"Semoga kekuatan milikmu" , bisik hati saya, sebelum saya menuturkan kata-kata.
Satu ayat, satu ketika,
bisa mengubah hidup seseorang buat selamanya.
"Maknanya saya akan jadi butalah, Doktor?", tanya pesakit saya yang baru berusia awal 30an.
Saya mengambil sedikit masa, untuk mengatur ayat.
"Tidak mudah saya nak sampaikan berita ini kepada awak. Tetapi, maafkan saya, Retinitis Pigmentosa, memang penghujungnya awak akan hilang penglihatan mata secara total, " jawab saya, dengan hati yang maha berat.
Sunyi sahaja bilik pemeriksaan saya.
Wajah pesakit saya kelihatan tenang.
Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil melihat gambar saraf di dalam matanya.
Mujur juga beliau ada latar belakang sains perubatan, agak mudah untuk saya menerangkan. Beliau pun berpendidikan tinggi, berjawatan kukuh di syarikatnya sendiri.
Seorang anak muda yang berjaya, pada pandangan saya.
Menurut beliau, semenjak kebelakangan ini, beliau rasa seolah-olah medan penglihatan tengahnya sedikit kabur.
"Macam blind spot saya makin besar. Saya tak boleh drive malam dah, doktor."
Ini kata-kata beliau yang menggetarkan hati saya, tatkala beliau mula bersua dengan saya di bilik pemeriksaan, awal tadi.
Rabun malam adalah simptom awal RP. Ia boleh berlaku secara keturunan, sama ada secara dominon atau resesif. Autosomal dominon selalunya akan mula ada simptom pada usia tua. Kes resesif pula, pada usia kanak-kanak.
"Subhanallah kesian betul pesakit ini, baru 30an," detik hati saya lagi.
Saya telah memeriksa mata pesakit ini dengan teliti, dan ternyata terdapat tompok-tompok di sarafnya, yang kelihatan seperti Retinitis Pigmentosa atau RP , iaitu sejenis penyakit keturunan, di mana sel fotoreseptor atau sel penglihatan, bertukar menjadi hitam dan hilang fungsi.
Setelah beberapa lagi ujian dijalankan, saya terpaksa juga memberitahu beliau diagnosa yang bakal mengubah hidupnya itu.
"Tiada rawatan ke Doktor?"
"Buat masa ini, di Malaysia, masih belum ada. Kali terakhir saya ke persidangan antarabangsa di Singapura, mereka ada menyebut di USA sudah ada gene therapy. Tetapi masih dalam peringkat kajian," jawab saya.
Saya terangkan padanya, saya tidak dapat menjangkakan berapa lama jangka masa yang beliau ada sebelum beliau akan buta sepenuhnya.
Mungkin 3 tahun, mungkin 10 tahun.
Saya tidak tahu.
Tetapi amat penting untuk beliau pulang dan berbincang dengan keluarga. Buat persediaan dari segi mental dan fizikal. Mungkin mula belajar braille.
Apatah lagi RP pesakit ini adalah variant atau jenis yang cepat melibatkan medan penglihatan tengah, tidak seperti RP yang biasa, yang mana medan penglihatan tengah biasanya tidak terganggu hingga saat akhir.
Saya cadangkan juga untuk membuat ujian genetik, jika mahu mengetahui jenis RP yang manakah beliau hidapi. Anak-anak beliau juga akan perlu disaring.
Jika mahu menunaikan haji, saya boleh berikan surat sokongan kepada Tabung Haji.
Kekalkan insuran kesihatan yang ada.
Ini antara pesanan-pesanan saya.
Ma shaa Allah kagum saya dengan reaksi wajah beliau yang biasa - biasa saja.
Mungkin tenang pada wajahnya, di dalam hati, hanya Allah yang tahu.
Setelah hampir sejam berdiskusi panjang, pesakit melangkah pulang.
Meninggalkan saya termenung sendirian, menatap hujan yang membasahi bumi Shah Alam.
Maha Suci Allah yang tidak pernah menzalimi makhluknya.
Hadith Rasulullah SAW :
Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:
"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya."
(Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)
Tatkala kita merasakan sukarnya dugaan yang kita hadapi, ada insan lain yang diuji Allah dengan cabaran yang lebih getir lagi.
Saya doakan buat semua pesakit-pesakit saya, dan semua insan yang sedang diuji dengan sakit, agar ia menjadi penghapus dosa, lantas menjadi asbab buat kalian dan kita semua ke syurga, in shaa Allah.
Siapalah kita yang mahu mempersoalkan kejadian yang telah ditetapkan Pencipta kita, yang pasti Maha Mengetahui.
Mungkin pesakit ini hadir, untuk mengingatkan saya agar bersyukur dengan setiap apa yang ada pada saya.
Nikmat mata.
Nikmat penglihatan.
Nikmat sihat.
Subhanallah.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Bersyukur dengan peringatan yang selalu hadir bersama pesakit.