Thursday 16 January 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 10) : Terlerai 10 larangan ihram...


Kami tiba di khemah kami di Mina kira-kira jam 4 pagi, 10 Zulhijjah 1434H. Terkebil-kebil mataku, mengibas sisa kantuk dari diri, mengemas barang-barang dari dalam bas untuk di bawa turun. Dua tiga orang petugas Tabung Haji kulihat berlari-larian mengambil kerusi roda dari perut bas, untuk menyambut jemaah yang uzur dari bas kami. Cuma aku agak hairan melihat mereka berpakaian biasa, berseluar panjang dan berbaju kemeja T. "Eh, diorang tak buat hajikah? Atau sudah selesai melontar jamrah Aqabah maka dah boleh tahlul awal?". Namun sifat komited mereka dalam menunaikan tanggungjawab menyantuni para tetamu Allah amat aku kagumi hingga ke hari ini. Selepas beberapa ketika berada di Mina, baru kuketahui rupanya memang ada sebahagian petugas Tabung Haji yang tidak menunaikan ibadah haji pada tahun ini, demi memastikan kelancaran segala urusan. Mereka pun sebenarnya sudah beberapa kali menunaikan ibadah haji pada tahun-tahun sebelumnya. 


Dalam kesibukan menurunkan barang, dan berjalan dalam remang cahaya di celah-celah khemah, suara azan Subuh berkumandang. Aku terpinga-pinga. "Ini azan subuh atau azan tahajjaud seperti di Mekah?". Kami sekumpulan bergegas mencari khemah kami. Rupanya kami adalah bas terakhir yang sampai dari Arafah. Tiga bas pakej Aqiq yang bergerak serentak dengan kami sudahpun tiba pukul 1.30 pagi, kira-kira dua jam setengah sebelum kami. Alkisahnya pihak Tabung Haji sudah ternanti-nanti ketibaan kami, dan rupanya bas kami tersesat. Namun aku bersyukur kerana aku telah tertidur sepanjang perjalanan, dan tidak merasakan keletihan akibat jangkawaktu yang lama di dalam bas. 


Khemah kami serba sederhana. Ruang yang dulunya agak luas dan ada privasi di Arafah, tidak lagi sebegitu di Mina. Sebuah khemah besar menempatkan ratusan jemaah haji, yang hanya dibekalkan sebuah tilam lipat dan selimut setiap seorang. Ruang untuk kami bergerak hanyalah sebesar satu tapak kaki apabila semua tilam dibentangkan. Kami 14 jemaah haji wanita berkongsi satu "cubicle" yang dipisahkan dari jemaah lain, dengan satu tali yang direntangkan sebagai tempat penyidai. Benarlah orang kata, di bumi Minalah ujian yang sebenar, tatkala ruang sendiri hanyalah sebesar liang lahad! Allahu Akbar...



Tilam, selimut, selipar, tuala dan seuncang anak batu yang disediakan. Dalam uncang putih itu adalah syampu, sabun dan sikat untuk membersihkan diri.




Seketika kemudian kami mendengar iqamah! Allah! Jemaah lain sudah siap sedia untuk solat subuh berjemaah sedangkan kami baru sahaja sampai. Mujur Ustazah Asma segera datang, memujuk kami agar berjemaah sesama kami sahaja. Walaupun ketinggalan dari jemaah yang lain, sekurang-kurangnya kami masih mendapat pahala beribadah sepanjang malam in shaa Allah.


Usai solat subuh, ramai yang berehat seketika. Kami dimaklumkan akan dibawa melontar jamrah Aqabah untuk 10 Zulhijjah itu, pada malam nanti iaitu malam 11 Zulhijjah bagi mengelakkan kesesakan. Ini kerana bagi jemaah haji bermazhab selain mazhab Shafie, mereka wajib melontar pada waktu dhuha 10 Zulhijjah. 


Namun ketika aku ingin ke tandas, aku berselisih beberapa jemaah haji yang berselendang hijau, yang baru pulang dari melontar. Kata mereka, masih belum ramai orang kerana ramai jemaah yang belum tiba dari Arafah dan Muzdalifah. Aku segera pulang ke khemah dan mengajak keluargaku untuk melontar sebelum habis waktu subuh itu. Suamiku aku hubungi melalui SMS. 


Tidak sampai 15 minit kemudian, kami berkumpul di hadapan khemah kami. Ternyata ada beberapa orang Petugas Tabung Haji juga ingin melontar pagi itu, bagi membolehkan kami tahlul awal dan terbebas dari 10 larangan ihram (kecuali larangan yang berkaitan nikah kahwin).




Dalam remang subuh, kami melangkah ke arah kompleks Jamaraat. Hatiku tidak berhenti beristighfar, dan memohon agar semua urusan dipermudahkan. Kami mengikuti beberapa jemaah haji dan petugas Tabung Haji yang turut serta, semua jemaah wanita berselendang hijau, yang merupakan warna pengenalan kumpulan kami. 


250meter, dan kami sampai di tangga bergerak. Kami dimaklumkan untuk terus ke tingkat 3 yang merupakan jamrah yang dikhususkan untuk jemaah dari Asia Tenggara. 


Setibanya kami di tingkat tiga, MA SHAA ALLAH kulihat lautan manusia dari arah kananku. Semua melaungkan lafaz
"Labbaikallahumma labbaik!" secara berjemaah. Majoriti kulihat dari negara jiran, Indonesia. Masing-masing dengan bendera dan panji-panji masing-masing, berganding tangan bergerak dalam satu kumpulan ke arah jamrah. Meremang bulu romaku melihat fenomena luar biasa ini. Seolah-olah satu bala tentera bersedia menyerang syaitan durjana! 





Beriringan suami tercinta menuju Jamratul Aqabah


Suamiku menarik tanganku agar bergerak bersamanya. Kami melintas Jamratul Ula dan Jamratul Wusta yang dipagari pita merah dan dikawal oleh tentera Arab Saudi. Mungkin khuatir ada yang tersalah melontar. 

Sampai di Jamratul Aqabah atau nama lainnya Jamratul Kubra, imanku tergugat sekali lagi. Perasaan gerun menyelubungi hati dan perasaanku, melihat jemaah yang berlari-lari ke arah jamrah, seolah-olah sedang memecut dalam acara 100m,  dan melontar anak batu dengan sepenuh hati, seolah-olah merejam syaitan di depan mata. Mujur ibu mertuaku sentiasa di sisi. Aku pun tidak pasti, siapa yang melindungi siapa tetapi yang pasti kehadirannya memberi kekuatan buatku. Suami dan bapa mertuaku mengikut rapat dari belakang. 


Kuingat satu persatu pesanan Professor Kamil Ibrahim dalam bukunya Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.  Sabar! Sabar! Sabar! Jemaah akan beredar sebaik sahaja habis 7 anak batu dilontarkan. Memang benar, semakin lama semakin sedikit jemaah di hadapanku, hingga aku berada betul-betul di hadapan takungan itu. 


Kuniatkan untuk melontar jamrah sebagai sebahagian wajib haji. Kulintaskan 7 sifat keji yang ingin kulontarkan dari dalam diriku.


Riak!

Takbur!
Sombong!
Ujub!
Kasar!
Pemarah!
Kuat cemburu!

1

2
3
4
5
6
dan akhirnya 7 biji anak batu kulontarkan.

Alhamdulillah...


Kami mencari arah kiblat. Berpandukan menara jam Zam-Zam Tower, kami menghadap kiblat dan membacakan doa. 


Alhamdulillah selesailah ibadah wajib haji melontar di Jamrah Aqabah. Sesudah memotong sedikit rambut (minima 3 helai), maka terlerailah sudah 10 larangan ihram kami termasuk menghilangkan rambut atau bulu pada badan, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berjahit buat jemaah lelaki. Ternyata 9 hari berada di dalam ihram tidak mudah. Namun Alhamdulillah aku bersyukur diberi kekuatan dan secebis ilmu untuk aku mempertahankan ihram haji Ifradku. 



Seusai menunaikan ibadah melontar jamrah pada pagi Aidiladha 1434H. Aku dan ibu telah selamat bergunting, suami dan  bapa mertuaku akan bercukur.
Tatkala kami menuruni escalator untuk pulang, bumi Mina sudah berubah menjadi lautan manusia berpakaian putih. Majoriti jemaah haji sudah mula sampai dari Arafah dan Muzdalifah. 


Hebatnya Allah yang boleh menerima jutaan tetamu pada satu masa, dan tidak ada seorangpun yang terlepas dari mendapat layanan istimewa dari Rabbnya..

Suami dan bapa mertuaku bercukur di sebuah kedai gunting yang berdekatan dengan kompleks jamrah. Bayarannya cukup mahal. 50 Riyal  untuk bercukur! Namun apalah nilai 50 Riyal berbanding dosa yang berguguran bersama setiap helaian rambut itu.




Abah beratur menunggu giliran untuk bercukur. Rasanya selama sepuluh tahun kukenali Abah, tak pernah Abah botak!

Sempat kubergambar dengan anak Arab yang comel ni.

Ibu dan wanita Arab yang berjualan di sekitar kedai potong rambut. Maklumlah selepas bercukur, jemaah lelaki dibenarkan memakai pakaian berjahit. Sesiapa yang tidak ada pakaian, boleh terus beli jubah di sini dengan harga 20-30 riyal sahaja sepasang. 


Like father, like son :)
Bergambar kenangan pagi Aidiladha.. Walaupun tiada suasana hari raya, tetapi pastinya satu kenangan terindah dalam hidup, berada di bumi Mina pada 10 Zulhijjah...

Mentari pagi yang mengiringi kami pulang khemah hari itu cukup indah. Mungkin kerana mentari itu menyinari cahayanya di bumi Mina yang bertuah  dan penuh keberkatan itu. Atau mungkin ia terlihat indah, dek kerana kebahagiaan yang kurasai pagi itu. Diiringi ahli keluarga tercinta, satu demi satu rukun dan wajib haji kami sempurnakan bersama. 



Atau mungkin juga kerana ada satu kelegaan dari dalam diri, kerana kutahu setibanya aku di khemah nanti, aku boleh mandi dan bersyampu sesuka hati, mengenakan deodorant Rexona yang wangi, dan menyikat rambutku yang sudah sembilan hari tidak terurus. Baru kutahu besarnya nikmat benda-benda yang selalu tidak disyukuri semasa di bumi sendiri... Betapa unik ibadah haji ini, hinggakan setiap helaian rambut ada nilainya. Andai terlanggar larangan, bayaran dam harus dibayar. Benarlah haji adalah ibadah menuju Ilahi. Setiap degup jantung, setiap langkah kaki, hingga setiap kuku jari ada nilai tersendiri, di sisi Rabbul Alamin...



Bersambung...

1 comment:

  1. indahnya pengalaman, semoga saya satu hari nanti akan dapat sampai ke sana juga... ^_^

    ReplyDelete