-Imran, Ayat 38

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.

Benarlah janji Allah tentang makbulnya doa orang yang berpuasa.

In shaa Allah, Amin.

Dr  Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Sekejap lagi nak pujuk Uwais


Saturday 2 May 2020

Percayakah kita kepada KEBENARAN AL QURAN? - Surah Ar Ra'd ayat 1

Alhamdulillah hari ini, PKP hari ke 47 dapat kita ikuti kelas tadabbur bersama Ustaz Abdul Muien dari Ghulam Al Dakwah .

Hari ini kita pelajari Surah Al Ra'du ayat 1

Saya kongsikan nota-notanya ya

Selamat beramal dengan ilmu ini dan kongsikan ya. Untuk rakaman video dan salurkan sumbangan ke badan dakwah ini, boleh ke FB page Ghulam Al Dakwah ya

Video Kelas Tadabbur Surah Ar-Ra'd Ayat 1



Surah Ar Ra’d (3/5/2020)

الم

Dimulakan dengan huruf مقطعة (muqatta’ah) iaitu terputus

Lawan bagi مقطعة adalah متصلة (mutasilah) iaitu bersambung

Al Quran diturunkan dengan lisan yang jelas

Mengapa Allah turunkan Al Quran dan beberapa surah turun dengan dimulakan dengan perkataan مقطعة?
  • Memang tiada makna, Rasulullah SAW pun tidak tahu maksudnya 
  • Tujuan utama adalah untuk mencabar musyrikin Mekah yang mengatakan Al Quran dicipta oleh Nabi Muhammad
  • Orang Arab pakar Bahasa Arab. Maka Allah cabar orang Arab cipta satu surah , kalau tak satu surah pun ciptalah satu ayat guna huruf Arab yang mereka guna seperti perkataan مقطعة ini
  • Tidak sama dengan ayat mutasyabihat 

-          Surah Al Baqarah ayat 23 & 24

وَاِنۡ کُنۡتُمۡ فِىۡ رَيۡبٍ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلٰى عَبۡدِنَا فَاۡتُوۡا بِسُوۡرَةٍ مِّنۡ مِّثۡلِ  هٖ وَادۡعُوۡا شُهَدَآءَكُمۡ مِّنۡ دُوۡنِ اللّٰهِ اِنۡ كُنۡتُمۡ صٰدِقِيۡنَ‏  ﴿2:23﴾ فَاِنۡ لَّمۡ تَفۡعَلُوۡا وَلَنۡ تَفۡعَلُوۡا فَاتَّقُوۡا النَّارَ الَّتِىۡ وَقُوۡدُهَا النَّاسُ وَالۡحِجَارَةُ  ۖۚ اُعِدَّتۡ لِلۡكٰفِرِيۡنَ‏ ﴿2:24﴾

-                   

-          Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Allah mulakan ayat ini dengan seruan kepada Rasulullah sebagai “hamba” – ini sifat paling mulia seseorang iaitu dengar dan patuh apabila mendengar arahan, perintah dan kehendak Tuhannya walaupun hatinya tidak suka. Mulianya Rasulullah bukan kerana namanya tetapi kerana sifat hambanya.

Ternyata walau surah sependek Al Kauthar orang musyrikin Mekah tak mampu cipta, surah yang menyejukkan hati apabila dibaca, dibaca berulang kali tidak jemu, mendapat pahala dan sebagainya.

Logiknya jika dahulu , kini dan selamanya tidak mampu cipta Al Quran, orang musyrikin patut takut dengan api neraka. Mengapa Allah tak kata, “kamu patut ikut Al Quran”? . Ini kerana JIKA TAK IKUT AL QURAN, KESANNYA ADALAH API NERAKA . Ini gaya bahasa Al Quran. Rasa takut dan gerun

Contoh, anak tak mahu ke sekolah, bukan nasihatkan ke sekolah, tetapi boleh kata , “ maka bersedialah untuk kehidupan yang merempat”.

Golongan Khawarij baca Al Quran tetapi tidak masuk ke dalam hati.

Allah takutkan lagi, neraka ini bukan seperti api di dunia menggunakan gas dan kayu, tetapi bahan bakarnya adalah MANUSIA DAN BATU BERHALA.

Dan akibat tidak percaya kepada Al Quran adalah KAFIR

Apakah bentuk keraguan kepada Al Quran?

  •          Baca Al Quran tetapi tak faham . maka hayatilah ayat demi ayat dan patuhi


Ayat 1

الٓمٓر ۚ تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْكِتَٰبِ ۗ وَٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ (١ - 1)

Alif Lam Mim
Itulah tanda-tanda kebesaran Allah dalam kitab  dan yang telah diturunkan kepada engkau dari Pencipta engkau adalah benar akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.

  • Kehebatan Allah dalam Al Quran
  • Apabila dibaca oleh siapa sahaja, bila-bila masa, di mana sahaja, dia faham, dan diikuti, dia bahagia dan tenang. Orang Arab, Melayu, Jepun, miskin, kaya, semua orang sesuai. Tiada satu buku yang sesuai untuk semua orang.
  • Baca satu huruf pun dapat pahala
  • Semakin banyak tanda, semakin kita kenal Allah , semakin kita NAK DEKAT dan NAK JUMPA . siapa yang tak nak dekat dengan Allah, dia tak kenal Allah

Surah Al Anfal ayat 2

اِنَّمَا الۡمُؤۡمِنُوۡنَ الَّذِيۡنَ اِذَا ذُكِرَ اللّٰهُ وَجِلَتۡ قُلُوۡبُهُمۡ وَاِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡهِمۡ اٰيٰتُهٗ زَادَتۡهُمۡ اِيۡمَانًا وَّعَلٰى رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُوۡنَ​​ۖ ​ۚ‏ ﴿:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

انما – hanyalah orang beriman – tiada sifat lain. Kalau tak ada sifat ini, bukan orang beriman
انما (contoh lain) Muhammad pelajar – dia tak ada buat kerja lain .

Jika baca Al Quran tak ada menyebabkan kenaikan iman, ia bukan ayat , ia hanya lafaz seperti akhbar.

Dalam ayat ini juga, disebut apabila dibacakan. Maka kesan Al Quran adalah lebih apabila dibacakan (mendengar) berbanding kita membacanya sendiri contoh menjadi imam di dalam solat (risau tentang tajwid, risau keadaan makmum dan sebagainya) . Tetapi hanya terkesan apabila memahami maksud. Rasulullah SAW juga suka mendengar Abdullah Ibn Mas’ud baca kepadanya.

Rasulullah SAW pernah berjalan balik dan terdengar Abu Musa membaca Al Quran, hingga Rasulullah terhenti dan mendengar hingga habis. Rasulullah tak terasa letih kerana ayat itu adalah dari Allah.

Baca 1 ayat berulang kali hingga faham lebih baik daripada berkejar untuk khatam. Lebih parah lagi lepas khatam Al Quran, rasa lega sedangkan tak faham

Imam Qurtubi pelik dan  tak faham orang yang baca Al Quran tapi tak rasa apa-apa.

Antara punca kita tak baca Al Quran lama adalah kita tak rasa lazat, pilih masa yang kita dah letih sampai rasa tak nak baca lama

Al Quran itu hebat, diturunkan oleh Allah yang hebat kepada Rasulullah SAW yang hebat. Dalam bulan Ramadan , maka bulan itu jadi hebat. Semua yang berkaitan dengan Al Quran itu jadi hebat. Bangsa arab itu asalnya lebih teruk dari Melayu, sembah berhala , letak 360 berhala di keliling kaabah, tetapi jadi hebat, jadi umat terhebat,  boleh kalahkan dua kuasa besar Rom dan Parsi, kerana Al Quran. 

Kalau kita dah baca Al Quran berpuluh tahun belum hebat, Ini kerana kita belum faham Al Quran

Apa patut kita lakukan apabila kita sudah akui Al Quran itu benar?
  • Tetap dengan kebenaran itu walaupun payah
  • Kongsikan

Jika manusia tahu kebenaran Al Quran, manusia akan luangkan paling banyak masa untuk Al Quran
Surah Ar Rum ayat 6-7

وَعۡدَ اللّٰهِ​ؕ لَا يُخۡلِفُ اللّٰهُ وَعۡدَهٗ وَلٰـكِنَّ اَكۡثَرَ النَّاسِ لَا يَعۡلَمُوۡنَ‏ 

يَعۡلَمُوۡنَ ظَاهِرًا مِّنَ الۡحَيٰوةِ الدُّنۡيَا ​ۖۚ وَهُمۡ عَنِ الۡاٰخِرَةِ هُمۡ غٰفِلُوۡنَ‏ 

Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.  

Penyakit manusia suka janji manusia walaupun tahu manusia suka mungkir janji. Allah tak pernah mungkir janji tetapi manusia tak suka percaya.

Apabila Allah kata kehidupan dunia ada yang zahir contoh apabila makan ada kenyang, berjalan seronok, tetapi ada yang batin, yang mungkin merosakkan manusia tak tahu.

Rasulullah kata yang paling merisaukan baginda umatnya bukan kemiskinan tetapi apabila dihamparkan dunia.

Ashabul Kahfi ada harta, tetapi ditinggalkan untuk menyelamatkan aqidah mereka dan tinggal di gua.
Bukti manusia tak percaya janji Allah : LUANGKAN MASA UNTUK AL QURAN TERLALU SEDIKIT.

Solafussoleh apabila masuk Ramadan, tinggalkan urusan dunia. Hingga ada yang khatam 3 kali sehari (Qatadah), apabila 10 hari terakhir sekali sehari , total 17 kali sebulan .

Q&A
   1)      Asas memahami Al Quran
  • Fahami Bahasa Arab
  • Belajar tadabbur dari ustaz-ustaz yang boleh dipercayai dari segi sunnahnya, ketaqwaannya
  •  Firman Allah : Sesiapa yang betul-betul berusaha untuk mendapat keredhaan Kami, pasti kami akan tunjukkan jalan kebenaran – berapa ramai mualaf yang baru 4-5 tahun masuk Islam tetapi faham Al Quran dan boleh quote ayat Al Quran


   2)      Tafsir yang boleh digunakan

  •          Tafsir Fi Dzilal Quran boleh di gunakan


3) Apakah maksud Surah Al A’raf ayat 40
-          
-          Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

  • Pintu langit : keberkatan
  • Perumpamaan ini ; MUSTAHIL orang yang mendustakan ayat Al Quran boleh masuk syurga  


   3)      Bolehkah terkesan dengar bacaan Al Quran sahaja hingga menangis tapi tak faham 

  •        ini mungkin terkesan dengan suara sahaja. Ini tidak boleh mengubah akhlaknya pun ayat-ayat Al Qurannya itu.


  4)      Bolehkah baca sahaja Al Quran tapi tak faham 

  •       Inilah  golongan ummiyun iaitu yang buta huruf , tak boleh membaca. Ini boleh membaca tapi tak faham. Hasil sama sahaja. Surah Jumaah : sama seperti keldai yang pikul kitab. Sesi membaca Al Quran itu mesti diiringi dengan sesi tadabur dan membaca tafsir agar kita faham maksud ayat Al Quran itu.