Thursday 24 March 2022

Beg sekolah mahal?

 Uwais ada sebuah tabung. Tabung tu dulu arwah Tok Dad dia bagi.


Kakak sulung dia ajar kira duit, berjual beli, guna duit syiling tu lah.


Suatu hari tabung dia rosak, jadi Abi Uwais terpaksa pindahkan duit-duit itu semua ke dalam sebuah tupperware bekas kuih raya.


Tetapi Uwais sangat risau duit dia hilang, jadi dia minta Abi kira depan dia. Mereka pun kira sama-sama.


(Ada bakat jadi SPRM yang telus budak ni, tak pun jadi banker 😆)


Kira punya kira, akhirnya dapatlah jumlahnya RM60.


Uwais pun banggalah dia ada RM60.


Maklumlah dia tak pernah ada duit banyak.


Anak-anak kami, kami tak bagi duit banyak. Duit perlu dicari.


Tolong buat kerja rumah, ada gaji hujung bulan. Kalau rajin gaji RM50. Kalau tak berapa rajin, kena suruh berkali-kali baru buat, RM30 sahaja. 


Buat coretan perjalanan jika melancong, ada upah untuk setiap muka surat cerita mereka. RM1 untuk satu muka surat. 


Kalau cemerlang dalam peperiksaan pun dapat wang tunai. Dulu Ummi mereka satu A dapat RM10. Mereka pun sama.


Takde nak kira zaman berubah, mereka semua makan ditanggung mak bapak lagi. 


Berbalik kepada Uwais, sejak dia ada RM60, dia dah pandai nilai duit.


Kalau beli sesuatu, dia akan tanya mahal tak.


Kalau RM 5, dia kata murah, "Uwais pun boleh beli."


Tempoh hari sebelum sekolah bermula, kami belikan dia beg sekolah, sebab beg tadika dia terlalu kecil.


Dia tanya berapa harga.


Saya kata RM50.


Dia kata, "MAHAL NYA!!!"


Dia tak mahu benda mahal-mahal walaupun bukan dia yang bayar.


Alhamdulillah. 



Saja saya nak cerita, tak semua anak doktor tu pakai beg mahal.


Apatah lagi, anak doktor, yang Mak dia dulu anak penoreh getah, beg sekolah pakai sampai 4-5 tahun hinggalah koyak.


Ya, zaman memang berubah.


Dahulu 20 sen boleh beli nasi lemak sebungkus di kantin sekolah, sekarang RM2.


Tetapi saya rasa kita perlu beri kesedaran kepada anak-anak kita bahawa duit bukan mudah dicari, dan bukan untuk dibelanjakan sesuka hati.


Bijak wang itu tak semestinya dengan silibus di sekolah dipertingkatkan hingga KBAT tak tercapai dek akal anak 7 tahun.


Ia boleh dididik melalui kehidupan seharian juga.


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Beli barang sekolah bila perlu,

bukan beli baru setiap kali buka sekolah.