Tuesday, 26 September 2017

Langkawi hari ke tiga dan ke empat: Kilim Geoforest Park, Laman Padi dan Pantai Cenang

Hari ke tiga di Langkawi, kami bangun pagi dan melihat cuaca yang cerah. Alhamdulillah. Anak-anak berebut-rebut mahu “tasmik” atau saya menyemak hafazan Al-Quran mereka kerana mahu segera keluar berjalan.



Berkongsi roti telur
Kami bersarapan di sekitar kawasan Laman Padi. Roti canai yang garing dan enak, dimakan bersama minuman teh tarik. 

Sedang saya berangan-angan, “Alangkah seronoknya jika pergi island hopping bila cuaca cerah begini”, tiba-tiba hujan turun dengan tersangat lebat. 

Ma shaa Allah. 

Saya ketawa sendiri.Saya pujuk hati , ‘Tidak mengapalah, mungkin kurang sesuai pun nak pergi island hopping kerana ada baby.” Sarapan pagi kami iaitu 3 roti canai dan 2 roti telur,serta 5 minuman, harganya RM 26

Masing-masing muram bila hari hujan 


Selesai sarapan, kami pulang ke apartment. Sebagaimana tiba-tibanya hujan turun, begitu juga ia berhenti. Melihat cuaca agak cerah kembali, anak ketiga saya meminta untuk mandi kolam di apartment kami. 

Ma shaa Allah tersangat sejuk airnya! Mungkin kerana baru lepas hujan. Baby saya menangis tak mahu masuk ke dalam kolam. Hahahah.. saya pun hanya mampu bertahan 5 minit sebelum naik dan menukar pakaian semula. Anak-anak yang lain terus bermandi manda dengan ditemani Abi mereka

Kolam renang di Adina Motel 

Jam 11 pagi, kami bergerak ke Pekan Kuah untuk membeli belah. Cuaca cerah dan agak terik, tetapi pemandangan di sepanjang jalan sangat cantik. Laut kelihatan biru, dengan pulau-pulau yang indah di kejauhan

Langkawi adalah syurga membeli belah pinggan mangkuk. Saya memang kurang minat pinggan mangkuk, tetapi ibu saya mengirim periuk Vision. Apalah sangat permintaan seorang ibu begitu berbanding jasanya membesarkan kita , betul kan?

Kami memilih untuk ke Haji Ismail Group di Pandak Mayah. Selesai memilih periuk yang sesuai, saya membeli satu set sudu garfu bersama tempat letaknya yang berharga RM42 sahaja, serta beberapa helai tuala untuk kegunaan keluarga. Tuala juga murah dan berkualiti, dari RM12.90 hingga RM30 sahaja.

Anak-anaklah yang paling teruja melihat coklat yang banyak dan murah! Saya paling suka coklat Whittaker, jika di Kuala Lumpur satu bar adalah RM29.90, di sini hanya RM14.90! SYURGA DUNIA buat saya! Anak-anak pun turut membeli coklat dan gula-gula untuk kawan-kawan mereka di sekolah


Dari kedai Haji Ismail Group, kami ke Dataran Lang pula untuk makan tengahari. Pasti saya tidak mahu melepaskan peluang merasa laksa Penarak yang terkenal itu. Saya memesan laksa dan nasi serta lauk pauk untuk anak-anak. Sambil menunggu hidangan siap, kami memberi makan ikan di tasik di hadapan restoran ini . tidak lama kemudian, hujan mula turun dengan lebat.


Laksa utara Penarak 



RM 60 untuk semua ni termasuk air satu jug. Murah kan 

Hujan mencurah-curah 

Sambil menyuap makanan, hati terdetik, macam mana nak ke Kilim Geoforest Park jika hujan ? Tetapi kerisauan itu terlenyap seketika dek keenakan makanan di kedai Laksa Penarak ini. Harga untuk set makanan untuk 5 orang, adalah RM60 sahaja. Ada sup daging, telur dadar, sotong goreng tepung, ikan siakap 3 rasa dan air sirap satu jug . Sangat berpatutan!

Dari Laksa Penarak, kami singgah di Masjid Al-Hana di pekan Kuah untuk solat Zuhr. Alhamdulillah selesai solat, hujan pun sudah semakin reda.

Dari pekan Kuah, ia mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai ke Kilim Geoforest Park. Kehadiran kami disambut dengan monyet yang berkeliaran.

Sampai di jeti, saya hanya beritahu yang saya sudah membuat tempahan melalui Ina Dayang Biru, dan kami terus di bawa ke bot. Perjalanan ini akan mengambil masa 2 jam

Sampai saja di jeti, hati saya tidak henti mengucapkan subhanalllah melihat pemandangan yang terbentang di depan mata. Ternyata Kilim Geoforest Park ini terlalu indah. Dengan suasana nyaman selepas hujan dan berkabus, kehijauan pepohon bakau yang redup saujana mata memandang, hati dibaluti ketenangan yang luar biasa. Bunyi riang-riang di kiri kanan sungai, mengucapkan tasbih kepada Allah dalam bahasa mereka seolah mengingatkan saya kepada surah Al-Insan yang mana Allah janjikan pakaian sutera berwarna hijau buat ahli syurga, kerana sememangnya fitrah seorang manusia itu sukakan kehijauan.


Anak-anak juga pakai terpesona dengan keindahan alam, disulami perasaan teruja menaiki bot, masing-masing senyap melayan perasaan.

Perhentian pertama kami adalah Gua Kelawar. Bayaran untuk masuk adalah RM1 untuk kanak-kanak dan RM2 untuk dewasa. Namun bayaran ini sudah termasuk di dalam pakej, jadi kami tidak perlu membayar lagi. Kami hanya perlu membayar sewa RM1 untuk satu lampu suluh bagi membolehkan kami melihat kelawar-kelawar yang sedang tidur








Perjalanan masuk ke gua agak menyeramkan. Namun hati menjadi seronok melihat puluhan kelawar-kelawar yang bergantung di bumbung gua . Anak sulung saya sibuk berpesan, “Ummi pastikan adik tak nangis ya. Nanti adik buat bising, kelawar semua terbang sebab pendengaran kelawar sensitif!”

Dari gua, kami berjalan-jalan melihat paya bakau di sekitar gua, sebelum balik ke bot

Seterusnya kami dibawa ke sangkar ikan. Sungguh pun tidak banyak ikan di sini, apa yang paling menarik adalah dua ekor ikan pari yang diberi nama Ali dan Abu, yang sangat manja hingga boleh diberi makan dengan tangan, dan ia boleh diusap-usap. Umar dan Dina tidak melepaskan peluang, saya juga begitu. Sepatah kata Umar, “badan ikan pari macam ada pasir” kerana kulitnya agak menggerutu

Antara ikan lain yang ada di sini adalah ikan siakap yang garang (hampir digigitnya tangan penjaga yang memberi makan), ikan buntal, ikan tongkol dan ikan marin . Uwais yang baru setahun lebih usianya, juga gembira memberi makan ikan marin dengan roti yang kami bawa
Dina memberanikan diri menyentuh ikan pari

Umar menyentuh ikan pari

Ikan buntal 

Ikan marin



Dari sangkar burung, kami menelusuri sungai ke Gua Buaya, yang katanya suatu masa dahulu didiami seekor buaya. Namun Alhamdulillah sekarang sudah tiada buaya, jadi boleh lah kami masuk ke gua ini. Hebat kemahiran pemandu bot kami hingga boleh mengemudi bot di dalam gua yang sempit

Seterusnya kami ke kemuncak pakej ini iaitu memberi makan helang. Pemandu bot kami membawa kulit ayam, yang dicampakkan ke dalam air, dan kemudian enjin bot dihidupkan dengan kuat supaya kulit ayam itu tersebar di atas permukaan air.

Dari atas pokok, berbelas-belas ekor helang terbang menyambar makanannya, dan terus terbang sambil memakan kulit-kulit ayam itu .Ma shaa Allah, tiadalah yang memegang burung-burung itu dari jatuh kecuali Ar-Rahman iaitu Allah Subhanahuwataala (Surah Al-Mulk ayat 19)

Cantik sungguh pemandangan melihat burung-burung helang merah melayari angkasa. Tidak hairanlah burung yang hebat ini diambil menjadi lambang atau burung rasmi Pulau Langkawi .








Dari tempat memberi makan helang, kami ke papan tanda besar KILIM GEOFOREST yang terkenal itu, dan sebuah batu yang berupa seekor penyu di atas papan tanda itu



Seterusnya kami terus ke Pulau Kasut. Aneh tetapi indah, itulah yang dapat saya gambarkan tentang pulau kecil yang bentuknya betul-betul seperti kasut. Dari sini, kami dapat melihat tanah besar Thailand di kejauhan. Teruja sungguh anak kedua kami, Dina melihat Thailand. In shaa Allah satu hari nanti kami akan bawa dia ke Thailand, jika ada rezeki

Pulau Kasut

Happy baby 

Dari Kilim Geoforest Park, selepas solat Asar di sana, kami terus pulang ke Pantai Cenang. Kami berhenti seketika di Beras Terbakar dan Padang Matsirat untuk membeli baju tidur anak-anak yang murah di sini iaitu dalam RM 12 (bayi) hingga RM30 sepasang untuk kanak-kanak.

Oleh kerana anak-anak kelihatan letih, jika pulang ke rumah pasti sukar untuk keluar semula untuk makan malam. Maka kami singgah di Laman Padi untuk makan malam di dalam pondok di tepi sawah. 

Alhamdulillah melihat matahari terbenam sambil menikmati rendang itik, sememangnya menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan. 



Makanan di sini agak mahal , setiap satunya adalah dalam bentuk set contohnya nasi lauk ayam/itik/daging dalam bentuk digoreng atau direndang. Set termasuk nasi putih, ulam-ulaman, sambal belacan dan keropok ikan. Satu set untuk dua orang (tiada set untuk seorang) dalam Rm35-45 , set untuk 3 orang RM 60 dan begitulah seterusnya

Rendang itik yang kami pesan agak liat sedikit, tetapi ayam gorengnya enak. Kami memesan nasi lauk ayam goreng untuk 2 orang, nasi lauk itik rendang untuk 3 orang dan satu jug jus tembikai, semuanya RM130. Set untuk dua orang sebenarnya agak banyak jadi jika anak-anak bolehlah berkongsi. Makanan kami pun banyak berlebih dan terpaksa dibungkus untuk dibawa balik.



Malam itu anak-anak semua tidur awal kerana keletihan. Sebelum tidur sempat Dina bertanya, “macam mana nak balik ni Ummi, barang kita banyak”. Lucu juga ya, risau sebab barang tak sempat kemas lagi tetapi sudah nak tidur. Hahaha

*****
Hari terakhir di Langkawi, kami bersarapan di sebuah warung di kawasan apartment kami , harganya agak mahal, semuanya RM45 walaupun sarapan biasa sahaja nasi lemak dan bihun goreng. Dari warung itu, kami terus ke Pantai Cenang

Alhamdullillah hari ini cuaca cerah. Anak-anak pun seronok bermain pasir, mandi pantai dan berkejar-kejaran. Si kecil Uwais pun sudah berani bermain di gigi air. 









Selepas setengah jam, matahari semakin terik dan kami pulang ke apartment. Sementara saya memandikan si kecil dan berkemas, anak-anak yang lain sambung mandi di kolam renang pula.

Alhamdulillah kami check out pada pukul 11.15 pagi, dan sampai di lapangan terbang awal. Sempat juga berjumpa Ina di sana, dengan anaknya Aisyah. Mudah-mudahan persahabatan ini berkekalan in shaa Allah.

Selepas check in dan makan tengahari di Marrybrown, kami bersiap untuk menaiki pesawat. Nak jadi cerita, beg sandang Umar terpaksa ditahan untuk di “check in” kerana ada 3 pucuk pistol mainan! Kelam kabut suami saya patah balik untuk menghantar beg itu, sambil saya cuba mengawal 4 orang anak termasuk Uwais yang sudah mula meragam kerana mengantuk.

Tatkala berkumandang pengumuman meminta semua penumpang penerbangan kami masuk ke pesawat, hinggalah barisan penumpang kian habis, tiada kelibat suami saya. Saya mula panik. Saya memberitahu petugas yang menunggu di gate bahawa suami saya masih beratur untuk check in barang. Petugas itu terus berlari ke tempat check in dengan serta merta, dan membantu suami saya untuk check in.

Lega saya melihat suami saya diiringi petugas tadi, dengan dia sendiri membawa beg Umar. Beliau terus mengiringi kami sekeluarga untuk masuk ke pesawat, dan 10 minit selepas kami duduk di dalam pesawat, pesawat terus berlepas. Berjurai-jurai air mata Umar kerana kesal membuatkan semua orang terlambat, tetapi saya memujuknya, “Tidak mengapa, ini semua pengalaman untuk kita belajar.”

Alhamdulillah kami selamat sampai ke KLIA jam 2.45 petang. Sampai di kereta, bateri habis pula hingga tidak boleh menghidupkan enjin. Allahu Akbar. Mujur syarikat insuran kami segera menghantar bantuan. Sementara menunggu , kami solat jamak Zuhr dan Asar dahulu di terminal, dan selesai menukar bateri, kami pun pulang.

Alhamdulillah

Alhamdulillah

Alhamdulillah


Satu pengalaman yang amat menyeronokkkan, bercuti dengan anak-anak walaupun hanya di dalam negara. Pada pandangan saya, ketika melancong ini yang penting adalah aktiviti yang menarik, tempat tinggal yang selesa, makanan halal yang mudah didapati dan yang paling penting tempat itu selamat. Jika berkemampuan untuk ke luar negara, apa salahnya. Tetapi jika belum mampu, seperti kami, tiada salahnya melancong di dalam negara kita yang indah dan permai ini Alhamdulillah 


Apa nak buat di Langkawi bila hari hujan ?



Saya memang suka mengembara. Sejak saya berusia 18 tahun dan belajar perubatan di Ireland, saya amat minat melancong dan meneroka ke tempat baru. Kini saya sudah bergelar seorang ibu, saya cuba untuk menerapkan minat ini kepada anak-anak saya.

Bagi saya , melancong bukan hanya untuk melepaskan lelah bekerja, malah ia adalah satu pengalaman baru yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, tidak dapat ditukar ganti dengan emas permata

Kali pertama saya dan suami melancong bersama anak-anak adalah ke Pulau Redang beberapa tahun yang lalu. Ketika itu anak saya yang kecil baru berusia 5 tahun. Namun Alhamdulillah ia menjadi sebuah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan buat mereka.

Tahun 2015 pula, kami ke Langkawi, dan ketika itu saya sedang hamil anak ke empat dan usia kandungan dalam 5 bulan.

Tahun ini kami merancang untuk ke Langkawi sekali lagi.


Mengapa Langkawi?

Pertama kerana anak-anak saya sendiri sangat gembira ke Langkawi dan mereka mahu ke sana semula dengan adik mereka yang baru. 

Kedua, Malaysia Airlines ada mengadakan jualan murah tiket domestik, jadi saya ambil peluang membeli tiket untuk kami berenam. Alhamdulillah kami dapat tiket pada harga RM800 lebih sahaja untuk 2 dewasa, 3 kanak-kanak dan seorang bayi

Untuk penginapan dan pengangkutan di Langkawi, saya serahkan kepada sahabat saya iaitu Ina, pemilik syarikat Dayang Biru di Langkawi. Sebagai “local operator”,saya yakin Ina lebih mahir selok belok dan bagaimana mendapatkan tempat tinggal yang sesuai pada harga yang saya inginkan.

Alhamdulillah untuk pakej 4 hari 3 malam, menyewa apartment 3 bilik di Adina Motel di Pantai Cenang, sewa kereta Avanza sepanjang di sana dan pakej Mangrove Tour di Kilim Geoforest Park, semua sekali RM1680 sahaja. 

Bolehlah hubungi Ina di nombor  telefon 017-4241978. Beliau mempunyai 3 pejabat di Langkawi. Tetapi walaupun sibuk,beliau amat reponsif terhadap pertanyaan melalui whatsapp , walaupun pada waktu malam

Apartment kami di Adina Drive In Motel 




Hari pertama di Langkawi, kami makan tengahari di Warung Janggus di Pantai Cenang. Nasi dan lauk pauk menjadi pilihan, walaupun ada juga hidangan seperti nasi goreng dan mee goreng disediakan di dalam menu. Warung Janggus ini beroperasi dari tengahari hingga ke malam , di mana untuk makan malam terdapat pilihan ikan bakar dan sebagainya. Harga makanan agak berpatutan, harga makan tengahari kami sekeluarga adalah RM55

Aneka lauk pauk di Warung Janggus


Memandangkan cuaca hujan renyai-renyai, perhentian pertama kami pastilah tempat yang berbumbung. Kami memilih untuk ke Underwater World Langkawi. 2 tahun lepas, parking adalah percuma di sini, tetapi sekarang sudah berbayar. Namun tidak mengapalah memandangkan kami tidak mahu berjalan di dalam hujan

Underwater World Langkawi adalah antara tempat menarik untuk anak-anak. 

Bayaran masuknya adalah seperti berikut

Dewasa (Antarabangsa) : RM 46
Dewasa (myKad) : RM 36

Kanak-kanak (Antarabangsa): RM36
Kanak-kanak (MyKad) : RM26

Bagi kakitangan kerajaan, jangan lupa bawa ID kad anda untuk mendapatkan “corporate rate” iaitu RM29 untuk dewasa dan RM21 untuk kanak-kanak (3-12 tahun) .

Bahagian pertama di Underwater World adalah haiwan-haiwan seperti iguana dan ular, serta berapa jenis ikan air tawar

Uwais kagum melihat iguana

Bahagian kedua adalah lebih menarik iaitu haiwan dari tempat sejuk iaitu singa laut dan penguin. Jika mahu melihat sesi memberi makan penguin, adalah pada pukul 11 am & 3 pm untuk penguin jenis African , dan 11.15pm & 3.15pm untuk penguin jenis Rockhopper.

Singa laut pula diberi makan sebanyak 3 kali sehari iaitu pada pukul 10.45am, 2.30pm dan 4.00 pm

Comel sungguh penguin-penguin di sini.

Singa laut 



Bahagian ke tiga Underwater World adalah sesuatu yang baru dan menarik. Ia digelar Life and Magic World. Terdapat permainan interaktif seperti melukis dan mewarna ikan sendiri , yang kemudiannya akan dihantar ke akuarium interaktif, atau anak-anak boleh memilih untuk bermain Virtual Reality dengan bayaran RM10 sahaja

Selain itu ada juga wayang gambar 3D Typhoon Experience atau melalui kota sesat (maze) the Lost City, dengan bayaran RM18 untuk dewasa, Rm12 untuk kanak-kanak. Saya dan bayi saya tidak masuk kerana takut kurang sesuai.







Selepas sejam bermain di bahagian ini, kami meneruskan perjalanan ke bahagian ikan-ikan marin. Pastinya yang menjadi tumpuan adalah Nemo dan Dori. Sotong kurita dan ikan jerung juga ada di sini,jadi bolehlah pengunjung melihat pada jarak dekat



Nemo

Setelah hampir 3 jam di Underwater World, kami pulang ke apartment untuk solat Asar dan berehat. Jika mahu, di luar Underwater World juga ada disediakan surau, jika mahu solat dahulu sebelum membeli belah di the Zon yang berada di situ

Malam pertama , kami tidak keluar kerana anak-anak sudah keletihan. Kami menelefon Pizza Hut tetapi rupanya tiada servis penghantaran di Langkawi. Jadi saya telefon untuk “take away” sahaja. Mujur Pizza Hut betul-betul dekat dengan tempat penginapan kami, dan boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja.

Ini antara faktor saya memilih untuk tinggal di Pantai Cenang walaupun sekarang jalan rayanya sudah satu hala, dan agak sesak. Saya terfikir juga pada mulanya untuk tinggal di kawasan Tanjung Rhu yang lebih privasi. Tetapi memikirkan agak sukar mencari kedai makan di sana, dan kami berjalan dengan empat orang anak yang sentiasa lapar, lebih baik tinggal di kawasan yang banyak kedai makan.

Hari ke dua di Langkawi, cuaca masih mendung dengan hujan renyai-renyai. Entah mengapa tahun ini bulan September menjadi musim hujan. Beberapa minggu sebelum kami ke Langkawi, katanya banjir dan ribut di Pantai Cenang. Alhamdulillah apalah sangat dibandingkan dengan hujan renyai-renyai .

Kami bergerak dari apartment pada pukul 9 pagi, menuju ke Harbour Park di utara Langkawi. 

Harbour Park

Setelah mengisi minyak kereta, menikmati pemandangan kapal-kapal yang berlabuh dan mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan ke Crocodile Adventureland Langkawi atau Taman Buaya Langkawi. Katanya ini adalah Taman Buaya terbesar di Malaysia. Jangankan anak-anak, saya pun teruja nak melihat buaya-buaya di sana

Sebelum masuk ke Taman Buaya, kami bersarapan dahulu di sini, dengan pakej sarapan RM5.90 untuk nasi lemak dan kopi O. Anak-anak makan jagung dalam cawan sahaja. 


Bayaran masuk ke Taman Buaya ini ada beberapa kategori. Pakej biasa, hanya RM18 untuk seorang dewasa. Pakej paling mahal RM36 untuk seorang dewasa iaitu termasuk mengambil gambar bersama buaya. Saya mengambil pakej sederhana iaitu RM25 seorang dewasa, RM20 seorang kanak-kanak iaitu bayaran masuk dan pellet untuk memberi makan anak-anak buaya

Kawasan pertama adalah buaya-buaya yang berada di dalam sangkar. Ada yang sangat besar hingga saya terkejut melihatnya! Ada juga anak-anak buaya yang comel, yang mana anak-anak saya asyik memberi makan dengan pallet yang dibekalkan tadi



Anak-anak buaya

Jam 11 pagi, ada pertunjukan buaya , di mana petugas beraksi dengan buaya berusia 40 tahun, yang hampir 2 kali ganda panjang seorang manusia dewasa!  Ngeri juga melihatnya mencium buaya yang sedang menganga itu!




Lebih kurang 11.30 pagi, terdapat pertunjukan memberi makan buaya di kolam jambatan atau Bridge Pond. Aduhai ngeri saya lihat buaya-buaya yang besar dan berkeliaran di dalam kolam yang besar itu. Ada yang menelan ayam yang dicampakkan, dengan 2 kali kunyah saja! Menarik sungguh pertunjukkan ini, tetapi sayang ia hanya berlangsung selama 5 minit.


Dari kolam jambatan, kami terus berjalan ke kawasan buaya istimewa yang lain termasuk buaya bongkok, buaya tanpa ekor dan sebagainya. 




Bagusnya Taman Buaya ini, banyak kawasan yang berbumbung jadi jika hujan, tiada masalah yang besar. Jika hujan renyai-renyai juga, ada payung yang disediakan secara percuma di sekitar taman ini. 

Cumanya dari satu kawasan ke kawasan yang lain, tiada laluan berbumbung dan laluan banyak bertangga, jadi kurang sesuai untuk keluarga yang membawa bayi bersama stroller. Mujur suami saya kuat untuk mengangkat stroller . Saya terfikir jika pengunjung berkerusi roda, pasti sukar untuk bergerak .


Selesai melihat buaya bongkok, hujan mula turun dengan lebat. Kami berhenti di tempat mengambil gambar dengan anak buaya. Bayarannya adalah RM50 untuk sekeping gambar dengan frame, atau untuk sebuah rantai kunci bergambar dan sebuah pelekat magnet. Selain itu 15 keping gambar lain dalam bentuk soft copy akan dihantar kepada kita melalui email

Kagum juga saya melihat anak ketiga saya , Umar, berani mahu memegang anak buaya. Sejuk sahaja badan anak buaya itu. Sebelum memegang anak buaya, kami diminta mencuci tangan agar bersih dan sejuk. Ketika saya cuba memegang anak buaya itu, menggeliat ia mahu lari! Mungkin kerana tangan saya terlalu panas. Selepas disembur sedikit air pada tangan saya, barulah anak buaya itu senyap

Bergambar kenangan dengan anak buaya 

Kami menghabiskan masa lebih kurang 3 jam di sini. Sebelum pulang, saya singgah di kedai yang menjual barangan kulit dari kulit buaya. Hampir tersedak saya melihat harga sebuat beg tangan antara RM14,000 hingga RM20,000! Perlahan- lahan saya keluar dari kedai itu hahaha

Dari Taman Buaya, kami singgah di Masjid Kampung Ewa kerana suami saya dan Umar mahu menunaikan solat Jumaat. Kami tunggu di dalam kereta di dalam hujan, sambil saya menyemak bacaan Al-Quran anak-anak perempuan.

Dari Masjid Kampung Ewa, kami ke Pusat Kraf Langkawi yang terletak berdekatan dengan Pantai Pasir Hitam. Meriah sungguh pusat ini dengan jualan pelbagai barangan dari baju batik, bakul, beg tangan, hiasan dinding, rantai kunci hinggalah kepada kuih bahulu yang masih panas kerana baru dimasak. 

Pengunjung juga boleh mencuba untuk mewarna batik dengan harga RM30 satu lukisan di salah sebuah Kiosk. Jika mahu lebih murah iaitu RM10 satu lukisan, boleh ke bengkel batik yang disediakan Pusat Kraf ini, tetapi malangnya ia tutup pada hari Jumaat.



Surau di sini juga sangat bersih dan selesa. Dapatlah saya dan anak-anak perempuan bersolat di sini dengan tenang.

Dari Pusat Kraf, hujan sudah reda dan kami berhenti seketika di Pantai Pasir Hitam. Saya masih ingat kali pertama saya ke sini adalah ketika saya berusia 9 tahun. Seronok melihat anak-anak bermain pantai, hingga Umar basah seluruh seluarnya dengan air laut. Mujur saya ada membawa pakaian lebih.





Selesai bermain, baru perasan masing-masing terasa lapar. Rupanya jam sudah pukul 4 petang dan kami belum makan tengahari. Jadi kami putuskan untuk ke Pekan Kuah untuk makan tengahari atau makan malam

Sebelum ke Pekan Kuah , kami singgah bersolat di sebuah masjid di kawasan ini, dan kemudian meneruskan perjalanan



Kami memilih untuk mencuba Uncle Jai’s Café di pekan Kuah. Boleh waze sahaja, restoran ini terletak di kawasan Pandak Mayah. Alhamdulillah layanan sangat baik, restorannya luas, banyak kawasan parking,ada disediakan surau, dan makanannya sedap dan harga berpatutan.

Anak-anak memilih fish and chip dan chicken chop, manakala saya dan suami makan nasi goreng paprik & nasi goreng ketam. Semua sekali RM77 sahaja.


Chicken Chop

Fish and Chips


Nasi goreng ketam lembut (soft shell crab)


Dari Uncle Jai’s Café, kami singgah sebentar di Dataran Lang untuk bergambar dengan patung helang yang menjadi ikon Pulau Langkawi ini. Alhamdulillah menjelang senja, cuaca sudah semakin cerah dan pemandangan matahari terbenam sangat indah.






Dari Dataran Lang kami mengambil jalan persisiran pantai untuk pulang ke Pantai Cenang. Maka hari ini lengkaplah kami berpusing hampir seluruh Pulau Langkawi .


Oleh kerana kami makan tengahari agak lewat iaitu pada pukul 5 petang, kami tidak berhenti untuk makan malam. Saya sangka pasti semua akan tidur awal. Rupanya pukul 10 malam, anak-anak minta makanan! Hahah lucu sungguh anak-anak ni. Mujur di Pantai Cenang memang banyak warung-warung , jadi suami saya pun keluar membeli kuey tiaw goreng dan burger untuk anak-anak.

Alhamdulillah pengalaman yang menarik dapat dikongsikan dengan anak-anak hari ini. In shaa Allah hari ke tiga bakal menjanjikan pengalaman yang baru pula