Showing posts with label wukuf. Show all posts
Showing posts with label wukuf. Show all posts

Wednesday, 18 December 2013

Travelog Hajjah (Bahagian 8): Turunnya Allah SWT dan para Malaikat di langit dunia...

9 Zulhijjah 1434H

14 Oktober 2013...

Arafah

Inilah hari yang kunanti selama ini. Hari yang kuhitung saban hari, hari yang dijanjikan Allah untuk aku berada di sini, sejak saat ruhku ditiup ke dalam jasad kecilku, 100 hari selepas aku disenyawakan di rahim ibuku. 

Seawal jam 1.50 pagi ibu mertuaku mengejutkan. "Aisyah, jom bangun. Ibu tengok dah ramai orang beratur di toilet". Aku yang masih mamai, mengerling jam tanganku. Lampu yang terang benderang menambah kepada mamaiku. Suara hiruk pikuk masih kedengaran, seolah-olah tiada insan yang tidur malam tadi. 

Berat mataku, kerna baru 3 jam dapat melelapkan mata. Seingatku pihak Tabung Haji memaklumkan bahawa solat tahajjud dan solat tasbih akan diadakan jam 3 pagi. Aku cuba melelapkan mata lagi. Tetapi seolah ada kuasa yang menghalangku. Aku melangkah keluar, dan alangkah terkejut aku melihat barisan manusia yang ingin menggunakan tandas. Kukira lebih 100 orang, barisannya melingkuk-lingkuk hingga ke luar tandas. Dalam kegelapan aku turut beratur. Sekali sekala kedengaran ada jemaah yang mengetuk pintu tandas dan berkata, " Jangan mandi ya! Buang air dan ambil wudhu sahaja." Sememangnya pihak Tabung Haji telah berpesan untuk mengelakkan daripada mandi kerana bilik air yang terhad dan bekalan air juga tidak banyak. Apatahlagi kedudukan khemah kami yang berada di atas bukit, menyebabkan tekanan air agak rendah. 

Sejam setengah beratur, akhirnya aku dapat bersuci serba ringkas. Sekembali aku ke khemah, hampir semua jemaah telah bersiap sedia di atas sejadah masing-masing. Malu aku dengan diri sendiri, aku yang paling muda, tapi yang terakhir bersiap! Allah... 

Ketika suara imam mula berkumandang, untuk memulakan sesi tahajjud kami, kulihat salah seorang jemaah yang uzur, terbaring di tilamnya, sambil menangis. Aku segera mendapatkannya dan bertanya mengapa. Rupanya Auntie Zai ini terjatuh dari escalator hotel semalam, dan kakinya sakit. Jika selama seminggu di Mekah aku merahsiakan identitiku sebagai doktor, aku terpaksa jua memberitahu Auntie Zai bahawa aku seorang doktor dan in shaa Allah akan membantunya. 

Selepas menghubungi Ustazah Asma iaitu petugas Tabung Haji muslimat kumpulan kami, kami bergerak ke khemah doktor bertugas. Rupanya doktor petugas lelaki ini masih muda, wajahnya tetap tersenyum walaupun kelihatan sangat letih. Aku menawarkan untuk membantu, kerana kasihan pada doktor yang dengarnya sudah 2-3 malam bertugas tanpa henti. Lagi pula pasti sedikit sukar untuk doktor lelaki masuk ke khemah wanita. Pastinya nanti Auntie Zai malu mahu dicucuk di punggung dengan doktor lelaki. Aku meminta sedikit suntikan voltran dan kelengkapan yang lain dan bergegas ke khemah semula. 

Selesai memberikan suntikan, ibu mertuaku selesai mengurut kaki Auntie Zai, jemaah sudahpun siap bersolat tasbih. Dalam sedih, aku memujuk hati, "in shaa Allah, ini ketentuan Allah. Aku tidak dapat bertahajjud dengan sempurna, mungkin Allah sediakan ibadah dalam bentuk lain pula". Aku hanya sempat menunaikan 2 rakaat solat sunat tahajjud dan 2 rakaat solat sunat hajat sebelum azan subuh berkumandang. 

Mentari pagi di Arafah

Daripada seusai subuh hingga waktu dhuha, aktiviti sentiasa ada. Hanya selepas bersarapan, kami ada setengah jam untuk berehat. Aku cuba melelapkan mata, memujuk tubuh yang keletihan, bahawa waktu kemuncak belum lagi tiba. 

Jam 10.30 pagi, semua jemaah mula berpusu ke tandas lagi, untuk bersiap menanti waktu Zuhr, jam 11.50 pagi. Satu demi satu helikopter berputar memenuhi ruang angkasa Arafah. Panas padang pasir mula menyengat. Penghawa dingin di dalam khemah tidak terlawan dengan hawa panas dari persekitaran. 

Langit Arafah dari dalam khemah

Saat menanti waktu wukuf

Jam 11.30, dengan hati penuh debaran, kami berteleku di sejadah. Auntie Zai tak henti-henti berterima kasih padaku, namun aku hanya mampu membalas dengan senyuman. Suara Ustaz berkali-kali mengingatkan kami untuk beristighfar, menanti saat gelincir matahari. Hariku seolah berada di dalam kawah air yang menggelegak. Berdebar, gelisah, bimbang, risau! "Ya Allah, panjangkan usiaku walau sesaat pada waktu wukuf, ya Rabb..". Tanpa wukuf, tiada haji buatku!

 Tak henti-henti aku melihat ke langit tanpa awan. Kutahu saat masuknya waktu Zuhr, satu rombongan yang hebat akan turun ke langit dunia. Allah Azzawajalla bersama ribuan para malaikat! Tiada rombongan yang lebih agung dari rombongan ini. Tiada waktu yang Allah lebih dekat dengan hambaNya selain hari wukuf.

Disebutkan dalam hadis qudsi bahwa Allah berfirman bahwa :“Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang kesini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku.  Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku”. Begitu Allah sangat memuliakan hari wukuf di Arafah.  "

Hari inilah hari di mana Allah mendekati hamba-hambaNya sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang wukuf di Arafah untuk mendengarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, menatap dari dekat wajah dan perilaku mereka, seperti sabda Rasulullah Nabi Muhammad saw, "Dia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang di Arafah . Dengan bangga Dia bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu ?“ Pada hari itu, Allah amat gembira sekali apabila mereka berdoa kepada-Nya. Ia mengabulkan semua doa mereka disana, sebagaimana tersebut dalam hadis yang lain : Sabda Rasullullah saw : “Di antara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan wukuf di Arafah” (disinadkan oleh Ja'far bin Muhammad sampai kepada Rasulullah saw)

Tepat jam 11.50 pagi, khutbah Arafah bermula. Waktu wukuf akhirnya tiba! Seiring lantang suara Ustaz Syukri membacakan Khutbah Wida' Rasulullah, gema tangis dari jemaah haji di dalam khemahku dan khemah-khemah bersebelahan silih berganti. 

Tiada kata dapat kuungkapkan. Seluruh tubuhku bergegar dengan sendu, tiada yang kuharap kecuali pengampunanNya. Pertama kali dalam hidupku, kurasai degupan jantungku hingga ke hujung kakiku. Terasa Allah berada di sisi, lebih kuat dari detak jantungku sendiri. 

Pesanan insan mulia Rasulullah Solallahu Alaihiwassalam untuk memerangi riba, memelihara hak wanita, mendirikan rukun Islam, terasa menusuk ke qalbu. Aku terbayang Rasulullah berdiri di Jabal Rahmah, bersama 100,000 sahabat, menyampaikan amanat-amanat Baginda yang terakhir. Di sinilah ayat 3 Surah Al-Maidah diturunkan, yang mana Allah berfirman, " Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu." Betapa cintanya para sahabat, tatkala turun ayat ini, bercucuran air mata Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, kerana tahu, detik perpisahan dengan insan kekasih Allah sudah hampir. 

Tatkala khutbah kedua dibacakan, serentak dengan laungan Azan Zuhr, esak tangis jemaah di kiri kananku kian kuat. Ya Allah, di sinilah kuletakkan sempadan kehidupanku. Di sinilah aku mengharap keampunanMu, dan aku berjanji untuk meninggalkan kehidupan jahiliyah modenku dulu. Aku memohon agar Allah menjemputku ke pangkuanNya, andai aku lalai dan akan kembali kepada kemaksiatan dan hidup bertuhankan dunia. Berakhirnya laungan azan, berakhir jualah khutbah yang kedua. Jemaah haji bingkas bangun untuk mendirikan solat Zuhr dan Asar secara jamak tamam. 

Berlalulah sudah khutbah Arafah, yang mungkin satu-satunya peluangku seumur hidupku. Saat dan ketika yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata. Aku menyeru para pembaca dan sahabat semua, untuk berusaha sedaya mungkin untuk menunaikan haji seawal mungkin. Percayalah, tiada yang lebih indah daripada berapa di Padang Arafah pada hari wukuf. Lebih indah daripada senja di Eiffel Tower, atau berpiknik di kaki gunung dilitupi salji di Switzerland. Jauh lebih indah. 

Waktu wukuf masih panjang. Ustaz Hasnil sering berpesan ketika kursus asas haji, agar melipat gandakan ibadah menjelang tenggelam matahari. Tiada doa yang tidak dikabulkan! Alangkah istimewanya... Aneh tetapi benar, aku tidak teringat ingin meminta "dunia". Hanya syurga, syurga, syurga yang bermain di bibir dan di hati... 

Jemaah beratur mendapatkan makanan untuk makan tengahari
Kami berhenti seketika untuk makan tengahari, mengumpul tenaga untuk meneruskan ibadah pada Hari Wukuf ini... Seusai makan, syaitan mula menggoda untuk berehat -rehat dan melelapkan mata. Ditambah dengan tubuh yang letih dan tidur yang tidak mencukupi malam tadi, mataku kian berat. Aku bergilir dengan ibu mertuaku saling mengejutkan andai tertidur. Dalam alunan zikir aku terlelap jua...

Bersambung

Tuesday, 10 December 2013

Travelog Hajjah (Bahagian 7): Arafah yang indah... Menjelang hari wukuf...

13 Oktober 2013, 8 Zulhijjah 1434H..

Menjelang Hari Arafah, Kaabah turut berihram. Kain putih dililit di keliling Baitullah, sebagai tanda hari kemuncak haji sudah hampir. 



Kami diberi taklimat keberangkatan dan taklimat logistik di Masyair seawal 2 hari sebelum bertolak. 

Oleh kerana waktu wukuf adalah hari di mana semua 2.7 juta jemaah haji akan berkumpul di Arafah, pada tika dan waktu yang dinanti-nantikan iaitu selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah, semua pihak bertungkus lumus memastikan semua urusan di sana berjalan lancar.

Petugas Tabung Haji memberi pesanan untuk membawa satu beg kecil sahaja, kerana ruang yang terhad di dalam khemah, sekiranya ada yang membawa terlalu banyak barang, dikhuatiri mengganggu ruang jemaah haji lain. Aku memuatkan semua pakaian dan keperluan ke dalam beg yang disediakan oleh pihak Tabung Haji, dan satu beg berisi pelapik tilam Biovelocity ku, untuk kegunaanku dan ibu mertua tersayang. 



Tepat jam 2 petang, petang Ahad sehari sebelum hari wukuf, kami berkumpul di dewan makan hotel. Wajah serius jemaah haji, masing-masing tenggelam dalam lautan debaran, dihiasi gelombang zikrullah di lidah dan hati. 




Petugas hampir menitiskan air mata tatkala ada juga jemaah haji yang berebut-rebut mengambil nombor giliran untuk menaiki bas, sunggguhpun sudah diberitahu berkali-kali, agar mengutamakan jemaah yang uzur. Kami diberi peringatan lagi dan lagi, untuk sentiasa beristighfar dan bertaubat. Pesan Ustazah Asma," Jangan kerana sifat buruk salah seorang dari kita, menyebabkan kita semua tidak dapat menyempurnakan haji." Teguran yang lembut tetapi tegas!

Aku beristighfar sendirian. Ibu, Abah dan suamiku melafazkan niat haji bersama. Aku yang sudah meniat di Qarnul Manazil dengan niat haji ifrad, tidak perlu mengulangi lagi niat itu. 

Jam terus berdetik. Masih tiada khabar di mana bas kami. 

Jam 3 petang, azan Asar berkumandang. Kami memandang sesama sendiri. "Nampaknya kali ini terpaksa solat di dewan solat hotel", bisik hatiku.Walaupun syafaat 100,000 kali gandaan pahala meliputi seluruh Tanah Haram Mekah, pastinya tidak sama aura dan syahdu bersolat di dalam Masjidil Haram.

 Seusai solat berjemaah, kami terus menanti... dan beristighfar.... "Ya Rabb, permudahkanlah perjalanan kami, Ya Allah. Kasihani kami, kasihani sahabat-sahabat kami yang uzur Ya Allah. Kami hanya mahu menunaikan rukun Islam yang Engkau tuntut Ya Allah".

Jam 5.10 petang, sirna harapan muncul. Bas kami akhirnya tiba! Alhamdulillah.. Terlihat keinsafan di wajah jemaah haji Aqiq, hingga tiada lagi yang berebut menaiki bas. Beg kecil kami yang berisi keperluan selama 4 hari di Masyair, disusun rapi di dalam bas. 

Lafaz talbiah berkumandang. Hati merasa sayu melihat deretan bas yang bersama-sama kami memulakan perjalanan ke Arafah.

Kami bersedia dengan sedikit makanan dan spray wudhu, andainya kami terpaksa solat di dalam bas. Maklumlah 2.7 juta orang jemaah menuju satu tujuan. Minda mengatakan, pastilah jalan akan sesak! Tetapi kami terus bertalbiah, masing-masing melontarkan pandangan ke luar tingkap, melihat matahari yang semakin condong ke barat. 






25 minit.. itulah waktu yang kami tempuh untuk ke Arafah hari itu. Bukan 25 jam, bukan 2 jam seperti yang digambarkan, tetapi 25 minit. Subhanallah, Allahu Akbar! Aku hanya tersedar bas kami sudah melewati sempadan Arafah apabila terlihat papan tanda menyatakan "Arafah starts here". Di belakang papan tanda itu tertulis "Arafah ends here".




Khemah jemaah haji dari seluruh dunia memutih mewarnai bumi Arafah, tempat pertemuan Nabi Adam dengan isteri yang dirindui setelah terkeluar dari syurga Allah. Tatkala kulihat bendera Malaysia berkibar megah di atas sebuah bukit, sebuah banner Tabung Haji Travels menyambut kedatangan kami. Aku menyeka air mata kesyukuran tatkala mengatur langkah turun dari bas. "Alhamdulillah Ya Allah, kami sampai ke bumi ArafahMu". Apa yang perlu kami lakukan adalah untuk pertahankan keberadaan kami di bumi ini, hingga selepas Zuhr esok hari iaitu 9 Zulhijjah.

"Serba sederhana"adalah motto yang diterapkan di benak kami dek petugas-petugas Tabung Haji, selama kami berkursus, dari Malaysia hinggalah ke Mekah. Tapi maaf, aku kurang bersetuju. 

Khemah kami kurasakan mewah, dengan tilam empuk, selimut dan bantal, tersedia buat kami. Makanan yang disajikan sememangnya enak-enak belaka. Mungkin keadaan tandas sedikit sederhana dan harus dikongsi dengan ribuan jemaah yang lain, tetapi padaku apalah sangat pengorbanan beberapa hari ini, demi mendapat redha Ilahi dan syurga yang hakiki. Semoga Allah memeliharaku dari riak, tetapi aku hanya ingin mengungkapkan kesyukuran & mengirimkan ucapan tahniah buat Tabung Haji Travels atas kelancaran urusan di Masyair. Tepat sekali pesan Professor Dr Hjh Hapizah Nawawi yg kutemui sebelum musim haji, "expect the worst but pray for the best". 




Di hadapan khemah jemaah haji Tabung Haji Travels
Tilam, selimut dan bantal yang disediakan



Khemah yang memuatkan 16 orang jemaah wanita. Para-para di atas disediakan untuk meletakkan beg



Surau untuk jemaah haji lelaki


Tandas yang disediakan

Matahari terus berlabuh. Kami bersolat Maghrib dan Isyak secara jamak tamam iaitu tidak diqasarkan. Masyaqqah atau kesukaran untuk bersuci membenarkan kami untuk bersolat sedemikian, seperti yang telah dibincangkan dalam muzakarah fatwa kebangsaan. 



Jam 10.30 malam bekalan elektrik terputus. Hawa dingin bertukar hangat. Mataku sudah terlalu mengantuk, hingga suamiku yang menghantar SMS bertanya khabar tidak kujawab. Dalam hiruk pikuk jemaah-jemaah yang baru sampai, dan petugas-petugas menyiapkan tempat tinggal dan mentuntaskan tugasan mereka, aku terlena di sisi ibu mertua tersayang. Doaku yang terakhir, agar aku dihidupkan lagi untuk satu hari lagi, agar aku dapat wukuf dan menyempurnakan hajiku... 

Bersambung...