Thursday 23 January 2014

Travelog Hajjah (Bahagian 11) : Mengapa kami "diusir" dari Mekah?

10 Zulhijjah 1434H 

Aidiladha... 

Kebiasaannya pada pagi hari raya, tak kira raya Aidil Fitri mahupun Aidil Adha, pasti ada ketupat dan rendang yang disajikan. Tanpanya, seolah tidak lengkap sambutan hari raya.

Aneh tetapi benar. Ini kali pertama tiada langsung makanan seperti yang disebutkan tadi, tetapi ini juga merupakan Aidil Adha yang paling bermakna buat kami. Apa tidaknya, kami berada di bumi Mina, bumi yang mustajab doanya, selama hari tasyrik, setaraf dengan berdoa di Arafah pada hari wukuf. Walaupun tanpa ketupat dan rendang, kukira makanan di Mina cukup mewah. Apatah lagi makan sambil bersila di dalam khemah, bersama jemaah haji yang lain, satu kenangan yang cukup manis bagiku.


Suasana di Khemah di Mina




Juadah istimewa Mina, Nasi Lemak Malaysia :)




Bekalan air mineral yang tidak pernah putus Alhamdulillah



Wajah-wajah suci teman-teman satu khemah di Mina. Semoga ukhuwah yang terjalin berkekalan. Amin..

Ada jemaah haji yang bergegas pulang ke Mekah selepas melontar pada 10 Zulhijjah, untuk menyempurnakan ibadah tawaf dan saie haji, lantas boleh bertahlul thani atau menggugurkan semua larangan dalam ihram, termasuk hubungan suami isteri dan nikah kahwin. 

Kami memilih untuk tinggal di bumi Mina sehingga selesai semuanya. Menurut Ustaz Syukri dari Tabung Haji Travels, inilah sunnah yang dilakukan oleh Rasululllah Solalallahu Alaihi wassalam. Namun kami berbaik sangka dengan dengan mereka yang pulang. Mungkin ada panggilan fitrah yang mendesak. 

4 hari 3 malam yang sungguh menguji minda, bagi mereka yang kurang bersedia. Maklum sahajalah, tinggal di khemah, cuaca yang panas, aircond yang tidak cukup kuat untuk melawan sengatan mentari padang pasir. Pasti terbayang katil dan tilam yang empuk di hotel, makanan yang mewah dan tempat solat yang selesa di Masjidil Haram, tidak seperti di dalam khemah di Mina, solat di celah-celah juluran kaki jemaah haji lain. Tandas serba sederhana, mengingatkan aku kepada tandas di rumah datukku di kampung, yang terletak di luar rumah. Kalau nak melabur pada waktu malam, puaslah kena pujuk abang atau sepupu  lelaki untuk menemankan. 


Alhamdulillah Biovelocity Sleepmate menjadi peneman setia di Masyair. 
Aku terfikir, mengapa kami semua "dicampak keluar" dari keselesaan Mekah dan Masjidil Haram ke padang pasir ini? Sudah elok dapat bersolat di hadapan kaabah, kami diperintahkan ke Arafah. Baru sehari di Arafah, disuruh pula bermalam di Muzdalifah, yang berlantai bumi berbumbung langit? Bermalam pula di Mina dan disuruh melontar anak batu ke jamrah? Memang, aku yakin kita sebagai hamba tidak layak mempersoalkan perintah Tuannya, tetapi aku juga yakin setiap sesuatu itu pasti ada hikmah disebaliknya.

Persoalanku terjawab pada suatu sesi tazkirah di Mina. Ustaz Nasib menjawab persoalanku satu persatu, seolah-olah ada SMS yang kuhantar kepadanya. Subhanallah Allah beri jawapan melalui seorang daie.

Kami diingatkan dengan kisah Nabi Adam yg tercampak ke Ceylon selepas dikeluarkan dari syurga, bagaimana baginda menangis & bertaubat selama bertahun-tahun. Selama bertahun-tahun juga Nabi Adam berjalan hingga akhirnya sampai ke bumi hijjaz ini, bertemu dgn isteri yang sangat dirindui iaitu Siti Hawa. Berkenalanlah semula Nabi Adam dengan Siti Hawa & mereka saling mengenali diri mereka semula, di bumi Arafah, yang bermaksud perkenalan. 

Bayangkanlah, hanya kerana satu kesalahan memakan buah larangan, Nabi Adam dan Siti Hawa terkeluar dari syurga. Mana mungkin kita yang bergelumang dgn jutaan dosa senang-senang boleh masuk syurga? Maka kita diminta keluar dari Mekah, menuju ke Arafah utk mengenali diri semula , dan memohon ampun di sana, kerana Allah berjanji seperti dalam hadis Qudsi: 

Pada hari yang mulia itu Allah SWT sedang memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah, dan membangga-banggakan umatnya yang sedang wukuf di Arafah di hadapan para malaikatnya di langit.



Disebutkan dalam hadits qudsi bahwa Allah berfirman bahwa :
“ Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang kesini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku”


Allah sangat memuliakan hari wukuf di Arafah. Hari itu, Allah mendekat sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang wukuf di Arafah untuk mendengarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, menatap dari dekat wajah dan perilaku mereka. Nabi Muhammad saw bersabda :
“ . . . Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang di Arafah. Dengan bangga Ia bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu ? “


“Hai malaikat-Ku ! Apa balasan (bagi) hamba-Ku ini, ia bertasbih kepada-Ku, ia bertahlil kepada-Ku, ia bertakbir kepada-Ku, ia mengagungkan-Ku, ia mengenali-Ku, ia memuji-Ku, ia bershalawat kepada nabi-Ku. Wahai para malaikat-Ku ! Saksikanlah, bahwasanya Aku telah mengampuninya, Aku memberi syafaat (bantuan) kepadanya. Jika hambaku memintanya tentu akan Kuberikan untuk semua yang wukuf di Arafah ini.”(Imam al-Ghozali)


Kedua, kami diminta mengimbau kisah Nabi Ibrahim yang tersangat mengidamkan anak tetapi isterinya Siti Sarah tidak boleh melahirkan anak. Betapa baginda gembira apabila bernikah dengan Siti Hajar & dikurniakan pula seorang anak bernama Ismail. Sedang berbunga hati dengan kasih seorang ayah kepada anaknya, turun perintah dari Allah, menyuruh Nabi Ibrahim untuk menghantar mereka ke Lembah Bakkah. 


Berbulan-bulan mereka berjalan dari Palestin hingga ke Mekah. Hebatnya wanita bernama Siti Hajar,  langsung redha & tinggal di Mekah di Hijir Ismail apabila diberitahu, itu adalah perintah TuhanNya. Nabi Ibrahim terus berjalan tanpa menoleh ke belakang (kerana terlalu sedih) & berdoa apabila sampai di Jabal Qubais. 



"Wahai Tuhan kami,sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya,disisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya.Wahai Tuhan kami,mereka ditempatkan di situ supaya mereka mendirikan solat dan memakmurkan tempat itu dengan ibadat.Oleh itu,jadikanlah orang sekeliling tertarik dan kasih terhadap mereka,dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dari hasil tanaman,semoga mereka bersyukur"


Pengajaran dari perintah ini ialah, Allah tidak mahu kecintaan Nabi Ibrahim terhadap anak & isteri melebihi kecintaan baginda kepada Allah. Namun Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang, memberi ganjaran kepada keluarga ini, dengan mengangkat martabat Hajar hingga diberi nama Hijir Ismail sedemikian, dan pergerakan saie sempena pergerakan Siti Hajar mencari air di antara Safa dan Marwah, diabadikan sebagai salah satu rukun haji dan umrah.

Setelah Nabi Ismail meningkat dewasa, Allah perintahkan pula Nabi Ibrahim bersama anaknya, untuk membina Kaabah, yang akan menjadi satu simbol kesatuan ummah Islam, menjadi kiblat dari ribuan tahun yang lalu, selepas Rasulullah mendapat wahyu pertukaran kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram, hinggalah ke saat ini.


Kemuncak ujian bagi Nabi Ibrahim, bukti cinta Nabi Ibrahim kepada Allah, melebihi segalanya, adalah apabila diminta menyembelih anaknya yang soleh. Syaitan mendesak dan menghasut dengan hebat, ketiga-tiga insan dari ibunya, bapanya, hinggalah ke Nabi Ismail sendiri, lantas dilontar anak batu hingga tewas syaitan terkutuk.


Inilah hakikatnya, Mina adalah kemuncak ujian iman semasa haji sama seperti kemuncak ujian iman Nabi Ibrahim dari Tuhannya, di bumi Mina ini juga. Jemaah haji harus "menyembelih" semua "Ismail" dlm diri kami, sama ada kecintaan itu dalam bentuk anak, harta, isteri, pangkat dan sebagainya, yang mungkin bisa menghalang cinta kita kepada Allah. Di sinilah PERANG diisytiharkan dengan syaitan. 
Hakikatnya melontar jamrah BUKAN sekadar ritual! Bukan jua jemaah haji itu datang menunaikan ibadah haji hanya kerana sudah sampai waktunya, atau sudah cukup simpanannya. 


Subhanallah, banyak yang dapat kupelajari. Satu proses menuntut ilmu yang sangat indah, dan tak mungkin dapat kulalui buat kedua kalinya. Hatta andai ada rezekiku menunaikan haji kali ke dua, pastinya tidak sama dengan pengalaman kali pertama.


Rupanya ibadah haji ini penuh simbolik. Tawaf lambang kepatuhan, sambil kita melakonkan perbuatan para malaikat di langit yg mengelilingi Sidratul Muntaha. Selain ketika sujud, bagi yang pernah ke Tanah Suci, pasti bersetuju jika kukatakan, ketika tawaflah kita terasa begitu hampir dengan Rabbul Alamin, Allah Azzawajalla. 

Saie rupanya simbolik kita berusaha dalam hidup. Benar kita boleh berusaha tetapi hasilnya terserah pada Allah Yang Esa. Seperti Siti Hajar berlari-lari mencari air di Safa dan Marwah, namun air zam-zam yang dikurniakan Allah atas asbab hentakan kaki seorang bayi, di bawah redup naungan Kaabah, dan bukannya di tempat Siti Hajar berlari. Hakikatnya usaha tidak boleh berlaku tanpa kita mendekatkan diri dengan Allah terlebih dahulu, justeru saie hanya sah andai dilakukan selepas tawaf. 

Ternyata sepanjang ibadah haji, kita diminta melakonkan watak-watak Nabi Adam Alaihissalam, Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Siti Hajar Alaihassalam.  Bukan sekadar lakonan, namun dikerjakan atas dasar kepatuhan, yang diiringi penghayatan. 


Bukan atas dasar suka-suka Allah "mengusir" kami dari Kota Mekah. Rupanya supaya kami sedar, kadangkala perlu meninggalkan sedikit keselesaan, untuk kita kembali mengenali asal diri kita, seorang hamba yang tidak layak meminta apa-apa dari Tuhannya, namun hanya kerana DIA itu Maha Pengampun dan Pemurah, Maha menyayangi kita tidak seperti yang lainnya, maka kita letakkan segala pengharapan, memanjatkan segala permohonan hanya padaNya.

Tiga hari di bumi Mina cukup menginsafkan. Semua insan disama ratakan. Tiada gelaran yang dibawa, hanya satu nombor yang terlekat di tilam, dan sebuah tanda nama tersangkut di leher. 


Suatu senja di Mina
Bangunan apartment di belakang khemah kami, yang menjadi landmark bagi khemah Tabung Haji Travels


Bergambar kenanagan pada hari terakhir melontar jamrah 13 Zulhijjah

Abah sakit pinggang, jadi terpaksa guna kerusi roda. Alhamdulillah Abah tetap kuat dan dapat melontar jamrah sendiri.


Mina pada 13 Zulhijjah
Mentari pagi 13 Zulhijjah

Di hadapan kompleks jamrah

Menjelang hari 13 Zulhijjah, selepas melontar jamrah untuk hari ke tiga, bumi Mina semakin lengang. Pastinya ramai yang sudah kembali kelmarin dan menunaikan nafar awal. 


Alhamdulillah bertemu Profesor Tajunisah, pensyarahku semasa di Universiti Malaya

Bergambar kenangan di hadapan khemah sebelum berlepas pulang ke Mekah

Kerinduan kepada Baitullah semakin mencengkam. Bas merangkak perlahan meninggalkan Mina, bersama seribu kenangan dan keinsafan..




No comments:

Post a Comment