Sunday 28 November 2021

Abah pergi jua..

Innalillahi wainnailaihirajiun.




28112021


Abah pergi jua....


Akhirnya Covid menjadi asbab salah seorang ahli keluarga kami pergi menghadap Ilahi.


Ya, Abah fully vaccinated.


Ya, Abah sihat orangnya, cuma ada darah tinggi biasa-biasa, macam orang seusia 65 tahun macam beliau.


Abah rajin exercise, malah 5 hari sebelum masuk hospital pun Abah masih exercise macam biasa.


Abah jaga makan, tak minum manis-manis.


Tetapi yang pasti Allah sayang Abah, sebab tu Allah jemput Abah pergi dulu.


6 hari sahaja Abah sakit kuat.


Sepanjang hidup, Abah memang insan yang tak suka menyusahkan orang. Hingga akhir hayat, Abah pergi dengan mudah.


Pada ramai orang, Abah adalah seorang boss, pegawai tinggi, kenalan sekerja yang baik.


Pada saya, Abah adalah bapa mertua yang sayang saya macam anak sendiri sejak saya bernikah dengan anaknya 18 tahun yang lalu.


Seorang Datuk yang amat penyayang, dari bayi baru beberapa minggu dalam kandungan, sudah seperti menatang minyak yang penuh. Apatah lagi apabila sudah lahir, sebut sahaja apa cucu mahu, pasti dicarikannya.


Tetapi walau setinggi mana kasihnya Abah itu, pasti tidak tertanding kasih Allah pada hambaNya.


Orang kata hanya insan terpilih pergi dengan cara ini. Iyalah, sebelum Abah tidur Selasa lepas, Abah sempat solat Asar, syahadah. Pastinya masih berwudhu, kan Abah. 


Mudah-mudahan Allah redha pada Abah, cucuri rahmat kepada Abah dan kurniakan syurga buat Abah in shaa Allah.


Baru petang tadi kami tinggalkan Abah di rumah baru Abah, hati dah rindu tak tertahan.


Selamat jalan Abah.


In shaa Allah kita jumpa lagi di syurga nanti.


Hingga akhir hayat Abah, Aisyah satu-satunya menantu Abah.


Belasungkawa buat Abah

28.11.2021

Seremban, Negeri Sembilan.




Sunday 7 November 2021

Tips bawa maid balik ke Malaysia semula, dalam era pandemik

Oleh kerana ramai yang bertanya, maka saya sharekan bagaimana proses saya bawa maid saya balik ya.


Saya janji, ini bukan karangan cerpen macam post sebelum ini hahaha


Here goes :


Tips bawa maid balik Malaysia semula selepas cuti pada musim pandemik Covid-19 ✅


1) Pastikan maid anda legal dan sudah ada permit. Maid kami memang dah ada permit yang masih valid, beliau pulang bercuti sahaja.


Jangan tanya kalau yang tak ada permit, atau permit dah mati macamana. Saya tak pasti


2) Sebaiknya maid sudah dapat 2 dos vaksin dan dah cukup 14 hari selepas dos ke dua, jadi nanti boleh apply untuk kuarantin di rumah melalui HQA.


- kalau maid atau anda antivaksin, sila skrol laju-laju.


- kalau tak cukup dos, boleh masuk tapi nanti kena kuarantin di hotel. Siapkan duit saja ya.


3) Langkah pertama, apply MyTravelPass di


https://mtp.imi.gov.my/myTravelPass/main


Ini valid semasa proses kami nak bawa maid balik dalam September 2021. Kalau sekarang dah tak perlu, sila skip. 




4) Apabila dah lulus MyTravelPass (ambil masa dalam 3 hari dalam kes saya) , boleh buat pembayaran untuk MySafeTravel iaitu untuk PCR Covid test semasa tiba di KLIA dan bayaran pusat kuarantin. Masa ni sebaiknya dah tahu tiket balik maid tu bila.


- jika nanti nak apply HQA, tak boleh bayar PCR Covid test ni secara online.


- jika nak duduk hotel, semua bayaran untuk PCR Covid test dan hotel boleh bayar secara online di MySafeTravel. Nah saya belanja link terus 


https://safetravel.myeg.com.my/ 


- jika dah lengkap vaksin, kuarantin 7 hari. Kalau belum lengkap, 10 hari. Ini valid untuk masa sekarang la. Nanti kalau MKN tukar lagi, sila rujuk telegram MKN.


5) Sila book flight yang akan terbang ke pintu masuk Malaysia yang dibenarkan. Sila rujuk website KKM ke, Imigresen Malaysia ke .


Saya beberapa hari sebelum flight maid, kerja jadi stalker airport Jakarta dan KLIA, tengok flight apa yang betul-betul landing. Saya tengok Malindo, Garuda, MAS ada. Jadi saya book tiket itu. Air Asia saya tak tengok pun. Takut sakit jantung.


6) Jika maid akan naik connecting flight macam maid saya, sebaiknya naik penerbangan yang landing dan depart dari terminal yang sama. Contoh dari Medan ke Jakarta naik Malindo, Jakarta ke KL naik MAS. Semua penerbangan ini di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno Hatta Jakarta. Kalau tukar terminal, nanti susah. 


Maid saya somehow tak dibenarkan check in bagasi terus dari Medan dengan alasan beg dia ada calar, takut makin rosak. Kena keluarkan dan check in semula. 


Pastikan ada masa yang cukup untuk proses ini. 


Di Lapangan Terbang Jakarta juga maid saya hampir kena tipu dengan orang yang kononnya nak tolong hantar pergi tempat check in, kemudian minta duit Rp500, 000. Orang tu ambil bagasi dia dan bawa ke kereta. Mujur ada orang tolong. 


Sila berhati-hati. 


7) Majikan apply Home Quarantine Application (HQA) di website 7 hingga 10 hari sebelum penerbangan pulang. 


https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/index 


Ada banyak syarat, selain maid dah cukup vaksin. Rumah tu kena ada cukup bilik, cukup toilet yang tak payah kongsi dengan orang lain, tak ada orang sakit kronik, kanak-kanak dan sebagainya. Keputusan pun dalam masa 3 hari juga. Nanti minta maid print dan bawa masa balik, sekali dengan MyTravelPass. 



8) Dalam masa 72 jam sebelum berlepas, maid kena buat PCR covid test di negaranya. Ya, ini waktu yang mendebarkan. Sebab tu kena cari tiket flight yang flexible. Kot tiba-tiba positive, hangus pula tiket. Saya ambil langkah, result keluar baru beli tiket. Ini kamikaze dah ni. Maka tiket jadi mahal. Ikut korang lah nak buat macamana. Kredit card masing-masing. 


Pastikan maid daftar PCR covid test tu DENGAN PASSPORT, bukan dengan KTP atau IC Indonesia mereka. Kadang nama/tarikh lahir  diorang ni di IC dan di passport tak sama. Airlines akan nak tengok sama di passport ya. 



9) Bila maid dah terbang, doa banyak-banyak dan sila stalk di flightaware.com macam aku ni ha. Kahkahkah. OK, gurau. Step ni tak payah. 



10) OK bila dah sampai di KLIA, mereka kena buat


a) daftar MySejahtera jadi kena ada simcard. Bab ni I is pening juga. Dia call pakai WiFi, abih tu camno nak bagi simcard Malaysia kat dia? Dia kat dalam? Jadi kalau dah ada nombor Malaysia better. Entah macamana kelmarin tu ada orang tolong dia daftar MySejahtera.


b) dia kena buat PCR covid swab test. Kalau dah bayar dengan MySafeTravel tadi, tunjuk saja resit. Kalau belum, kena bayar cash. 


Haaaaa inilah kisah sangkutan terakhir kami hari tu. 


Maid kami mana ada cash RM250 nak bayar. Kami nak bayar online tak boleh. 


Maka saya pun kena ambil pass masuk di kaunter Polis Bantuan di Level 2 KLIA (dekat Food Garden), bayar RM2 untuk pass, RM50 untuk upah escort oleh polis bantuan. 



Maka saya pun masuk laaa dengan diiringi polis, lalu ikut laluan crew, jumpa laaa maid saya di tempat saringan. 



Boleh bayar pakai cash atau kad, RM250 untuk swab test tu. Maid dah siap swab pun, dah siap pakai gelang pink. Masa tu maid dah tunjuk HQA letter pada petugas KKM. 


Dan terakhir, 


11) lepas bayar, maid pun lalu di kaunter Imigresen, tunjuk permit, MyTravelPass, chop, ambil beg, dan kami pun balik, hantar dia pergi kuarantin di rumah. 




Maka kuarantin lah dia di rumah tu 7 hari, setiap hari kena jawab soalan di MySejahtera. 


OK selamat maju jaya semua kawan-kawan yang nak bawa maid balik Malaysia. 


Semoga dipermudahkan urusan in shaa Allah. 


Doa banyak-banyak. 


Allah boleh atur bulan matahari planet semua, takkan Allah tak boleh bantu kita kan? 


In shaa Allah. 


Peace!

Perjuangan membawa pulang seorang maid pada musim Covid

Perjuangan membawa pulang seorang maid 

 (Long post alert) 

 Inilah satu perjuangan yang mencabar jiwa, mental, hati, perasaan, semua lah. Mungkin bukan buat semua, tapi sangat mencabar buat saya, a working mom anak 4, anak-anak ada yang sekolah, ada yang PDPR, saya yang travel 70 km sehari menempuh roadblock, jem dan sebagainya. 

 Maid kami ni Alhamdulillah, antara yang terbaik lah pernah bekerja dengan kami. Dah lebih 3 tahun bekerja. 

Pastinya tidak sempurna sebab saya pun bukan majikan yang sempurna. Tetapi beliau ni tak banyak soal, patuh, solat tak tinggal, makan tak cerewet, pandai masak ayam Korea meletup, pecel Jawa mengancam, gosok tudung licin muncung tajam. Paling bagus, kalau kena tegur, dia tak tarik muka masam atau merajuk. Dia akan minta maaf. Kalau saya yang kadang buat salah, teremosi, saya yang minta maaf dan dia maafkan. Sebab tu saya sayang dia haha. 

 Beliau tinggalkan Indonesia 3 tahun dulu, anak beliau baru lebih kurang umur 6 bulan. Dah 3 tahun tak jumpa, ibu mana yang sampai hati nak halang dia nak balik jumpa anak. 

Patutnya balik Raya 2020, tapi masa tu PKP, saya minta tangguh. Sampai Ramadan 2021, kami izinkan beliau bercuti 2 bulan. 2 Mei 2021, beliau pulang ke Medan, seminggu sebelum raya. 

 Nak jadi cerita, bulan Julai 2021, kita total lockdown. Mana tak nya, kes Covid baru mencanak naik sampai 20 ribu satu hari di Malaysia. Semua penerbangan dibatalkan. 

 Maka kami pun tunggu punya tunggu punya tunggu, sampailah keadaan reda, MAS kata bulan Oktober akan ada penerbangan semula. 

 Bila dengar border akan buka sahaja pada Oktober 2021, saya terus mohon MyTravelPass melalui online pada awal September . Dalam masa 3 hari sahaja, dah dapat kelulusan. Validity adalah 3 bulan ya. Saya telefon MAS, tanya betul ke border akan buka Oktober, mereka kata betul. Malah katanya seminggu ada 3 hingga 4 penerbangan dari Medan. Sembang kencang. 


 Dalam masa yang sama, saya minta maid saya lengkapkan vaksin 2 dos supaya tak perlu kuarantin di hotel, yang kalau 14 hari boleh cecah RM5K. Amekaw boleh bayar yuran sekolah anak dekat setahun tuu. 

 Alhamdulillah, cukup saja beliau 2 dos pada 6 Oktober , saya kira-kira 14 hari untuk beliau terbang. Tetapi apabila saya call, penerbangan penuh la pulak. Bulan November baru adaa. 

Aduh rumah saya dah macam tongkang pecah, saya letih bukan tahap tak larat masak dah, tahap nak call makcik cafe tempat saya order lauk pun kadang lupa. Kalau cam tu, alamat goreng telur dan masak sardin la jawabnya. 

 Alhamdulillah, akhirnya dapatlah tarikh 5 Nov untuk beliau balik dari Medan ke KL. Masa saya booking ni adalah awal Oktober. Tak apalah masa tu, redha sajalah delay 2 minggu dari tarikh asal. Dah tunggu 3 bulan, apalah sangat 2 minggu kan. 

 Langkah seterusnya, saya apply pula HQA atau Home Quarantine Application. Ini pun online juga. Ada syarat-syarat untuk rumah tu, selain syarat dah lengkap vaksin. Rumah tu mesti ada cukup bilik, cukup bilik air (tak payah kongsi), tak ada orang sakit kronik, mengandung, kanak-kanak. Banyak lah. 

 Maka saya pun fikir, baik kuarantinkan beliau di rumah baru di Shah Alam. Kontraktor pun kata hujung September rumah boleh siap. Kalau delay pun, takkan sampai awal November tak siap lagi? 

 Jeng jeng. 

 Murphy's law kata, if anything can go wrong, it will. 

 Dunia ini tempat ujian. 

 Begitulah. 

 Hujung September, rumah tak siap. 

 20 Oktober, tak siap juga. 

 31 Oktober? Tak siap jugaaa! 

 Habis gaduh dah dengan contractor. 

Jangan salah faham, contractor saya OK je. Saya rasa sub - sub ni yang masalah. Orang kabinet kata nak datang Rabu, Sabtu baru muncul. Benda-benda macam tu lah. 


 Saya pun bagi ultimatum pada contractor saya. Maid saya nak sampai 5 November, macamana pun rumah kena siap sebab HQA dah lulus. 

 To cut the story short, alhamdulillah rumah akhirnya siap interior, habitable pada 4 November 2021, genap 8 bulan dari mula (termasuk PKP 2 bulan dok canguk tak boleh kerja). Bahagian luar, kolam ikan, gazebo tak siap tu kita abaikanlah dulu. 

 Kembali kepada cerita maid, saya punyalah berdebar, saya minta maid saya gerak dari kampung 2 November, sebab kena buat PCR covid test dalam masa 72 jam sebelum terbang. Kampung dia tak ada ujian PCR. Hanya di Medan yang ada. 

 Pada hari perjalanan dia tu, saya pula sibuk uruskan beli barang anak nak balik asrama, tak check email. 

 Guess what? 

 Pukul 7 malam maid bergerak dari kampung ke Medan naik bas, menempuh perjalanan yang akan memakan masa 11 jam, pukul 8 malam saya check email, MAS BATALKAN PENERBANGAN! 

 Ma shaa Allah saya masa tu dah tak tahu nak rasa apa dah. Saya call MAS Customer (DON'T) Care, lebih 20 minit baru berjawab, nak dapatkan pemakluman apa yang berlaku, sejam saya di talian! Rupanya TIADA OUTBOUND FLIGHT DARI MEDAN hinggalah DISEMBER 2021. 

 Ya Allah, habis tu maid saya tu takkan nak patah balik? 

Tiket bas tu je dah lebih RM200. Takkan nak duduk di Medan sampai Disember? 

 Pilihan yang saya dapat adalah
 1) jadikan open ticket 
2)refund 

 Saya pun minta refund tiket, dan petugas bernama Vicky masa tu kata, nanti akan ada staff lain akan hubungi saya untuk refund. 

 Malam tu saya check di online, ada saja penerbangan dari Medan ke Jakarta tetapi bukan dengan MAS atau Air Asia. Saya pun fikir, tak apalah, nanti lepas maid buat Covid test, kita book saja flight Medan - Jakarta - KL 

 Esoknya, 3 November, maid pergi buat PCR covid test, harganya Rp 600,000. Alhamdulillah keputusannya negatif, dapat malam itu juga. Tapi tarikh lahir dalam surat keputusan itu tak sama la pulaaak dengan dalam passport. Maka kami tak dapatlah nak tempah tiket untuk beliau lagi. 

 Esoknya, 4 November, saya telefon MAS sekali lagi, macam biasa 15 minit baru berjawab, lepas tu dari satu soalan ke satu soalan, "saya letak Puan di talian menunggu sebentar ya?" akan ambil masa 15-20 minit. Sempat lah aku ni masak buat cekodok, basuh baju satu load bagai. 

 Disebabkan tak ada pun orang call untuk refund, saya tanya boleh tak nak reroute tiket maid saya ni. 

 Staff kata nak kena tengok terma dan syarat tiket dulu. Lalalaaa.... Tunggu lagi 20 minit. "Ya, boleh Puan, tiket ada untuk esok tapi kena bayar fare difference RM1063". 

 Gitu, kau. Flight 2 jam je tapi total jadi RM1600 + sebab harga tiket asal RM600. 

 Saya pun tanya, MAS boleh terima ke kalau keputusan PCR Covid tu tarikh lahir salah? Staff nasihat kan buat semula sebab takut sangkut. 

 Saya tanya staff tu elok saya book terus ke flight ni? Staff tu kata terpulang, tapi sebaiknya tunggu result Covid yang terbaru. Cuma kalau lagi lambat booking, harga akan makin naik sbb fare difference. Tapi staff nama Mira tu kata, dia dah bookkan tiket ni, dengan harga sekian, saya tinggal bayar saja sebelum 5 Nov 6.25 pm iaitu waktu penerbangan. 

 Saya tanya Mira tu ramai ke passenger? Beliau kata setakat waktu tu baru seorang so tak perlu risau. Seat ada. Total waktu saya di talian, 1 jam ya Tuan-Tuan dan Puan-Puan. 

 Maka saya pun minta maid saya buat PCR covid semula sebelum saya book tiket. Maid pula tak cukup duit! 

Saya pula tak boleh buat oversea transfer sebab cuti umum Deepavali kan.

 Ya Rabbi bertimpa-timpa! 

 Saya minta maid usaha pinjam dulu sesiapa, saya pun contact kawan di Jakarta kalau boleh pinjamkan dulu, nanti saya transfer ke akaun Malaysia beliau. 

 Morale of the story di sini, kalau orang yang tak pernah pinjam duit, tiba-tiba nak pinjam duit tu kadang dia memang terdesak, babe. 

 Alhamdulillah, kawan saya di Jakarta pun kata OK nak tolong, Ayah maid saya pun tolong pinjamkan. 

 Nak jadi rezeki, maid saya pergi hospital tempat buat Covid test tu, mereka kata, boleh tukar je tarikh lahir tu sebab nama dan nombor passport sama. 

 Syukur ya Allah. 

 Haaaa... Petang Khamis ni cerita best. 

Alhamdulillah selesai bab PCR Covid test maid, saya call semula MAS. Cam biasa, 20 minit baru jawab. Naik cair dah taik telinga dengar iklan MAS ulang-ulang. 

 Kali ni yang jawab adalah staff nama Azim. Saya terus bagi nombor booking, lalalala nak booking flight Jakarta - KL tu lah. Dia punya nak confirm cerita kenapa tak jadi refund, kenapa nak reroute tu pun makan masa 20 minit. Letih OK. 

 Akhirnya dia kata OK boleh booking, tapi harga sekarang adalah RM1700. 

 I said, "Eh kenapa pula? Tadi Mira kata dia dah hold that ticket for me, tinggal bayar je." Azim kata, "Oh harga tu Mira je yang boleh bagi. Saya tak berani nak bagi sebab Mira yang lock harga tu." Azim kata nanti dia akan minta Mira hubungi saya sebab waktu tu lunch break, pukul 1 tengahari. 

 Saya pun kata OK. 

 Pukul 2.45 petang, masih tiada orang call. Saya pun call MAS semula, kali ni Ain yang jawab. Saya cakap saya nak bercakap dengan Mira, dia kata dia sedang ada customer, nanti dia akan call balik.

 Haaaa. 

 Minta maaf masa ni tahap kesabaran saya memang dah nipis sangat. 

 Ain pula jadi mangsa. 

 Sorry ya Ain. 

 Saya pun cakap, "Tadi Azim pun cakap Mira will call me. Saya tunggu sampai 2.45 nobody has called me. Saya nak booking flight, nanti lagi lambat, you all naikkan harga, kata sebab dah dekat dengan waktu penerbangan. Saya nak call you all pun ambil masa setengah jam baru berjawab. Kalau you all datang hospital, pandai pula marah-marah tunggu lama. Ni saya tunggu berjam-jam just to talk to someone! Saya nak book flight ni sebab MY MAID HAS TO FLY TOMORROW! Saya dah apply dia punya house quarantine, dia dah ada MyTravelPass, saya nak kena book flight dia dari Medan ke Jakarta kerana thanks to you guys there's no outbound flight from Medan, you guys asyik cancel flight dia. Let me tell you, the world does not revolve around Malaysia Airlines! I just need to book this flight and I want it at the promised price of RM1063 and NOT RM1700!" 

 Tahu apa jadi lepas tu? 

 Eh boleh pun dapat tiket tu dengan harga tu, si Ain tu boleh je pun tolong book. 

 Selesai semua, saya minta maaf sebab termarah dia (padahal bengkek dengan MAS as a whole), dia kata tak apa, dia faham. So 

Alhamdulillah, kami dapat book tiket Malindo dari Medan ke Jakarta pagi pkl 10.30, sampai Jakarta pkl 1 tengahari, transit sekejap, sempat lah hampir nak kena rompak di luar Airport Jakarta maid kami tu, kesian dia. 

 Pukul 3.40 pm check in di kaunter MAS, guess what? Tiket dia tu adalah Business Class, siap dapat masuk Sapphire Longue. 

Alhamdulillah, I'm happy for her, dapat relax. 

 My maid kata dalam flight ada 2 orang sahaja di business class, adalah dalam 20 orang di kelas ekonomi. 

 Kenapa MAS nak naikkan harga tiket sampai RM1700? 
Saya pun tak tahu. 

 Kenapa dia nak jual tiket business class sedangkan seat economy class masih ada? 
Saya rasa ini strategi licik. 

 But I'm happy for my maid dia dapat rest, dapat makan di lounge sebelum terbang. I'd rather pay the business class ticket than have her flight cancelled again and again. 

 Jadi sekarang beliau dah selamat sampai di rumah Shah Alam, esok kuarantin hari ke 3. 

 Will I fly with Malaysia Airlines again after this? 
Not if I have other options. 

 Kepada sahabat-sahabat yang bekerja dan tak ada maid, I salute you guys. Tabik spring. 

 To those yang ada maid, sama-samalah kita hargai mereka. 

 You can call me weak, call me mengada cannot survive without a maid, whatever. 

 6 bulan tak ada maid, dah lama tak nampak kabinet dapur tu. Asyik penuh dengan barang je haha. 

 Thanks for all your du'a guys. 

Love your support. 

 Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah 
 Insan lemah
#kisahkehidupanDrAzlindarita

Friday 2 July 2021

Kenangan kerja doktor junior kontrak

Kenangan bekerja sebagai junior doktor kontrak Satu masa dahulu saya bekerja di University College Hospital Galway (UCHG) sebagai houseman. Di sana, kami digelar intern. Di department saya, ada 3 orang surgical intern. Pada satu-satu masa, kami perlu menjaga 150 orang pesakit. Kami datang kerja pukul 7 pagi dan balik 9 malam hampir setiap hari jika tidak oncall. Waktu musim sejuk, pukul 7 pagi tu macam 5 pagi ya, subuh pun belum habis. 9 malam tu macam 11 malam sebab Isyak masuk pukul 7 malam. Dah sunyi sangat kalau berjalan balik dari hospital. Kerja memang sibuk, mana ada housemanship tak sibuk. Kena ambil darah pesakit, clerk patient, kalau ada code blue, kena CPR patient dengan team, hantar patient pergi OT. Salah seorang Registrar saya, namanya Tony Maloney. Yang paling tinggi,dalam gambar ni. Dia ni hebat membedah di OT, menyumpah pun hebat juga haha.
Satu hari ada kes kecemasan, seorang pesakit perlu dihantar ke OT segera dari wad. Saya selesaikan ambil consent, ambil darah, pastikan patient dah di tolak ke OT, kemudian saya lari ke Radiology untuk dapatkan filem X-Ray pesakit untuk di bawa ke OT. Tahun 2005 tu mana ada online X-Ray viewing. Dalam pada saya berlari tu, Tony telefon saya, "Rita! WHERE THE F THE F PATIENT? IF THE F PATIENT IS NOT ON THE F TABLE IN THE F 5 MINUTES, I'M GOING TO KILL YOU!" F tu memang dia guna perkataan itulah, kan. Takkan saya nak eja. Saya pun jawab balik, "I have literally pushed the patient to OT 5 minutes ago. He is on the way. If he is not there in 5 minutes, I will push the trolley myself! AND I DON'T TOLERATE THAT KIND OF LANGUAGE!" Masa tu staff nurse di sekeliling saya pun tanya, "Is that Tony Maloney? Serves him right!" Haha! Lepas habis OT, Tony pun datang jumpa saya, kata "Good job today, we saved that patient ." Lepas tu dia ajak pergi minum. Biasalah, orang Irish ni cakap je kasar, tak simpan kat hati. Satu ketika, salah seorang intern cedera dan kena operate kaki, maka perlu MC selama 6 minggu. Pengsan lah kami kena cover kerja beliau selama 6 minggu! Saya dan kawan saya seorang lagi, terus jumpa Timbalan Pengarah Hospital, dan beritahu, "With all due respect, sir, you need to get a replacement by next week. If you don't, both of us are not coming in to work on Monday. That's 150 patients in that team, with no intern." Kalau mereka tak cari replacement, kami nak strike. Mana boleh tanggung tugas 6 minggu macam tu je. Oncall lagi mesti berganda. Team kami pun support kami, termasuk Tony Maloney dan Pakar Perunding kami, walaupun kami hanya berdua masa tu. Hanya 2 orang intern. Tiada union pun. Alhamdulillah, minggu depan, terus ada intern baru masuk.
Alhamdulillah, itulah pengalaman saya kerja sebagai intern di Ireland. Walaupun status kontrak, walaupun saya bukan warganegara, saya tak pernah rasa di anaktirikan atau tidak dilayan sama rata. Hari terakhir saya sebagai intern di hospital itu, teka apa Tony Maloney kata kepada saya? "You are the f*cking BEST intern we ever have!" Nak juga carut sambil puji. 😂 Cheh
#KisahKehidupanDrAzlindarita

Tuesday 1 June 2021

Pengalaman bertugas di Pusat Pemberian Vaksin MSUMC

1 Jun 2021 Pengalaman hari pertama bertugas di Pusat Pemberian Vaksin. Ramai anak-anak yang bawa Mak Ayah usia 70an untuk cucuk vaksin. Tolong sorong kerusi roda, tolong pass borang persetujuan, IC. Bila saya bagi kaunseling tentang vaksin, apa nak buat kalau ada kesan sampingan pening kepala, demam dan sebagainya, ramai yang dengar sungguh-sungguh, angguk-angguk. Besar sungguh hati saya. Paling seronok bila tengok muka yang semangat tu, "Doktor, saya yang daftarkan Mak saya ni!" Heheh, saya ucap terima kasih je lah. Sambil ucap syabas! Mak Ayah tu kadang muka biasa-biasa je. Siap ada yang tanya, hari ni nak ambil ubat apa. Itu pentingnya kaunseling. Ada juga penerima vaksin yang semangat, seorang Auntie ni duduk kerusi roda sebab kakinya bersimen, suruh anak lelaki beliau baca di botol vaksin, "You make sure it's correct aah! And make sure it's 0.5ml they inject into me ha! If not, not enough dose!" Kelakar pun ada, tapi overall saya kagum tengok semua petugas-petugas , yang bekerja dari pagi sampai petang, tapi senyum je. Bukan nak puji staff sendiri, tapi saya yang datang bantu sekejap saja sebab pagi ada klinik, pun rasa letih nak bercakap di sebalik mask N95, kagum saya tengok mereka cekap jalankan tugas. Dari staff yang sambut penerima vaksin di lobi, kepada bahagian pendaftaran, saringan, bahagian kaunseling (saya ditempatkan di sini), tempat vaksinasi hinggalah tempat observasi selepas vaksinasi. In shaa Allah esok dan seterusnya, jika ada waktu senggang antara klinik dan OT, saya akan turun ke PPV. Inilah sahaja usaha kecil saya nak bantu tingkatkan jumlah penerima vaksin di negara kita. In shaa Allah, towards herd immunity! Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah Suka tengok gelagat orang

Saturday 15 May 2021

Mak Ayah tak nak Vaksin Covid?

OK ramai tanya saya macamana Mak Ayah saya dapat vaksin Covid. 1) Saya bukan golongan kayangan. Tiada laluan khas mahupun layanan istimewa. Saya pun dapat vaksin Fasa 1 (frontliners) selepas hampir sebulan fasa berlangsung. Saya daftar di MySejahtera dan kemudian dapat panggilan di PPUM kerana saya Pensyarah Honorari di sana. 2) Ayah saya daftar di MySejahtera beliau. Mama tiada handphone dan Ayah tak pandai nak masukkan nama Mama sebagai dependent, jadi saya daftarkan Mama sebagai dependent vaksin saya, di MySejahtera saya. Tidak mengapa pergi Pusat Vaksinasi tetapi tidak bawa MySejahtera (untuk Mama). Semasa vaksin, staff akan bantu daftar secara manual. 3) Selalulah periksa status vaksinasi di MySejahtera. Ayah saya hampir terlepas giliran beliau kerana tak periksa. Alhamdulillah staff dari Klinik Maharani telefon Ayah, pukul 3.30 petang. Mereka beritahu, patutnya Ayah kena datang pukul 2.30 petang. Macam biasa, Mama Ayah akan call saya OK ke nak pergi. Saya pun cakap, "Ayah kena pergi tu kalau dah giliran Ayah. Nanti vaksin tu dah bancuh, kalau Ayah tak pergi, kena buang. Sayang. Sedangkan beribu-ribu orang tengah tunggu nak dapatkan giliran." Alhamdulillah Ayah terus bergegas pergi. Staff Klinik Maharani pun baik, kata mereka akan tunggu hingga 4.30 petang. 4) Pemberian vaksin untuk fasa 2 (warga emas dan golongan berisiko tinggi) ini adalah menurut TURUTAN UMUR. Bermula usia 100 tahun dan kemudian yang lebih muda. Walaupun Ayah dan Mama didaftarkan lebih kurang hari yang sama, tetapi Ayah dapat dulu kerana beliau lahir 1944. Saya dapat panggilan untuk vaksinasi Mama keesokan harinya, kerana Mama lahir 1946. Harap yang mana Mak Ayah belum dapat panggilan, bersabar sekejap ya. 5) PENGARUH RAKAN SEBAYA DAN ANTIVAKSIN memang ada! Mak Ayah saya pun sama, banyak kali saya telefon, mereka kata takut lah, ada orang kata ini konspirasi lah. Mak kata ada kawan dia kata, vaksin ada darah babi lah. Tak nak Sinovac lah etc. Saya pun kata, "Kalau ini konspirasi, kita kena yakin virus itu makhluk Allah yang Allah arahkan untuk buat jangkitan kepada satu dunia. Tak ada manusia yang ada kuasa memberi penyakit atau menyembuhkan kecuali Allah. Ini soal aqidah. Vaksin pun bukan kita i'tiqad ia elak kita dari sakit, tapi Allah kata dalam Al Quran, kalau tak tahu, kita tanya yang Pakar. Pakar kata vaksin ni elakkan jangkitan yang teruk. Soal vaksin ada darah babi ke, kalau dah berubah bentuk, ia dah tidak najis. Bukan tanggungjawab kita nak dapatkan vaksin yang terbaik. Itu tanggungjawab pemerintah. Kita ambil sebagai jihad kita nak dapat herd immunity, apa sahaja vaksin yang kita ditawarkan. " Alhamdulillah walaupun banyak kali berubah fikiran, makcik pakcik kampung saya ramai yang berfikiran positif! Ramai yang cakap pada Mak Ayah saya," Aku yang lebih tua dari kau pun OK lepas vaksin, boleh puasa lagi sampai petang. Tak payah takut lah! Apa nak takut? Orang nak kasi ubat kok nak takut?". Ha, begitu. Oh ya, akhirnya status vaksin dependent Mak saya staff klinik tukar kan ke bawah Ayah saya kerana lebih mudah, mereka tinggal serumah kan. Begitulah. Harap membantu. Ramai sahabat-sahabat petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin kata uptake vaksin di kalangan warga emas MELAYU masih rendah. Belum pun kita dipanggil berjihad ke Palestin. Apa kata kita jihad dulu mendapatkan imuniti berkelompok negara kita, agar negara kita cepat pulih ekonominya, anak-anak kita boleh ke sekolah, dan kita boleh bangkit semula. Ayuh, anak-anak. Kita jaga Mak Ayah kita. Kita terang, bukan serang. Kita pujuk, in shaa Allah hati mereka sejuk. Jom Vaksin Covid! #Covid19Malaysia #kitabelummenang

Wednesday 28 April 2021

Usia 30an nak sungguh-sungguh buat apa?

Usia 30an, nak sungguh-sungguh buat apa? Kalau saya boleh putar masa 10 tahun dulu, apa saya nak buat? 1) Sungguh-sungguh doa dan kumpul duit pergi HAJI dan UMRAH . Pergi travel Korea, New Zealand, Australia tolak tepi dulu. Pergi haji, bawa Mak Ayah kalau mereka belum pergi. Pergi pakej, kalau boleh khemah Mina paling dekat dengan jamrah supaya senang Mak Ayah pergi melontar. Pergi pakej supaya hotel dekat dengan Masjidil Haram. Impian saya nak solat sebelah Mak depan kaabah belum tercapai sampai hari ini.
2) Sungguh-sungguh BELAJAR . Ya, sambung Masters. Kalau terniat, sambung je. Anak kecil ke, takut tak boleh bahagi masa ke, takde duit ke. Sambung je. Orang putih kata, just "bite the bullet" . Minta restu suami, restu Mak Ayah, buat je. Jangan fikir panjang sangat, lama sangat. Nanti lemau, masuk angin, last-last duduk di comfort zone sampai tua. Saya pun lemau, dah nak 40 baru sambung sub kepakaran.
3) Sungguh-sungguh kumpul duit beli RUMAH dan bukan kereta mewah. Bukan. Bukan Honda, BMW, Mercedes, Audi. Bukan. Rumah. Tak perlu explanation. Pahit nak cerita. 4) Sungguh-sungguh belajar tadabbur Al Quran. Dah umur 40 ni rasa jahilnya, banyak benda tak tahu. Sirah Rasulullah SAW pun tak tahu. Cari guru yang ambil ilmu dari sumber sahih. 5) Sungguh-sungguh complete your family. Kalau rasa nak beranak, dan MAMPU, silakan. Selepas usia 30, terima hakikat yang tahap kesuburan akan menurun. Jika mencuba untuk hamil selepas 6 bulan, tak dapat, sila jumpa doktor Pakar. Usah kata, "takpelah, kalau ada rezeki tu, adalah," lepas tu bila dah 40an nak anak lagi (atau baru nak mula ada anak) , baru nak mulakan rawatan kesuburan, chances sudah semakin kurang.
Cukuplah 5. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Tetapi adik-adik, cubalah agar kalian lebih baik dari saya ya in shaa Allah. Capai lah apa yang saya tidak tercapai. Yang penting dalam hidup, motto kita sebagai umat Islam, kita hanya nak REDHA ALLAH saja. In shaa Allah. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah Ramadan waktu refleksi usia

Friday 23 April 2021

Nasihat saya umur 40 kepada saya umur 25

Nasihat saya umur 40, kepada saya umur 25 1) Spend masa dengan anak lebih dari dengan kawan-kawan. Anak akan berada dengan kita sampai tua. Kawan belum tentu 2) Spend duit untuk Mak Ayah lebih dari yang kita nak, walau mereka tak minta. Takkan zakat 2.5%, Mak Ayah kita pun layak banyak tu je. 3) Spend masa untuk bersenam. Kalau dah biasa masa muda, dah tua lebih mudah. 4) Jangan percaya cakap kawan, masa muda enjoy, tak payah jaga makan. Orang umur 35 mati sakit jantung pun ada. 5) Jangan lupakan Al Quran. Bacalah walau satu page sehari. Jangan sampai Allah tak nak dengar suara kau tu baca ayat Dia. 6) Kawan biar beribu, betul. Tapi kalau kawan tinggalkan kau bila kau susah, maafkan dia tapi jangan lupakan dia sampai mati. 7) Kawan yang tetap ada masa susah, kenang jasa dia sampai syurga. Doakan dia dalam diam. 8) Hargai pasangan yang baik. Itu rezeki Allah PALING BESAR untuk kau. 9) Berbelanja tak salah tapi simpanan jangan lupa. 10) Jaga-jaga gaya hidup nak impress orang. Tanya dalam hati, nak redha Allah ke, ke redha manusia. Yang benar, Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah 40 tahun. Waktu untuk berubah.

Saturday 17 April 2021

Kisah pesakit yang beristighfar

Hari ini hari yang menarik bagi saya. Ada seorang pesakit saya berbangsa India, beragama Hindu. Beliau baru berusia 30an, tetapi sudah ada glaukoma. Apabila saya beritahu beliau diagnosis itu, beliau terus sebut "Astaghfirullahalazim " Terkejut saya. Beliau gelak saja. Kata beliau, "Saya dah lama baca tafsir Al Quran, doktor. Injil pun saya baca, kitab Hindu pun saya baca." Kemudian beliau kata, beliau percaya pada satu Tuhan, tetapi beliau tidak percaya kepada agama. Kerana beliau tidak jumpa satu pun ayat dalam mana-mana kitab, yang Tuhan kata agama itu yang betul. Saya pun jawab, dalam kitab lain, banyak dah diubah. Taurat dah banyak diubah. Injil pun ada Old Testament, New Testament. Tapi Al Quran dah 1400 tahun, tak ada yang berubah. Ramai orang hafaz Al Quran, kalau ada orang nak ubah satu ayat pun, ada orang akan tegur. Dan Islam adalah agama yang Allah sahkan agama yang Allah pilih untuk manusia. Ada dalam surah Al Maidah. ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِي مَخۡمَصَةٍ غَيۡرَ مُتَجَانِفٖ لِّإِثۡمٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. -Surah Al-Ma'idah, Ayat 3 Beliau pun tercengang, dan angguk-angguk. Saya pun kata, saya tak banyak ilmu, tapi beliau boleh sama-sama belajar dengan ustaz saya, Ustaz Abdul Muien dari Ghulam Al Dakwah . Kita nak belajar tentang Islam, belajar dari Al Quran, cara Allah nak kita faham, dengan tadabbur Al Quran. Alhamdulillah, beliau kata OK. Baik pesakit saya ni. Sangat open minded. Saya doakan orang yang baik seperti beliau, diberi hidayah oleh Allah untuk belajar ilmu Al Quran in shaa Allah. Sama-sama kita doakan beliau. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah 4 Ramadan 1442H

Thursday 11 March 2021

Saya yang gelabah ayam, pada hari vaksinasi Covid.

10 Mac 2021. Saya diminta sampai di PPUM untuk vaksinasi jam 10.30, walaupun dalam jadual pukul 11 pagi. Saya dah atur semula jadual pesakit saya di MSUMC. Pukul 9 lebih saya dah gerak dari rumah. Tapi tiba-tiba jalan jem!! Jantung rasa berdegup lebih 100 beats per minute kot. Tengok waze, disuruh lalu jalan yang lain. Jam sudah pukul 9.50. Alhamdulillah, pukul 10.10 saya sampai di parking depan PPUM. Apa lagi, jalan laju-laju lah pergi hospital.
Tumpang di Klinik Mata untuk print consent form melalui UM staff portal, tiba-tiba akaun saya tak aktif pula! Jam dah 10.20 pagi. Dugaan betul! Saya call bahagian IT, IT minta call department, department kena call HR. Ini semua isu teknikal saja, sebab status saya masih aktif sebagai Pensyarah Honorari. Berpeluh dibuatnya. Mujur ada staff beritahu, consent form itu dia boleh tolong print kan. Fuuuuh mujurrr. Alhamdulillah. Siap print consent form, saya pun berjalan ke Menara Selatan dari Menara Utama. Sampai di lift, orang ramai!! Takkan nak naik tangga sampai tingkat 13! 😅 Tiba-tiba saya nampak seorang lelaki depan saya, beliau pegang consent form juga macam saya. Kemudian saya terdengar suara polis bantuan sebut, "Penerima vaksin! Penerima vaksin!" Kemudian lelaki itu terus berjalan ke lif di hujung. Saya pun ikut lah lelaki itu. Rupanya ada satu lif khas untuk penerima vaksin! Ma shaa Allah, rasa macam jemaah haji pula. Syukur sangat dipermudahkan urusan. Di tingkat 13, mula-mula berjumpa Pegawai Perubatan, yang bertanya status kesihatan, ada batuk tak, demam, ada berjumpa pesakit yang positif Covid tak. Alhamdulillah, saya jawab semua tak ada. Kemudian beliau periksa consent form, check suhu, dan kemudian kita beratur untuk periksa nama. Masa ni berdebar sekali lagi takut nama tak ada dalam senarai. Bila staff nurse sebut saja nama, fuuuh lega betul.
Kemudian, kita masuk ke dewan, untuk dengar informasi tentang vaksin dan flow perjalanan hari ini.
Tak lama kemudian, seorang demi seorang dipanggil untuk pendaftaran.
Semasa pendaftaran inilah status kita di MySejahtera akan di update. Sebelum pendaftaran ini, tiada pun status atau tarikh temujanji suntikan ini dalam MySejahtera saya. Selepas pendaftaran secara manual ini, automatik terus ada.
Selesai mendaftar, kami beratur, dan di bawa untuk ke ruang menunggu, untuk ke bilik kaunseling.
Semasa di bilik kaunseling, doktor tu tanya, ada masalah kesihatan ke, ada alahan. Saya ada alahan shellfish masa kecil je, jadi ruam di muka jika saya makan. Jadi kena observe 30 minit selepas suntikan nanti. Walaupun risiko rendah, kejadian ni dulu-dulu saja, sekarang kalau makan tak jadi apa pun, tetap kena observe. Teliti sungguh mereka ni.
Kalau tak ada sejarah alahan, observation adalah 15 minit sahaja. Doktor juga pesan, kalau wanita hamil, dinasihatkan ambil suntikan semasa kandungan 13 hingga 34 minggu sahaja. Kalau ada rawatan chemotherapy pun tak boleh ambil suntikan ini. Selesai kaunseling, doktor akan ambil satu salinan consent form, satu salinan kita simpan.
Kemudian, sampailah the moment of truth. Waktu untuk injection!
Alhamdulillah ruangnya sangat privacy. Sangat menjaga aurat. Pagi tadi nak datang, saya siap try tengok baju mana senang nak selak lengan sampai bahu. Saya pilih baju yang ada zip depan, kalau susah nak selak lengan, boleh juga selak di leher baju, ke bahu. Alhamdulillah, staff nurse saya yang bernama Intan, tersangat lah lemah lembut, tak terasa langsung beliau cucuk! Disebabkan tarikh injection saya tak sama dengan tarikh asal, maka saya perlu ambil gambar code bar vaccine saya, kemudian beri kepada doktor di luar yang akan update ke MySejahtera saya secara manual. Apabila sudah key in nombor kod vaksin, barulah akan tertera di MySejahtera yang kita sudah complete suntikan yang pertama. Selesai proses ini, saya diminta ke ruang recovery, untuk proses observation selama 30 minit.
Selama saya di sana, hampir semua orang ok saja. Ada seorang sahaja yang kata rasa jantung berdebar - debar. Alhamdulillah, selesai semua, kami diberi kad temujanji untuk suntikan ke 2 iaitu 21 hari dari sekarang. Saya pun terus balik ke MSUMC dan klinik yang sangat sibuk menanti saya. Alhamdulillah saya boleh bawa kereta, kerja, makan, solat macam biasa.
Hampir 24 jam se lepas suntikan, cuma rasa sakit sedikit di tempat suntikan. Itu sahaja, Alhamdulillah. Syukur sangat. Terima kasih PPUM. Kesimpulannya, in shaa Allah 1) Vaksin adalah selamat. Selepas hampir 24 jam, saya tak ada rasa nak demam ke, lenguh badan ke. Tak ada. Malam tadi tidur OK saja, cuma sakit di bahu tempat cucuk saja. 2) Pastikan anda jujur dengan doktor, beri semua sejarah perubatan supaya mereka boleh observe anda selepas beri suntikan 3) in shaa Allah semua orang yang daftar akan dapat giliran, dan saya doakan semua dipermudahkan. Terutamanya sahabat-sahabat saya di Selangor. OK Sekian sahaja pengalaman saya mendapat vaksin Covid jenama Pfizer semalam. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah Bersyukur terpilih dapat vaksin awal.

Wednesday 10 March 2021

Vaksin Covid part 1 : Daftar Vaksin untuk Mak Ayah, tiba-tiba dapat turn saya!

"Daftar vaksin untuk Mak Ayah, tiba-tiba dapat turn untuk saya." 21 Februari 2021, vaksin Covid sampai di Malaysia 23 Februari, saya dah mula daftar untuk vaksin. Tetapi jawapan yang diterima, hanya "we are currently in phase one of the vaccination program for frontliners"
Tiada langsung petanda bahawa nama saya sudah didaftarkan. 24 Februari, bermulalah program vaksinasi di Malaysia. Hampir setiap hari saya melihat status pendaftaran saya, sambil melihat status FB puluhan sahabat-sahabat frontliners saya yang sudah menerima vaksinasi. Alhamdulillah, saya gembira buat mereka, semakin ramai yang di vaksin bererti semakin ramai yang di lindungi! Sebaik-baik pelindung pastinya Allah SWT. Satu hari, statistik program vaksinasi kebangsaan keluar, saya amat terkejut melihat sangat sedikit jumlah penerima vaksin di Selangor! Ketika itu, daripada lebih 53,000 vaksin, hanya 2047 adalah penerima di Selangor, sedangkan setiap hari jumlah kes baru tertinggi, adalah di Selangor.
Ada pula gambar orang bukan frontliner yang sudah menerima vaksin, termasuk Penolong Pegawai Daerah di sebuah negeri di utara. Dalam hati saya, apa hak orang itu menerima vaksin lebih dahulu dari kami yang saban hari bertemu pesakit? Hampir 2 minggu program vaksinasi berlangsung, masih lagi tiada berita bila giliran vaksinasi untuk kami di hospital swasta Selangor ini. Hingga semalam, 9 Mac, saya bermimpi, saya akan menerima vaksin, dan suami saya kata, "Eh, tahu tak side effect vaksin yang itu adalah glaucoma! Awak mana boleh ambil. Awak ada sejarah keluarga glaucoma!" Ini tidak benar ya. Mainan tidur semata-mata. Tidak ada kesan sampingan vaksin boleh sebabkan glaukoma. Ini semua mimpi buruk saya sahaja kahkahkah. Bangun pagi itu,saya terus daftarkan Mak Ayah saya untuk vaksin melalui www.vaksincovid.gov.my. Alhamdulillah adik beradik saya juga sudah mendaftar. Dalam perjalanan pergi kerja, saya telefon Mak dan beritahu yang saya dah daftarkan Mak Ayah. Mak pun kata, "Alhamdulillah. Mak malas betul nak pergi kat MySejahtera tu. Bukannya Mak pandai. Ha, kau dah dapat vaksin ke, kau kan doktor. " Saya jawab, "Belum Mak. Kami doktor di hospital private Selangor ni, belum ada bunyi pun." Mak pun mulalah bising pung pang pung pang hahaha. Biasalah Mak kan risau anak dan menantunya doktor. Saya pun kata, nak buat macamana, kita tunggu saja lah. Saya pun cakap, saya janji saya akan jaga jarak, pakai mask dan sebagainya, jadi Mak janganlah risau. Kami pun sambung bersembang hal-hal lain. Hati saya jadi tenang bila berbual dengan Mak. Saya jadi teringat, satu hadith, sabda Rasulullah SAW, “Allah telah menulis (di Lauh Mahfuzh) segenap takdir makhluk 50, 000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi” (HR. Muslim) Sampai di hospital,pesakit ramai sungguh. Klinik saya sibuk hari Selasa itu. Selalunya kalau sibuk, saya memang tak layan handphone saya langsung.
Entah kenapa, tiba-tiba ada satu panggilan telefon dari nombor tak dikenali, dan saya pun angkat panggilan tu, walaupun saya ada patient. Suara sayup-sayup saja, "Assalamualaikum, Dr Azlindarita Aisyah ya?" Saya jawab ya. Orang itu kata, "Saya staff nurse dari Pusat Vaksinasi Covid-19, Pusat Perubatan Universiti Malaya. Doktor patutnya tarikh vaksin 22 Mac. Tapi Doktor boleh datang untuk vaksin esok, pukul 11 pagi?". Pada mulanya, saya jawab, saya ada ramai patient hari Rabu, kebetulan ia hari klinik juling bersama Pakar Orthoptist saya, saya ada berbelas pesakit. Sebaik sahaja saya jawab begitu, terus rasa," Bodohnya kau Aisyah kalau tak ambil slot ni. Kalau tak, lambat lagi kau dapat vaksin!" Terus saya kata, "OK Puan! Esok saya datang in shaa Allah!" Ma shaa Allah, Alhamdulillah! Betullah, di saat kita serahkan semua pada Allah, Allah aturkan semuanya dengan mudah. Hati punyalah berdebar, macam tak percaya. Saya tak cerita dengan sesiapa pun, walaupun kepada suami saya, sampailah dapat SMS dari pihak PPUM, malam itu. Malam itu siap tidur awal, nervous punya pasal hahahah. OK nanti sambung cerita hari kejadian.

Monday 22 February 2021

SPM : sekeping kertas, tiket saya ke luar negara

SPM Sijil Pelajaran Malaysia Hanya satu kertas? Memang lah kertas. Tapi ia tiket saya nak pergi luar negara haha! Semasa saya di sekolah menengah, Abang saya yang kedua belajar di USA. Beliau selalu hantar gambar beliau main salji. Gambar itu saya letak di meja belajar saya di asrama. Sejak saya 9 tahun, Ayah dah pesan saya mesti jadi doktor. "Nanti boleh naik kapal terbang pergi London," Ayah kata. Saya tak pernah naik kapal terbang komersial seumur hidup saya ketika itu. Mak pula kata, "Kalau nak pergi luar negara, kena dapat biasiswa. Mak mana ada duit nak hantar. Nak dapat biasiswa, kena dapat 10A1!" Itu sahaja sudah cukup untuk memotivasikan saya untuk belajar sungguh - sungguh setiap masa.
Waktu sekolah, saya belajar. Waktu prep, saya belajar. Waktu riadah? Pun saya belajar juga. Orang lain di asrama ramai kawan, saya banyak buku. Rasanya tak ada orang nak kawan dengan saya, waktu riadah pun cari meja nak study. Impian saya adalah 10A1, nak dapat biasiswa, nak naik kapal terbang, pergi London! Waktu cuti, saya belajar dari 8 pagi sampai 11 malam. Mak saya kata, dia tak pernah ada anak macam saya. Makan pun kena ingatkan. Kadang Mak terpaksa bawa makanan pergi meja study saya sebab saya lupa nak makan. Alhamdulillah saya dapat 8A1, 1A2, 1 C3 (Add Maths). Masa tu punyalah kecewa, keputusan SPM keluar, saya mencangkung menangis tepi longkang depan office di sekolah. Macam tak bersyukur kan? Kawan-kawan lalu, geleng kepala. "Apalah Didi tu, dapat top 10 di sekolah kot, pun nak sedih." Saya tak peduli, saya telefon Mak dalam esak tangis, minta maaf saya kecewa kan Mak, terus naik bas dari Jasin sampai Muar. Saya tak dapat program forecast A level. Saya gagal. Saya hanya dapat masuk matrikulasi UKM Bangi. Di Matrikulasi Bangi, apabila ada kawan-kawan yang straight A SPM 1997, dapat panggilan ke luar negara untuk A Level, saya sedih sekali lagi. Saya pun pulun belajar lagi dan lagi. Saya target nak dapat 4.0 pula. Tak dapat pergi oversea pun, saya mesti nak masuk Medic. Saya tukar strategi, saya study pukul 5 pagi hingga 11 malam pula. Kalau saya tak faham, saya tanya kawan-kawan. Masa ni dah mula faham apa itu tahajjud, konsep berdoa, tawakkal selepas berusaha. Alhamdulillah semester pertama, dapat pointer 4.0. Semester kedua dapat 3.93. Alhamdulillah rupanya ada hikmah, MARA ada program ke luar negara juga, menggunakan keputusan matrikulasi. Alhamdulillah saya bersama 27 orang pelajar lain dari seluruh Malaysia, selepas menjalani temuduga, terpilih ke Ireland untuk program Sarjana Muda Perubatan. Rupanya ia lebih pantas berbanding kawan-kawan yang menduduki A level kerana mereka perlu menjalani 2 tahun, baru masuk tahun 1 Universiti. Saya hanya perlu 1 tahun matrikulasi, kemudian kerana cemerlang semasa temuduga, saya dapat masuk program 2 in 1 iaitu saya jalani Tahun 1 dan Tahun 2 Perubatan di National University of Ireland Galway serentak.
Punyalah susah nak lulus program tu. Baru nak adapt tempat baru, nak belajar accent orang Irish, nak salin nota, nak belajar banyak subjek, semua kena lulus, nak kena viva voce untuk hampir semua subjek! Maknanya peperiksaan semua subjek akan ada temuduga atau ujian lisan. Tak kisah lah Physiology ke, Biochemistry ke, Anatomy ke. Semua kena "defense" sampai Pensyarah yakin yang kita dah kuasai subjek.
Ini satu kekuatan NUI Galway. Jadi makin tahun, kami makin yakin bercakap dalam bidang Perubatan. Saya belum fasih berbahasa Inggeris masa itu, tetapi orang Irish tak selalu gelakkan saya. Kalau kena gelak pun saya buat bodo je lah. Saya memang bukan orang putih pun. Saya Melayu Jawa. Program 2 in 1 ini bererti, pada ketika kawan-kawan A level baru habis A level, saya dan kawan-kawan matrikulasi dah nak masuk tahun 3 Perubatan di Ireland. Maka saya gigihkan juga lah habiskan program yang macam boot camp itu. Berapa kali nangis, rasa nak quit tak payah cakap. Mujur ramai kawan-kawan bantu, pinjamkan nota, saling beri semangat dan study sama-sama. Apabila di luar negara, kita tak ada keluarga, sesama pelajar Malaysia jadi macam adik beradik.
Alhamdulillah saya lulus semua subjek dalam Sarjana Muda Perubatan, dengan Honours iaitu kepujian. Alhamdulillah, kejayaan ini semua dari Allah. Satu strategi baru saya belajar untuk lebih cemerlang lagi, adalah kaedah study group.
Alhamdulillah, semua ada yang berlaku ada hikmah. Tak dapat pergi A Level, saya bertemu jodoh di matrikulasi UKM. Semua bermula dengan sekeping kertas SPM itu. Tanpa keputusan SPM itu, pasti saya tak dapat masuk Matrikulasi UKM Bangi itu. SPM, ia bakal mengorak langkah pertama kehidupan berkerjaya anak-anak semua. Selamat maju jaya. Dream big till it scares you. And then work hard till it come true! Allah will reward you for it, surely! Have faith! All the best! Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah SPM 1997 Mak Ayah motivator terbaik saya

Wednesday 3 February 2021

Pengalaman pertama kali jumpa kanak-kanak kanser dalam mata

Pertama kali saya jumpa pesakit retinoblastoma, adalah semasa saya dalam tahun 3 Sarjana Oftalmologi di Universiti Malaya. Saya ingat lagi hari itu hari Isnin. Kanak-kanak berusia setahun setengah itu tersangatlah comelnya. Baru laju nak berjalan. Budak perempuan Cina, rambut toncit, jalan pakai kasut bunyi cit cut cit cut di klinik kami. Ibunya kata, beliau nampak anaknya kadang-kadang juling. Kawan saya Dr Faizal periksa dalam matanya, mukanya berubah. Beliau panggil saya, "Aisyah, kau tengok ni." Saya pun berdebar. Panggil Prof pula. Prof minta kami panggil ibunya, kami terus nasihatkan untuk masuk wad, esok kami buat MRI, lusa masuk OT untuk pemeriksaan lanjut. Dalam OT hari Rabu, Prof dapati dalam KEDUA-DUA mata kanak-kanak itu ada kanser retinoblastoma. Sebelah sudah penuh dengan kanser, sebelah lagi ada kanser yang kecil. Yang penuh dengan kanser, perlu dibedah dan dibuang segera untuk elakkannya merebak ke otak . Yang satu lagi perlu dilaser. Kami dapatkan keizinan untuk terus membedah daripada ibubapa kanak-kanak itu, ketika itu juga. Alhamdulillah kedua-dua ibu bapanya mengizinkan, walaupun dengan esak tangis. Saya ingat lagi ketika Prof membedah, saya menangis dalam Dewan Bedah. Registrar saya yang juga seorang ibu, juga menangis. Prof saja sangat kuat hati. Respect saya pada Prof. Ketika itu saya janji dengan diri sendiri, saya TAK NAK buat sub kepakaran Paediatric Ophthalmology. Ia terlalu menyedihkan! Saya teringat anak saya! Tetapi apabila melihat kanak-kanak itu survive, rupanya pembedahan itu, dengan izin ALLAH, membantunya. Alhamdulillah, tahun ini tahun ke 4 saya bertugas sebagai Pakar Mata Kanak-kanak, selepas dibimbing oleh Prof yang sama. Inilah video saya, untuk memberi maklumat dan informasi tentang retinoblastoma kepada orang ramai, sempena Hari Kanser Sedunia hari ini. Ini link nya https://youtu.be/zSFuEUo9bEQ Saya masukkan di ruang komen, supaya cerita saya ini, turut dapat dibaca, apabila sahabat yang budiman, tolong share video saya ini . Terima kasih.

Tuesday 2 February 2021

Kenapa saya nak anak saya jadi doktor

Ya, saya nak anak saya jadi doktor. Kalau diberi pilihan, saya nak anak saya jadi Pakar Bedah. Kenapa? Kerana saya jadi hamba apabila saya membedah. Saya jadi manusia paling hina, langsung tidak ada apa-apa, paling bergantung pada Allah, ketika saya membedah. Secanggih mana pun peralatan. Semahal mana pun microscope. Semoden mana pun mesin phaco. Tak kira berapa ratus pembedahan pun saya dah buat. Walaupun sehati-hati mana saya membedah, jika Allah kata KUN, maka akan berlaku komplikasi, walaupun pembedahan itu sepatutnya mudah. Ya, KUN, FA YA KUN. Jika Allah kata, "JADILAH, maka akan terjadilah" Orang beriman wajib beriman kepada qadha dan qadar Allah. Hadith Rasulullah SAW, “Allah telah menulis (di Luh Mahfuzh) segenap takdir makhluk 50, 000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi” (HR. Muslim) Sebelum pembedahan, semasa mengambil keizinan pembedahan, saya akan beritahu pesakit, "Encik /Puan, saya yang bedah Encik /Puan, tetapi Allah yang gerakkan tangan saya. Saya tak hebat. Semua ilmu, Allah yang beri pada saya. Yang hebat hanya Allah." Jika saya riak, Allah uji saya dalam pembedahan. Hari ini, pesakit saya sangat istimewa. Katarak beliau tidaklah keras. Sepatutnya mudah sahaja. Rupanya katarak yang lembut itu, lebih sukar dibedah. Berdegup kencang jantung saya. Ketika sipi-sipi komplikasi hampir berlaku, saya panjatkan doa, "Ya Allah, orang ini sangat baik, ya Allah. Dia seorang ibu yang baik. Anak-anaknya soleh dan solehah, semua berakhlak baik. Dia menjaga suaminya yang peritoneal dialysis setiap hari, ya Allah. Bantu dia Ya Allah. Dengan asbab amalan baik dia, Ya Allah, bantulah aku supaya pembedahannya lancar, Ya Allah. " Dan selepas itu, seperti air sungai yang mengalir, pembedahan berjalan lancar hingga selesai. Subhanallah. Allahu Akbar! Selepas pembedahan, makcik bertanya, berapa lama pembedahannya. Saya beritahu beliau jangkawaktunya. Beliau kata," Oh tak lama. Cuma rasa sengal sedikit." Alhamdulillah. Sungguh Allah itu Maha Penyayang, Maha Hebat. Yang Hebat itu, hanya Allah. Ya, saya teringin sangat anak-anak saya merasai apa yang saya rasai. Tetapi jika tiada pun, tidak apa. In shaa Allah mudah-mudahan ada di kalangan anak-anak murid pelajar perubatan saya, pasti ada yang bakal merasai, betapa indahnya menjadi hamba, ketika manusia melihatmu hebat. Merasai bagaimana Allah mentarbiah dirimu kembali ke posisi paling rendah, dan mengembalikan segala kejayaan, hanya kepada ALLAH. Alhamdulillah. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah 2 Februari 2021 Shah Alam.

Monday 25 January 2021

Tiada bibik, maka hak kita untuk "memetir" pada anak?

Hari ni antara yang trending adalah ramai orang kata, "Iyalah, ada helper, ada bibik boleh lah artis tu lemah lembut dengan anak online class, tak kena masak, basuh baju, basuh berak anak." Ya, saya sedar, sejak saya ada anak, saya pun jarang-jarang tak ada pembantu, jadi saya bukan contoh yang baik. Alhamdulillah juga kejadian online class segala ni, berlaku dengan anak-anak saya 2 orang sudah di sekolah menengah, hanya seorang sekolah rendah dan seorang tadika. Saya pula bekerja, dan kurang masa untuk memerhatikan anak-anak, maka mungkin kurang kesempatan untuk "memetir" dengan mereka hahaha. Tapi itulah kan, لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. -Surah Al-Baqarah, Ayat 286 Saya nak beri contoh Mak saya. Mak saya, sekolah sampai darjah 3 sahaja. Membesarkan kami 5 beradik, masa tu Mak bukan surirumah sepenuh masa. Pagi Mak menoreh, tapi pagi Mak siapkan sarapan kami dulu, baru pergi kebun . Kami adik beradik semua bersiap, tak pernah pula dengar Mak jerit-jerit marah kami pagi-pagi. Abang-abang 3 orang tu semua gosok baju sendiri, pandai saja sarapan sendiri. Saya je lah kecil lagi, kadang kala Ayah kena tolong ikatkan rambut sementara Mak carikan stokin abang lah, bungkuskan nasi lemak untuk jual kat sekolah lah. Abang saya part time jual nasi lemak ni. Saya tak diberi tugasan ni sebab matematik kurang cekap. Haha. Bila terfikir, agaknya pukul berapa Mak saya bangun masak sambal semua tu kan? Kami pergi sekolah, Mak pergi menoreh. Adik kecil masa tu baby, Mak hantar rumah Mak dia, iaitu nenek kami. Atuk dan nenek kami belah ayah, yang duduk serumah, Mak dah siapkan sarapan untuk mereka. Kami balik tengahari, Mak dah balik dari menoreh, makanan tengahari dah siap. Entah bila Mak masak. Petang, kami balik sekolah agama, Mak pesan, "Kalau nak pergi main, sebelum Maghrib mesti balik. Solat Maghrib jemaah. Kalau Maghrib tak ada kat rumah, siap!" Huuuuu itu je Mak gertak, kecut. Maghrib berjemaah, lepas tu mengaji Mak juga yang mengajar. Sejak saya darjah 3, Ayah kerja di KL. Makan malam, semua Mak juga yang siapkan. Bila fikir balik, sepanjang saya membesar, saya tak pernah dengar Mak saya ni menjerit ke, memekik ke marah kan kami. Jangan salah faham, Mak garang! Bukan jenis lemah lembut sangat pun hehe. Kalau tak nak mengaji, Mak suruh duduk dalam tandas! Kalau buat bising masa Atuk nak rehat, Mak rotan! Tapi mulut Mak tak bising. Alhamdulillah, kami berlima, jadi manusia yang pandai hormat orang tua. Pandai turun ke dapur bila hujung minggu nampak Mak masak. Bila Mak suruh, tak berani nak lambat-lambat kan. Rasa hormat dan sayang pada Mak Ayah tu, tak pernah surut. Kami faham nilai sebuah buku adalah kena pakai untuk 5 beradik sebab lepas Ayah pencen askar, kami bukan orang senang. Begitulah. Ya, saya pun tak lulus juga, belum jadi ibu sebaik Mak saya, tetapi saya pun tak nak jadi ibu yang memekik menjerit marah anak. Sebab saya ada role model Mak saya yang baik. Saya tak nak anak-anak ingat kenangan "dulu Ummi tu suka jerit-jerit marah-marah". Sepatah kata Ustaz Abd Muien, Firaun yang jahat, bakal ahli neraka pun Allah suruh Nabi Musa bercakap LEMBUT dengan dia. Anak-anak kita tak lah sejahat Firaun. Kalau kita belum jadi ibu yang baik hari ini, biarlah kita bertekad jadi ibu yang baik mulai esok in shaa Allah. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah Tak mungkin terbalas semua jasa Mak Ayah

Sunday 24 January 2021

Mimpi Atuk

Atuk. Ini arwah datuk saya Haji Mohd Noh, bapa Mak saya. Saya rasa Atuk saya ni antara orang yang paling warak saya pernah jumpa. Pada usia 70an beliau mula hilang pendengaran. Tapi hidup beliau sentiasa dengan Al Quran, dengan kitab-kitab hadith dan sebagainya. Kalau Hari Raya, semua orang akan dapat duit raya RM1 dari Atuk, kerana Atuk kata nak sedekah. Atuk selalu ingatkan, zikir itu bagus. Tetapi zikir paling baik adalah Al Quran. Seminggu sebelum Atuk meninggal, Atuk tanya Mak. Masa tu Atuk masih tinggal di rumahnya, tak jauh dari rumah Mak saya. Atuk tanya, dalam bahasa jawa, "Hari ini hari apa?" Mak saya jawab, "Hari Isnin." Atuk jawab, "Isnin depan nak balik." Mak saya tanya, "Isnin depan nak balik mana, Pak? " Atuk cuma kata, "Nak balik sana. Dah, sudah." Sambil melambai tangan menyuruh Mak saya balik, selepas Mak hantar makanan. Rupanya Atuk nak pergi Isnin depan itu. Waktu itu saya sedang sarat hamil Uwais. Usia Atuk 90an. Semalam saya mimpi Atuk. Atuk muda, wajah Atuk kacak sekali. Ma shaa Allah saya tak pernah nampak Atuk masa muda begitu, tetapi wajah Atuk nampak berseri sekali. Dan saya rasa gembira sekali dapat jumpa Atuk. Walaupun sekejap. Alhamdulillah, mudah-mudahan Atuk berada di dalam taman-taman syurga. Semoga Atuk mendapat pahala yang mengalir kerana Atuk mengajar Mak mengaji, Mak mengajar saya mengaji, saya pula mengajar anak-anak saya mengaji. Mudah-mudahan nanti kita berjumpa di syurga ya Atuk. Rindu Atuk. Rindu Mak juga. Semoga Allah pelihara semua warga emas yang kita sayangi in shaa Allah. Tiada perlindungan yang lebih hebat, berbanding perlindungan dariMu ya Allah.

Tuesday 12 January 2021

Nafas PKP 2.0 13 Jan 2021

Lama dakapan suami saya sebelum beliau pergi bertugas pagi ini. Klinik baru nak bernafas, pesakit baru nak bertambah. Pasti akan terkesan semula selepas ini. Ada staff perlu digaji. Ada sewa kedai perlu dibayar. Belum lagi difikir, dengan setiap pesakit yang datang, ada risiko Covid juga. Tiada kata-kata yang lahir dari mulutnya tentang kerja, hanya katanya risau pelajaran anak-anak. Saya pun tidak terkata apa-apa. Hanya teringat satu hadith yang Ustaz Abd. Muien pernah sebutkan di dalam kelas. Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714) In shaa Allah, usah sedih, sahabat baikku. Usah bimbang, kawan-kawan semua. Allah hapuskan dosa kita, in shaa Allah. Selagi kita bergelar Muslim. In shaa Allah. Allah sentiasa ada. #PKPMalaysia2021

Sunday 3 January 2021

Buang masa temankan isteri shopping?

Tadi pergi beli barang-barang sekolah anak dengan Encik Suami. Beritahu dia, saya nak singgah kedai baju kesukaan saya di Seremban ni. Dia OK saja, tunggu di luar kedai. 15 minit saya pusing-pusing dalam kedai, ada yang berkenan warna, tiada saiz. Ada yang ada saiz, tiada potongan yang saya suka. Akhirnya saya keluar tak beli apa-apa. Encik Suami tanya, "Eh tak ada ke?" Saya pun cakap, "Tak adalah, macam yang saya beli dulu. Saya suka baju tu, material dia sesuai pakai dalam aircond. Cutting pun cantik. Dah tak ada. " Dia jawab, "Alah, sayang betul." Wajahnya ikhlas betul. Sambil dia ajak pula saya tengok gerai-gerai lain di sekitar mall, jika ada blouse seperti yang saya mahu. Puas membelek, tiada yang berkenan, saya pun ajak masuk Mydin cari barang anak-anak. Beli barang anak-anak, dia tolong saya ambil barang anak-anak boys, saya pilih barang anak-anak girls. Secara jujur, hari ini saya rasa sangat disayangi, walaupun tiada acara makan berdua, berjalan berpegangan tangan, mahupun dibelikan apa-apa hadiah istimewa. Ya, begitu ya, kawan-kawan. Seorang isteri tu, kadang bukan mahu sesuatu yang istimewa dari seorang suami. Tetapi yang paling istimewa, adalah PERHATIAN yang diberikan 1) menunggu isteri memilih pakaian, tanpa memberi had masa 2) tidak menunjukkan wajah kecewa atau marah apabila isteri dah masuk kedai lama, tapi tak beli apa-apa pun 3) acknowledge atau iyakan perasaan isteri yang hampa apabila sesuatu yang dihajati itu tidak ada. Kami ni nak meluah saja, bukan sentiasa nak minta solution atau penyelesaian 4) Jika ada masa terluang, temankan isteri pilihkan pakaian untuk dia. Lebih bagus jika pilihkan yang patuh syariah 5) Sama-sama membantu mencari barang keperluan sekolah anak-anak, dan tidak menyerahkan semuanya 100% ke bahu isteri, walaupun isteri adalah surirumah dan suami beri semua duit yang diperlukan. Lebih best apabila suami pilihkan pattern beg sekolah atau beg pensil anak. Entah, bagi sayalah, apabila nampak seorang ayah bersungguh-sungguh menyiapkan barang sekolah anak-anak, hati ini tersentuh dan berdoa pada Allah, agar setiap ringgit yang dibelanjakan, Allah ganjari dengan pahala sedekah in shaa Allah. Selesai pilih barang anak tadi, sempat Encik Suami pilih satu kemeja untuk dirinya sendiri. Dia kata, "Awak ada baju warna ni kan? Nanti kita boleh pakai sama-sama. Matching." Heheh. Betul lah orang kata. Orang lelaki ni, makin tua makin romantik. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah Makin berusia makin suka shopping di Mydin