Wednesday 30 December 2020
Thank you 2020, Welcome 2021
Tuesday 22 December 2020
Avani Sepang, hotel di atas air, syurga buat keluarga
Avani Sepang Goldcoast Resort
Kali terakhir kami ke sini adalah pada 2014. Semasa itu, kami datang bersama keluarga abang saya kerana beliau adalah ahli kelab di Avani ini. Apa yang saya ingat adalah indahnya hotel di atas air ini , dan cantiknya pemandangan semasa matahari terbit .
Kenangan 2014, anak-anak pun kecil lagi masa ni |
Oleh kerana kita masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat , kami memutuskan sempena cuti sekolah kali ini, kami akan bercuti di sekitar Selangor sahaja. walaupun semenjak 7 Disember yang lalu, pergerakan merentas negeri telah dibenarkan, kami tidak begitu yakin hendak bercuti jauh kerana jumlah kes Covid masih terlalu tinggi , terutamanya di negeri Selangor.
Saya telah menempah bilik kami di Avani Sepang sejak bulan Oktober lagi. Vila dengan 2 bilik tidur, harga biasa mungkin sekitar RM800 satu malam , menjadi lebih RM1000+ satu malam kerana saya memilih untuk mengambil sarapan pagi, dan fleksibiliti yang membolehkan saya membatalkan tempahan sehingga 10 hari sebelum perjalanan. Tempahan adalah melalui Agoda.com
Vila 2 bilik ini ternyata sungguh tidak menghampakan kerana sebenarnya ia ada 3 bilik! 1 bilik tidur dengan katil bersaiz queen, satu bilik dengan 2 katil bersaiz single, dan satu bilik dengan sofabed atau katil harian, yang boleh muat ditiduri seorang kanak-kanak . Ruang tamunya juga selesa , dengan 2 sofa single seater, dan 1 sofa double seater. Terdapat juga balkoni yang menghadap laut, dengan pemandangan yang amat mendamaikan.
Kami tiba ke Avani, setelah menempuh perjalanan selama sejam 30 minit dari Batu Caves. Perjalanan sejauh 100km ini Alhamdulillah berjalan lancar, dengan satu sekatan jalanraya sahaja di Sungai Pelek. Polis hanya mahu memastikan kami mematuhi SOP jumlah penumpang di dalam kenderaan, dan memeriksa lesen pemandu suami , memastikan kami bukan warga asing .
Kami tiba di Avani jam 4.30 petang, disambut dengan senyuman manis petugas di pintu hadapan. Setelah mengambil nama dan suhu badan, kami dibenarkan ke lobi. Di lobi, ada petugas menanti, dan membantu memindahkan barang-barang ke troli.
SOP tetap dipatuhi, dengan scanner suhu badan, dan QR code MySejahtera tersedia.
Saya lihat ramai betul orang menanti untuk check in! Saya ingat saya dah lambat, kerana setahu saya masa untuk check in adalah jam 3 petang.
Ketika saya beratur, ada 4-5 orang di hadapan saya. Sempat saya terdengar beberapa orang mengeluh, malah ada yang mula marah-marah , katanya sudah 2 jam menunggu.
Alamak. Saya pun cepat-cepat berdoa, mudah-mudahan urusan check in kami dipermudahkan. Sudahlah hari itu, 20.12.2020 adalah hari birthday saya dan suami!
Alhamdulillah saya sudah menelefon pihak hotel seminggu yang lalu bagi memastikan tempahan saya memang ada.
Lebih kurang 20 minit menunggu di barisan, sambil suami saya menjaga anak-anak lelaki, dan menjaga kek ulangtahun kami, giliran saya pun sampai. Suami saya meletakkan kereta di tempat letak kereta sementara. Nanti akan perlu dialihkan di tempat khas, yang mana akan akan shuttle disediakan untuk ke lobi.
Petugas meminta kad pengenalan saya, dan Alhamdulillah tak sampai 5 minit, beliau berkata, “Dr Rita Aisyah, booking for two 2 bedroom villa for 2 nights, ya? Payment is already collected so we ill not collect deposit. One room is ready, Dr, but the other is one is not so we will send you to that room first. When the other room is ready, we will send the key to your room. “
Ma shaa Allah Alhamdulillah, lega sangat rasanya. Syukur, di saat orang lain ada yang masih menunggu, bilik kami dah siap. Risau juga kerana kek yang kami bawa, tak boleh terlalu lama di luar peti sejuk, sebenarnya.
Alhamdulillah juga lebih kurang 5 minit kemudian, anak-anak perempuan kami sampai bersama makcik mereka (adik suami saya), serentak dengan mertua saya, yang turut kami raikan ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 41.
Dari lobi, kami dibawa ke bilik kami di penghujung pelepah (trunk) 3 , dengan menaiki buggy. Kelakar juga Uwais tertanya-tanya, “Nak bagi apa, Ummi?” . Saya pun jawab, “Kereta ni namanya buggy, bukan bagi”.
Seronok melihat kegembiraan di wajah anak-anak. Ini treat untuk mereka juga, setelah hampir setahun bersekolah secara online.
Keindahan hotel ini, keredupan suasana, kecantikan susunatur bilik, keramahan staff, masih tidak berubah seperti 2014 dahulu.
Paling istimewa, ada dekorasi indah menanti kamar tidur kami di bilik 330 , sempena ulang tahun kami. Dan oleh kerana kami menempah 2 bilik, hiasan ini ada di kedua-dua bilik! Terima kasih AVANI!
Terasa seperti berbulan madu, pun ada!
Alhamdulillah petang itu ,dapatlah kami merakamkan detik istimewa kami, meraikan ulangtahun ke 40 kami berdua di Avani Sepang, dikelilingi insan-insan tersayang. Pastinya ia akan lebih indah jika Mama dan Ayah ada bersama, tetapi Alhamdulillah baru sahaja berjumpa mereka minggu lalu.
Saya kongsikan gambar-gambar di sekitar Avani Sepang ini.
Main trunk atau batang pokok kelapa kepada formasi palm tree resort ini. |
Ini buggy besar yang membawa guest dari lobi ke Central Area atau di tengah-tengah rimbun pelepah pokok kelapa |
Salah satu trunk, atau "pelepah pokok kelapa". Setiap satu trunk menempatkan lebih kurang 30 buah bilik. |
Inilah kawasan Central Area di mana terletak Spa, restoran tempat sarapan pagi dan kolam tenang |
Restoran tempat sarapan pagi secara buffet. Saya ambil gambar pada pukul 12 tengahari maka dah kosong lah. |
Ada QR code untuk masuk ke restoran. |
Deretan kerusi di Central Area yang disediakan bagi pengunjung yang menanti buggy |
Ini contoh buggy kecil yang akan membawa pengunjung ke bilik masing-masing di trunk masing-masing |
Bilik kami di penghujung trunk 3, nuuuun di sana. Hanya pengunjung yang menginap di sini boleh melepasi kawasan ini ya |
Salah satu kawasan rehat di Avani Cafe di lobi. |
Semasa kami masuk, tape ini masih baru menunjukkan bilik ini sudah disanitasi |
Aktiviti- aktiviti yang boleh dilakukan di sini, mungkin tidak sebanyak semasa kami tinggal di hotel lain. Aktiviti berbasikal juga tiada kerana kekangan SOP . Mungkin sukar untuk sanitasi basikal , dengan jumlah pengunjung yang ramai. Ada ruang untuk aktiviti kanak-kanak , tetapi kami tidak sempat mengunjunginya. Uwais lebih minat mandi bath tub! (Alhamdulillah haha!)
Masih ada satu pelepah atau trunk AVANI iaitu trunk dua yang sedang dibaikpulih. Sedikit tidak cantik di dalam gambar, tetapi tiada bunyi bising yang mengganggu percutian kami, Alhamdulillah.
Air pantai di sini masih jernih, cuma persisiran pasir pantainya tidaklah seindah di pantai timur. Anak-anak bermain sejam sahaja sudah puas, dan minta balik mandi di bath tub .
Jika mahu mandi kolam , pada satu ketika hanya 10 orang dibenarkan berada di kolam. Waktu paling popular adalah 8 pagi hingga jam 11, dan 4 petang hingga 7 malam. Kolam di buka dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Kolam paling dalam adalah 1.2 meter.
Kami memilih untuk mandi kolam jam 3 petang, kerana jika tidak ramai orang, boleh mandi sesuka hati. Jika ramai orang, had waktu yang dibenarkan adalah setengah jam sahaja satu sesi. Bilik persalinan ada disediakan berdekatan kolam .
Antara plus point Avani Sepang
1) Bilik yang luas di villa dengan 2 bilik tidur . Sesuai jika satu keluarga dengan 3 orang anak . Oleh kerana kami ada 4 orang anak, dan kami jemput mertua serta adik ipar, maka kami ambil 2 vila . Ada pelbagai pilihan lain seperti family vila , vila 3 bilik dan bilik superior.
2) Sangat privasi dan sunyi
3) Staff sangat peramah , baik dari staff di lobi, di restoran, di tepi kolam, staff housekeeping, hinggalah staf engineering yang sedang membuat kerja-kerja baikpulih. Apabila bertemu, tak lokek senyuman dan ucapan salam. Saya bagi 7 bintang!
4) Perkhidmatan buggy yang baik. Tak perlu risau jika ada warga emas yang tidak larat berjalan. Pemandu buggy pun semuanya peramah, dan tak marah apabila anak-anak saya yang basah selepas mandi laut, nak naik buggy untuk pulang ke bilik hotel semula. Salah seorang anak saya sanggup berjalan. Encik Azli pemandu buggy sanggup berhenti untuk pujuk anak saya naik buggy, sambil berkata, “Tak apa, kerusi ni waterproof. Nanti boleh lap,” sambil tersenyum di sebalik mask. Anak saya pun naik buggy. Hati saya berkata, susah nak cari orang baik budi macam Encik Azli ni.
5) Pemandangan yang indah semasa matahari terbenam dan terbit
6) Mengikut SOP PKPB dengan baik termasuk semasa sarapan pagi, diberikan sarung tangan plastik untuk mengambil makanan.
7) Pilihan movie yang banyak di TV, dari untuk kanak-kanak hingga kepada action movies, semuanya percuma. Hanya ada kala movie itu tersangkut-sangkut.
Antara poin yang mungkin boleh diperbaiki
1) Makanan sarapan pagi (buffet) tiada variasi yang banyak selama 3 hari malam kami di sini . Nasi lemak, roti canai, mee dan bihun sup antara hidangan berat yang ada, diulang untuk hari kedua.
2) Kami tidak pasti kedai makanan yang berdekatan kawasan sekitar Avani ini . Kami hanya makan di hotel, dan sebahagian makanan kami bawa dari rumah.
3) Mungkin ketika peak season, ada kelewatan semasa check in, bagi sesetengah pengunjung.
4) Kami meminta bilik dibersihkan pada hari kedua. Mungkin kerana terlalu ramai pengunjung, housekeeper hanya dapat datang pada jam 5.30 petang. Tetapi ini bukan isu besar kerana kami hanya mahu mereka menyapu bilik dan membuang sampah.
Rata-rata saya memberi 5 bintang kepada Avani Sepang, dan tidak akan teragak-agak untuk datang lagi. Cuma tinggal di hotel di atas air ini, membuat saya teringat Maldives. Alangkah indahnya jika air laut ini biru seperti di Maldives , dan kita boleh turun ke air dan melihat ikan aneka warna.
Saya pun terus masuk ke Agoda, cari hotel seperti itu. Itu diaaaa! Satu malam RM14,000!
Sekian!
Avani pun best! Kbai!
Thursday 26 November 2020
"Saya akan buta ke, doktor?"
"Semoga kekuatan milikmu" , bisik hati saya, sebelum saya menuturkan kata-kata.
Satu ayat, satu ketika,
bisa mengubah hidup seseorang buat selamanya.
"Maknanya saya akan jadi butalah, Doktor?", tanya pesakit saya yang baru berusia awal 30an.
Saya mengambil sedikit masa, untuk mengatur ayat.
"Tidak mudah saya nak sampaikan berita ini kepada awak. Tetapi, maafkan saya, Retinitis Pigmentosa, memang penghujungnya awak akan hilang penglihatan mata secara total, " jawab saya, dengan hati yang maha berat.
Sunyi sahaja bilik pemeriksaan saya.
Wajah pesakit saya kelihatan tenang.
Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil melihat gambar saraf di dalam matanya.
Mujur juga beliau ada latar belakang sains perubatan, agak mudah untuk saya menerangkan. Beliau pun berpendidikan tinggi, berjawatan kukuh di syarikatnya sendiri.
Seorang anak muda yang berjaya, pada pandangan saya.
Menurut beliau, semenjak kebelakangan ini, beliau rasa seolah-olah medan penglihatan tengahnya sedikit kabur.
"Macam blind spot saya makin besar. Saya tak boleh drive malam dah, doktor."
Ini kata-kata beliau yang menggetarkan hati saya, tatkala beliau mula bersua dengan saya di bilik pemeriksaan, awal tadi.
Rabun malam adalah simptom awal RP. Ia boleh berlaku secara keturunan, sama ada secara dominon atau resesif. Autosomal dominon selalunya akan mula ada simptom pada usia tua. Kes resesif pula, pada usia kanak-kanak.
"Subhanallah kesian betul pesakit ini, baru 30an," detik hati saya lagi.
Saya telah memeriksa mata pesakit ini dengan teliti, dan ternyata terdapat tompok-tompok di sarafnya, yang kelihatan seperti Retinitis Pigmentosa atau RP , iaitu sejenis penyakit keturunan, di mana sel fotoreseptor atau sel penglihatan, bertukar menjadi hitam dan hilang fungsi.
Setelah beberapa lagi ujian dijalankan, saya terpaksa juga memberitahu beliau diagnosa yang bakal mengubah hidupnya itu.
"Tiada rawatan ke Doktor?"
"Buat masa ini, di Malaysia, masih belum ada. Kali terakhir saya ke persidangan antarabangsa di Singapura, mereka ada menyebut di USA sudah ada gene therapy. Tetapi masih dalam peringkat kajian," jawab saya.
Saya terangkan padanya, saya tidak dapat menjangkakan berapa lama jangka masa yang beliau ada sebelum beliau akan buta sepenuhnya.
Mungkin 3 tahun, mungkin 10 tahun.
Saya tidak tahu.
Tetapi amat penting untuk beliau pulang dan berbincang dengan keluarga. Buat persediaan dari segi mental dan fizikal. Mungkin mula belajar braille.
Apatah lagi RP pesakit ini adalah variant atau jenis yang cepat melibatkan medan penglihatan tengah, tidak seperti RP yang biasa, yang mana medan penglihatan tengah biasanya tidak terganggu hingga saat akhir.
Saya cadangkan juga untuk membuat ujian genetik, jika mahu mengetahui jenis RP yang manakah beliau hidapi. Anak-anak beliau juga akan perlu disaring.
Jika mahu menunaikan haji, saya boleh berikan surat sokongan kepada Tabung Haji.
Kekalkan insuran kesihatan yang ada.
Ini antara pesanan-pesanan saya.
Ma shaa Allah kagum saya dengan reaksi wajah beliau yang biasa - biasa saja.
Mungkin tenang pada wajahnya, di dalam hati, hanya Allah yang tahu.
Setelah hampir sejam berdiskusi panjang, pesakit melangkah pulang.
Meninggalkan saya termenung sendirian, menatap hujan yang membasahi bumi Shah Alam.
Maha Suci Allah yang tidak pernah menzalimi makhluknya.
Hadith Rasulullah SAW :
Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:
"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya."
(Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)
Tatkala kita merasakan sukarnya dugaan yang kita hadapi, ada insan lain yang diuji Allah dengan cabaran yang lebih getir lagi.
Saya doakan buat semua pesakit-pesakit saya, dan semua insan yang sedang diuji dengan sakit, agar ia menjadi penghapus dosa, lantas menjadi asbab buat kalian dan kita semua ke syurga, in shaa Allah.
Siapalah kita yang mahu mempersoalkan kejadian yang telah ditetapkan Pencipta kita, yang pasti Maha Mengetahui.
Mungkin pesakit ini hadir, untuk mengingatkan saya agar bersyukur dengan setiap apa yang ada pada saya.
Nikmat mata.
Nikmat penglihatan.
Nikmat sihat.
Subhanallah.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Bersyukur dengan peringatan yang selalu hadir bersama pesakit.
Sunday 15 November 2020
Cantik Vs Hodoh
Cantik.
Kisah bermula apabila saya terbaca kisah anak sahabat saya. Dia seorang remaja, yang diberitahu temannya, yang dia adalah hodoh.
Hodoh!
Dan remaja itu menjawab, "It's OK, thank you for telling the truth."
For once, I have the highest respect to that girl for having the biggest composure in her heart. She has been raised well.
Kalau saya, dicabar sebegitu, pada usia semuda itu, mungkin tidak boleh menahan sabar.
Malam ini, saya bincangkan topik ini dengan anak-anak saya.
Anak sulung saya juga berkata, di sekolah, jika orang cantik berkata, semua orang nak dengar. Jika orang bijak bercakap tetapi dia kurang cantik, orang suka permainkan kata-katanya.
Anak kedua saya kata, dulu di sekolah rendahnya, dia juga pernah dikecam kerana pakaiannya terlalu labuh dan tak ikut trend.
Saya menghembuskan nafas.
Saya sebutkan, Allah ciptakan manusia, itulah bentuk yang terbaik buat kita.
Namun saya tak nafikan, hidup di zaman ini, memang rupa itu menjadi satu nilai yang diletak terlalu tinggi. Saya pesan pada anak-anak, Allah tidak langsung memandang rupa fizikal kita, tetapi kepada hati kita.
Seperti hadith Rasulullah SAW :
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: ((إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ)). رواه مسلم
Ertinya: Dari Abu Hurairah ia berkata, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kalian dan harta kalian akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kalian dan perbuatan-perbutan kalian.” (HR. Muslim)
Mudah-mudahan anak-anak kita diberi kekuatan menghadapi zaman yang mencabar ini.
Saya sejak kecil lagi, sudah masak dengan kata-kata, "Kau ni, kalau ikut muka Mak kau, mesti cantik".
(Saya memang ikut muka Ayah 100%)
"Oh, ni yang kakak ya, adiknya yang cerah, kakaknya gelap sikit".
Paling sadis, "Apasal muka kau ni lain sangat dengan adik beradik kau? Kau anak angkat ke, Mak kau jumpa kat perahu masa kat Sabah ya?"
You know what?
Ugly ducklings can grow up to be beautiful swans.
All they need is confidence, instilled by their loving parents to face the world.
Mak Ayah sentiasa beritahu yang saya cantik, walaupun rupa saya memang macam dalam gambar itu.
Itulah bekalan mereka buat saya.
Keyakinan diri.
So parents, love your children, hug them, and tell them that they are beautiful and handsome, just the way Allah intend to create them.
And tell them that the most beautiful person, is the most pious in the sight of Allah.
Nothing else really matters.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Hanya mahu cantik pada pandangan Allah
Saturday 31 October 2020
Wanita tak boleh lebih hebat dari lelaki?
Waaah viral ya komik perempuan kena reject dengan lelaki sebab dia hebat sangat?
Lepas tu hujung-hujung perempuan tu dinasihatkan supaya turunkan ego?
Nak cakap satu je, lelaki hebat je boleh bernikah dengan wanita hebat.
Percaya tak, masa muda saya pun pernah kena reject atas sebab yang sama.
Saya pasti orang tu menyesal sampai hari ni.
Kahkahkahkahkah...
OK ok...
Serius.
Suami saya hebat bukan kerana dia doktor, tetapi dia boleh dahulu kan saya buat Masters, boleh galakkan saya sambung sub specialist, dia galakkan saya beranak ramai dan dia ikut bangun malam jaga anak.
Dia selalu kata, "Abang ni GP biasa je, tak setanding kawan-kawan awak." Sebab tu dia jarang nak ikut gathering reunion apa-apa.
Tapi bagi saya, hebatnya suami saya, bukan pada degree, bukan juga pada berapa gaji yang dibawa pulang tiap bulan, tetapi pada EMOTIONAL QUOTION & SPIRITUAL QUOTION dia.
Tak terhitung berapa kali saya rasa nak quit, rasa gagal, rasa sedih, rasa nak meletup, dan sebagainya dalam kerjaya sebagai seorang Pakar.
Tetapi apabila balik ke rumah, suami sayalah sumber kekuatan,
sumber ketenangan,
sumber inspirasi saya.
Dia sentiasa yakin dengan saya,
sabarkan saya,
beri semangat kepada saya.
Mungkin ada orang menilai, saya lebih berjaya dari suami saya, tetapi bagi saya, dia jauh lebih mulia dari saya di sisi Allah.
Jadi, kepada adik-adik dan wanita di luar sana, usah biarkan siapa lelaki di sisimu yang mendefinisikan siapa anda.
Tetapi apabila sampai masa untuk berumahtangga , pastikan suami itu menjadi orang yang akan melonjakkan anda umpama helang yang hinggap di lengan, dan lengan itu melambungkannya agar terbang setinggi yang mungkin ke angkasa.
Namun, setinggi mana pun kalian terbang, pastikan tidak lupa, syurga itu sentiasa di bawah telapak kaki suami. Hormatilah dia, sebagaimana diajarkan Rasulullah SAW.
Dan berdoalah sentiasa agar cinta itu hanya demi meraih redha Allah. Bukan didasarkan atas apa-apa matlamat duniawi.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Mendoakan yang terbaik buat semua.
Wednesday 14 October 2020
Pendidikan tak penting? SPM kantoi pun OK?
Pendidikan tak penting?
Ramai orang kaya "drop out" dari sekolah?
SPM kantoi pun OK?
Mak saya yang saya kasihi, membesarkan kami dengan menoreh getah. Saya masih ingat semasa berusia 6 tahun, ada kala saya rindu sangat dengan Mak, Nenek akan kendong adik saya yang masih bayi, dan pimpin tangan saya hingga ke tepi kebun getah.
Bayang Mak pun tak nampak, tapi nenek akan laungkan "Uuiiii". Nanti Mak akan sahut, "Uuiii". Sayup saja suara Mak, tanda Mak berada jauh di tengah kebun.
Nanti lembut Nenek berkata, "Itu, suara Mak. Nanti pukul 11 Mak balik, ya? Jom kita balik, kita makan dulu. Sini banyak nyamuk. "
Mak tak belajar tinggi, kerana berkorban untuk adik-adik. Atuk dan Nenek orang susah.
Tetapi Mak orang yang cerdik. Sampai ke tua, Mak tak pernah berhenti belajar. Hingga ke hari ini Mak belajar bahasa Arab, tafsir Al Quran dan sebagainya.
Saya rasa kalau Mak berpeluang bersekolah dahulu, pasti paling kurang Mak dapat jadi Guru Besar sekolah.
Mak sangat pentingkan pendidikan.
4 daripada 5 beradik kami, ada ijazah. 3 daripadanya, lulusan luar negara.
Mak bersekolah sampai darjah 3 sahaja, nak ajar kami matematik pun Mak tak pandai, tapi kerja rumah kami tak pernah tak siap.
Kalau dapat tahu cikgu marah kerana nakal di sekolah, balik rumah Mak tambah sesah lagi.
Mak memang garang, sebab Mak tahu, tanpa pendidikan, anak-anak Mak tak boleh ubah kehidupan.
Alhamdulillah kami semua lancar mengaji Al Quran seawal usia 7-8 tahun, semua Mak ajar sendiri. Dari alif baa taa, hingga khatam.
Mak tak pernah jejakkan kaki ke sekolah menengah, apatah lagi ke menara gading , tetapi Korea, Tokyo, Sydney, Paris, London, Turki, Mak pernah pergi, hasil Mak didik anak-anak Mak.
Alhamdulillah Ayah pun sama, walaupun 11 tahun duduk berjauhan, bertugas di Kuala Lumpur kerana mencari nafkah membesarkan kami 5 beradik , apabila pulang, pasti bertanya tentang persekolahan kami.
Maka, saya tidak setuju langsung pendidikan tidak penting. SPM tidak penting.
Bukankah ayat Al Quran yang pertama turun juga adalah Iqra' iaitu bacalah. Daripada jutaan perkataan yang boleh Allah turunkan, pasti ada sebab Allah pilih BACALAH sebagai perkataan pertama yang turun dari langit untuk manusia.
BACALAH, untuk mendapat ilmu.
Dalam Surah Ar Rahman, surah kasih sayang Allah. Apakah petanda kasih sayang Allah yang pertama?
Ya, Al Quran yang penuh dengan ilmu.
Kerana itu jugalah tanda kasih sayang utama ibu saya kepada kami, adalah memberikan pendidikan kepada kami.
Alhamdulillah.
Ya Allah, Kau rahmatilah kedua ibu bapa kami, dan kasihanilah mereka sentiasa sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami kecil.
Amin.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Tak pernah tak sayang Mak.
Friday 2 October 2020
Gelombang Kluster Politik. Mari kita recap semula 2020 kita
Mula-mula kes Covid ada di Malaysia, awal Februari 2020, semua kes import, kebanyakannya dari China.
Kemudian gelombang ke dua kluster Sri Petaling. Pernah satu hari 190 kes.
Kemudian kita PKP.
Bermula 18 Mac 2020.
Lama kita tak jumpa Mak Ayah, tak boleh rentas negeri, semua kena #dudukdirumah, semua orang belajar masak sendiri. Tepung pelita paling hot rasanya hohohoh.
Masa ni ada kluster Kayangan juga, jangan lupa. Baru kau orang tahu rindu dengan kluster Sri Petaling yang baik-baik.
Kemudian datang Ramadan, kita terawih di rumah. Tak ada bazar Ramadan. Syahdu je, tapi Alhamdulillah ramai yang terawih penuh tahun ni.
Raya, kita raya di rumah. Encik Suami jadi imam solat raya. Ada yang pegang tongkat, ada yang pegang kayu golf.
Pertengahan Jun, dah dibenarkan rentas negeri, Alhamdulillah dapatlah kita jumpa Mak Ayah kita semula selepas berbulan-bulan video call saja. Masih PKPP, kena jaga penjarakan sosial.
Waktu ini kita tersedar, betapa terseksanya hidup kita kalau tak dapat jumpa Mak Ayah yang dah tua tu. Alhamdulillah masih ada sisa penghujung Syawal, dapatlah juga sambut dengan mereka untuk 2020 ini.
Bulan Julai, Ogos Alhamdulillah dah mula pulih semula negara kita walaupun negara di luar kes Covid mencanak-canak. Filipina dan Indonesia lebih 200,000 kes dah.
Tiba-tiba kes naik di Sabah sebab ada warga asing yang masuk di tahan di Pusat Tahanan. Bermula di Kluster Benteng, Kemudian ada pilihan raya negeri, orang berkempen sana sini tak sah kalau tak salam agaknya, tersebarlah Covid dengan jayanya.
Kenapa saya nak "re-cap" semua cerita covid ni?
Sebab Melayu mudah lupa.
Apa, ingat selama Januari sampai September ni, frontliners dan petugas kesihatan tu duduk goyang kaki minum air kelapa yang ada payung kecik je ke?
Baru nak rehat kejap, kes dah naik balik, ada yang kena deploy pergi Sabah Sarawak, pusat gerakan dah rancak balik, kena sarung PPE, contact tracing.
Untuk setiap kes positif, bayangkan berapa ramai nak kena trace tu?
Kita pun tak nak PKP macam hari tu semula. Anak-anak kita semua baru nak mula sekolah macam biasa. Kesian anak-anak yang nak SPM tu.
Saya sebagai petugas kesihatan cuma nak mohon kerjasama semua untuk PATUH ARAHAN SAHAJA.
Jika balik dari Sabah, SILA JALANI SARINGAN DAN KUARANTIN DIRI.
Jika perlu disaring, HARAP BERSABAR jika kena tunggu lama sedikit di pusat saringan.
Kami bertugas dari Januari, setiap hari balik kerja berdebar takut bawa balik virus ke rumah.
Mohon kerjasama semua ya.
Tak mahu PKP lagi.
Kalau nampak sesiapa bergelang pink moh kita report sama-sama, demi mencegah penularan Covid-19 di Malaysia ya.
Marilah kita juga teruskan jaga penjarakan sosial. Elakkan tempat SESAK, SEMPIT dan SEMBANG dekat-dekat (3S).
Cukuplah kita melalui kepayahan dalam 2020 ini. Kalau boleh tak sanggup dilanjutkan hingga 2021.
Sama-sama kita jaga ya.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Kita semua sayang Malaysia
287 kes Covid di Malaysia pada 2 Oktober 2020. Nak kena PKP semula ke?
2 Oktober 2020
287 kes baru Covid-19 di Malaysia. Jumlah tertinggi setakat ini.
Banyak kali Tan Sri Dr Noor Hisham ulang di sidang media petang ini.
1)Kalau tak perlu, jangan keluar rumah
2) Jika terpaksa keluar rumah, patuh SOP. Pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal.
3) Putuskan rantaian jangkitan. (Ingat, virus ini tidak boleh merebak tanpa manusia sebagai hos.)
Kita faham keletihan atau fatigue, di kalangan orang ramai, dan terutamanya di kalangan frontliners. Sudah 10 bulan berjuang.
Tetapi virus tak kenal letih.
Ketika diajukan adakah kita akan menuju ke Perintah Kawalan Pergerakan seperti Mac tahun ini semula, Tan Sri menjawab begini.
Untuk umum "state of emergency" , atau PKP semula, WHO menggariskan 3 kriteria
1) Kadar keboleh jangkitan penyakit (Infectivity rate) - adakah merebak dengan cepat.
2) Kadar kematian akibat penyakit (fatality rate)
3) Impak kepada ekonomi
Semua perlu dipertimbangkan. Dan setakat ini, Tan Sri yakin dengan ilmu Public Health dan pengalaman menghadapi gelombang-gelombang sebelum ini, kita boleh tangani gelombang kali ini.
Cuma biarlah gelombang kali ini menjadi PENGAJARAN, akibat manusia yang tidak ambil kisah dengan SOP (ayat beliau : put your guards down), menjadikan Covid merebak semula di negara kita.
Terima kasih Tan Sri atas penerangan yang jelas.
Terima kasih frontliners yang sentiasa bersedia bertugas.
Terima kasih rakyat Malaysia yang patuh SOP.
Sunday 20 September 2020
Bersyukur berpeluang jadi tua?
Belek muka di cermin, cakap pada Encik Suami,
"Cuba Abang tengok muka saya. Dulu gebu je muka saya kan. Sekarang dah makin tua, dah tak gebu macam dulu. Kolagen pun dah kurang."
Beliau jawab, "Dapat jadi tua pun (kita) bersyukur."
Deep.
Teringat pula berapa ramai yang Allah ambil semula, sebelum sempat tua, termasuk 3 daripada 4 sahabat yang meninggal dunia akibat lemas gas karbon monoksida di dalam kereta baru - baru ini.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh-ruh mereka, memberi kesembuhan kepada seorang lagi mangsa yang sedang di rawat di ICU, serta Allah mengurniakan kekuatan buat seluruh ahli keluarga mereka.
Sungguh, Allah berfirman:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
“Setiap jiwa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sungguh dia telah berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya”
(Ali-Imran 3: ayat 185)
Semoga kita menjadi insan yang sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan untuknya in shaa Allah.
Rasulullah SAW bersabda :
“Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.”
(Hadith Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)
Dan semoga pengakhiran kita semua, adalah dengan amalan yang baik in shaa Allah kerana Rasulullah SAW bersabda, "Dan sesungguhnya amalan itu bergantung kepada penutupnya."
(Hadith Riwayat Al Bukhari)
Amin
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Perlu bersyukur berpeluang menjadi tua.
Wednesday 9 September 2020
Kenangan duit poket sehari satu Irish Pound saja
Dulu belajar di Ireland, duit poket adalah 1 pound saja sehari ya. Namanya Irish Punt. Tak lama lepas tu tukar 1 Euro.
Pilihan makan tengahari adalah epal sebiji dalam 45 sen, atau coklat 55 sen.
Tak pernah bawa bekal, sebab makanan di rumah cukup-cukup saja.
Makan nasi sekali sehari, masak guna beras hancur, ayam seekor potong 16, seorang seketul sehari.
Kalau nak makan lebih kau pergi duduk rumah sendiri, jangan campur dengan student Malaysia lain yang sama-sama miskin kahkahkah.
Tapi tak pernah pula lapar, ke rasa nak marah bila tak dapat makan ke. Makan malam nasi, ayam seketul, sayur salad, rasa nikmat sangat dah Alhamdulillah.
Hujung minggu ada kakak senior ajak datang rumah makan mihun goreng, rasa macam dapat masuk syurga dunia dah.
Exercise tu jalan kakilah ke sana sini. Mana mampu naik bas. Tambang pun 1 pound sekali jalan, baik beli epal.
Duit lebih, pakat kumpul beli tiket kapal terbang untuk travel atau untuk balik Malaysia musim panas nanti.
Jadi fahamlah dulu boleh 55kg.
Sekarang, 21 tahun dah berlalu, duduk Malaysia tak pernah tak lunch kecuali Ramadan, dah kahwin, anak dah 4, berat naik hampir 10 kg tu rasanya lumrahlah kan.
Lagipun, rasanya badan kembang ni faktor cuaca.
Malaysia kan panas.
Kan objek mengembang bila panas.
Kan?
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Masih belum move on dari 9.9.99
Kau orang layan je OK.