Tuesday 26 November 2013

Travelog Hajjah (Bahagian 5) : Hotel lebih dekat, ibadah lebih hebat?

8 Oktober 2013

Jam 2.30 pagi..

Mimpiku terhenti bersama terhentinya bas yang membawa kami. Di sebuah lorong gelap, di sebelah bangunan kecil, di pinggir kota Mekah.

"Eh? Ini bukan Masjidil Haram". Lucu bukan? Fikiran orang separa sedar. Kalau dalam istilah perubatan, Glasgow Coma Scale 13/15. Tidak markah penuh.

Naik seorang pemuda Melayu, berambut ikal hitam berjubah putih. Bertutur bahasa Arab selancar anak itik di permukaan kolam. Petugas Tabung Haji menyampaikan, ini check point Muassasah Arab Saudi. Kugenyeh-genyeh mata melihat jam di dalam bas. Rupanya sudah lebih dua jam kami menempuh perjalanan dari Jeddah ke Mekah, yang biasanya mengambil masa setengah jam cuma. 

Seketika kemudian, setelah kami dibekalkan dengan gelang getah berwarna biru, identifikasi kami di Masya'ir kelak, bas bergerak lagi. Sayup di kejauhan kulihat Menara Jam yang berwarna hijau, membantu kami mencari lokasi Masjidil Haram dikejauhan. 

Dalam kesamaran, pantas kumencari buku doa. Alangkah istimewanya Tanah Suci Mekah yang diwartakan haram oleh Nabi Ibrahim, melihat rumah-rumahnya sahaja sudah ada doa istimewa.

Ya Allah! Sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya, semuanya kepunyaanMu. HambaMu ini telah datang menyahut panggilanMu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, daku pohonkan kepadaMu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepadaMu dan takut kepada azabMu supaya Dikau terima daku dengan limpahan kemaafanMu dan masukkanlah daku ke dalam syurgaMu, Jannatun Naim,
Ya Allah! Sesungguhnya ini adalah Tanah HaramMu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka .
Ya Allah! Selamatkanlah daku dari azab Dikau di hari Dikau membangkitkan hamba-hambaMu. Daku memohon denganMu kerana Dikaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Dikau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani! Dikau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya.

Seolah tersekat nafasku tatkala bas menghampiri Masjidil Haram. Aku terpana melihat perubahan yang besar pada wajahnya. Semakin hampir, semakin sukar pula kulihat pintu-pintu masuk masjid. Rupanya ada laluan bawah tanah untuk bas menghampiri pintu lobi hotel. Jemaah haji pakej Zamrud segera turun. Aduhai hatiku terdetik, alangkah istimewanya tempat mereka! Lobi Hotel Hajar Movenpick hanya sekangkang kera dengan escalator naik ke dataran masjid. Berbaloilah dengan harga lebih RM80,000 seorang untuk pakej tiga minggu mereka. 

Bas bergerak menjauhi masjid, berhenti pula di Safwa Royal Orkid. Kupaling ke belakang, "Wah masih dekat dengan masjid!". Rupanya untuk pakej Topaz dan Nilam sahaja. Royal Dar Eiman sebaris dengan Sofwa Royal Orchid. Katanya kalau malas nak ke tandas masjid, boleh pulang ke bilik hotel sahaja. Jaraknya tidak jauh beza, cuma 80m dari masjid.

Tatkala bas bergerak semula, hanya tinggal 9 orang jemaah, semuanya dari pakej Aqiq, pakej paling murah Tabung Haji Travels. Buntang mataku melihat jalan yang sesak pada jam 3.30 pagi! Bukan sesak dengan kereta, tapi dengan manusia! Masing-masing bergegas ke arah masjid, seolah-olah ada sesuatu yang dikejar mereka. Aku mula berdebar, sempatkah keluargaku bersiap untuk menunaikan fardhu Subuh di masjid nanti? Pastinya masjid mula penuh.


Katanya 600m, tapi rasanya hampir 800m dari Masjidil Haram, kami tiba di Hotel Shohada. Kalau berdiri dari kaki lima, memang tidak nampak masjid di depan mata. Syaitan menggoda agar aku mengeluh, tapi aku teringat jemaah muassasah Tabung Haji Malaysia, ada yang 5km dari masjid. Aku WAJIB bersyukur! 


Bila melangkah ke lobi, memang ternyata kami berpuas hati. Bukan hotel sederhana seperti semasa kami menunaikan umrah, tetapi bertaraf lima bintang (note to self: JANGAN RIAK! Penghapus AMALAN!) . Biliknya cukup luas, ada ruang untuk beg-beg besar kami berlabuh. Getus hatiku," Ini juga cabaran. Kalau hotel terlalu selesa, ada yang nak solat di dalam bilik nanti!" 






Alhamdulillah kami bersuci dan bersiap secepat kilat, kerana azan pertama sudah dilaungkan, menandakan waktu subuh adalah sejam dari sekarang. Berjalan kaki ke masjid, dalam hawa pagi yang dingin sememangnya tiada masalah. Kami hanya mampu sampai di dataran kerana pintu masuk semua sudah ditutup dan dikawal rapi oleh barisan tentera. Lampu isyarat di pintu masuk juga merah, menandakan Masjidil Haram sudah mencapai kapasiti maksimum. 1.7juta jemaah! Subhanallah... Di dataran sahaja boleh menampung 1 juta jemaah lagi. Total 2.7 juta jemaah, semua siap sedia untuk menunaikan haji. Siapa yang boleh mencabar Allah ketika ini? TetamuNya sahaja 2.7 juta orang! Tiada manusia mampu menerima tetamu seramai itu, jangankan 2.7 juta, 27,000 orang pada satu ketika pun belum tentu. Kalau Firaun masih adapun, pasti dia tersungkur malu dengan Ilahi. 


Saat orang solat, aku duduk dicelah-celah "makcik-makcik" Arab. Walaupun belum boleh bersolat, aku ingat pesanan Ustaz Hasnil dari Kursus Asas Haji. "Jangan jadikan keuzuran seorang wanita menjadi penghalang untuk ibadah. Berjalan ke masjid jua satu ibadah. Bayangkan setiap langkah mendapat 100,000 kebajikan. Berzikirlah sepanjang masa". 

5 hari sebelum wukuf kami usahakan semaksimum mungkin untuk beribadah di Masjidil Haram. Kesihatan dijaga, hampir setiap masa air zamzam menjadi penghilang dahaga. 

Di waktu terik mentari tengahari, sesekali terfikir, alangkah baiknya kalau aku berusaha keras lagi, agar aku dapat menyertai pakej yang menawarkan hotel yang lebih dekat lagi berbanding Hotel Shohada. Pastinya ada yang tidak setuju dengan pendapatku. Katanya lebih susah di Mekah dan Madinah semasa haji, lebih terasa sifat diri sebagai hamba, tidak dibeza-beza sesama manusia. Lebih jauh masjid, lebih banyak langkahnya, dan sesuai dengan itu, lebih banyak pahalanya. 


Padaku, lebih dekat bererti lebih banyak tenaga disimpan untuk beribadah sepuasnya di hadapan Kaabah. Setiap sen yang dibelanjakan jua, pasti tidak disia-siakan oleh Allah, dan pasti ada ganjaran buatnya. Pun begitu aku bersyukur, diberi rezeki yang mencukupi untuk kami ke Tanah Suci. 

Cuma yang pasti jati diri harus kuat, iman harus mantap untuk menghadapi jeneral-jeneral syaitan dan iblis yang diutus ketuanya, untuk menghasut supaya tidak meninggalkan sejuknya hawa dingin di hotel untuk menempuh perjalanan ke masjid. Pandangan mata dipaku pada Kaabah, agar sentiasa rindu padanya, dan tidak mahu bersolat di surau hotel, walau sangat mudah perjalanannya. Doa harus berterusan, sebagaimana tidak putusnya jemaah yang bertawaf di dataran Kaabah, agar Allah memberi kekuatan untuk beribadah di dalam Masjidil Haram, kerana yang disyariatkan adalah untuk bersusah payah ke tiga buah masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa, bukannya ke Mekah, Madinah dan Palestin.

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu dari Nabi Muhammad Sallallhu 'alaihi Wasallam  sabdanya : "Tidak sepatutnya ( bersusah payah ) keluar belayar ( untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali ( pergi ) ketiga-tiga buah masjid ( yang berikut ) : Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa  di Palestin." Hadis Al-Bukhari

Apabila berkenalan dengan jemaah haji Muassasah, ada yang tinggal lebih 1km dari masjid, namun mampu bertahan beriktikaf dari Zuhr hingga ke Isyak, kembali lagi ke masjid jam 1.30 pagi untuk qiamullail hingga ke waktu dhuha. 

Malu aku pada diri sendiri. Sememangnya dalam urusan dunia, kita dituntut melihat orang yang kurang dari kita, agar kita sentiasa bersyukur. Namun dalam urusan ibadah dan akhirat, biarlah kita melihat mereka yang lebih dari kita, agar tidak riak dalam menyembahNya. Masih kurang amalanku berbanding orang lain. Aku termenung sendiri. Saban hari meminta agar Allah pilih diri menjadi tetamuNya yang paling istimewa, tetapi amal tidak selari dengan apa yang dipinta. 

Allahu Rabbi... Lemahnya aku... 

Subhanallah... Ternyata tidak semestinya hotel lebih dekat, ibadah lebih hebat. 

Jawapannya adalah, IMAN lebih mantap, ibadah pasti berlipat kali ganda HEBAT! 

Bersambung





No comments:

Post a Comment