Wednesday 24 August 2022

Merawat banduan akhir Penjara Sungai Buloh

 Oleh kerana #Penjara #SungaiBuloh trending hari ini, saya pun nak kongsikan kisah saya merawat pesakit dari penjara.


Alhamdulillah, saya berpeluang bekerja di Hospital Sungai Buloh pada 2008 sebagai MO, dan dari tahun 2013 hingga 2014 sebagai Pakar Mata . Selalu juga kami dapat pesakit dari penjara.


Mula-mula tu saya keliru juga kenapa ada banyak warna baju banduan. Ada ungu, merah, baju putih lengan merah.


Rupanya warna baju berbeza-beza mengikut hukuman. Baju ungu tu tahanan reman. Warna merah, tahanan lebih 6 bulan. Yang paling digeruni, pastinya baju putih lengan merah. Inilah banduan akhir, yang menanti hukuman mati mandatori.


Ada 2 pesakit yang saya tak boleh lupakan.


Pesakit pertama, ada katarak yang tebal. Tetapi oleh kerana banduan itu adalah tahanan akibat kesalahan merogol, Pakar kami ketika itu enggan menjalankan pembedahan untuknya. Kata Pakar tu, takut lah, nanti dah nampak, bila bebas dia buat lagi jenayah itu. Saya masa itu MO saja, diam sahajalah.


Pesakit ke dua, saya jumpa semasa saya dah jadi Pakar. Dia masuk ke bilik klinik, tangannya bergari kiri dan kanan kepada Pegawai Penjara. Dia mengadu matanya tak nampak tiba-tiba. Saya mengerling baju lengan merahnya.


Oleh kerana bilik klinik agak sempit, saya minta salah seorang pegawai membuka gari, lantas pegawai itu menunggu di luar.


Sambil saya memeriksa matanya, sempat saya bersembang. Dia asal orang Selangor, sudah berkahwin dan ada anak seorang.


Selesai pemeriksaan, semua nampak normal. Dia pun dibawa keluar, dan saya serahkan laporan perubatan kepada Pegawai Penjara.


Saya pun bertanya, "Encik, kenapa baju dia lain dari orang lain? Lepas tu sampai kena gari kiri kanan?"


Pegawai tu menjawab, "Oh dia banduan akhir, doktor. Pengedar dadah. Minggu depan dia ke tali gantung. Agaknya sebab tu dia mengadu tak nampak tu. Inilah peluang terakhir dia nak lihat dunia luar. "


Terkedu saya dibuatnya.


Subhanallah, mudah-mudahan, Allah terima taubatnya, dan pengakhiran yang baik buatnya dan kita.


Saya selalu ingatkan diri, jangan sangka orang yang tak baik sekarang, selamanya akan tak baik.


Sesungguhnya iman itu dinilai pada akhir hayat seseorang itu.


Hadith Rasulullah SAW:


"Demi Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Dia, sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli neraka, ia pun masuk ke neraka.


 Sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli syurga, ia pun masuk ke syurga”


(HR. Bukhari dan Muslim).


Siapa pun kita, marilah kita terus beristiqomah untuk sentiasa melakukan kebaikan, dan menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.


Jika tidak dapat membantu orang, janganlah sampai menyusahkan atau menzalimi orang lain, apatah lagi mengabaikan amanah yang diberikan. 


Allahu Alam


24.8.2022

#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita




Friday 19 August 2022

Tak nak admit, tarikh tak cantik!

17.8.2007 

Tersebutlah kisah, pada satu hari, ada seorang ibu muda berusia 26 tahun, hamil anak ke dua. 

Usia kandungan, baru 35 minggu lebih, tetapi sudah ada kontraksi pramatang atau premature contraction sejak usia kandungan 32 minggu lagi. Doktor sudah pun memberikan suntikan dexamethasone untuk membantu mematangkan paru-paru bayi di dalam kandungan. 

Petang Jumaat 17 Ogos tersebut, ibu muda yang merupakan seorang doktor itu, merasa kontraksi yang agak kuat. Maka sebelum pulang ke rumah daripada bertugas di Jabatan Perubatan Dalaman, beliau singgah di Klinik Pakar Obstetrik dan Ginekologi untuk membuat pemeriksaan. 

Selesai pemeriksaan, doktor pun memberitahu, "Contraction irregular ni. Tapi serviks dah buka 3cm, tapi belum efface. Kalau nak admit dah boleh dah ni. I boleh ARM (artificial rupture of membrane) you pun dah ni. "

 Ibu muda itu pun berkata, "17.8.2007. Tak cantik lah tarikh hari ni doktor. Saya nak balik dulu. Esok lah saya datang." 

Tepuk dahi doktor itu. 

Tetapi memandangkan suami ibu muda itu juga seorang doktor, beliau membenarkan mereka pulang, dengan membekalkan peralatan untuk bersalin di rumah. Manalah tahu kan, terberanak di rumah.

 18.8.2007. Ibu muda itu berharap agar dapat melahirkan anak hari itu, tarikh pun cantik. Tetapi, satu kontraksi pun tiada! 

19.8.2007, masih tiada kontraksi. 

Ibu muda itupun mengajak suaminya berjalan-jalan ke Giant. 

Sempat mereka terserempak dengan sahabat mereka yang doktor juga. Melihat kandungan yang sudah sarat, sahabat itu bertanya, "Nampak sarat sangat dah ni. Bila due?" 

Ibu muda itu menjawab, "Anytime. Hehe. Esok cukup 36 minggu. Kelmarin dah 3cm. Saja tak nak masuk wad lagi. Tarikh tak cantik." 

Sahabat itu pun tepuk dahi. Ibu muda itu pun sambung tawaf Giant hingga setiap lorong dilaluinya. Suaminya layankan sahaja, sambil menyorong anak sulung mereka di dalam troli. 

Menjelang malam, barulah ada kontraksi sedikit. Suami ibu muda itu mengajaknya ke hospital segera, memandangkan keesokan hari adalah hari Isnin, takut jalan sesak jika pergi ke hospital esok pagi. 

Ibu muda itu berkata," Nanti lah Abang, tunggu lepas tengah malam. Dapat 20.08.2007 barulah cantik. Tahun depan birthday dia yang pertama, 20.08.2008. Lagi pun Manchester United tengah nak lawan ni. Jom kita tengok bola dulu, pastu kita order pizza. Habis Man U menang, baru kita pergi hospital. " 

Suaminya pun tepuk dahi juga. Agaknya dalam hatinya," Habis tu, kalau Man U tak memang, tak nak pergi hospital ke? " 

Tetapi kerana kasihan takut isterinya mengidam pizza (dan melihat Wayne Rooney beraksi), beliau turutkan sahaja. 

Selesai perlawanan bola dengan kemenangan kepada Man U (yahuu), tepat jam 11.30 malam, mereka pun ke hospital. 

Jam 12 tengah malam, mereka sampai ke hospital. 

Oleh kerana bukaan serviks sudah 3cm, ibu muda pun dimasukkan ke Dewan Bersalin. Waktu berlalu, kontraksi tetap tidak kerap, hinggalah 12 jam kemudian. Malah ibu muda itu dapat tidur dengan lena malam itu. 

Jam 2 petang 20 Ogos, ibu muda itu mula bosan. Beliau pun menelefon doktor Pakar Perbidanan beliau dan meminta ubat untuk mempercepatkan proses kelahiran. Doktor Pakar pun bersetuju, dan meminta ibu muda itu solat Zuhr dan Asar jamak, untuk memudahkan urusan. 

Sekitar pukul 2.30 petang, ubat IV pitocin diberikan. Dan tepat jam 3.20 petang, lahirlah bayi perempuan yang amat comel, Ma Shaa Allah. 

Alhamdulillah, tercapailah hajat ibu muda itu untuk mendapat anak pada 20.08.2007, supaya pada kek hari lahir yang pertama bayi itu, tertulis Selamat Hari Lahir, 20.08.2008. Entah hapa hapa punya permintaan laa ibu muda tu kan. 

Tapi itulah kisah ibu muda bernama Dr Azlindarita, melahirkan anak ke dua, 13 bulan selepas kelahiran anak pertama. Alhamdulillah, syukur anak kedua itu walaupun borderline premature iaitu lahir pada 36 minggu, membesar menjadi anak yang solehah, manja dengan Ummi, garang dengan orang lain, dan kuat semangat orangnya. 

Barakallahufik, mudah-mudahan Allah merahmatimu selalu my darling S. 

Suka melukis, sayur brokoli, dan sampai sekarang tak tahu cita-cita nak jadi apa. Suruh jadi doktor tak nak, akauntan tak nak, graphic designer tak nak. 

Sabor je la. (Strong headed macam Mak dia jugak la ni 😆) 

Yang penting ingat ya, dah besar jangan obses sangat dengan tarikh lahir anak-anak . Kita chill je. Kahkahkah. 

#drazlindarita 
#kisahkehidupanDrAzlindarita 
#MakAnak4

Wednesday 10 August 2022

Santuari Ikan Sungai Chiling - idea untuk daytrip bersama anak-anak

 

Pintu masuk Santuari Ikan Sungai Chiling. Atas sedikit dari Kuala Kubu Bharu, jika anda dalam perjalanan ke Bukit Fraser, anda akan nampak gerbang ini di sebelah kanan. 

Sungai Chiling Fish Sanctuary

Hujung minggu Awal Muharram, sepatutnya kami sekeluarga bercuti ke Genting Highland. Hotel pun sudah ditempah beberapa minggu sebelum itu lagi. Namun , seminggu sebelum waktunya, ramalan kaji cuaca mengatakan yang akan hujan sepanjang Sabtu dan Ahad, maka kami mengubah perancangan. Iyalah, tak guna juga ke Sky World Genting tetapi tidak boleh bermain apa-apa kerana hujan, bukan?

Hari Sabtu 30 Julai, kami ke Escape PJ. Hari Ahad 31 Julai pula, kebetulan sahabat hiking saya, Arash, ada membawa beberapa orang sahabat ke Sungai Chiling Fish Sanctuary.

Pada mulanya saya meminta izin suami saya untuk ikut. Tidak saya sangka, beliau juga berminat untuk turut serta. Bayaran RM40 dikenakan, termasuk permit , makan tengahari serta khidmat guide serta sweeper. Iyalah, pertama kali pergi, lebih baik pergi dengan orang yang sudah berpengalaman.

Kami diminta berkumpul di tapak letak kereta Sungai Chiling jam 8.30 pagi. Seawal 7.30 pagi kami sudah bergerak dari rumah. Google Map memberi pandu arah, agar kami menggunakan laluan Jalan Sungai Tua, Ulu Yam hinggalah ke Kuala Kubu Bharu. Pelik juga kenapa tidak disuruh melalui Rawang Bypass sahaja, tetapi kami turuti sahaja. Damai juga pagi-pagi menelusuri jalan dengan pemandangan empangan yang indah.

Kami tiba sekitar 8.45 pagi, semua ahli kumpulan sudah sampai. Alhamdulillah masih ada tempat parking yang kosong.


Tempat letak kereta ini tidak berturap ya. Sebaiknya jika ada 4WD bawalah kereta itu, atau Myvi. Semasa kami sampai, ada kereta Vios tersagat bumper terkena batu


Kami diberi taklimat, bahawa tempat untuk menukar pakaian, solat dan sebagainya terletak di campsite. Kami boleh membawa pakaian untuk bersalin sekali, tetapi perlu diletakkan di dalam beg plastik untuk mengelakkannya basah.

Dari tempat letak kereta, kami berjalan kira-kira 10 minit ke tapak perkhemahan atau campsite. Di sini, guide kami iaitu Arash pergi mendaftar bagi semua ahli rombongan kami seramai 16 orang. Di camp site ini kemudahan serba lengkap. Ada tandas, bilik mandi, wakaf, gerai dan surau.

Selesai mendaftar, kami bergerak ke pintu masuk, iaitu sebuah jambatan. Di sini ranger akan membuat pemeriksaan beg, bagi memastikan tiada sesiapa yang membawa peralatan memasak. Adalah menjadi kesalahan jika membawa peralatan sedemikian, dan boleh dedenda sehingga RM10,000. Antara sebabnya adalah, ikan kelah yang terdapat di sini adalah dipelihara, dan tidak boleh ditangkap , sama ada untuk dibawa pulang mahupun dimasak!



Tepat jam 9.30 pagi, kami memulakan perjalanan. Saya lihat ramai juga ibu bapa yang membawa anak kecil. Malah ada yang menggendong anak menggunakan carrier, yang saya kira adalah lebih selamat berbanding segelintir yang mendukung anak di atas bahu. Perbuatan ini merbahaya, kerana laluan adalah berbatu, dan licin di sesetengah tempat. Hampir sahaja suami saya ingin menegur seorang bapa yang mendukung anaknya begitu. Tetapi saya kata, they must have known the risk.

Laluan pertama , landai sahaja, tetapi sangat berselut. Kami memilih untuk memakai hiking boots walaupun tahu memang akan basah nanti. Untuk sampai ke air terjun iaitu penghujung laluan trekking kami ini, anda perlu merentas sungai sebanyak 6 kali. Yang pertama dengan jambatan, dan 5 kali lagi meredah air sungai. 



Ada sebahagian hikers yang saya lihat membuka kasut dan meredah berkaki ayam. Kami basahkan sahaja kasut, kerana khuatir ada objek tajam di dalam sungai. Saya kira jika anda memakai hiking sandals, adalah pilihan yang baik.

Lintasan-lintasan ini, semuanya ada disediakan tali untuk anda berpaut, maka tidaklah susah. Mungkin bagi kanak-kanak berusia 7-8 tahun seperti Uwais, perlu pengawasan rapi kerana ada kawasan yang airnya deras juga. Tetapi pengalaman ini amat menyeronokkan bagi saya, kerana setiap kali melintas, kami dapat melihat betapa banyaknya ikan kelah yang berenang-renang di dalam air yang teramat jernih.






Lintasan ke enam adalah yang paling mencabar, kerana airnya agak dalam. Untuk saya yang berketinggian 162cm, hampir mencapai paras pinggang. Saya yang tidak mahu beg saya basah, berjalan dengan berjingkit.

Alhamdulillah selepas 40 minit, akhirnya kami sampai di Air Terjun Sungai Chiling yang amat cantik. Oleh kerana tempat ini hanya dibukan Sabtu dan Ahad, memang sangat ramai pengunjung. Kami bersyukur kerana Arash sudah berpesan untuk membawa roti untuk memberi makan kepada ikan. Puaslah kami mandi manda di air terjun yang dingin, memberi makan ikan kelah yang jinak, bergambar dengan sahabat-sahabat dan berpiknik sambil menikmati pemandangan yang indah.





Selepas sejam berada di kawasan air terjun, kami mula bergerak pulang, dan perjalanan pulang juga mengambil masa 40 minit. Pada mulanya saya berniat untuk bersalin pakaian di bilik mandi di campsite. Tetapi oleh kerana ramai yang beratur, kami terus menukar perancangan dan meneruskan perjalanan ke Kuala Kubu Bharu, untuk mandi dan solat di Masjid Kuala Kubu Bharu.

Malangnya , perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit, menjadi hampir sejam, kerana ada perarakan Hindu yang berlangsung di tengah jalan, hingga menyebabkan kesesakan lalulintas.




Apabila sampai sahaja di Masjid Kuala Kubu Bharu, suami saya yang keletihan, meminta saya pergi mandi dan bersalin pakaian serta solat dahulu, sementara beliau melelapkan mata seketika.

Kagum saya melihat Masjid Kuala Kubu Bharu, yang mana tandasnya sudahlah bersih, kamar mandinya lengkap dengan pancuran mandi, sabun, tempat menggantung pakaian dan sebagainya. Tempat solat wanita juga amat bersih dan luas.



Pintu berbunga itu adalah pintu masuk ke Dewan Solat Muslimah ya

Masuk saja pintu berbunga tadi, ada tempat ambil wudhu untuk wanita

Luas sungguh tempat solat untuk wanita


Selesai kami berdua solat, kami sempat singgah menjamu selera di warung cendol Pak Samad yang terletak betul-betul di hadapan masjid. Enak betul, badan letih, perut lapar, dapat pula nasi putih gulai daging salai, laksa penang, cendol dan pisang goreng.



Daging salai masak lemaknya memang mengancam 

Saya tak tahu nak pilih , jadi saya order saja semua haha. Laksanya sedap, rojak pun sedap. Cendol juga sedap. Harga juga berpatutan


Alhamdulillah, Sungai Chiling Fish Sanctuary adalah sebuat hidden gem di Kuala Kubu Bharu.

Berbaloikah memandu sejam untuk sampai ke sana?

Totally worth it!

Sunday 7 August 2022

ESCAPE PJ - indoor park yang wajib dicuba

Kami jarang-jarang dapat cuti hari Sabtu, jadi kita manfaatkan masa dengan keluarga pada 30 Julai yang lalu, bersempena cuti Awal Muharram.   

Niat asal kami nak naik ke Genting, tetapi ramalan kaji cuaca kata di sana hujan, jadi kita stay indoor di KL saja.  

My verdict : Escape PJ is totally worth your money!  

Rasa macam 4 jam, rupanya baru 3 jam.  

Saya lalu Level 1 sekali, level 2 3 kali, cuba level 3, baru laluan kedua dah give up.  

Letih, I'm telling you! Kena ada stamina OK!   

OK biar saya beri sedikit gambaran laluan Monkey Business ini ya.   

Bagi pengunjung kali pertama, anda diwajibkan bermula dengan Level 1. 

Level 1 ada 2 laluan, Line 1 dan Line 2. Line 1 adalah lebih pendek berbanding line 2. Kami terus ke Line 2 kerana Line 1 penuh ketika itu.   

Anak lelaki kami memulakan langkah di Line 2, Level 1

Kagum juga saya lihat anak-anak perempuan kami pun berani 

Laluan ini mencabar sedikit sebab kena merangkak. 

Selesai Level 1,anda boleh ke level 2. Tetapi pastikan petugas yang memasangkan peralatan keselamatan anda ya. Jangan pandai-pandai sendiri pula.  Level 2 dan 3 juga ada 2 Line setiap satu. Line 1 pendek, Line 2 lebih panjang. 

Level 3 hanya untuk remaja 14 tahun ke atas dan dewasa. Kurang sesuai untuk bawah 12 tahun kerana ia amat mencabar.   

Encik Suami beraksi di Line 1, Level 2. Jadi Spiderman kejap 

Gambar ihsan Google. Di Line 2, Level 2 saya rasa yang paling mencabar adalah nak lalu balak tegak di bawah pisang-pisang, di sebelah kanan gambar tu. Saya lalu 2 kali pula tu. Sekali dengan anak-anak, sekali dengan Encik Suami. Rasa nak terkehel pergelangan tangan pun ada. 


Pesanan saya bagi yang merancang untuk ke Escape PJ :  

1) Beli tiket melalui Klook, lebih murah. Tak perlu print pun tiket, hanya perlu masukkan kod dan upload gambar selfie sahaja masa nak masuk.   

2) Datang awal pagi supaya belum ramai orang. Agaknya weekday lebih lengang dan tak perlu beratur. Tadi kami serentak dengan satu rombongan International school, jadi agak meriah. Tapi masih lagi OK pada saya.  

3) Bawa baju sepersalinan sebab gelongsor banana flip tu, baju memang akan basah dari hujung kepala sampai hujung kaki. Kami tak naik sebab malas nak membasahkan kerusi kereta haha.  

4) Saya bawa gym gloves and it's totally worth it. Encik Suami mulanya marah juga banyak aktiviti guna tangan ni. Dia ingatkan, "Your hands are precious, you are a surgeon," tapi Alhamdulillah at the end of the day OK. We went through the obstacles unscathed.  

Ada saya baca review, ada yang tangan merah bila habis bermain di Escape.   

5) Kanak-kanak kecil macam Uwais, laluan Monkey Business walaupun level 1 adalah kurang sesuai. Jadi Uwais agak kebosanan di sana. Ada obstacles yang mudah tapi sekali jalan saja dah cukup untuk dia. 
Obstacle course untuk kanak-kanak 

Salah satu game room untuk kanak-kanak, tetapi Uwais sekejap saja dah bosan di sini. Dia kata ramai budak random hahahaha. 


6) Pastikan kanak-kanak ada supervision setiap masa. Semasa saya nak naik dengan Encik Suami, ada seorang budak lebih kurang 5 tahun, nak naik seorang diri. Saya tanya mana ibu bapanya , dia kata "over there" tapi saya tak nampak. Risau saya tengok. Alhamdulillah akhirnya saya tengok dia turun balik.   

7) Bawa pakaian untuk solat. Anda boleh keluar dan masuk sesuka hati anda sepanjang hari. Jadi kalau nak keluar makan, solat, kemudian masuk semula, tak ada masalah.  

8) Monkey Business adalah laluan permainan utama di sini, tetapi anda tidak dibenarkan memegang telefon atau kamera. Akan ada jurukamera dari Escape akan merakam detik-detik anda di sana, tetapi cara terbaik, saya kira adalah jika ada sahabat yang bergilir dengan anda, dia boleh ambil gambar anda ketika anda bermain. Satu cara lagi adalah dengan memakai kamera pada badan contohnya GoPro dengan harness pada badan.   

9) Luangkan masa sekurang-kurangnya setengah hari untuk bermain di sini, terutamanya jika anda datang pada hujung minggu. Jika tidak, tak sempat nak main sepuasnya. Anak ke dua saya teringin nak cuba sling shot, tetapi segan kerana ramai lelaki beratur menunggu. Sudahnya tak main pun.   

So plan your trip, and enjoy your day!  

We are definitely coming back, in shaa Allah!  

#drazlindarita 
 #microsurgeonmom