Saturday, 10 March 2018

Apa ada di Taiwan? (Bahagian dua : Yehliu Geopark, Jiufen Old Street, Air Terjun Shihfen dan menerbangkan tanglung di Pingxi)


Kenangan di Jiufen Old Street Taiwan

Hari ketiga di Taipei, kami memilih untuk mengikuti satu lagi bas pelancong ke utara Taipei . Berbeza dengan semalam yang mana penuh satu bas dengan warga Malaysia, kali ini hanya 17 orang kerana ada yang memilih untuk  ke tempat-tempat lain. Bayarannya NT$900 seorang.

Perjalanan selama satu jam keluar dari bandar Taipei, destinasi kami yang pertama adalah Yehliu Geopark. Di sini terdapat batu-batuan yang unik , yang terhasil akibat hakisan udara dan air laut. 

Panjang persisiran pantai ini adalah lebih kurang 1.7km dan dibahagikan kepada beberapa sektor. Namun hanya sektor 1 dan 2 yang dibuka untuk orang ramai, kerana sektor lain terdedah kepada tsunami kecil dan merbahaya untuk pengunjung. Tiket masuknya adalah NT$80 sahaja. 

Di pintu masuk Yehliu Geopark

Harga tiket NT$80

Hari yang agak berkabus

Salah satu batu yang berbentuk unik

Antara batu-batuan yang menarik adalah Kepala Ratu “Queen’s Head” , batu berbentuk gajah, cendawan dan lilin. Ada barisan yang sangat panjang untuk bergambar dengan batu Queen’s Head, dan kami tidak mahu membuang masa beratur, hanya mengambil gambar dari sudut belakangnya.



Bergambar bersama the Queen's Head.

Batu berbentuk cendawan atau mushroom 

Bersama beberapa pengunjung dari Korea. Memang mereka suka membuat bentuk hati itu, saya pun ikut sahaja hahah 



Dari Yehliu Geopark , kami ke Jiufen Old Street  yang merupakan salah satu ikon tempat pelancongan di Taipei. Oleh kerana jalan raya untuk mendaki ke Jiufen agak sempit, maka kami harus bertukar bas, dan menaiki shuttle bus ke atas. Ngeri juga melihat bas-bas yang saling berselisih, namun Alhamdulillah kami selamat sampai ke atas.

Jiufen Old Street yang masih mengekalkan reka bentuknya sejak 100 tahun lalu ini, menjadi sumber inspirasi pelukis kartun Spirited Away dan Totoro. Kerana itu, banyak cenderahati di sini, menampilkan watak-watak kartun-kartun ini. Cenderahati juga harganya agak berpatutan iaitu NT$90-100 untuk satu pelekat magnet dan NT$150-190 untuk satu rantai kunci.

Senibina Taiwan yang indah


Jiufen Old Street yang dihiasi tanglung 

Pemandangan laut yang cantik dari atas Jiufen Old Street

Hari Sabtu, kawasan ini agak sesak dengan pengunjung. Alhamdulillah kami terjumpa sebuah gerai menjual sotong goreng, maka dapatlah kami mengalas perut untuk makan tengahari. 

Selesai makan, kami ke Visitor Centre berdekatan untuk bersuci dan berwudhu. Oleh kerana ada restoran yang agak luas di situ, kami meminta izin untuk tumpang solat. Baik sungguh pekerja di situ, walaupun tidak faham apabila kami mengatakan “I want to pray”, mereka sangka kami mahu makan. Tetapi salah seorang pekerja itu, menggunakan Google Translate dan meminta saya bercakap pada telefon beliau.

Alhamdulillah dapatlah kami menunaikan solat dengan tenang, di tempat yang bersih. Mujur kami memang biasakan berjalan dengan membawa sejadah. Saya juga solat tanpa telekung , kerana suami saya selalu menekankan pakaian yang dipakai mesti cukup syarat untuk solat. Maka mudah untuk kami solat di mana-mana sahaja.

Gerai sotong goreng yang halal

Sedap juga tetapi banyak ajinomoto

Tumpang solat di sebuah restoran

Pemandangan dari restoran tempat kami solat

Selesai solat, kami turun semua ke kawasan bas ekspres kami dan meneruskan perjalanan ke air terjun Shihfen. Jika Jiufen bererti “sembilan” kerana asalnya hanya ada 9 keluarga yang tinggal di kawasan itu sebelum bermula perlombongan emas, shihfen pula bererti “sepuluh”.

Shihfen terletak kira-kira 30 minit dari Jiufen, dan kami berpeluang melawat air terjun tertinggi di Taiwan. Walaupun terpaksa berjalan sejauh 20 minit untuk melihat air terjun selebar 80 meter dan setinggi 30 meter ini, pemandangannya Subhanallah sangat menakjubkan. Apatah lagi ketika itu sudah hampir senja dan cahaya matahari sudah mula tenggelam di ufuk barat. Memang sangat menenangkan.


Pintu masuk kawasan Air Terjun Shihfen

Pemandangan yang indah dalam perjalanan ke air terjun


Air terjun Shihfen


Dari air terjun Shihfen, kami ke Pingxi yang terkenal dengan tempat menerbangkan tanglung atau “sky lantern”. Untuk orang bukan Islam, mereka menganggap ini cara mereka berdoa, dengan menuliskan hajat mereka ke atas tanglung dan kemudian menerbangkannya ke “syurga”.

Bagi kita umat Islam, pastinya syirik jika beriktikad sedemikian, hanya menerbangkan tanglung ini untuk sebuah pengalaman yang menyeronokkan. Sebuah tanglung harganya NT$150, dan harga sudah termasuk dalam pakej bas pelancong kami.


Apa yang agak lucu, adalah orang ramai menerbangkan tanglung ini di atas landasan keretapi. Saya sangka ia sudah tidak digunakan lagi. Sedang asyik saya merakam gelagat sahabat-sahabat menerbangkan tanglung, tiba-tiba ada sebuah motorsikal membunyikan hon, dan tiba-tiba semua orang berlari keluar dari landasan keretapi , kerana ada sebuah keretapi yang mahu lalu!

Ma sha Allah berdebar sungguh hati saya. Rupa-rupanya ada stesen keretapi yang berdekatan, dan orang ramai menerbangkan tanglung ini di atas landasan, kerana ia tidak ada pokok-pokok yang boleh mengganggu tanglung yang sedang terbang ke atas ke udara.





Meriah sungguh suasana di sini

Semakin senja, semakin banyak tanglung yang diterbangkan
 
Senja di Pingxi

Senja makin melabuhkan tirai, pemandangan semakin indah dengan tanglung-tanglung yang berterbangan. Namun kami harus pulang, kerana sudah tiba masanya kami pulang ke Taipei. Yang pasti pengalaman manis ini akan kami kenang hingga akhir hayat in shaa Allah.

Dari Pingxi, perjalanan mengambil masa sejam untuk ke kota Taipei. Walaupun mengikut jadual kami harus berhenti di sebuah pusat membeli belah bebas cukai, hampir semua orang tidak mahu membeli belah lagi, dan mahu ke restoran halal . Semua sudah lapar dan keletihan, kerana tidak dapat makan tengahari di Jiufen.
Di pintu masuk kedai bebas cukai. 

Bas menurunkan kami berdekatan hotel, dan sebahagian kami ke Restoran Halal Bismilla iaitu restoran makanan Thai, dan kami memilih untuk ke restoran sebelahnya iaitu Restoran Yunus. Restoran ini mendapat pensijilan halal , dan pernah dikunjungi VIP-VIP Malaysia seperti Dato Zahid Hamidi dan Dato Azmin Ali. Harga makanannya agak tinggi iaitu NT$290 untuk sepinggan nasi goreng, tetapi rasanya enak sekali.


Restoran Yunus yang luas


Pemilik restoran sendiri yang mengambil pesanan makanan

Antara pilihan makanan 

Gambar-gambar orang terkenal yang pernah ke restoran ini



Bergambar bersama pemilik restoran ini


Nasi goreng makanan laut pilihan Dr Hafiz


Daging goreng pilihan saya

Tak perlu ragu makan di sini kerana ada pensijilan halal 

Dari restoran, kami berjalan kaki ke hotel, melalui Taipei Arena, dan ia hanya mengambil masa 10 minit. Esok adalah hari terakhir kami di Taiwan dan in shaa Allah kami akan bersiar-siar di sekitar bandar Taipei sambil mencari cenderahati buat keluarga dan sahabat handai in shaa Allah ...

Bersambung


No comments:

Post a Comment