Sunday 24 January 2021

Mimpi Atuk

Atuk. Ini arwah datuk saya Haji Mohd Noh, bapa Mak saya. Saya rasa Atuk saya ni antara orang yang paling warak saya pernah jumpa. Pada usia 70an beliau mula hilang pendengaran. Tapi hidup beliau sentiasa dengan Al Quran, dengan kitab-kitab hadith dan sebagainya. Kalau Hari Raya, semua orang akan dapat duit raya RM1 dari Atuk, kerana Atuk kata nak sedekah. Atuk selalu ingatkan, zikir itu bagus. Tetapi zikir paling baik adalah Al Quran. Seminggu sebelum Atuk meninggal, Atuk tanya Mak. Masa tu Atuk masih tinggal di rumahnya, tak jauh dari rumah Mak saya. Atuk tanya, dalam bahasa jawa, "Hari ini hari apa?" Mak saya jawab, "Hari Isnin." Atuk jawab, "Isnin depan nak balik." Mak saya tanya, "Isnin depan nak balik mana, Pak? " Atuk cuma kata, "Nak balik sana. Dah, sudah." Sambil melambai tangan menyuruh Mak saya balik, selepas Mak hantar makanan. Rupanya Atuk nak pergi Isnin depan itu. Waktu itu saya sedang sarat hamil Uwais. Usia Atuk 90an. Semalam saya mimpi Atuk. Atuk muda, wajah Atuk kacak sekali. Ma shaa Allah saya tak pernah nampak Atuk masa muda begitu, tetapi wajah Atuk nampak berseri sekali. Dan saya rasa gembira sekali dapat jumpa Atuk. Walaupun sekejap. Alhamdulillah, mudah-mudahan Atuk berada di dalam taman-taman syurga. Semoga Atuk mendapat pahala yang mengalir kerana Atuk mengajar Mak mengaji, Mak mengajar saya mengaji, saya pula mengajar anak-anak saya mengaji. Mudah-mudahan nanti kita berjumpa di syurga ya Atuk. Rindu Atuk. Rindu Mak juga. Semoga Allah pelihara semua warga emas yang kita sayangi in shaa Allah. Tiada perlindungan yang lebih hebat, berbanding perlindungan dariMu ya Allah.

No comments:

Post a Comment