Saturday 4 January 2014

Travelog Hajjah ( Bahagian 9) : Dari Arafah ke Muzdalifah

14 Oktober 2013

Hari Arafah : 9 Zulhijjah 1434H

Aku tersedar lebih kurang setengah jam selepas aku terlelap di sisi ibu mertuaku yang tersayang. Setengah jam. Hanya 30 minit. Namun sesalnya tidak sudah hingga ke hari ini. Kukira aku telah membazirkan setengah jam yang sangat bernilai untuk kuberdoa dan beribadah pada satu hari yang merupakan kemuncak untuk seluruh tahun itu. Kemuncak untuk seluruh kehidupanku.

Aku bingkas bangun, mengejutkan ibu mertuaku yang turut terlena, dan terus ke tandas untuk bersuci dan berwudhu'. Jam menunjukkan jam 3.30petang. Aku hanya ada masa 2 jam setengah lagi sebelum matahari terbenam. Terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Hasnil, "menjelang senja, lipat gandakan ibadah! Tambah TURBO, bukan tidur!". Aku menghantar SMS kepada suami untuk bertemu di "surau" untuk kami berdoa sekeluarga.

Panas petang yang terik tidak menghalang jemaah haji mencari tempat untuk beribadah di bawah naungan langit terbuka. Di atas sana, Allah Azza Wajalla sedang mendengar setiap doa, setiap permintaan, setiap penyesalan.

Kami berempat berdoa bersama, kulihat suami dan bapa mertuaku kusut masai dengan ihram mereka. Maklumlah sudah 2 hari tidak berminyak dan menyikat rambut, kerana khuatir melanggar larangan ihram. Ku aminkan doa suamiku. 



Ya Allah! Wahai Yang Paling Dermawan dari semua yang memberi, Wahai Yang Paling Baik dari semua yang diharap, Wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.

Ya Allah! Sampaikanlah selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya yang terdahulu; Sampaikan selawat ke atas Muhammad dan keluarganya yang kemudiannya; Sampaikanlah selawat ke atas Muhammad dan keluarganya yang berada dalam kafilah para malaikat; Sampaikanlah selawat ke atas Muhammad dan keluarganya yang berada dalam kafilah para Rasul. 

Ya Allah! Kurniakanlah kepada Muhammad dan keluarganya, wasilah, keutamaan, kemuliaan dan darjat yang tertinggi.

Ya Allah! Bahawasanya daku mempercayai Muhammad SAW, dan daku belum pernah melihatnya; Maka jangan halangi daku  untuk melihatnya pada hari kiamat. Anugerahkanlah padaku supaya dapat berdekatan dengannya. Matikan daku dalam agamanya. Berilah daku minuman dari telaganya, minuman yang segar yang tiada lagi dahaga selamanya dan sesudahnya. Sesungguhnya Dikau Maha Kuasa atas segala sesuatu.


Ya Allah! Bahawasanya daku mempercayai Muhammad SAW dan daku belum pernah melihatnya. Maka  perkenalkan padaku wajahnya di syurga. Ya Allah! Sampaikanlah salamku yang tak terhingga kepada Muhammad dan keluarganya.



Matahari kian condong ke barat. Mega merah mula menghiasi langit Arafah. Ibu, Abah dan suamiku beralih ke kawasan terbuka, di hujung kawasan khemah kami. Di kejauhan kami dapat melihat khemah para jemaah haji memutih di bumi gersang Arafah. Kulihat ahli keluargaku khusyuk berdoa, ibu mertuaku diapit oleh suami dan anaknya.

Perlahan aku bangun mencari ruang bersendirian. Kukira ini waktunya aku beruzlah dengan Penciptaku. Kuharap cintaNya akan sentiasa melebihi cintaku pada suamiku. Di atas tikar, aku bersila dan berdoa. Terasa doa-doaku bergema di dalam fikiranku, dan bak terdengar para malaikat mengaminkan doa-doaku. Indahnya ketika itu, aku terlintas untuk membacakan doa yang dikirim oleh seorang sahabatku, yang sangat indah kata-katanya. In shaa Allah nanti akan kukongsikan doa itu. 

Tatkala mentari senja semakin menghampiri ufuk, bulatan merah itu semakin terlindung dek gunung ganang batu di Arafah, hatiku semakin hiba. Rombongan Agung Allah dan para malaikat pastinya mula berangkat ke langit ke tujuh semula. Kurayu, "Ya Allah, jangan tinggalkan aku. Jangan pernah jauh dariku Ya Allah. Aku bersaksi tiada Tuhan kecualiMu, Ya Allah, dan Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam itu PesuruhMu ya Allah." Inilah syahadahku, yang pertama dalam hidupku, kulafaz dengan penghayatan erti kalimat itu yang sebenar. Di sinilah ikrarku, bahawa mulai detik dan saat itu, tiada yang penting bagiku kecuali redha Allah dan RasulNya. Pastinya perjuangan selepas haji untuk mempertahankan haji mabrur itu, bakal menjadi saksi syahadahku itu. Adakah aku akan terus mengejar kemewahan dan kesenangan dunia hingga meletakkan akhirat di tempat ke dua? Adakah aku akan memikirkan "apa orang kata" lebih dahulu daripada "adakah Allah redha dengan perbuatanku?" . Allah... perjuangan ingin baru sahaja bermula... Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami semua dalam perjuangan yang hanya akan berakhir tatkala kami hembuskan nafas yang terakhir..



Azan Maghrib mula bersahutan. Berakhirlah sudah waktu paling mustajab doa untuk mukminin dan mukminat. Berakhirlah "hari Arafah". Sememangnya waktu wukuf masih berterusan hingga ke sebelum fajar terbit 10 Zulhijjah, namun berlalulah sudah waktu Asar hari wukuf yang didamba setiap insan yang beriman. 

Aku melangkah longlai ke arah khemah untuk bersolat Maghrib dan Isyak secara jamak tamam. Kuterdengar esak seorang jemaah wanita yang tersedu sedan, umpama kehilangan seorang yang dicintainya. Aku memujuk hati, "Allah itu lebih dekat dari urat halkum hambaNya". Sesungguhnya Allah itu dekat, hanya kita terkadang terasa jauh dengannya, dek kerana hati yang sarat disaluti dosa. 

Usai makan malam serba sederhana, lebih kurang jam 8.30 malam kami menunggu giliran di dalam khemah. Berada di dalam pakej paling murah di kalangan jemaah haji Tabung Haji Travels, pastilah kami yang terakhir akan meninggalkan bumi Arafah untuk menunaikan wajib haji bermalam di Muzdalifah. Namun kami redha, kami yakin pastilah jemaah haji pakej Zamrud, pakej Topaz dan pakej Nilam yang membayar harga pakej puluhan ribu, sudah berkorban harta mereka untuk menunaikan ibadah haji, pasti diberi kemudahan yang lebih dari Allah. 


Bergambar kenangan bersama jemaah satu khemah sementara menunggu untuk menaiki bas ke Muzdalifah dan Mina. (Dari kiri, me, Ibu Halijah my mother in law, Makcik Zuliha, Auntie Zaini, Makcik Salimah (belakang), Kak Za & her daughter Afifah, and depan tu family member kak Noraini (Mak kak Noraini & besannya).

Malam semakin larut. Satu demi satu bas di panggil. Kukira 2 bas Zamrud dan 14 bas Nilam sudah dipanggil. Kugunakan waktu senggang itu untuk membacakan doa-doa yang dikirim sahabat-sahabatku. Suasana kian sunyi, dan kami terus menunggu dengan sabar. Kupujuk hati, mungkin inilah saat terakhir aku berwukuf di Arafah dalam hidupku, apalah salahnya berlama-lama di sini buat seketika. Lagipun, pihak Tabung Haji Travels telah memaklumkan, kesemua 1500 orang jemaah haji pakej tidak akan turun di Muzdalifah. Bas hanya akan lalu di Muzdalifah, berhenti seketika untuk berdoa dari dalam bas (setelah masuk waktu untuk mabit iaitu selepas masuk tengah malam), dan kemudian terus ke Mina. Pihak Tabung Haji Travels menjangkakan jika kami turun, bas akan mengalami kesesakan luar biasa, dan ada kemungkinan kami terpaksa berjalan ke Mina, iaitu hampir 5km! 

Tepat jam 11 malam, Alhamdulillah giliran kami dari pakej Aqiq untuk menaiki bas. Kulihat hampir semua khemah sudah gelap gelita, menandakan penghuninya sudah meninggalkannya. Jam 11.30 malam, iaitu hanya 10 minit sebelum detik tengah malam, bas kami bergerak meninggalkan bumi Arafah.

Aku duduk di sisi ibu mertuaku di dalam bas. Wajahnya tenang, walau terlihat agak keletihan. Di sepanjang perjalanan, beratus-ratus bas bergerak menuju ke destinasi yang sama. Ada jemaah yang berjalan kaki, berihram dan hanya berbekalkan sebuah beg plastik. Entah apa agaknya yang dibawa. Syukurku pada Ilahi, atas segala urusan yang lancar setakat ini, tanpa kami perlu melalui sebarang kesusahan yang melampau.


Kami tiba di Muzdalifah kira-kira sejam kemudian, walapun jaraknya hanyalah 9km. Bayangkanlah 2.7 juta orang bergerak dengan satu tujuan. Betullah kata orang, ibadah haji ini adalah gambaran hari Mahsyar kelak. Tanpa sebarang bekalan, mungkin tanpa pakaian pun, kita akan bergerak ke tempat perhitungan terakhir. Hanya amalan yang bakal menemani, bakal penentu dapatkah kita bertemu Kekasih Hati Rasulullah SAW dan dapatkah timbangan mizan itu menyelamatkan diri dari api yang menyala-nyala. Astaghfirullah...


Suasana di Muzdalifah
Jemaah haji di Muzdalifah. Tiada khemah yang disediakan, hanya beralas tikar, berbumbung langit. 

Deretan bas yang membawa jemaah haji dari Arafah ke Mina, melalui Muzdalifah. Ribuan jemaah haji melepas lelah di bawah jejambat. Kebanyakan jemaah haji dari negara Arab memang tiada khemah khas untuk mereka.

Sebahagian daripada jemaah haji yang berjalan kaki sejauh 5km daripada Muzdalifah ke Mina

Selepas berhenti selama 5 minit, kami meneruskan perjalanan. Pemandangan yang sangat menginsafkan. Semua insan tanpa mengira pangkat, bangsa dan usia, berpakaian putih serba sederhana. Ada yang tidur di bawah-bawah jambatan, ada yang tidur di kawasan lapang, melepas lelah setelah beribadah di Arafah. Sememangnya tidur di Muzdalifah adalah salah satu amalan sunat yang digalakkan, simbolik bahawa Allah yang Penyayang, memahami manusia ini adalah makhluk lemah, yang tewas kepada keletihan dan mengantuk, tidak seperti Allah yang jauh dari sifat sedemikian.


Perjalanan dari Muzdalifah ke Mina





Sebahagian daripada khemah di Mina
 

Jam 1 pagi, kuterlihat papan tanda "MINA". Alhamdulillah! Namun bas bergerak umpama semut yang berjalan membawa seketul gula yang berat. Teramat perlahan. Ramai jemaah yang sudah terlentuk keletihan. Di kejauhan sudah kulihat 4 buah apartment tinggi yang menjadi landmark kepada khemah kami. Perjalanan ini pasti memakan masa, kerana khemah kami terletak hanya 200 meter dari Jamrah, berbanding tahun lalu di mana khemah jemaah haji terletak di Muassim, iaitu 2.5km satu hala. Demi memudahkan jemaah haji, Tabung Haji Travels mengambil risiko dan bertungkus lumus membantu kami mendapatkan penempatan yang terbaik. Namun, kami harus terlebih dahulu mengharungi lautan manusia untuk sampai ke khemah kami. 

Baru sebahagian rukun dan ibadah haji kami terlaksana. Masih berbaki banyak perkara. Dalam pergerakan bas yang tersengguk-sengguk menuju ke khemah Mina kami, aku terus berbisik di dalam hati. Syukur Ya Allah, kami semua terpilih menjadi tetamuMu. Mudahkanlah urusan kami Ya Rabb. Sesungguhnya Engkau yang Maha Pengasih dan Penyayang...

Bersambung...


No comments:

Post a Comment