"COVID -19 : Lelaki ditemui mati
di tepi jalan"
Seluruh negara bagai tersentak dengan
berita pemergian lelaki berusia 30 tahun yang menemui ajal di tepi jalan, yang
merupakan kes kematian akibat Covid-19 ke 110 di negara ini tempoh hari.
Hati ibu dan ayah mana yang tidak
sayu mendengar kisah ini.
Akibat rindu yang tidak tertahan,
seorang ayah nekad memilih untuk berjalan kaki sejauh 370km dari Segamat ke
Kuala Terengganu , di tengah terik panas Ramadan ini, demi anak dan keluarga
Ketika ditemui, arwah berada di
Muadzam Shah. Jika dihitung, sudah lebih 80km perjalanan dilaluinya. Sudah ada
sekatan jalanraya yang dilalui dan dikhabarkan, beliau sudah kelihatan lemah
dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya.
Namun arwah nekad.
Ahli keluarganya juga menyifatkan
beliau sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab.
Pulang ke rumah dari tempat kerja
semalam, saya kongsikan kisah ini dengan anak-anak.
Betapa saya amat merindui ibu ayah
saya, dan saya ingatkan anak-anak saya agar bersyukur kerana Ummi dan Abi
mereka masih di depan mata setiap hari.
Reaksi yang berbeza-beza saya lihat
pada wajah anak-anak. Secara general, semua sedih dan terkejut dengan berita
tersebut.
Umar, anak lelaki saya bertanya ,
“Kenapa tak ada orang bantu dia? Tumpangkan dia naik kereta?” .
Jawapan saya, pasti ada hikmah. Jika
tidak , mungkin sudah ada orang yang berjangkit dengannya.
Anak perempuan ke dua saya berkata, “
Maknanya kan, Ummi. Kita boleh mendapat jangkitan Covid di mana-mana sahaja
kita berada, kalua kita keluar rumah.”
Alhamdulillah anak berusia 13 tahun
ini, memang agak prihatin bab kesihatan.
Namun, jawapan anak sulung saya
membuatkan saya terpana.
Ujarnya, “ Allah sayang dia, sebab
itu Allah ambil dia. “
Pantas saya bertanya, “Kenapa pula,
Kakak? “
Jawab Fatimah , “ Allah tak mahu dia
jangkitkan pada anak dia. Sebab itu Allah ambil dia dahulu sebelum sampai (ke
rumahnya). “
Subhanallah. Saya terdiam
Sehingga malam tadi, sewaktu saya
berbaring hendak melelapkan mata, menitis air mata saya.
Teringat sebuah hadith Qudsi , dari
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda,
“Allah SWT berfirman: Aku sesuai
persangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingatKu. Jika ia mengingatKu
saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Jika ia mengingatKu di
suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada pada
itu (kumpulan malaikat).”
(Hadis Qudsi: Muttafaqun ‘alaih) [HR.
Bukhari, no. 6970 dan Muslim, no. 2675
Semoga kita akan sentiasa bersangka
baik dengan Allah, walau apapun keadaan.
Kita merasa kasihan kepada lelaki
itu, kadang tertanya mengapa dia menyusahkan diri, mengapa tidak boleh
bersabar, mengapa tidak ada orang nak bantu beliau, tetapi kita kadang terlupa
yang Allah itu Maha Mengasihani dan Dia Maha Merancang.
Kasih sayang Allah kepada hambaNya
itu melebih 70 kali kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
Pastinya Allah itu tidak pernah
berlaku zalim pada hamba-hambaNya.
Semoga Allah merahmati arwah, dan
memberikan kekuatan kepada seluruh keluarga arwah.
Semoga anak-anak kita membesar
menjadi insan yang sentiasa berbaik sangka dengan Allah, dan terus menjadi
insan yang memberi peringatan kepada ibu bapa mereka yang kadang kala lupa.
Astaghfirullah
Terima kasih Kakak…
Dr Azlindarita
Aisyah Mohd Abdullah
Nukilan 22 Ramadan 1441H
No comments:
Post a Comment