Bas kami bergerak perlahan dari Mina menuju ke Kota Suci Mekah, seawal jam 9 pagi. Hampir seluruh bas sunyi sepi, para jemaah melayan perasaan sayu dan bersyukur. Sayu meninggalkan bumi Mina dengan seribu satu kenangan, bersyukur kerana selesai menunaikan sebahagian wajib haji iaitu bemalam di Mina selama 3 malam dan melontar ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik.
Jemaah haji wanita diminta untuk tidak ke masjid waktu Zuhr itu, bagi membolehkan jemaah haji lelaki untuk menunaikan solat Jumaat. Kami bersolat berjemaah di hotel bersama Ustazah Asma.
Memandangkan bapa mertuaku tidak begitu sihat, beliau sakit pinggang yang agak kronik, tambahan pula ibu mertuaku mula demam sejak kembali dari Mina, aku meminta izin dari suamiku untuk aku beribadat di Masjidil Haram sendirian. Suamiku mengizinkan, dan beliau menghantarku sebelum waktu Asar, dan kami berjanji akan pulang bersama selepas Isyak. Suamiku yang pastinya wajib meletakkan keperluan kedua ibu bapanya sebelum aku, harus membantu kedua mertuaku dalam semua aspek. Beliau berulang alik dari Masjid ke hotel pada setiap waktu solat, untuk menjaga kedua orang tuanya. Memang adakalanya aku terasa sunyi duduk sendirian di Masjidil Haram, namun apalah sangat pengorbananku berbanding Siti Hajar yang ditinggalkan suaminya Nabi Ibrahim Alaihissalam atau pengorbanan kedua orang mertuaku membesarkan suamiku. Di sudut hati aku berdoa agar anak lelaki kami, Muhammad Umar akan menjadi anak yang soleh, yang bakal menjaga kami berdua apabila kami tua kelak, sebaik Abinya menjaga kedua ibubapanya.
Hobiku selepas Asar adalah beralih-alih tempat di Masjidil Haram, mencari tempat yang dingin dan dapat melihat Kaabah secara terus. Letih mengaji Al-Quran, aku berjalan mencari tempat baru untuk kubersolat. Alangkah indahnya, tiada waktu tahrim atau waktu yang diharamkan solat di Masjidil Haram, hatta selepas waktu Asar. Solat taubat, solat hajat, solat sunat mutlak silih berganti, dengan harapan dapat menebus kealpaanku selama 32 tahun, mengejar dunia yang tidak berpenghujung.
Entah kenapa, kira-kira sejam sebelum azan Maghrib, ketika matahari mula condong ke barat, hatiku bagai ditarik-tarik untuk melakukan tawaf haji. Kulihat jemaah tidak terlalu ramai di dataran kaabah, mungkin kerana terik mentari petang. Aku beriktikad, andai suamiku sudah membenarkanku beribadah sendirian di Masjidil Haram, pasti beliau izinkan untuk aku bertawaf. Entah kenapa ketika itu aku langsung tidak terfikir mungkin ada sedikit bahaya untukku bertawaf sendirian di dalam lautan manusia.
"Alang-alang hari ini hari Jumaat, hari Tasyrik 13 Zulhijjah. Biar aku abadikan ibadah hajiku, dengan aku menyempurnakannya pada hari penuh berkat ini!", getus hatiku. Dengan lafaz bismillah, kukelek beg kecilku, kukeluarkan buku doa dan aku bergerak menuju ke Dataran Kaabah.
Suasana di Dataran Kaabah selepas Asar. Aku bertawaf di bawah naungan jejantas Mataf. |
Tatkala melintas lampu hijau, penanda kawasan Hajaratul Aswad, kulambaikan tangan kanan dan kubaca "Bismillahi Allahu Akbar!". Hatiku kuat berserah pada Allah, kulakukan tawaf ini buatNya, untukNya, demi menyempurnakan ibadah haji yang dituntutNya. Aku berserah padaNya untuk melindungiku sepanjang ibadah tawaf ini.
Satu demi satu pusingan kusempurnakan. Satu demi satu helaian doa tawaf kuselak dan kubaca. Ada kawasan yang agak sesak, kulafaz Bismillahi Tawakkaltu Ala'Allah berulang-ulang kali. Sungguhnya manusia berpusu-pusu, sentiasa kutemui ruang untukku melangkah. Aku mengambil laluan di bawah jejantas Mataf, tidak terlalu dekat dengan Kaabah dan tidak terlalu jauh jua.
Tatkala pusingan yang terakhir, kesyahduan yang tidak terhingga menyelubungi segenap qalbuku. Allahu Rabbi, aku datang bersama suamiku ke Tanah Suci, tetapi Allah ingin menunjukkan kuasaNya, saie dan tawaf hajiku kulakukan sendirian. Kutahu Allah mahu aku meletakkan CINTAKU yang tertinggi hanya padaNya, Dia mahu kumengharap pengharapanku yang tertinggi padaNya, Dia mahu aku berserah hanya padaNya. Mungkin selama ini rasa cinta dan berharapku pada suami terlalu tinggi, maklum sahajalah sudah 10 tahun bersama. Namun di Rumah Allah ini, Allah ingin menyucikan hatiku dari cinta makhluk yang keterlaluan.
Alhamdulilah selesai tawaf hajiku. Terlerailah sudah kesemua 13 larangan ihram dari diriku. Panjang sujudku semasa solat sunat tawaf, di belakang Maqam Ibrahim. Kupanjatkan syukur, syukur dan syukur. Sepanjang tujuh pusinganku, tiada langsung jemaah wanita yang menolakku dan tiada langsung jemaah lelaki yang menyentuhku. Di hadapanku sentiasa ada ruang untukku melangkah, dan sentiasa ada pasangan suami isteri yang melakukan tawaf, akan sekali sekala mengerling ke arahku, seolah-olah mereka ahli keluarga yang ingin memeliharaku.
Hasbunallah wanikmal wakeel... cukuplah Allah sebaik-baik penolong...
Selesai tawaf haji, aku bertekad menggunakan waktu yang tersisa di Kota Mekah ini, sebaik-baiknya untuk beribadah padaNya. Hanya beberapa hari sahaja yang berbaki, sebelum kami meninggalkan Baitullah, menuju ke Maqam manusia agung, Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah...
No comments:
Post a Comment