Showing posts with label Dr Azlindarita. Show all posts
Showing posts with label Dr Azlindarita. Show all posts

Monday, 11 September 2023

Impian mendaki Gunung Kinabalu yang tercapai!

 Impian jadi kenyataan. 


Alhamdulillah hari ini dalam sejarah, 11 September 2023, saya dapat mencapai salah satu cita-cita saya iaitu mendaki Gunung Kinabalu. 


Pastinya ia bukan satu perjalanan yang mudah. 


Bermula dari menyemai azam pada September 2022, mendaftar pada November 2022 untuk pendakian Jun 2023. Takdir Allah kumpulan itu dibubarkan 4 minggu sebelum penerbangan, sedangkan saya sudah bersedia dari segi fizikal dan sudah membeli peralatan. 


Alhamdulillah ditakdirkan ada sahabat saya Fadly Khairi juga merancang pendakian ke Kinabalu pada bulan September. Saya cuba menyertai kumpulan beliau, tetapi sudah penuh. 


Saya nekad, cuba mendapatkan tarikh pendakian yang sama, melalui agensi pelancongan yang biasa saya gunakan.


Alhamdulillah dapat! Saya terus mendaftar untuk saya dan hiking buddy saya. 


Saya terus berlatih ke Gunung Angsi, Gunung Datuk, Gunung Ledang , Twin Peaks dan terakhir Gunung Nuang. 


Ujian datang lagi, sebulan sebelum tarikh pendakian, saya terkena sakit belakang akibat annular tear pada disc tulang belakang. Pakar Neuro kata kerana terlalu banyak hiking dan mungkin ada jatuh semasa hiking. Saya rasa ada juga faktor saya banyak buat pembedahan mata sambil duduk terlalu lama. 


Apa pun, sejak 5 Ogos 2023, saya dinasihatkan untuk tidak hiking langsung untuk mengelakkan kecederaan yang lebih teruk. Mahu tidak mahu saya hanya berlatih di gym dengan jurulatih peribadi saya. 


Pesanan doktor, saya boleh mendaki Kinabalu jika tiada rasa sakit. Beliau berkata, " Awak cuba naik sampai Panalaban. Kalau awak rasa OK, boleh teruskan. Kalau tak, jangan teruskan sebab pendakian dari Panalaban ke puncak itu sangat mencabar. Banyak guna tali." 


Saya patuhi nasihat doktor.

Saya hadiri sesi fisioterapi. 

Saya berehat dari hiking. 


Namun hampir sahaja trip saya ini tidak jadi, kerana hiking buddy saya tiba-tiba tidak sihat dan menarik diri.


Suami saya agak bimbang saya pergi sendirian.


Saya terus berdoa agar Allah permudahkan semuanya. Alhamdulillah kumpulan Fadly itu rupanya ada 8 orang, 6 orang daripadanya perempuan. Semua sporting pula tu! 


Maka akhirnya suami pun membenarkan saya pergi dengan rela hati.


In Shaa Allah lain kali saya ceritakan pengalaman pendakian saya.


Hari ini saya ingin berterima kasih kepada semua yang membantu dalam menjayakan pendakian ini. 


Alhamdulillah. I cherish each and everyone of you ❤️ 


And guys, dreams do come true if you BELIEVE in it and you work for it. 


Alhamdulillah. I did it! 


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Gunung Kinabalu 





#drazlindarita

#hiker

#thehikingdoctor 

#Ophthalmologist

#kisahkehidupanDrAzlindarita

Tuesday, 7 February 2023

Pendakian gunung yang pertama dalam hidup : Gunung Datuk Rembau, Negeri Sembilan

 

Hiking sudah.

Berlari sudah.

Menyelam sudah. 


Apa lagi nak buat ya?


Itulah penyakit orang midlife crisis ni agaknya. 


Teringin nak panjat gunung pula.


Apabila kawan-kawan Johan Zie, Arash Halim, Ainun Mahani selalu cerita tentang naik gunung, kita pun rasa nak mula. 


Pada mulanya bukan apa, takut stamina tak kuat. Selepas setahun saya selalu hiking di Bukit Gasing dengan team Abang Johan, akhirnya saya kuatkan semangat. 


Maka saya pun memutuskan untuk memulakan dengan gunung yang dekat dulu.


Pengalaman ini memang takkan saya lupakan.

  1. Mendaki dalam keadaan hujan. 

Sudahlah pertama kali nak naik gunung, dalam perjalanan hujan pula tu. Hati dah berbelah bagi nak naik ke tidak. Alhamdulillah , sampai di kaki gunung, hujan renyai-renyai sahaja. Baru tahu pentingnya ada simpan baju hujan di dalam kereta. Walaupun baju hujan pakai buang, dapat jugalah mengelakkan daripada basah kuyup. 

Bergambar sebelum memulakan pendakian. Alhamdulillah semua ada baju hujan. Abang Joe tak ada baju hujan, beg plastik pun boleh convert jadi baju hujan. Yang penting beg duduk dalam baju hujan OK. Unless beg you water proof. 


  1. Mendaki dan menuruni trek yang licin sepanjang perjalanan. Waktu ni barulah tahu betapa pentingnya pemakaian kasut hiking yang betul, terutamanya yang water proof. Jadi termasuk ke dalam lopak air pun tidak lah stokin dan kaki basah. 


Gambar ni nak tunjuk kasut yang dah berselut tu. Tapi tak apa yang penting selamat. Kakak balik pokok tu nama kak Nor. Beliau dah 50an tapi dah berjaya tawan Kinabalu tau. Hebat kan! 

  1. Kepentingan ada trekking pole. Kalau bawa 2 lagi best untuk membantu mengurangkan tekanan kepada lutut semasa mendaki atau pun turun. 


  1. Pentingnya bawa makanan! Biasa kalau hiking di Bukit Gasing, saya jarang bawa makanan kecuali buah jadi kali ini sebab bertolak dari Muar seawal 6.40 pagi, tak sempat nak bawa bekal. Alhamdulillah guide bagi Himalayan salt dan roti. Dah mendaki satu jam yang pacak, baru sedar betapa penting bawa makanan tu.  Saya bawa protein shake dan kurma saja. Nikmat dapat makan roti tu, Allah saja yang tahu. Ada juga kawan-kawan yang bawa nasi lemak lagi! 


Nampak tak muka lapar tengah makan roti tu hahahah

  1. Bawa air minum yang mencukupi. Lebih tak apa, jangan kurang. Saya baca review pendaki yang pernah mendaki Gunung Datuk sebelum ini, kebanyakannya mencadangkan untuk bawa sekurang-kurangnya 2 liter air. Saya bawa 2 liter, sehingga turun ke bawah semula hanya habis lebih kurang 1.2 liter. Mungkin kerana cuaca sejuk dan hujan,maka tidak terasa dahaga. 


Saya minum protein shake sebaik sampai di puncak. 

  1. Kelebihan ada guide yang berpengalaman. Alhamdulillah all the way up naik dengan trail runner Si Hady tu, banyak juga dia ajar cara naik supaya tak injured lutut, cara turun dan cara cari trek yang paling selamat. Antara tips beliau, semasa mendaki, pastikan lutut tidak melebihi hujung jari kaki. Dan cuba untuk membuat langkah yang tidak terlalu besar agar tidak cepat penat. 


Encik Hady yang selfie gambar ni. Baju hitam tengah tu Abang Nizam, salah seorang guide tapi lajunya laaa dia tu. Berdesup terus hilang!
  1. Mendakilah dengan pace sendiri. Tidak perlu berlumba dengan sesiapa. Enjoy the journey. Saya sangat enjoy dengan laluan, pemandangan pokok-pokok yang permai, hujan renyai-renyai yang dingin, bunyi unggas hutan. Semua saya nikmati satu persatu. Siapa laju, kita persilakan potong. Siapa perlahan kita bye bye dulu, nanti jumpa di puncak. 


My favorite shot of the day! Alhamdulillah I did it!


Secara keseluruhan, saya rasa trek Gunung Datuk doable selepas dilatih dek geng Bukit Gasing sejak bulan Februari tahun lepas. Rasanya trek Gasing lagi penat woi ðŸ˜‚


Menyesal ke naik gunung? 


Langsung tak!


Sakit kaki tak habis lagi dah fikir nak naik gunung mana pula lepas ni? 




Geng Bukit Gasing di puncak Gunung Datuk. Abang Nizam dan Hady menikmati nasi lemak mereka. Apa yang best tentang pendakian ini adalah trek, view cantik dan of course geng yang awesome!! 

Wednesday, 24 August 2022

Merawat banduan akhir Penjara Sungai Buloh

 Oleh kerana #Penjara #SungaiBuloh trending hari ini, saya pun nak kongsikan kisah saya merawat pesakit dari penjara.


Alhamdulillah, saya berpeluang bekerja di Hospital Sungai Buloh pada 2008 sebagai MO, dan dari tahun 2013 hingga 2014 sebagai Pakar Mata . Selalu juga kami dapat pesakit dari penjara.


Mula-mula tu saya keliru juga kenapa ada banyak warna baju banduan. Ada ungu, merah, baju putih lengan merah.


Rupanya warna baju berbeza-beza mengikut hukuman. Baju ungu tu tahanan reman. Warna merah, tahanan lebih 6 bulan. Yang paling digeruni, pastinya baju putih lengan merah. Inilah banduan akhir, yang menanti hukuman mati mandatori.


Ada 2 pesakit yang saya tak boleh lupakan.


Pesakit pertama, ada katarak yang tebal. Tetapi oleh kerana banduan itu adalah tahanan akibat kesalahan merogol, Pakar kami ketika itu enggan menjalankan pembedahan untuknya. Kata Pakar tu, takut lah, nanti dah nampak, bila bebas dia buat lagi jenayah itu. Saya masa itu MO saja, diam sahajalah.


Pesakit ke dua, saya jumpa semasa saya dah jadi Pakar. Dia masuk ke bilik klinik, tangannya bergari kiri dan kanan kepada Pegawai Penjara. Dia mengadu matanya tak nampak tiba-tiba. Saya mengerling baju lengan merahnya.


Oleh kerana bilik klinik agak sempit, saya minta salah seorang pegawai membuka gari, lantas pegawai itu menunggu di luar.


Sambil saya memeriksa matanya, sempat saya bersembang. Dia asal orang Selangor, sudah berkahwin dan ada anak seorang.


Selesai pemeriksaan, semua nampak normal. Dia pun dibawa keluar, dan saya serahkan laporan perubatan kepada Pegawai Penjara.


Saya pun bertanya, "Encik, kenapa baju dia lain dari orang lain? Lepas tu sampai kena gari kiri kanan?"


Pegawai tu menjawab, "Oh dia banduan akhir, doktor. Pengedar dadah. Minggu depan dia ke tali gantung. Agaknya sebab tu dia mengadu tak nampak tu. Inilah peluang terakhir dia nak lihat dunia luar. "


Terkedu saya dibuatnya.


Subhanallah, mudah-mudahan, Allah terima taubatnya, dan pengakhiran yang baik buatnya dan kita.


Saya selalu ingatkan diri, jangan sangka orang yang tak baik sekarang, selamanya akan tak baik.


Sesungguhnya iman itu dinilai pada akhir hayat seseorang itu.


Hadith Rasulullah SAW:


"Demi Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Dia, sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli neraka, ia pun masuk ke neraka.


 Sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli syurga, ia pun masuk ke syurga”


(HR. Bukhari dan Muslim).


Siapa pun kita, marilah kita terus beristiqomah untuk sentiasa melakukan kebaikan, dan menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.


Jika tidak dapat membantu orang, janganlah sampai menyusahkan atau menzalimi orang lain, apatah lagi mengabaikan amanah yang diberikan. 


Allahu Alam


24.8.2022

#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita




Wednesday, 10 August 2022

Santuari Ikan Sungai Chiling - idea untuk daytrip bersama anak-anak

 

Pintu masuk Santuari Ikan Sungai Chiling. Atas sedikit dari Kuala Kubu Bharu, jika anda dalam perjalanan ke Bukit Fraser, anda akan nampak gerbang ini di sebelah kanan. 

Sungai Chiling Fish Sanctuary

Hujung minggu Awal Muharram, sepatutnya kami sekeluarga bercuti ke Genting Highland. Hotel pun sudah ditempah beberapa minggu sebelum itu lagi. Namun , seminggu sebelum waktunya, ramalan kaji cuaca mengatakan yang akan hujan sepanjang Sabtu dan Ahad, maka kami mengubah perancangan. Iyalah, tak guna juga ke Sky World Genting tetapi tidak boleh bermain apa-apa kerana hujan, bukan?

Hari Sabtu 30 Julai, kami ke Escape PJ. Hari Ahad 31 Julai pula, kebetulan sahabat hiking saya, Arash, ada membawa beberapa orang sahabat ke Sungai Chiling Fish Sanctuary.

Pada mulanya saya meminta izin suami saya untuk ikut. Tidak saya sangka, beliau juga berminat untuk turut serta. Bayaran RM40 dikenakan, termasuk permit , makan tengahari serta khidmat guide serta sweeper. Iyalah, pertama kali pergi, lebih baik pergi dengan orang yang sudah berpengalaman.

Kami diminta berkumpul di tapak letak kereta Sungai Chiling jam 8.30 pagi. Seawal 7.30 pagi kami sudah bergerak dari rumah. Google Map memberi pandu arah, agar kami menggunakan laluan Jalan Sungai Tua, Ulu Yam hinggalah ke Kuala Kubu Bharu. Pelik juga kenapa tidak disuruh melalui Rawang Bypass sahaja, tetapi kami turuti sahaja. Damai juga pagi-pagi menelusuri jalan dengan pemandangan empangan yang indah.

Kami tiba sekitar 8.45 pagi, semua ahli kumpulan sudah sampai. Alhamdulillah masih ada tempat parking yang kosong.


Tempat letak kereta ini tidak berturap ya. Sebaiknya jika ada 4WD bawalah kereta itu, atau Myvi. Semasa kami sampai, ada kereta Vios tersagat bumper terkena batu


Kami diberi taklimat, bahawa tempat untuk menukar pakaian, solat dan sebagainya terletak di campsite. Kami boleh membawa pakaian untuk bersalin sekali, tetapi perlu diletakkan di dalam beg plastik untuk mengelakkannya basah.

Dari tempat letak kereta, kami berjalan kira-kira 10 minit ke tapak perkhemahan atau campsite. Di sini, guide kami iaitu Arash pergi mendaftar bagi semua ahli rombongan kami seramai 16 orang. Di camp site ini kemudahan serba lengkap. Ada tandas, bilik mandi, wakaf, gerai dan surau.

Selesai mendaftar, kami bergerak ke pintu masuk, iaitu sebuah jambatan. Di sini ranger akan membuat pemeriksaan beg, bagi memastikan tiada sesiapa yang membawa peralatan memasak. Adalah menjadi kesalahan jika membawa peralatan sedemikian, dan boleh dedenda sehingga RM10,000. Antara sebabnya adalah, ikan kelah yang terdapat di sini adalah dipelihara, dan tidak boleh ditangkap , sama ada untuk dibawa pulang mahupun dimasak!



Tepat jam 9.30 pagi, kami memulakan perjalanan. Saya lihat ramai juga ibu bapa yang membawa anak kecil. Malah ada yang menggendong anak menggunakan carrier, yang saya kira adalah lebih selamat berbanding segelintir yang mendukung anak di atas bahu. Perbuatan ini merbahaya, kerana laluan adalah berbatu, dan licin di sesetengah tempat. Hampir sahaja suami saya ingin menegur seorang bapa yang mendukung anaknya begitu. Tetapi saya kata, they must have known the risk.

Laluan pertama , landai sahaja, tetapi sangat berselut. Kami memilih untuk memakai hiking boots walaupun tahu memang akan basah nanti. Untuk sampai ke air terjun iaitu penghujung laluan trekking kami ini, anda perlu merentas sungai sebanyak 6 kali. Yang pertama dengan jambatan, dan 5 kali lagi meredah air sungai. 



Ada sebahagian hikers yang saya lihat membuka kasut dan meredah berkaki ayam. Kami basahkan sahaja kasut, kerana khuatir ada objek tajam di dalam sungai. Saya kira jika anda memakai hiking sandals, adalah pilihan yang baik.

Lintasan-lintasan ini, semuanya ada disediakan tali untuk anda berpaut, maka tidaklah susah. Mungkin bagi kanak-kanak berusia 7-8 tahun seperti Uwais, perlu pengawasan rapi kerana ada kawasan yang airnya deras juga. Tetapi pengalaman ini amat menyeronokkan bagi saya, kerana setiap kali melintas, kami dapat melihat betapa banyaknya ikan kelah yang berenang-renang di dalam air yang teramat jernih.






Lintasan ke enam adalah yang paling mencabar, kerana airnya agak dalam. Untuk saya yang berketinggian 162cm, hampir mencapai paras pinggang. Saya yang tidak mahu beg saya basah, berjalan dengan berjingkit.

Alhamdulillah selepas 40 minit, akhirnya kami sampai di Air Terjun Sungai Chiling yang amat cantik. Oleh kerana tempat ini hanya dibukan Sabtu dan Ahad, memang sangat ramai pengunjung. Kami bersyukur kerana Arash sudah berpesan untuk membawa roti untuk memberi makan kepada ikan. Puaslah kami mandi manda di air terjun yang dingin, memberi makan ikan kelah yang jinak, bergambar dengan sahabat-sahabat dan berpiknik sambil menikmati pemandangan yang indah.





Selepas sejam berada di kawasan air terjun, kami mula bergerak pulang, dan perjalanan pulang juga mengambil masa 40 minit. Pada mulanya saya berniat untuk bersalin pakaian di bilik mandi di campsite. Tetapi oleh kerana ramai yang beratur, kami terus menukar perancangan dan meneruskan perjalanan ke Kuala Kubu Bharu, untuk mandi dan solat di Masjid Kuala Kubu Bharu.

Malangnya , perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit, menjadi hampir sejam, kerana ada perarakan Hindu yang berlangsung di tengah jalan, hingga menyebabkan kesesakan lalulintas.




Apabila sampai sahaja di Masjid Kuala Kubu Bharu, suami saya yang keletihan, meminta saya pergi mandi dan bersalin pakaian serta solat dahulu, sementara beliau melelapkan mata seketika.

Kagum saya melihat Masjid Kuala Kubu Bharu, yang mana tandasnya sudahlah bersih, kamar mandinya lengkap dengan pancuran mandi, sabun, tempat menggantung pakaian dan sebagainya. Tempat solat wanita juga amat bersih dan luas.



Pintu berbunga itu adalah pintu masuk ke Dewan Solat Muslimah ya

Masuk saja pintu berbunga tadi, ada tempat ambil wudhu untuk wanita

Luas sungguh tempat solat untuk wanita


Selesai kami berdua solat, kami sempat singgah menjamu selera di warung cendol Pak Samad yang terletak betul-betul di hadapan masjid. Enak betul, badan letih, perut lapar, dapat pula nasi putih gulai daging salai, laksa penang, cendol dan pisang goreng.



Daging salai masak lemaknya memang mengancam 

Saya tak tahu nak pilih , jadi saya order saja semua haha. Laksanya sedap, rojak pun sedap. Cendol juga sedap. Harga juga berpatutan


Alhamdulillah, Sungai Chiling Fish Sanctuary adalah sebuat hidden gem di Kuala Kubu Bharu.

Berbaloikah memandu sejam untuk sampai ke sana?

Totally worth it!

Sunday, 7 August 2022

ESCAPE PJ - indoor park yang wajib dicuba

Kami jarang-jarang dapat cuti hari Sabtu, jadi kita manfaatkan masa dengan keluarga pada 30 Julai yang lalu, bersempena cuti Awal Muharram.   

Niat asal kami nak naik ke Genting, tetapi ramalan kaji cuaca kata di sana hujan, jadi kita stay indoor di KL saja.  

My verdict : Escape PJ is totally worth your money!  

Rasa macam 4 jam, rupanya baru 3 jam.  

Saya lalu Level 1 sekali, level 2 3 kali, cuba level 3, baru laluan kedua dah give up.  

Letih, I'm telling you! Kena ada stamina OK!   

OK biar saya beri sedikit gambaran laluan Monkey Business ini ya.   

Bagi pengunjung kali pertama, anda diwajibkan bermula dengan Level 1. 

Level 1 ada 2 laluan, Line 1 dan Line 2. Line 1 adalah lebih pendek berbanding line 2. Kami terus ke Line 2 kerana Line 1 penuh ketika itu.   

Anak lelaki kami memulakan langkah di Line 2, Level 1

Kagum juga saya lihat anak-anak perempuan kami pun berani 

Laluan ini mencabar sedikit sebab kena merangkak. 

Selesai Level 1,anda boleh ke level 2. Tetapi pastikan petugas yang memasangkan peralatan keselamatan anda ya. Jangan pandai-pandai sendiri pula.  Level 2 dan 3 juga ada 2 Line setiap satu. Line 1 pendek, Line 2 lebih panjang. 

Level 3 hanya untuk remaja 14 tahun ke atas dan dewasa. Kurang sesuai untuk bawah 12 tahun kerana ia amat mencabar.   

Encik Suami beraksi di Line 1, Level 2. Jadi Spiderman kejap 

Gambar ihsan Google. Di Line 2, Level 2 saya rasa yang paling mencabar adalah nak lalu balak tegak di bawah pisang-pisang, di sebelah kanan gambar tu. Saya lalu 2 kali pula tu. Sekali dengan anak-anak, sekali dengan Encik Suami. Rasa nak terkehel pergelangan tangan pun ada. 


Pesanan saya bagi yang merancang untuk ke Escape PJ :  

1) Beli tiket melalui Klook, lebih murah. Tak perlu print pun tiket, hanya perlu masukkan kod dan upload gambar selfie sahaja masa nak masuk.   

2) Datang awal pagi supaya belum ramai orang. Agaknya weekday lebih lengang dan tak perlu beratur. Tadi kami serentak dengan satu rombongan International school, jadi agak meriah. Tapi masih lagi OK pada saya.  

3) Bawa baju sepersalinan sebab gelongsor banana flip tu, baju memang akan basah dari hujung kepala sampai hujung kaki. Kami tak naik sebab malas nak membasahkan kerusi kereta haha.  

4) Saya bawa gym gloves and it's totally worth it. Encik Suami mulanya marah juga banyak aktiviti guna tangan ni. Dia ingatkan, "Your hands are precious, you are a surgeon," tapi Alhamdulillah at the end of the day OK. We went through the obstacles unscathed.  

Ada saya baca review, ada yang tangan merah bila habis bermain di Escape.   

5) Kanak-kanak kecil macam Uwais, laluan Monkey Business walaupun level 1 adalah kurang sesuai. Jadi Uwais agak kebosanan di sana. Ada obstacles yang mudah tapi sekali jalan saja dah cukup untuk dia. 
Obstacle course untuk kanak-kanak 

Salah satu game room untuk kanak-kanak, tetapi Uwais sekejap saja dah bosan di sini. Dia kata ramai budak random hahahaha. 


6) Pastikan kanak-kanak ada supervision setiap masa. Semasa saya nak naik dengan Encik Suami, ada seorang budak lebih kurang 5 tahun, nak naik seorang diri. Saya tanya mana ibu bapanya , dia kata "over there" tapi saya tak nampak. Risau saya tengok. Alhamdulillah akhirnya saya tengok dia turun balik.   

7) Bawa pakaian untuk solat. Anda boleh keluar dan masuk sesuka hati anda sepanjang hari. Jadi kalau nak keluar makan, solat, kemudian masuk semula, tak ada masalah.  

8) Monkey Business adalah laluan permainan utama di sini, tetapi anda tidak dibenarkan memegang telefon atau kamera. Akan ada jurukamera dari Escape akan merakam detik-detik anda di sana, tetapi cara terbaik, saya kira adalah jika ada sahabat yang bergilir dengan anda, dia boleh ambil gambar anda ketika anda bermain. Satu cara lagi adalah dengan memakai kamera pada badan contohnya GoPro dengan harness pada badan.   

9) Luangkan masa sekurang-kurangnya setengah hari untuk bermain di sini, terutamanya jika anda datang pada hujung minggu. Jika tidak, tak sempat nak main sepuasnya. Anak ke dua saya teringin nak cuba sling shot, tetapi segan kerana ramai lelaki beratur menunggu. Sudahnya tak main pun.   

So plan your trip, and enjoy your day!  

We are definitely coming back, in shaa Allah!  

#drazlindarita 
 #microsurgeonmom



Sunday, 7 November 2021

Tips bawa maid balik ke Malaysia semula, dalam era pandemik

Oleh kerana ramai yang bertanya, maka saya sharekan bagaimana proses saya bawa maid saya balik ya.


Saya janji, ini bukan karangan cerpen macam post sebelum ini hahaha


Here goes :


Tips bawa maid balik Malaysia semula selepas cuti pada musim pandemik Covid-19 ✅


1) Pastikan maid anda legal dan sudah ada permit. Maid kami memang dah ada permit yang masih valid, beliau pulang bercuti sahaja.


Jangan tanya kalau yang tak ada permit, atau permit dah mati macamana. Saya tak pasti


2) Sebaiknya maid sudah dapat 2 dos vaksin dan dah cukup 14 hari selepas dos ke dua, jadi nanti boleh apply untuk kuarantin di rumah melalui HQA.


- kalau maid atau anda antivaksin, sila skrol laju-laju.


- kalau tak cukup dos, boleh masuk tapi nanti kena kuarantin di hotel. Siapkan duit saja ya.


3) Langkah pertama, apply MyTravelPass di


https://mtp.imi.gov.my/myTravelPass/main


Ini valid semasa proses kami nak bawa maid balik dalam September 2021. Kalau sekarang dah tak perlu, sila skip. 




4) Apabila dah lulus MyTravelPass (ambil masa dalam 3 hari dalam kes saya) , boleh buat pembayaran untuk MySafeTravel iaitu untuk PCR Covid test semasa tiba di KLIA dan bayaran pusat kuarantin. Masa ni sebaiknya dah tahu tiket balik maid tu bila.


- jika nanti nak apply HQA, tak boleh bayar PCR Covid test ni secara online.


- jika nak duduk hotel, semua bayaran untuk PCR Covid test dan hotel boleh bayar secara online di MySafeTravel. Nah saya belanja link terus 


https://safetravel.myeg.com.my/ 


- jika dah lengkap vaksin, kuarantin 7 hari. Kalau belum lengkap, 10 hari. Ini valid untuk masa sekarang la. Nanti kalau MKN tukar lagi, sila rujuk telegram MKN.


5) Sila book flight yang akan terbang ke pintu masuk Malaysia yang dibenarkan. Sila rujuk website KKM ke, Imigresen Malaysia ke .


Saya beberapa hari sebelum flight maid, kerja jadi stalker airport Jakarta dan KLIA, tengok flight apa yang betul-betul landing. Saya tengok Malindo, Garuda, MAS ada. Jadi saya book tiket itu. Air Asia saya tak tengok pun. Takut sakit jantung.


6) Jika maid akan naik connecting flight macam maid saya, sebaiknya naik penerbangan yang landing dan depart dari terminal yang sama. Contoh dari Medan ke Jakarta naik Malindo, Jakarta ke KL naik MAS. Semua penerbangan ini di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno Hatta Jakarta. Kalau tukar terminal, nanti susah. 


Maid saya somehow tak dibenarkan check in bagasi terus dari Medan dengan alasan beg dia ada calar, takut makin rosak. Kena keluarkan dan check in semula. 


Pastikan ada masa yang cukup untuk proses ini. 


Di Lapangan Terbang Jakarta juga maid saya hampir kena tipu dengan orang yang kononnya nak tolong hantar pergi tempat check in, kemudian minta duit Rp500, 000. Orang tu ambil bagasi dia dan bawa ke kereta. Mujur ada orang tolong. 


Sila berhati-hati. 


7) Majikan apply Home Quarantine Application (HQA) di website 7 hingga 10 hari sebelum penerbangan pulang. 


https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/index 


Ada banyak syarat, selain maid dah cukup vaksin. Rumah tu kena ada cukup bilik, cukup toilet yang tak payah kongsi dengan orang lain, tak ada orang sakit kronik, kanak-kanak dan sebagainya. Keputusan pun dalam masa 3 hari juga. Nanti minta maid print dan bawa masa balik, sekali dengan MyTravelPass. 



8) Dalam masa 72 jam sebelum berlepas, maid kena buat PCR covid test di negaranya. Ya, ini waktu yang mendebarkan. Sebab tu kena cari tiket flight yang flexible. Kot tiba-tiba positive, hangus pula tiket. Saya ambil langkah, result keluar baru beli tiket. Ini kamikaze dah ni. Maka tiket jadi mahal. Ikut korang lah nak buat macamana. Kredit card masing-masing. 


Pastikan maid daftar PCR covid test tu DENGAN PASSPORT, bukan dengan KTP atau IC Indonesia mereka. Kadang nama/tarikh lahir  diorang ni di IC dan di passport tak sama. Airlines akan nak tengok sama di passport ya. 



9) Bila maid dah terbang, doa banyak-banyak dan sila stalk di flightaware.com macam aku ni ha. Kahkahkah. OK, gurau. Step ni tak payah. 



10) OK bila dah sampai di KLIA, mereka kena buat


a) daftar MySejahtera jadi kena ada simcard. Bab ni I is pening juga. Dia call pakai WiFi, abih tu camno nak bagi simcard Malaysia kat dia? Dia kat dalam? Jadi kalau dah ada nombor Malaysia better. Entah macamana kelmarin tu ada orang tolong dia daftar MySejahtera.


b) dia kena buat PCR covid swab test. Kalau dah bayar dengan MySafeTravel tadi, tunjuk saja resit. Kalau belum, kena bayar cash. 


Haaaaa inilah kisah sangkutan terakhir kami hari tu. 


Maid kami mana ada cash RM250 nak bayar. Kami nak bayar online tak boleh. 


Maka saya pun kena ambil pass masuk di kaunter Polis Bantuan di Level 2 KLIA (dekat Food Garden), bayar RM2 untuk pass, RM50 untuk upah escort oleh polis bantuan. 



Maka saya pun masuk laaa dengan diiringi polis, lalu ikut laluan crew, jumpa laaa maid saya di tempat saringan. 



Boleh bayar pakai cash atau kad, RM250 untuk swab test tu. Maid dah siap swab pun, dah siap pakai gelang pink. Masa tu maid dah tunjuk HQA letter pada petugas KKM. 


Dan terakhir, 


11) lepas bayar, maid pun lalu di kaunter Imigresen, tunjuk permit, MyTravelPass, chop, ambil beg, dan kami pun balik, hantar dia pergi kuarantin di rumah. 




Maka kuarantin lah dia di rumah tu 7 hari, setiap hari kena jawab soalan di MySejahtera. 


OK selamat maju jaya semua kawan-kawan yang nak bawa maid balik Malaysia. 


Semoga dipermudahkan urusan in shaa Allah. 


Doa banyak-banyak. 


Allah boleh atur bulan matahari planet semua, takkan Allah tak boleh bantu kita kan? 


In shaa Allah. 


Peace!

Perjuangan membawa pulang seorang maid pada musim Covid

Perjuangan membawa pulang seorang maid 

 (Long post alert) 

 Inilah satu perjuangan yang mencabar jiwa, mental, hati, perasaan, semua lah. Mungkin bukan buat semua, tapi sangat mencabar buat saya, a working mom anak 4, anak-anak ada yang sekolah, ada yang PDPR, saya yang travel 70 km sehari menempuh roadblock, jem dan sebagainya. 

 Maid kami ni Alhamdulillah, antara yang terbaik lah pernah bekerja dengan kami. Dah lebih 3 tahun bekerja. 

Pastinya tidak sempurna sebab saya pun bukan majikan yang sempurna. Tetapi beliau ni tak banyak soal, patuh, solat tak tinggal, makan tak cerewet, pandai masak ayam Korea meletup, pecel Jawa mengancam, gosok tudung licin muncung tajam. Paling bagus, kalau kena tegur, dia tak tarik muka masam atau merajuk. Dia akan minta maaf. Kalau saya yang kadang buat salah, teremosi, saya yang minta maaf dan dia maafkan. Sebab tu saya sayang dia haha. 

 Beliau tinggalkan Indonesia 3 tahun dulu, anak beliau baru lebih kurang umur 6 bulan. Dah 3 tahun tak jumpa, ibu mana yang sampai hati nak halang dia nak balik jumpa anak. 

Patutnya balik Raya 2020, tapi masa tu PKP, saya minta tangguh. Sampai Ramadan 2021, kami izinkan beliau bercuti 2 bulan. 2 Mei 2021, beliau pulang ke Medan, seminggu sebelum raya. 

 Nak jadi cerita, bulan Julai 2021, kita total lockdown. Mana tak nya, kes Covid baru mencanak naik sampai 20 ribu satu hari di Malaysia. Semua penerbangan dibatalkan. 

 Maka kami pun tunggu punya tunggu punya tunggu, sampailah keadaan reda, MAS kata bulan Oktober akan ada penerbangan semula. 

 Bila dengar border akan buka sahaja pada Oktober 2021, saya terus mohon MyTravelPass melalui online pada awal September . Dalam masa 3 hari sahaja, dah dapat kelulusan. Validity adalah 3 bulan ya. Saya telefon MAS, tanya betul ke border akan buka Oktober, mereka kata betul. Malah katanya seminggu ada 3 hingga 4 penerbangan dari Medan. Sembang kencang. 


 Dalam masa yang sama, saya minta maid saya lengkapkan vaksin 2 dos supaya tak perlu kuarantin di hotel, yang kalau 14 hari boleh cecah RM5K. Amekaw boleh bayar yuran sekolah anak dekat setahun tuu. 

 Alhamdulillah, cukup saja beliau 2 dos pada 6 Oktober , saya kira-kira 14 hari untuk beliau terbang. Tetapi apabila saya call, penerbangan penuh la pulak. Bulan November baru adaa. 

Aduh rumah saya dah macam tongkang pecah, saya letih bukan tahap tak larat masak dah, tahap nak call makcik cafe tempat saya order lauk pun kadang lupa. Kalau cam tu, alamat goreng telur dan masak sardin la jawabnya. 

 Alhamdulillah, akhirnya dapatlah tarikh 5 Nov untuk beliau balik dari Medan ke KL. Masa saya booking ni adalah awal Oktober. Tak apalah masa tu, redha sajalah delay 2 minggu dari tarikh asal. Dah tunggu 3 bulan, apalah sangat 2 minggu kan. 

 Langkah seterusnya, saya apply pula HQA atau Home Quarantine Application. Ini pun online juga. Ada syarat-syarat untuk rumah tu, selain syarat dah lengkap vaksin. Rumah tu mesti ada cukup bilik, cukup bilik air (tak payah kongsi), tak ada orang sakit kronik, mengandung, kanak-kanak. Banyak lah. 

 Maka saya pun fikir, baik kuarantinkan beliau di rumah baru di Shah Alam. Kontraktor pun kata hujung September rumah boleh siap. Kalau delay pun, takkan sampai awal November tak siap lagi? 

 Jeng jeng. 

 Murphy's law kata, if anything can go wrong, it will. 

 Dunia ini tempat ujian. 

 Begitulah. 

 Hujung September, rumah tak siap. 

 20 Oktober, tak siap juga. 

 31 Oktober? Tak siap jugaaa! 

 Habis gaduh dah dengan contractor. 

Jangan salah faham, contractor saya OK je. Saya rasa sub - sub ni yang masalah. Orang kabinet kata nak datang Rabu, Sabtu baru muncul. Benda-benda macam tu lah. 


 Saya pun bagi ultimatum pada contractor saya. Maid saya nak sampai 5 November, macamana pun rumah kena siap sebab HQA dah lulus. 

 To cut the story short, alhamdulillah rumah akhirnya siap interior, habitable pada 4 November 2021, genap 8 bulan dari mula (termasuk PKP 2 bulan dok canguk tak boleh kerja). Bahagian luar, kolam ikan, gazebo tak siap tu kita abaikanlah dulu. 

 Kembali kepada cerita maid, saya punyalah berdebar, saya minta maid saya gerak dari kampung 2 November, sebab kena buat PCR covid test dalam masa 72 jam sebelum terbang. Kampung dia tak ada ujian PCR. Hanya di Medan yang ada. 

 Pada hari perjalanan dia tu, saya pula sibuk uruskan beli barang anak nak balik asrama, tak check email. 

 Guess what? 

 Pukul 7 malam maid bergerak dari kampung ke Medan naik bas, menempuh perjalanan yang akan memakan masa 11 jam, pukul 8 malam saya check email, MAS BATALKAN PENERBANGAN! 

 Ma shaa Allah saya masa tu dah tak tahu nak rasa apa dah. Saya call MAS Customer (DON'T) Care, lebih 20 minit baru berjawab, nak dapatkan pemakluman apa yang berlaku, sejam saya di talian! Rupanya TIADA OUTBOUND FLIGHT DARI MEDAN hinggalah DISEMBER 2021. 

 Ya Allah, habis tu maid saya tu takkan nak patah balik? 

Tiket bas tu je dah lebih RM200. Takkan nak duduk di Medan sampai Disember? 

 Pilihan yang saya dapat adalah
 1) jadikan open ticket 
2)refund 

 Saya pun minta refund tiket, dan petugas bernama Vicky masa tu kata, nanti akan ada staff lain akan hubungi saya untuk refund. 

 Malam tu saya check di online, ada saja penerbangan dari Medan ke Jakarta tetapi bukan dengan MAS atau Air Asia. Saya pun fikir, tak apalah, nanti lepas maid buat Covid test, kita book saja flight Medan - Jakarta - KL 

 Esoknya, 3 November, maid pergi buat PCR covid test, harganya Rp 600,000. Alhamdulillah keputusannya negatif, dapat malam itu juga. Tapi tarikh lahir dalam surat keputusan itu tak sama la pulaaak dengan dalam passport. Maka kami tak dapatlah nak tempah tiket untuk beliau lagi. 

 Esoknya, 4 November, saya telefon MAS sekali lagi, macam biasa 15 minit baru berjawab, lepas tu dari satu soalan ke satu soalan, "saya letak Puan di talian menunggu sebentar ya?" akan ambil masa 15-20 minit. Sempat lah aku ni masak buat cekodok, basuh baju satu load bagai. 

 Disebabkan tak ada pun orang call untuk refund, saya tanya boleh tak nak reroute tiket maid saya ni. 

 Staff kata nak kena tengok terma dan syarat tiket dulu. Lalalaaa.... Tunggu lagi 20 minit. "Ya, boleh Puan, tiket ada untuk esok tapi kena bayar fare difference RM1063". 

 Gitu, kau. Flight 2 jam je tapi total jadi RM1600 + sebab harga tiket asal RM600. 

 Saya pun tanya, MAS boleh terima ke kalau keputusan PCR Covid tu tarikh lahir salah? Staff nasihat kan buat semula sebab takut sangkut. 

 Saya tanya staff tu elok saya book terus ke flight ni? Staff tu kata terpulang, tapi sebaiknya tunggu result Covid yang terbaru. Cuma kalau lagi lambat booking, harga akan makin naik sbb fare difference. Tapi staff nama Mira tu kata, dia dah bookkan tiket ni, dengan harga sekian, saya tinggal bayar saja sebelum 5 Nov 6.25 pm iaitu waktu penerbangan. 

 Saya tanya Mira tu ramai ke passenger? Beliau kata setakat waktu tu baru seorang so tak perlu risau. Seat ada. Total waktu saya di talian, 1 jam ya Tuan-Tuan dan Puan-Puan. 

 Maka saya pun minta maid saya buat PCR covid semula sebelum saya book tiket. Maid pula tak cukup duit! 

Saya pula tak boleh buat oversea transfer sebab cuti umum Deepavali kan.

 Ya Rabbi bertimpa-timpa! 

 Saya minta maid usaha pinjam dulu sesiapa, saya pun contact kawan di Jakarta kalau boleh pinjamkan dulu, nanti saya transfer ke akaun Malaysia beliau. 

 Morale of the story di sini, kalau orang yang tak pernah pinjam duit, tiba-tiba nak pinjam duit tu kadang dia memang terdesak, babe. 

 Alhamdulillah, kawan saya di Jakarta pun kata OK nak tolong, Ayah maid saya pun tolong pinjamkan. 

 Nak jadi rezeki, maid saya pergi hospital tempat buat Covid test tu, mereka kata, boleh tukar je tarikh lahir tu sebab nama dan nombor passport sama. 

 Syukur ya Allah. 

 Haaaa... Petang Khamis ni cerita best. 

Alhamdulillah selesai bab PCR Covid test maid, saya call semula MAS. Cam biasa, 20 minit baru jawab. Naik cair dah taik telinga dengar iklan MAS ulang-ulang. 

 Kali ni yang jawab adalah staff nama Azim. Saya terus bagi nombor booking, lalalala nak booking flight Jakarta - KL tu lah. Dia punya nak confirm cerita kenapa tak jadi refund, kenapa nak reroute tu pun makan masa 20 minit. Letih OK. 

 Akhirnya dia kata OK boleh booking, tapi harga sekarang adalah RM1700. 

 I said, "Eh kenapa pula? Tadi Mira kata dia dah hold that ticket for me, tinggal bayar je." Azim kata, "Oh harga tu Mira je yang boleh bagi. Saya tak berani nak bagi sebab Mira yang lock harga tu." Azim kata nanti dia akan minta Mira hubungi saya sebab waktu tu lunch break, pukul 1 tengahari. 

 Saya pun kata OK. 

 Pukul 2.45 petang, masih tiada orang call. Saya pun call MAS semula, kali ni Ain yang jawab. Saya cakap saya nak bercakap dengan Mira, dia kata dia sedang ada customer, nanti dia akan call balik.

 Haaaa. 

 Minta maaf masa ni tahap kesabaran saya memang dah nipis sangat. 

 Ain pula jadi mangsa. 

 Sorry ya Ain. 

 Saya pun cakap, "Tadi Azim pun cakap Mira will call me. Saya tunggu sampai 2.45 nobody has called me. Saya nak booking flight, nanti lagi lambat, you all naikkan harga, kata sebab dah dekat dengan waktu penerbangan. Saya nak call you all pun ambil masa setengah jam baru berjawab. Kalau you all datang hospital, pandai pula marah-marah tunggu lama. Ni saya tunggu berjam-jam just to talk to someone! Saya nak book flight ni sebab MY MAID HAS TO FLY TOMORROW! Saya dah apply dia punya house quarantine, dia dah ada MyTravelPass, saya nak kena book flight dia dari Medan ke Jakarta kerana thanks to you guys there's no outbound flight from Medan, you guys asyik cancel flight dia. Let me tell you, the world does not revolve around Malaysia Airlines! I just need to book this flight and I want it at the promised price of RM1063 and NOT RM1700!" 

 Tahu apa jadi lepas tu? 

 Eh boleh pun dapat tiket tu dengan harga tu, si Ain tu boleh je pun tolong book. 

 Selesai semua, saya minta maaf sebab termarah dia (padahal bengkek dengan MAS as a whole), dia kata tak apa, dia faham. So 

Alhamdulillah, kami dapat book tiket Malindo dari Medan ke Jakarta pagi pkl 10.30, sampai Jakarta pkl 1 tengahari, transit sekejap, sempat lah hampir nak kena rompak di luar Airport Jakarta maid kami tu, kesian dia. 

 Pukul 3.40 pm check in di kaunter MAS, guess what? Tiket dia tu adalah Business Class, siap dapat masuk Sapphire Longue. 

Alhamdulillah, I'm happy for her, dapat relax. 

 My maid kata dalam flight ada 2 orang sahaja di business class, adalah dalam 20 orang di kelas ekonomi. 

 Kenapa MAS nak naikkan harga tiket sampai RM1700? 
Saya pun tak tahu. 

 Kenapa dia nak jual tiket business class sedangkan seat economy class masih ada? 
Saya rasa ini strategi licik. 

 But I'm happy for my maid dia dapat rest, dapat makan di lounge sebelum terbang. I'd rather pay the business class ticket than have her flight cancelled again and again. 

 Jadi sekarang beliau dah selamat sampai di rumah Shah Alam, esok kuarantin hari ke 3. 

 Will I fly with Malaysia Airlines again after this? 
Not if I have other options. 

 Kepada sahabat-sahabat yang bekerja dan tak ada maid, I salute you guys. Tabik spring. 

 To those yang ada maid, sama-samalah kita hargai mereka. 

 You can call me weak, call me mengada cannot survive without a maid, whatever. 

 6 bulan tak ada maid, dah lama tak nampak kabinet dapur tu. Asyik penuh dengan barang je haha. 

 Thanks for all your du'a guys. 

Love your support. 

 Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah 
 Insan lemah
#kisahkehidupanDrAzlindarita