Menjelang Hari Arafah, Kaabah turut berihram. Kain putih dililit di keliling Baitullah, sebagai tanda hari kemuncak haji sudah hampir.
Kami diberi taklimat keberangkatan dan taklimat logistik di Masyair seawal 2 hari sebelum bertolak.
Oleh kerana waktu wukuf adalah hari di mana semua 2.7 juta jemaah haji akan berkumpul di Arafah, pada tika dan waktu yang dinanti-nantikan iaitu selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah, semua pihak bertungkus lumus memastikan semua urusan di sana berjalan lancar.
Petugas Tabung Haji memberi pesanan untuk membawa satu beg kecil sahaja, kerana ruang yang terhad di dalam khemah, sekiranya ada yang membawa terlalu banyak barang, dikhuatiri mengganggu ruang jemaah haji lain. Aku memuatkan semua pakaian dan keperluan ke dalam beg yang disediakan oleh pihak Tabung Haji, dan satu beg berisi pelapik tilam Biovelocity ku, untuk kegunaanku dan ibu mertua tersayang.
Tepat jam 2 petang, petang Ahad sehari sebelum hari wukuf, kami berkumpul di dewan makan hotel. Wajah serius jemaah haji, masing-masing tenggelam dalam lautan debaran, dihiasi gelombang zikrullah di lidah dan hati.
Aku beristighfar sendirian. Ibu, Abah dan suamiku melafazkan niat haji bersama. Aku yang sudah meniat di Qarnul Manazil dengan niat haji ifrad, tidak perlu mengulangi lagi niat itu.
Jam terus berdetik. Masih tiada khabar di mana bas kami.
Jam 3 petang, azan Asar berkumandang. Kami memandang sesama sendiri. "Nampaknya kali ini terpaksa solat di dewan solat hotel", bisik hatiku.Walaupun syafaat 100,000 kali gandaan pahala meliputi seluruh Tanah Haram Mekah, pastinya tidak sama aura dan syahdu bersolat di dalam Masjidil Haram.
Seusai solat berjemaah, kami terus menanti... dan beristighfar.... "Ya Rabb, permudahkanlah perjalanan kami, Ya Allah. Kasihani kami, kasihani sahabat-sahabat kami yang uzur Ya Allah. Kami hanya mahu menunaikan rukun Islam yang Engkau tuntut Ya Allah".
Jam 5.10 petang, sirna harapan muncul. Bas kami akhirnya tiba! Alhamdulillah.. Terlihat keinsafan di wajah jemaah haji Aqiq, hingga tiada lagi yang berebut menaiki bas. Beg kecil kami yang berisi keperluan selama 4 hari di Masyair, disusun rapi di dalam bas.
Lafaz talbiah berkumandang. Hati merasa sayu melihat deretan bas yang bersama-sama kami memulakan perjalanan ke Arafah.
Kami bersedia dengan sedikit makanan dan spray wudhu, andainya kami terpaksa solat di dalam bas. Maklumlah 2.7 juta orang jemaah menuju satu tujuan. Minda mengatakan, pastilah jalan akan sesak! Tetapi kami terus bertalbiah, masing-masing melontarkan pandangan ke luar tingkap, melihat matahari yang semakin condong ke barat.
25 minit.. itulah waktu yang kami tempuh untuk ke Arafah hari itu. Bukan 25 jam, bukan 2 jam seperti yang digambarkan, tetapi 25 minit. Subhanallah, Allahu Akbar! Aku hanya tersedar bas kami sudah melewati sempadan Arafah apabila terlihat papan tanda menyatakan "Arafah starts here". Di belakang papan tanda itu tertulis "Arafah ends here".
Khemah jemaah haji dari seluruh dunia memutih mewarnai bumi Arafah, tempat pertemuan Nabi Adam dengan isteri yang dirindui setelah terkeluar dari syurga Allah. Tatkala kulihat bendera Malaysia berkibar megah di atas sebuah bukit, sebuah banner Tabung Haji Travels menyambut kedatangan kami. Aku menyeka air mata kesyukuran tatkala mengatur langkah turun dari bas. "Alhamdulillah Ya Allah, kami sampai ke bumi ArafahMu". Apa yang perlu kami lakukan adalah untuk pertahankan keberadaan kami di bumi ini, hingga selepas Zuhr esok hari iaitu 9 Zulhijjah.
"Serba sederhana"adalah motto yang diterapkan di benak kami dek petugas-petugas Tabung Haji, selama kami berkursus, dari Malaysia hinggalah ke Mekah. Tapi maaf, aku kurang bersetuju.
Khemah kami kurasakan mewah, dengan tilam empuk, selimut dan bantal, tersedia buat kami. Makanan yang disajikan sememangnya enak-enak belaka. Mungkin keadaan tandas sedikit sederhana dan harus dikongsi dengan ribuan jemaah yang lain, tetapi padaku apalah sangat pengorbanan beberapa hari ini, demi mendapat redha Ilahi dan syurga yang hakiki. Semoga Allah memeliharaku dari riak, tetapi aku hanya ingin mengungkapkan kesyukuran & mengirimkan ucapan tahniah buat Tabung Haji Travels atas kelancaran urusan di Masyair. Tepat sekali pesan Professor Dr Hjh Hapizah Nawawi yg kutemui sebelum musim haji, "expect the worst but pray for the best".
Di hadapan khemah jemaah haji Tabung Haji Travels |
Tilam, selimut dan bantal yang disediakan |
Khemah yang memuatkan 16 orang jemaah wanita. Para-para di atas disediakan untuk meletakkan beg |
Surau untuk jemaah haji lelaki |
Tandas yang disediakan |
Matahari terus berlabuh. Kami bersolat Maghrib dan Isyak secara jamak tamam iaitu tidak diqasarkan. Masyaqqah atau kesukaran untuk bersuci membenarkan kami untuk bersolat sedemikian, seperti yang telah dibincangkan dalam muzakarah fatwa kebangsaan.
Jam 10.30 malam bekalan elektrik terputus. Hawa dingin bertukar hangat. Mataku sudah terlalu mengantuk, hingga suamiku yang menghantar SMS bertanya khabar tidak kujawab. Dalam hiruk pikuk jemaah-jemaah yang baru sampai, dan petugas-petugas menyiapkan tempat tinggal dan mentuntaskan tugasan mereka, aku terlena di sisi ibu mertua tersayang. Doaku yang terakhir, agar aku dihidupkan lagi untuk satu hari lagi, agar aku dapat wukuf dan menyempurnakan hajiku...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment