Alhamdulillah hari ke dua berada di Tanah Suci, aku suci
dari keuzuran dan dapat bersolat di Masjidil Haram. Masih kuingat, solatku yang
pertama adalah solat Zuhr. Seawal jam 10.30 pagi kami ke masjid, walaupun waktu
Zuhr adalah pada jam 12 tengahari.
Solat tahiyatul masjid, solat dhuha dan solat taubat,
kemanisan bersujud di lantai dingin, umpama simbahan hujan ke tanah gersang.
Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah… Terasa baru tiga bulan yang lalu
kutinggalkan masjid paling mulia ini, walaupun hakikatnya tiga tahun telah berlalu
Perlahan kubuka lipatan kertas berisi doa-doa yang dikirim
sahabat dan taulan di Malaysia. Ada suatu tempat istimewa di kalbuku, buat
sahabat-sahabat usrah IKRAMku, selepas nama Mama dan Ayah kusebut. Entah
kenapa, ukhuwwah yang terjalin bukan atas landasan dunia, harumnya lebih
mewangi, tautan hatinya lebih tulus. Yang paling sering terbayang dimataku
adalah naqibahku iaitu Dr Diana Katiman. Senyuman tulusnya, susunan doanya yang
tidak satupun meminta untuk dirinya, tetapi buat umat sekeliannya. Subhanallah…
Semoga ukhuwah ini menjadi asbab kami tergolong dalam 7 golongan yang mendapat
perlindungan arash Ilahi di Mahsyar kelak, ketika tiada perlindungan kecuali
dariNya, seperti dalam hadis :
Dari Abu Hurairah
radhiallahu anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَا
“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:
1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ‘ibadah kepada Rabbnya.
3. Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’.
6. Orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.
7. Orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua matanya basah kerana menangis.”
(HR. Al-Bukhari no. 620 dan Muslim no. 1712)
Oleh kerana aku berniat menunaikan ibadah haji Ifrad, aku
dituntut untuk menunaikan tawaf qudum atau tawaf selamat datang. Suamiku
berserta kedua orang mertuaku, telah selamat menjalankan ibadah tawaf, saie dan
bercukur untuk umrah semalam, kerana mereka memilih untuk melaksanakan haji
tamattuk. Untuk memastikan aku benar-benar suci, aku menunggu sehingga 24 jam
sebelum aku melaksanakan tawaf qudum, yang hukumnya sunat itu.
Keesokkan hari, seawal jam 3.30pagi kami bersiap. Suamiku
akan menemaniku untuk melaksanakan tawaf, dengan beliau berniat tawaf sunat.
Hati berbunga-bunga, ingin tawaf dekat dengan kaabah. Ingin kulihat kelambu kaabah yang indah,
ingin kumelangkah di dataran bernaungkan bayangan kaabah, ingin kuserap aura
Nabi Ibrahim yang mendirikan kaabah ini beribu-ribu tahun yang lalu, ingin
kubayangkan aku mengatur langkah 7 kali mengelilingi Rumah Allah umpama
Rasulullah ada di sisi.
Malangnya, hampa! Jam 4 pagi semua pintu telah ditutup! Tingkat
bawah Masjidil Haram penuh. Suamiku memujuk, “Tak apa, jom kita tahajjud dahulu”.
Dengan berat hati aku melangkah menaiki escalator ke tingkat bumbung. Hawa dinihari yang dingin menyapa wajahku. “Wah, tak ramai
orang tawaf di atas ini”, aku berkata di dalam hati. Suamiku jua seolah faham,
mengajakku memulakan tawaf. “Kita start dulu, kalau azan subuh nanti kita
berhentilah dulu, kemudian sambung semula.” Aku tersenyum dan mengangguk
pantas.
Hajar Aswad ditanda dengan lampu hijau di tingkat bumbung.
Kulihat para jemaah berjalan pantas mengelilingi kaabah di tingkat ini, tidak
seperti mereka di dataran yang umpama semut kulihat. Sayup kaabah, indah di
kelilingi lingkaran mataf yang baru, yang kebanyakannya digunakan oleh jemaah
berkerusi roda.
Pusingan pertama hingga ke tiga berjalan lancar. Masuk
pusingan ke empat, asid laktik mula berkumpul di betis. Kaki mula lenguh, lutut
mula sakit. Kulihat suamiku tenang sambil mulutnya terkumat-kamit berzikir.
Semakin lama, kulihat semakin jauh untuk sampai ke lampu hijau semula. Kalau
tadi, seusai membaca doa dari buku, sudah separuh perjalanan. Kali ini, habis
kubaca doa pusingan ke empat, bila kumengangkat wajah, rupanya baru seperempat
perjalanan! Mahu kuajak suami berhenti, segan pula kerana dia sedang khusyuk.
Mahu tak mahu, aku cuba mengalihkan perhatian dengan melihat mereka yang sedang
tawaf di bawah, sambil meneruskan zikir.
Syaitan mula menggoda, “ itulah, kalau buat di bawah tadi,
dah habis dah tawaf. Di atas ni memang jauh, hampir sama 2 atau 3 pusingan di
dataran.” Allahu Akbar… Kugagahkan jua menghabiskan pusingan ke empat. Peluh
mula membasahi baju di dalam telekung…
Sesaat kemudian, azan yang menandakan waktu subuh
berkumandang. ALHAMDULILLAH! Kami meneruskan perjalanan hingga sampai ke
kawasan saf wanita. Suamiku meninggalkanku di situ, dan beliau berjanji akan
datang semula selepas solat subuh, untuk sambung tawaf bersama. “Dua pusingan
setengah lagi!”, bisik hatiku.
Selesai solat, kami meneruskan tawaf kami. Masuk pusingan ke
enam, otot-otot kaki mula menunjukkan protes! Tahap asid hampir mencapai tahap
yang tidak pernah sampai, dek kerana tugasku di hospital yang kurang berjalan.
Aku pula memang kurang bersenam. Ketika ini barulah nak menyesal.
Langkahku makin kecil dan perlahan. Hampir habis sebotol air
zam-zam kuminum semasa bertawaf. Aku hampir menangis dek keletihan. Tiba-tiba
suamiku yang tadinya berjalan di hadapanku, melambatkan langkahnya, berjalan di
belakangku dan meletakkan tangannya di belakang bahuku, seolah-olah berkata, “
Abang ada di sini. I will support you. We’ll do this together.” Walaupun tiada
bicara yang keluar dari bibirnya, hanya kudengar pujian buat Allah, seolah-olah
ada kata tanpa suara yang keluar dari hatinya, terus tembus ke hatiku.
Aku mendapat suntikan semangat baru. Pusingan ke tujuh dapat
kuselesaikan dengan sempurna, diiring doa buat insan-insan yang kucintai.
Selesai tawaf, matahari sudah terbit di ufuk timur. Burung merpati berterbangan
menghiasi ruang angkasa Masjidil Haram. Usai solat sunat tawaf, dalam lelah
kulafaz ucapan terima kasih buat penemanku.
Tarbiyah Allah ada di mana-mana. Tawaf qudumku ini mengajar aku, sehebat mana
dan sekuat manapun yang disangka, seorang wanita bergelar isteri, pasti tidak
dapat berdiri kukuh, tanpa sokongan pasangannya, yang dipilih oleh Tuhannya.
Aku berangkat dari tanahair untuk menunaikan haji, dengan
anggapan pastinya tiada dugaan yang besar dari segi fizikal, dek kerana usiaku
yang masih muda. Namun hakikatnya kekuatan bukan bergantung kepada kondisi
fizikal semata-mata. Kekuatan mental juga perlu untuk melaksanakan ibadah
dengan sempurna. Ada “nenek-nenek” yang kulihat tawaf dengan wajah selamba di
tingkat bumbung. Subhanallah…
Hari itu aku belajar, aku tidak sekuat yang kusangka. ..
Hanya kepada Allah kita meminta pertolongan dan kekuatan, namun adakalanya
bantuan itu datang dari sumber yang tidak disangka. Ya Allah, berkatilah hidup
suamiku yang setia, dan jadikanlah aku sebagai bidadari buatnya di syurga… Semoga cinta yang mekar di Baitullah ini, menjadi asbab untuk kami saling membantu dalam melakukan kebaikan, yang membawa kami lebih dekat dengan pemilik cinta ini, Rabbul Izzati...
Amin…
Bersambung…
kunjungan perdana, ditunggu kunjungan baliknya, ada banyak games android full version FREE download
ReplyDelete