Monday 12 March 2018

Apa ada di Taiwan (Bahagian akhir : The Grand Hotel, Taipei Main Station & membeli cenderahati)

Kenangan di hadapan The Grand Hotel Taipei

Hari terakhir, selepas sarapan pagi dan berkemas, kami check out pada jam 12 tengahari. Bagasi di tinggalkan di lobi hotel, dan kami berjalan ke stesen MRT untuk ke Grand Hotel. Grand Hotel terletak berdekatan stesen MRT Jiantan atau Yuanshan, dan ada shuttle bus percuma yang disediakan oleh pihak hotel.

Bersiar-siar di pasar minggu 



Grand Hotel adalah hotel tertua di Taipei, sudah berusia 100 tahun namun ia masih tersergam indah. Susunatur dan hiasan dalamnya juga sangat cantik dan menakjubkan. Dengan alunan muzik secara langsung, dan permaidani merah yang terhampar, saya terasa umpama seorang permaisuri melangkah masuk ke dalam sebuah istana.

Sakura di hadapan stesen MRT

Lobi the Grand Hotel yang serba mewah

Tangga berukir naga

Tangga di ruang lobi

Pemain muzik secara langsung 
Hiasan naga emas

Pemandangan dari luar Grand Hotel

Dari the Grand Hotel, kami ke stesen MRT Jiantan, dan seterusnya ke  Restoran Halal yang menyajikan mee daging , di kawasan Taipei Main Station. Alhamdulillah setiap stesen MRT ada wifi percuma, maka kami boleh gunakan untuk mencari restoran halal yang berdekatan. Kami menaiki teksi ke restoran tersebut kerana jam sudah menunjukkan jam 3 petang, perut juga sudah berkeroncong.

Alhamdulillah enak sekali mee daging di sini, dan boleh makan tanpa ragu-ragu kerana restoran ini juga mendapat pensijilan halal.

Shuttle bus dari the Grand Hotel 

Naik teksi tambang NT$200+ dari Stesen MRT Jiantan, sampailah di restoran ini

Pintu masuk 

Dapurnya di bahagian hadapan, bersih sekali 

Pensijilan halal 

Kedainya luas. Bukan waktu makan tengahari maka tidak terlalu ramai pengunjung

Pembuka seleranya sayur rebus sahaja

Tekun memilih makanan

Antara menu yang disediakan. 

Makcik comel itulah ketua chef restoran ini


Mee daging dan tendon

Selamat menjamu selera

Saya memilih mee daging

Ini waktu dibuka ya 

Dari restoran, kami berjalan kaki ke Taipei Main Station. Rezeki kami, di stesen itu ada sebuah kedai cenderahati, yang mana pekerjanya adalah seorang warga negara Malaysia yang sudah 5 tahun bekerja di Taipei. Harga cenderahati di sini juga sangat berpatutan sekitar NT$100-150 untuk satu rantai kunci, dan beliau menghadiahkan kami beberapa rantai kunci percuma


Antara pilihan cenderahati yang ada


Pelekat magnet di atas tu harganya NT$190

Rantai kunci berbentuk peta Taiwan


Banyak sungguh pilihan 


Jika mahu ke sini, turun sahaja ke Taipei Main Station ya 
Bersama Chloe yang berasal dari Malaysia. Kelakar juga semasa dia mahu memberi hadiah , katanya "jangan sebut perkataan yang dia boleh faham. Sebut PERCUMA ya (bukan FREE) ". Takut bosnya tahu .  Hehe..


Dari Taipei Main Station, kami pulang ke kawasan hotel dengan menaiki MRT, dan terus ke rumah Aunty Zaid an Uncle Ismail. Alhamdulillah sudahlah dapat tumpang solat Maghrib dan Isyak secara jamak, disajikan pula kami dengan makan malam berlauk daging masak lemak cili api. Semoga murah rezeki Aunty dan Uncle sekeluarga in shaa Allah.



Masak Lemak Cili Padi

Tempe kegemaran sayaaaa

Tak tahu apa rahsia Aunty Zai, ayam gorengnya memang terlampau sedap


Bergambar kenangan bersama keluarga Aunty Zai dan Uncle Ismail 

Di hadapan Taipei Arena

Tepat jam 8 malam, kami bergerak ke hotel, dan dari hotel kami menaiki bas ke lapangan terbang, selepas mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga Aunty yang turut menghantar kami ke hotel. 

Alhamdulillah proses check in dan imigresen berjalan lancar, dan penerbangan kami ke Malaysia bertolak pada jam 12.30 malam dan tiba di Malaysia pada jam 4.50 pagi.


Alhamdulillah ada tempat solat di gate kami 

Disediakan tempat mengambil air suam dan panas di lapangan terbang Taipei

Gambar terakhir sebelum berlepas, selepas penerbangan terlewat hampir satu jam 


Alhamdulillah Taiwan sememangnya memberi satu pengalaman baru bagi kami. Jika dahulu saya terfikir, “apa ada di Taiwan?” , sekarang saya memang tidak teragak-agak jika berpeluang ke sana lagi. Masih banyak lagi kawasan yang belum kami lawati seperti Toroko Gorge dan Moonlight Lake di kawasan luar dari Taipei.

Saya amat berterima kasih kepada suami saya yang membawa saya melancong bersamanya. Walaupun kadang kala terasa berat hati meninggalkan anak-anak selama 4 hari, ternyata apabila kita meluangkan masa dengan pasangan sekurang-kurangnya setahuun sekali, ia mampu membaharui kemesraan dan kasih sayang antara pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga.

Semoga Allah merahmati keluarga kami in shaa Allah, dan suatu hari nanti kenangan ke Taiwan ini dapat kami sebut-sebut dan kenang semula, semasa duduk di pelamin-pelamin indah di syurga.

Amin


Semoga jodoh kami kekal hingga ke Jannah in shaa Allah 

Saturday 10 March 2018

Apa ada di Taiwan? (Bahagian dua : Yehliu Geopark, Jiufen Old Street, Air Terjun Shihfen dan menerbangkan tanglung di Pingxi)


Kenangan di Jiufen Old Street Taiwan

Hari ketiga di Taipei, kami memilih untuk mengikuti satu lagi bas pelancong ke utara Taipei . Berbeza dengan semalam yang mana penuh satu bas dengan warga Malaysia, kali ini hanya 17 orang kerana ada yang memilih untuk  ke tempat-tempat lain. Bayarannya NT$900 seorang.

Perjalanan selama satu jam keluar dari bandar Taipei, destinasi kami yang pertama adalah Yehliu Geopark. Di sini terdapat batu-batuan yang unik , yang terhasil akibat hakisan udara dan air laut. 

Panjang persisiran pantai ini adalah lebih kurang 1.7km dan dibahagikan kepada beberapa sektor. Namun hanya sektor 1 dan 2 yang dibuka untuk orang ramai, kerana sektor lain terdedah kepada tsunami kecil dan merbahaya untuk pengunjung. Tiket masuknya adalah NT$80 sahaja. 

Di pintu masuk Yehliu Geopark

Harga tiket NT$80

Hari yang agak berkabus

Salah satu batu yang berbentuk unik

Antara batu-batuan yang menarik adalah Kepala Ratu “Queen’s Head” , batu berbentuk gajah, cendawan dan lilin. Ada barisan yang sangat panjang untuk bergambar dengan batu Queen’s Head, dan kami tidak mahu membuang masa beratur, hanya mengambil gambar dari sudut belakangnya.



Bergambar bersama the Queen's Head.

Batu berbentuk cendawan atau mushroom 

Bersama beberapa pengunjung dari Korea. Memang mereka suka membuat bentuk hati itu, saya pun ikut sahaja hahah 



Dari Yehliu Geopark , kami ke Jiufen Old Street  yang merupakan salah satu ikon tempat pelancongan di Taipei. Oleh kerana jalan raya untuk mendaki ke Jiufen agak sempit, maka kami harus bertukar bas, dan menaiki shuttle bus ke atas. Ngeri juga melihat bas-bas yang saling berselisih, namun Alhamdulillah kami selamat sampai ke atas.

Jiufen Old Street yang masih mengekalkan reka bentuknya sejak 100 tahun lalu ini, menjadi sumber inspirasi pelukis kartun Spirited Away dan Totoro. Kerana itu, banyak cenderahati di sini, menampilkan watak-watak kartun-kartun ini. Cenderahati juga harganya agak berpatutan iaitu NT$90-100 untuk satu pelekat magnet dan NT$150-190 untuk satu rantai kunci.

Senibina Taiwan yang indah


Jiufen Old Street yang dihiasi tanglung 

Pemandangan laut yang cantik dari atas Jiufen Old Street

Hari Sabtu, kawasan ini agak sesak dengan pengunjung. Alhamdulillah kami terjumpa sebuah gerai menjual sotong goreng, maka dapatlah kami mengalas perut untuk makan tengahari. 

Selesai makan, kami ke Visitor Centre berdekatan untuk bersuci dan berwudhu. Oleh kerana ada restoran yang agak luas di situ, kami meminta izin untuk tumpang solat. Baik sungguh pekerja di situ, walaupun tidak faham apabila kami mengatakan “I want to pray”, mereka sangka kami mahu makan. Tetapi salah seorang pekerja itu, menggunakan Google Translate dan meminta saya bercakap pada telefon beliau.

Alhamdulillah dapatlah kami menunaikan solat dengan tenang, di tempat yang bersih. Mujur kami memang biasakan berjalan dengan membawa sejadah. Saya juga solat tanpa telekung , kerana suami saya selalu menekankan pakaian yang dipakai mesti cukup syarat untuk solat. Maka mudah untuk kami solat di mana-mana sahaja.

Gerai sotong goreng yang halal

Sedap juga tetapi banyak ajinomoto

Tumpang solat di sebuah restoran

Pemandangan dari restoran tempat kami solat

Selesai solat, kami turun semua ke kawasan bas ekspres kami dan meneruskan perjalanan ke air terjun Shihfen. Jika Jiufen bererti “sembilan” kerana asalnya hanya ada 9 keluarga yang tinggal di kawasan itu sebelum bermula perlombongan emas, shihfen pula bererti “sepuluh”.

Shihfen terletak kira-kira 30 minit dari Jiufen, dan kami berpeluang melawat air terjun tertinggi di Taiwan. Walaupun terpaksa berjalan sejauh 20 minit untuk melihat air terjun selebar 80 meter dan setinggi 30 meter ini, pemandangannya Subhanallah sangat menakjubkan. Apatah lagi ketika itu sudah hampir senja dan cahaya matahari sudah mula tenggelam di ufuk barat. Memang sangat menenangkan.


Pintu masuk kawasan Air Terjun Shihfen

Pemandangan yang indah dalam perjalanan ke air terjun


Air terjun Shihfen


Dari air terjun Shihfen, kami ke Pingxi yang terkenal dengan tempat menerbangkan tanglung atau “sky lantern”. Untuk orang bukan Islam, mereka menganggap ini cara mereka berdoa, dengan menuliskan hajat mereka ke atas tanglung dan kemudian menerbangkannya ke “syurga”.

Bagi kita umat Islam, pastinya syirik jika beriktikad sedemikian, hanya menerbangkan tanglung ini untuk sebuah pengalaman yang menyeronokkan. Sebuah tanglung harganya NT$150, dan harga sudah termasuk dalam pakej bas pelancong kami.


Apa yang agak lucu, adalah orang ramai menerbangkan tanglung ini di atas landasan keretapi. Saya sangka ia sudah tidak digunakan lagi. Sedang asyik saya merakam gelagat sahabat-sahabat menerbangkan tanglung, tiba-tiba ada sebuah motorsikal membunyikan hon, dan tiba-tiba semua orang berlari keluar dari landasan keretapi , kerana ada sebuah keretapi yang mahu lalu!

Ma sha Allah berdebar sungguh hati saya. Rupa-rupanya ada stesen keretapi yang berdekatan, dan orang ramai menerbangkan tanglung ini di atas landasan, kerana ia tidak ada pokok-pokok yang boleh mengganggu tanglung yang sedang terbang ke atas ke udara.





Meriah sungguh suasana di sini

Semakin senja, semakin banyak tanglung yang diterbangkan
 
Senja di Pingxi

Senja makin melabuhkan tirai, pemandangan semakin indah dengan tanglung-tanglung yang berterbangan. Namun kami harus pulang, kerana sudah tiba masanya kami pulang ke Taipei. Yang pasti pengalaman manis ini akan kami kenang hingga akhir hayat in shaa Allah.

Dari Pingxi, perjalanan mengambil masa sejam untuk ke kota Taipei. Walaupun mengikut jadual kami harus berhenti di sebuah pusat membeli belah bebas cukai, hampir semua orang tidak mahu membeli belah lagi, dan mahu ke restoran halal . Semua sudah lapar dan keletihan, kerana tidak dapat makan tengahari di Jiufen.
Di pintu masuk kedai bebas cukai. 

Bas menurunkan kami berdekatan hotel, dan sebahagian kami ke Restoran Halal Bismilla iaitu restoran makanan Thai, dan kami memilih untuk ke restoran sebelahnya iaitu Restoran Yunus. Restoran ini mendapat pensijilan halal , dan pernah dikunjungi VIP-VIP Malaysia seperti Dato Zahid Hamidi dan Dato Azmin Ali. Harga makanannya agak tinggi iaitu NT$290 untuk sepinggan nasi goreng, tetapi rasanya enak sekali.


Restoran Yunus yang luas


Pemilik restoran sendiri yang mengambil pesanan makanan

Antara pilihan makanan 

Gambar-gambar orang terkenal yang pernah ke restoran ini



Bergambar bersama pemilik restoran ini


Nasi goreng makanan laut pilihan Dr Hafiz


Daging goreng pilihan saya

Tak perlu ragu makan di sini kerana ada pensijilan halal 

Dari restoran, kami berjalan kaki ke hotel, melalui Taipei Arena, dan ia hanya mengambil masa 10 minit. Esok adalah hari terakhir kami di Taiwan dan in shaa Allah kami akan bersiar-siar di sekitar bandar Taipei sambil mencari cenderahati buat keluarga dan sahabat handai in shaa Allah ...

Bersambung