Wednesday, 30 December 2020
Thank you 2020, Welcome 2021
Tuesday, 22 December 2020
Avani Sepang, hotel di atas air, syurga buat keluarga
Avani Sepang Goldcoast Resort
Kali terakhir kami ke sini adalah pada 2014. Semasa itu, kami datang bersama keluarga abang saya kerana beliau adalah ahli kelab di Avani ini. Apa yang saya ingat adalah indahnya hotel di atas air ini , dan cantiknya pemandangan semasa matahari terbit .
Kenangan 2014, anak-anak pun kecil lagi masa ni |
Oleh kerana kita masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat , kami memutuskan sempena cuti sekolah kali ini, kami akan bercuti di sekitar Selangor sahaja. walaupun semenjak 7 Disember yang lalu, pergerakan merentas negeri telah dibenarkan, kami tidak begitu yakin hendak bercuti jauh kerana jumlah kes Covid masih terlalu tinggi , terutamanya di negeri Selangor.
Saya telah menempah bilik kami di Avani Sepang sejak bulan Oktober lagi. Vila dengan 2 bilik tidur, harga biasa mungkin sekitar RM800 satu malam , menjadi lebih RM1000+ satu malam kerana saya memilih untuk mengambil sarapan pagi, dan fleksibiliti yang membolehkan saya membatalkan tempahan sehingga 10 hari sebelum perjalanan. Tempahan adalah melalui Agoda.com
Vila 2 bilik ini ternyata sungguh tidak menghampakan kerana sebenarnya ia ada 3 bilik! 1 bilik tidur dengan katil bersaiz queen, satu bilik dengan 2 katil bersaiz single, dan satu bilik dengan sofabed atau katil harian, yang boleh muat ditiduri seorang kanak-kanak . Ruang tamunya juga selesa , dengan 2 sofa single seater, dan 1 sofa double seater. Terdapat juga balkoni yang menghadap laut, dengan pemandangan yang amat mendamaikan.
Kami tiba ke Avani, setelah menempuh perjalanan selama sejam 30 minit dari Batu Caves. Perjalanan sejauh 100km ini Alhamdulillah berjalan lancar, dengan satu sekatan jalanraya sahaja di Sungai Pelek. Polis hanya mahu memastikan kami mematuhi SOP jumlah penumpang di dalam kenderaan, dan memeriksa lesen pemandu suami , memastikan kami bukan warga asing .
Kami tiba di Avani jam 4.30 petang, disambut dengan senyuman manis petugas di pintu hadapan. Setelah mengambil nama dan suhu badan, kami dibenarkan ke lobi. Di lobi, ada petugas menanti, dan membantu memindahkan barang-barang ke troli.
SOP tetap dipatuhi, dengan scanner suhu badan, dan QR code MySejahtera tersedia.
Saya lihat ramai betul orang menanti untuk check in! Saya ingat saya dah lambat, kerana setahu saya masa untuk check in adalah jam 3 petang.
Ketika saya beratur, ada 4-5 orang di hadapan saya. Sempat saya terdengar beberapa orang mengeluh, malah ada yang mula marah-marah , katanya sudah 2 jam menunggu.
Alamak. Saya pun cepat-cepat berdoa, mudah-mudahan urusan check in kami dipermudahkan. Sudahlah hari itu, 20.12.2020 adalah hari birthday saya dan suami!
Alhamdulillah saya sudah menelefon pihak hotel seminggu yang lalu bagi memastikan tempahan saya memang ada.
Lebih kurang 20 minit menunggu di barisan, sambil suami saya menjaga anak-anak lelaki, dan menjaga kek ulangtahun kami, giliran saya pun sampai. Suami saya meletakkan kereta di tempat letak kereta sementara. Nanti akan perlu dialihkan di tempat khas, yang mana akan akan shuttle disediakan untuk ke lobi.
Petugas meminta kad pengenalan saya, dan Alhamdulillah tak sampai 5 minit, beliau berkata, “Dr Rita Aisyah, booking for two 2 bedroom villa for 2 nights, ya? Payment is already collected so we ill not collect deposit. One room is ready, Dr, but the other is one is not so we will send you to that room first. When the other room is ready, we will send the key to your room. “
Ma shaa Allah Alhamdulillah, lega sangat rasanya. Syukur, di saat orang lain ada yang masih menunggu, bilik kami dah siap. Risau juga kerana kek yang kami bawa, tak boleh terlalu lama di luar peti sejuk, sebenarnya.
Alhamdulillah juga lebih kurang 5 minit kemudian, anak-anak perempuan kami sampai bersama makcik mereka (adik suami saya), serentak dengan mertua saya, yang turut kami raikan ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 41.
Dari lobi, kami dibawa ke bilik kami di penghujung pelepah (trunk) 3 , dengan menaiki buggy. Kelakar juga Uwais tertanya-tanya, “Nak bagi apa, Ummi?” . Saya pun jawab, “Kereta ni namanya buggy, bukan bagi”.
Seronok melihat kegembiraan di wajah anak-anak. Ini treat untuk mereka juga, setelah hampir setahun bersekolah secara online.
Keindahan hotel ini, keredupan suasana, kecantikan susunatur bilik, keramahan staff, masih tidak berubah seperti 2014 dahulu.
Paling istimewa, ada dekorasi indah menanti kamar tidur kami di bilik 330 , sempena ulang tahun kami. Dan oleh kerana kami menempah 2 bilik, hiasan ini ada di kedua-dua bilik! Terima kasih AVANI!
Terasa seperti berbulan madu, pun ada!
Alhamdulillah petang itu ,dapatlah kami merakamkan detik istimewa kami, meraikan ulangtahun ke 40 kami berdua di Avani Sepang, dikelilingi insan-insan tersayang. Pastinya ia akan lebih indah jika Mama dan Ayah ada bersama, tetapi Alhamdulillah baru sahaja berjumpa mereka minggu lalu.
Saya kongsikan gambar-gambar di sekitar Avani Sepang ini.
Main trunk atau batang pokok kelapa kepada formasi palm tree resort ini. |
Ini buggy besar yang membawa guest dari lobi ke Central Area atau di tengah-tengah rimbun pelepah pokok kelapa |
Salah satu trunk, atau "pelepah pokok kelapa". Setiap satu trunk menempatkan lebih kurang 30 buah bilik. |
Inilah kawasan Central Area di mana terletak Spa, restoran tempat sarapan pagi dan kolam tenang |
Restoran tempat sarapan pagi secara buffet. Saya ambil gambar pada pukul 12 tengahari maka dah kosong lah. |
Ada QR code untuk masuk ke restoran. |
Deretan kerusi di Central Area yang disediakan bagi pengunjung yang menanti buggy |
Ini contoh buggy kecil yang akan membawa pengunjung ke bilik masing-masing di trunk masing-masing |
Bilik kami di penghujung trunk 3, nuuuun di sana. Hanya pengunjung yang menginap di sini boleh melepasi kawasan ini ya |
Salah satu kawasan rehat di Avani Cafe di lobi. |
Semasa kami masuk, tape ini masih baru menunjukkan bilik ini sudah disanitasi |
Aktiviti- aktiviti yang boleh dilakukan di sini, mungkin tidak sebanyak semasa kami tinggal di hotel lain. Aktiviti berbasikal juga tiada kerana kekangan SOP . Mungkin sukar untuk sanitasi basikal , dengan jumlah pengunjung yang ramai. Ada ruang untuk aktiviti kanak-kanak , tetapi kami tidak sempat mengunjunginya. Uwais lebih minat mandi bath tub! (Alhamdulillah haha!)
Masih ada satu pelepah atau trunk AVANI iaitu trunk dua yang sedang dibaikpulih. Sedikit tidak cantik di dalam gambar, tetapi tiada bunyi bising yang mengganggu percutian kami, Alhamdulillah.
Air pantai di sini masih jernih, cuma persisiran pasir pantainya tidaklah seindah di pantai timur. Anak-anak bermain sejam sahaja sudah puas, dan minta balik mandi di bath tub .
Jika mahu mandi kolam , pada satu ketika hanya 10 orang dibenarkan berada di kolam. Waktu paling popular adalah 8 pagi hingga jam 11, dan 4 petang hingga 7 malam. Kolam di buka dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Kolam paling dalam adalah 1.2 meter.
Kami memilih untuk mandi kolam jam 3 petang, kerana jika tidak ramai orang, boleh mandi sesuka hati. Jika ramai orang, had waktu yang dibenarkan adalah setengah jam sahaja satu sesi. Bilik persalinan ada disediakan berdekatan kolam .
Antara plus point Avani Sepang
1) Bilik yang luas di villa dengan 2 bilik tidur . Sesuai jika satu keluarga dengan 3 orang anak . Oleh kerana kami ada 4 orang anak, dan kami jemput mertua serta adik ipar, maka kami ambil 2 vila . Ada pelbagai pilihan lain seperti family vila , vila 3 bilik dan bilik superior.
2) Sangat privasi dan sunyi
3) Staff sangat peramah , baik dari staff di lobi, di restoran, di tepi kolam, staff housekeeping, hinggalah staf engineering yang sedang membuat kerja-kerja baikpulih. Apabila bertemu, tak lokek senyuman dan ucapan salam. Saya bagi 7 bintang!
4) Perkhidmatan buggy yang baik. Tak perlu risau jika ada warga emas yang tidak larat berjalan. Pemandu buggy pun semuanya peramah, dan tak marah apabila anak-anak saya yang basah selepas mandi laut, nak naik buggy untuk pulang ke bilik hotel semula. Salah seorang anak saya sanggup berjalan. Encik Azli pemandu buggy sanggup berhenti untuk pujuk anak saya naik buggy, sambil berkata, “Tak apa, kerusi ni waterproof. Nanti boleh lap,” sambil tersenyum di sebalik mask. Anak saya pun naik buggy. Hati saya berkata, susah nak cari orang baik budi macam Encik Azli ni.
5) Pemandangan yang indah semasa matahari terbenam dan terbit
6) Mengikut SOP PKPB dengan baik termasuk semasa sarapan pagi, diberikan sarung tangan plastik untuk mengambil makanan.
7) Pilihan movie yang banyak di TV, dari untuk kanak-kanak hingga kepada action movies, semuanya percuma. Hanya ada kala movie itu tersangkut-sangkut.
Antara poin yang mungkin boleh diperbaiki
1) Makanan sarapan pagi (buffet) tiada variasi yang banyak selama 3 hari malam kami di sini . Nasi lemak, roti canai, mee dan bihun sup antara hidangan berat yang ada, diulang untuk hari kedua.
2) Kami tidak pasti kedai makanan yang berdekatan kawasan sekitar Avani ini . Kami hanya makan di hotel, dan sebahagian makanan kami bawa dari rumah.
3) Mungkin ketika peak season, ada kelewatan semasa check in, bagi sesetengah pengunjung.
4) Kami meminta bilik dibersihkan pada hari kedua. Mungkin kerana terlalu ramai pengunjung, housekeeper hanya dapat datang pada jam 5.30 petang. Tetapi ini bukan isu besar kerana kami hanya mahu mereka menyapu bilik dan membuang sampah.
Rata-rata saya memberi 5 bintang kepada Avani Sepang, dan tidak akan teragak-agak untuk datang lagi. Cuma tinggal di hotel di atas air ini, membuat saya teringat Maldives. Alangkah indahnya jika air laut ini biru seperti di Maldives , dan kita boleh turun ke air dan melihat ikan aneka warna.
Saya pun terus masuk ke Agoda, cari hotel seperti itu. Itu diaaaa! Satu malam RM14,000!
Sekian!
Avani pun best! Kbai!