Alhamdulillah 2 hari berada di tanahair setibanya dari Saudi, terasa hilang segala penat lelah 32 hari berada di Tanah Suci. Menatap wajah ceria anak-anak, menghirup aroma rumahku syurgaku, ternyata aura teratak sendiri takkan sama walau di hotel lima bintang manapun, pernah lena kedua mata ini, pernah dilabuhkan tubuh ini.
Semoga Allah melindungi saya dari riak, takbur, sombong dan ujub (merasa diri hebat), dalam saya menulis. Niat saya tiada lain, adalah untuk berkongsi apa yang saya rasa, secara fizikal, emosional, dan spiritual, sepanjang perjalanan saya dan keluarga, dalam perjalanan menuju Allah.
**************************************************
9 September 2013...
Tarikh keberangkatan kurang dari sebulan, tetapi urusan visa masih belum selesai. Hati berdebar, doa meniti di bibir dan mengiringi detak jantung. Hampir setiap kali sujud terakhir solat, tiada yang dipinta kecuali tiga perkara; agar Allah ampunkan segala dosa, semoga Allah permudahkan segala urusan dan semoga Allah sudi menerima diriku sebagai tetamuNya. Diriku sedar, tiada amalan istimewa yang dapat dibanggakan, yang boleh dijadikan wasilah dalam berdoa kepadaNya. Diri bergelumang dosa, masa muda banyak digunakan untuk mengejar dunia, dunia, dunia. Namun dalam ketakutan, ada pengharapan. Aku yakin Allah MAHA PENYAYANG. Hadis mengatakan selangkah kita rapat kepadaNya, seribu langkah Dia rapat pada hambaNya.
Hampir setiap hari Tabung Haji Contact Centre dihubungi, masih tiada jawapan. Surat meminta bukti mahram sampai sekali lagi, walaupun salinan sijil nikah yang telah disahkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah kuserahkan ke Pejabat Tabung Haji Batu Caves seminggu yang lalu.
Pilihan hanya dua, sama ada kutunggu jawapan yang tidak pasti, atau kuusaha lagi. Suamiku yang amat penyabar, memilih yang ke dua. Mujur Ketua Jabatanku, walaupun berlainan agama dan bangsa, amat memahami betapa pentingnya HAJI ini buatku. 11 September 2013, walaupun hari Rabu adalah hari yang sibuk di Klinik Mata kami, Ketua Jabatan memberi pelepasan untukku uruskan apa yang patut. Suamiku mencari locum untuk kliniknya, dengan menaiki motor, kami ke Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan sekali lagi, untuk mendapat pengesahan sijil nikah kami, dan terus ke Tabung Haji Pusat di Jalan Tun Razak. Kuserahkan sendiri ke pegawai bertugas di tingkat 10.
Kemudian? Apalagi yang boleh kulakukan kecuali terus menunggu... dan berdoa...
Sirna harapan muncul seminggu kemudian. Seorang sahabat yang merupakan petugas Tabung Haji, telah pun sampai di Baitullah. Aku sedar, Allah Maha Mendengar walau di mana pun, malah Dia lebih dekat dari urat halkum seorang hamba, namun kuyakin ada keberkatan dengan doa di hadapan Multazam. Kepada Azie kutitip doa melalui Facebook. Tak kusangka, beliau pantas membalas sambil memberikan nombor telefon sahabatnya yang bertugas di Tabung Haji. Tika konsentrasiku untuk menjalankan pembedahan ke atas pesakit hampir terjejas, dek kerisauan dan kebimbangan tak kunjung surut, kuatur langkah ke luar bilik bedah untuk membuat satu panggilan penting dalam hidupku.
Alhamdulillah, visa lulus! Menggeletar seluruh tubuh, syukur tidak terkira. Terbit sedikit kesal kerana kurang yakin pada sifat RahimNya... Ampunkan daku, Ya Rabb...
Waktu tiga minggu sebelum berlepas yang tersisa, kupenuhi dengan membaca, membaca, membaca. Dari buku panduan haji, ke buku sirah (sejarah) dua Kota Suci Mekah & Madinah, hingga lah ke buku motivasi haji oleh beberapa penulis terkemuka.
Tidak pernah dalam hidupku, aku betul-betul "fight" untuk khatam Al-Quran. Aku terasa sangat hina andai menjejakkan kaki ke Makkah & Madinah, tempat turunnya kalimat-kalimat dari Sang Pencipta, tapi aku tidak khatam bacaannya. Teringin sangat rasanya, duduk berteleku di dataran Kaabah, mengadakan majlis khatam Al-Quranku sendiri.
Semua aktiviti selain tugas sebagai pensyarah & doktor aku kurangkan. Semua urusniaga perniagaan hanyalah melalui atas talian atau online. Sedikit demi sedikit persiapan barang-barang yang mahu dibawa ke sana kusiapkan.
Masa yang terluang kuhabiskan dengan anak-anak tersayang. Aku mempersiapkan diri, seolah-olah aku pergi tidak kembali. Andai inilah hari-hari terakhirku bersama mereka, biarlah memori kami bersama, yang indah-indah sahaja.
Waktu petang kugunakan untuk beriadah dengan mereka. Mereka berbasikal, aku berjalan mengejar mereka. Tabung Haji Travel sudah memaklumkan in shaa Allah khemah kami di Mina akan terletak dekat dengan jamrah (tempat melontar), jadi kami tidak perlu berjalan hampir 7km berulang alik untuk melakukan ibadah melontar pada Hari Tasyrik. Pun begitu, kutahu aku perlu menguatkan stamina untuk tawaf dan saie, serta berulang alik dari hotel tempat penginapan dan Masjidil Haram.
Saban hari kumelihat siaran langsung dari Masjidil Haram. Kain putih membaluti Kaabah, tanda Kaabah jua sudah berihram, dan hari wukuf bakal menjelang.
Detik 7 Oktober 2013 kunanti penuh debaran, dengan seribu pengharapan... Hanya kepada Allah kusandarkan segalanya...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment