Sunday 31 July 2022

Hiking ke Denai 3 Puteri



"Akak kena scammed!" 


Haha itulah kata-kata yang nak cakap bila naik Denai 3 Puteri ni.


Sebab apa? Sebab saya tanya kawan yang dah biasa naik, dia kata 2 jam pace santai.


So saya pun beritahu anak-anak begitu juga.


Katanya 3.5km satu hala. Bab tu memang tepat. Tetapi bab waktu itu rupanya saya salah faham. Mungkin kawan tu maksud kan 2 jam satu hala!


Jadi saya nak kongsi pengalaman saya naik Denai 3 Puteri yang terkenal ini.


Apa tarikan utama? Pastinya pemandangan lebuhraya yang indah di puncak.


Untuk tapak permulaan, boleh Google Taman Eko Rimba Kota Damansara.


Parking memang agak payah di sini, sila parking di tepi jalan. 


Tempat masuk ada pengawal, kena daftar dan bayar RM2. Nanti anda akan diberikan kad sebagai pengenalan. Menurut tanda di sini, dalam masa sehari, hanya 300 orang dibenarkan masuk, dan waktu taman ini dibuka adalah antara pukul 7 pagi hingga 3 petang.



Tandas ada disediakan di pintu masuk. Ini adalah satu-satunya tandas di sepanjang perjalanan ya. Jadi silalah mengosongkan apa-apa yang patut dikosongkan.



Pendakian mulanya mudah sahaja, tetapi mula sukar selepas beberapa ketika.

Ada beberapa denai yang anda boleh pilih, antaranya Denai Sahabat dan Denai Pengakap, sebelum bertemu dengan Denai 3  Puteri yang akan membawa anda ke puncak.



Pendakian saya kira medium hard, tidak terlalu santai, ada kawasan yang memerlukan pendakian dengan tali. Ada juga kawasan berbatu, jadi pemakaian kasut yang sesuai adalah sangat penting.






Bertemu sahabat lama, Maryam. 

Pendakian begini bererti anda sudah hampir dengan puncak. Kira-kira setengah jam sahaja lagi, pace santai. 


Landmark perjalanan ini, apabila sampai ke pokok besar ini, bererti anda sudah hampir sampai ke puncak. 




Alhamdulillah selepas 1 jam 48 minit, kami sampai ke Puncak Denai 3 Puteri, yang menawarkan pemandangan lebuhraya NKVE di persimpangan Bukit Lanjan.




Paling istimewa tentang hiking kali ini adalah ada kakak menjual aiskrim Malaysia di puncak denai! Walaupun sebatang harganya RM2, rasanya teramatlah sedap. Jika tak bawa cash, jangan risau, boleh transfer online atau QRPay sahaja.



Kasihan anak-anak saya, mereka memakai kasut lama saya, separuh perjalanan hiking, tapak kasut mereka tertanggal. Kami cuba mengikat dengan tali kasut, tetapi asyik tercabut juga. Mujur saja ada pakcik membantu dengan memberikan seutas tali rafia. Semoga Allah membalas kebaikan pakcik itu.



Inilah Pakcik Abu Bakar yang baik hati, memberi tali rafia untuk mengikat kasut anak-anak saya


Selepas puas bergambar, kami turun semula untuk balik. Perjalanan pulang mengambil masa 2 jam.


Alhamdulillah alaa kulli hal, satu pengalaman yang berharga buat saya dan anak-anak, kerana ini kali pertama saya hiking yang agak jauh bersama anak-anak.


Jumlah perjalanan = 7km.


Jumlah masa yang diambil = 4 jam.


Nilai pengalaman = priceless.



Thursday 14 July 2022

Cempedak goreng paling mahal

 Cempedak goreng paling mahal.


Suatu masa, semasa saya hamil anak kedua, waktu itu kami tinggal di Selayang. Masih jelas di ingatan, rumah kondo yang kami sewa.


Rumah penuh dengan perabot, 3 bilik tidur, 2 bilik air, 1000 kaki persegi, sewanya baru RM750.


Waktu itu saya sedang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Dalaman atau Internal Medicine di Hospital Selayang.


Walaupun kerja teramatlah sibuk, yang agak best adalah, selepas bertugas atas panggilan atau oncall, kami akan mendapat "PM off". Selepas membuat "ward round petang", kami boleh serah tugas kepada kawan dan balik ke rumah.


Sewaktu hamil anak kedua itu, antara yang paling saya idamkan adalah cempedak goreng.


Balik dari hospital, saya pergi ke pasar malam di Selayang. Oleh kerana masih awal, hanya ada beberapa gerai yang sudah buka.


Puas saya pusing, tiada satu pun gerai yang menjual cempedak goreng.


Tetapi saya berjumpa sebuah gerai menjual buah pisang dan cempedak.


Waktu itu harga cempedak RM5 sekilogram.


Oleh kerana takut terlalu banyak, saya bertanya kepada penjual jika ada cempedak yang kecil.


Jawabnya, " Akak ambil yang separuh ni, kak. Elok ni, Akak tengok. Buah pun cantik".


Saya belek buah cempedak yang sudah dipotong separuh itu, dan bersetuju untuk membelinya.


Kebetulan beratnya hanya 1kg. Cukuplah untuk saya melepaskan rasa mengidam.


Sampai di rumah, saya pun membancuh tepung gandum dan tepung beras, seperti yang diajar oleh ibu saya.


Siap membancuh tepung, baru saya belah cempedak itu.


Itu dia, melenting-lenting ulat cempedak keluar dari buah!


Terkejut saya dibuatnya.


Geram memang geram. Tetapi iyalah, kita nak salahkan penjual pun, mana dia tahu. Di kawasan yang terpotong tadi memang nampak elok.


Bau cempedak sudah semerbak dalam dapur kondo yang kecil itu.


Air liur saya dah bertakung dalam mulut.


Minyak masak pun sudah panas di dalam kuali!


Saya pun nekad, saya belah cempedak busuk itu, saya cari juga kalau ada beberapa ulas yang elok.


Alhamdulillah, rezeki saya, dapatlah 5 ulas yang elok, tidak terusik dek koloni ulat buah.


Saya basuh, dan celupkan ke dalam tepung, dan gorengkan!


Petang itu, dapatlah saya makan, cempedak goreng paling mahal dalam hidup saya. Untuk zaman itu, RM1 untuk satu ulas cempedak goreng, kira mahal lah kan? 


Sampai sekarang, kalau makan cempedak goreng, mesti saya teringat kisah itu.


Nak jadi cerita, sampai sekarang juga, anak kedua itu, memang makanan kegemarannya adalah cempedak goreng. Kalau ke pasar malam, gerai cempedak jauuuuuh pun dia boleh bau, dan minta saya belikan.


Semalam ada cempedak goreng di rumah, dari tingkat 3 rumah saya dengar dia berkata, "bau cempedak!", lantas pantas dia turun ke bawah.


Alhamdulillah rezeki juga, sampai sekarang tak pernah lagi beli cempedak, dapat yang ada ulat. Semuanya manis-manis, semanis kenangan beli cempedak pakej dengan ulat melenting, 15 tahun yang lalu.


#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita