Friday 28 June 2024

Putaran kehidupan yang indah

 Putaran kehidupan yang indah . 


Saya ada seorang kawan . 


Anak kawan saya ini dari di bangku sekolah , suka follow FB saya. Katanya nak jadi doktor macam saya . 


Nama pun sama macam saya .


Beliau selalu tanya soalan kepada saya dan saya beri galakan kepada dia. Mak ayah dia pun orang hebat juga. Mak dia selalu panggil dia “Dr Aisyah, nanti jadi macam Dr Aisyah senior “. 


Kami pergi umrah bersama tahun 2010. 


Dia memang pelajar cemerlang . 


Alhamdulillah selepas SPM, dia dapat masuk Fakulti Perubatan salah sebuah universiti tempatan .


Semasa saya masih pensyarah di UiTM, kalau kami buat program untuk pelajar perubatan , anak kawan ni pun rajin datang walaupun dia bukan dari UiTM. 


Kami kekal berhubung melalui FB, hingga akhirnya Dr Aisyah junior ini betul-betul menjadi seorang doktor . 


Saya pun masih berkawan dengan mak dia . 


Baru-baru ini selepas SPM, anak sulung saya menyatakan hasrat menyambung pengajian ke bidang perubatan . 


Universiti pilihan pertama anak saya pula adalah universiti Dr Aisyah junior ini. 


Saya pun menghubungi Dr Aisyah junior untuk meminta tips dan nasihat . Dr Aisyah junior memberikan banyak tips dan kebaikan belajar di universitinya. 


Kami pun yakin dengan pilihan anak sulung kami dan saban hari berdoa untuk Allah permudahkan apa yang terbaik untuk imannya. 


Alhamdulillah hari ini, anak saya telah ditawarkan tempat di asasi sains perubatan di universiti itu. 


Alhamdulillah syukur kepada Allah 


Haza min Fadhli Rabbi . 


Betapa indah apabila sebuah persahabatan itu didasari dengan keikhlasan, ia berterusan dengan kebaikan. 


Terima kasih semua kerana sentiasa mendoakan keluarga kami. 


Hadith Rasulullah SAW junjungan kita


مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلِ رَوَاهُ مُسْلِمٌ


Ertinya: "Tidaklah seorang muslim mendoakan saudaranya tanpa sepengetahuan saudaranya itu kecuali malaikat berkata, 'Dan untuk kamu juga seperti itu.'" (HR Muslim)


Semoga setiap apa yang kita lakukan, akan membawa kita lebih dekat dengan Allah dan menjadikan kita insan yang dapat berbakti kepada orang lain . 


Semoga Allah merahmati keluarga Dr Aisyah junior dan juga semua petugas kesihatan seluruh dunia , serta semua yang terlibat dalam apa jua bidang wellness yang jujur. 


Let us continue our mission to help make this world a better place in shaa Allah . 


Amin 


#drazlindarita 

#kisahkehidupanDrAzlindarita 

#microsurgeonmom 

#makanak4




Monday 24 June 2024

Cita-cita nak jadi seorang ibu


Cita-cita pekerjaan pertama saya adalah ingin menjadi seorang pramugari, tetapi cita-cita sebenar saya sejak kecil adalah menjadi seorang ibu. 


Ya . 


Sejak kecil , permainan yang paling saya suka adalah main “masak-masak” dengan abang saya. Anak-anak patung teddy bear saya, akan jadi anak-anak saya . Nama-nama mereka pun saya masih ingat . 


Mat 

Hisyam

Sarah 

Rose 

Diana 


Ya, nama Melayu semua, kan? 


Ketika saya berumur 5 tahun, saya minta adik dengan Mama & Ayah. 


Saya ada 5 orang abang, dua orang meninggal semasa bayi jadi yang masih ada, 3 orang . 


Saya sangat inginkan seorang adik perempuan .


Alhamdulillah ketika 6 tahun, adik saya dilahirkan, dan itulah antara hari yang paling gembira dalam hidup saya 


Saya memang sangat-sangat sukakan bayi! Dari kecil hingga sekarang . Ada kala saya akan mengagah bayi yang saya jumpa di stesen bas, di hospital , di mall, di mana sahaja ! Saya sangat suka melihat senyuman seorang bayi. 


Hinggakan semasa selepas bernikah, saya beritahu suami saya, saya mahu 5 orang anak. 


2 tahun selepas bernikah , kami belum dikurniakan cahayamata. 


Ketika itu saya merasakan hidup saya tak sempurna, walaupun saya sudah menggenggam segulung ijazah sarjana muda perubatan. 


Selesai internship di Ireland, saya pulang ke pangkuan suami yang masih belajar di Indonesia.


Sudah tinggal serumah tetapi masih belum hamil, hingga saya tawarkan kepada suami untuk mengambil isteri ke dua. Suami saya menolak mentah-mentah. Kata beliau , beliau bernikah dengan saya bukan untuk mendapat anak, tetapi kerana betul-betul mahu menikahi saya kerana Allah. “Kalau ada anak, itu bonus ,” katanya. 


Kehamilan pertama , gugur semasa kandungan berusia 5 minggu . Alhamdulillah selang 2 bulan saya hamil lagi, dengan anak sulung.


Syukur padaNya, genap si Kakak berumur 13 bulan, adiknya lahir . Umar pula lahir 2 tahun kemudian . 


Daripada 3 tahun tiada anak, Allah kurniakan kami 3 orang anak dalam masa 4 tahun . 


“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” 

(Hadis Riwayat Bukhari)


Semasa bernikah , saya sedar saya tiada harta, saya berharap saya seorang calon isteri yang beragama. Tetapi yang saya turut harapkan adalah saya dapat memberikan zuriat kepada suami saya, kerana Alhamdulillah keturunan ibu saya memang anaknya ramai. 


Bukankah ada hadis yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 'Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umatlain pada hari akhirat nanti” ( Hadith Riwayat Abu Dawud)


Sehingga sekarang saya tak pernah putus mendoakan sahabat-sahabat yang sudah berumah tangga dan berusaha mendapatkan cahayamata tetapi belum ada rezeki. 


Saya amat memahami perasaan itu, kerana saya pernah melaluinya. 


Nak mendapatkan anak ke empat kami pun saya terpaksa menjalani rawatan kerana saya sudah tidak subur walaupun baru 34 tahun ketika itu,kerana saya overweight . 


Antara misi saya sekarang adalah untuk membantu sahabat-sahabat yang ingin lebih sihat dan mendapatkan berat badan ideal juga dengan program ST kami. 


Saya tidak mahu komen dengan golongan yang mahu “ #childfree ” kerana saya seorang yang mahukan anak sejak saya kecil . 


Saya amat bersyukur bertemu jodoh dengan seorang insan yang sudi memperisterikan saya yang serba kekurangan, dan kemudian menjadi seorang bapa yang baik buat anak-anak kami. 


Abu Hurairah memberitahu, Rasulullah SAW pernah bersabda, "Kalau seseorang meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)


Bagi mereka yang tidak direzekikan bertemu jodoh atau tiada cahayamata, Allah Maha Baik. Kalian masih boleh memperbanyakkan menyampaikan ilmu yang bermanfaat & bersedekah jariah. 


Bagi kita yang Allah amanahkan dengan anak-anak, marilah kita didik anak-anak kita agar menjadi anak-anak soleh solehah yang bakal mendoakan kita kelak in shaa Allah. 


Jika bukan Rasulullah SAW , insan paling hebat di dunia dan akhirat menjadi contoh tauladan hidup kita, siapa lagi ? 


#drazlindarita 

#kisahkehidupanDrAzlindarita

#hazaminFadhliRabbi




Friday 21 June 2024

Hubungan dengan Ayah , penentu sifat anak perempuan?

 Saya terjumpa satu video ni . Dia kata macamana hubungan seorang ayah dengan anak perempuan akan menentukan bagaimana anak perempuan tu akan membesar . 


Tahap keyakinan dia 


Bagaimana hubungan dia dengan orang lain nanti . 


(Saya kongsikan link di sini )


Entah , saya tak boleh nak judge macamana anak-anak perempuan saya tapi saya nak share macamana hubungan saya dengan Ayah saya . 


Ya. Ayah saya simple sahaja orangnya . Memang tidak sempurna tetapi baiklah di mata saya. 


Mama dan Ayah mendidik saya sampai saya rasa saya seorang yang berkeyakinan tinggi, masa kecil abang-abang saya kata Mama Ayah jumpa saya dalam perahu kat Sabah pun saya boleh buat dek je . Mentang la abang-abang saya kulit cerah, saya gelap sikit. 


Tapi itu tahap keyakinan saya. 


Apa yang Mak Ayah saya buat ? 


1) Tak pernah bandingkan saya dengan adik beradik lain kecuali untuk beri semangat . Contoh abang ke dua saya pergi Amerika Syarikat untuk belajar, Mama galakkan saya SPM kena straight A supaya boleh belajar sampai oversea. Tak pernah pula Mama Ayah bandingkan kenapa kau tak dapat 10 A1 macam abang dan sebagainya . Mereka hanya bagi galakkan. 


2) Mama Ayah selalu PUJI dan selalu beri kata-kata “Mama bangga dengan Rita “ atau Ayah selalu cakap English jadi Ayah akan cakap “I am proud of you “. Setiap kali saya dapat kejayaan walaupun kadang bukan nombor 1 pun, mereka tetap kata mereka bangga . Jadi saya nak buat lebih baik lagi . 


3) Mereka tidak pernah sentuh bab fizikal. Jadi kalau sedara mara selalu puji adik saya cantik, Mama akan counter cakap “Rita pandai”. Agaknya masin mulut Mak kan. Jadi saya tak pernah cemburu dengan kecantikan adik saya , sebab saya rasa saya tak cantik pun bukan satu kekurangan sebab saya ada kelebihan lain . 


4) Abang-abang saya masuk asrama penuh, saya tak dapat.  Tapi Mama Ayah kata ,”Kat mana-mana pun boleh berjaya , yang penting usaha”. 


Setiap kali saya jatuh, mereka bangkitkan saya semula . Mereka tak pandai nak ajar saya buat homework sebab Mama hanya sekolah sampai darjah 3, tapi Mama akan duduk sebelah kami buat homework untuk support . 


5) Mama Ayah tepati janji. Haaa ini saya rasa sangat penting . Semasa membesar, Mama menoreh getah untuk menyara kami. Ayah bekerja di KL setelah bersara tentera. KFC tu adalah reward kami SETAHUN sekali . Kalau nak makan KFC, kena SEMUA ORANG dapat nombor 1. Jadi semua orang kena usaha. Mereka tak pernah tak tepati janji. Hadiah paling besar saya pernah dapat adalah RM90 sebab Mama janji kalau saya dapat satu A dalam SPM Mama hadiahkan RM10. 


Alhamdulillah , hadiah itu pun Mama tunaikan . 


6) Mama Ayah sentiasa beritahu yang “Rita boleh . Mama Ayah yakin!” Mereka PERCAYA kepada saya, sebelum saya percaya kepada diri saya sendiri . Ini penting terutamanya semasa saya di Ireland , jauh dari keluarga. 


7) Mama Ayah selalu kirim bantuan , bukan dengan wang ringgit tetapi dengan doa. Kalau saya exam, Mama Ayah akan berpuasa supaya doa mereka lebih makbul. Pernah saya kehabisan duit di Ireland , Mama dapat hantar Euro 50. Lebih kurang RM250 sahaja pun . Tapi sangat bernilai pada saya. 


8.) Mama Ayah tak pernah bergaduh depan kami. Jadi di mata saya mereka sentiaaa harmoni. Tak mungkin la tak pernah gaduh kan. Lebih 50 tahun kot kahwin . Tetapi ia memberi keyakinan kepada saya bahawa there is such thing as a happy marriage . 


9) Walaupun kami pergi holiday, Mama Ayah mesti minta ambil gambar berdua mereka sahaja tanpa kami. Nampak simple tapi pada saya it shows that they appreciate each other . Selalu nampak Ayah dan Mama jalan pegang tangan dan gambar mereka berdua mesti Ayah peluk bahu Mama. 


10) Ayah selalu puji Mama pandai, pada saya, bila Mama tak ada. Ayah kata kalau Mama berpeluang belajar , mesti Mama jadi orang hebat . Pada saya Mama dah hebat dah . Tapi bila Ayah cakap begitu , saya tahu Ayah hormat pada Mama dan saya pun jadi hormat pada mereka berdua . 


Dulu sebelum bernikah, kalau orang tanya nak cari orang macamana? Saya akan jawab nak cari yang macam Ayah. 


Betul lah orang kata , kalau ada anak lelaki, dia akan meniru sifat ayahnya . 


Tetapi anak perempuan, akan menikahi orang yang ada sifat ayahnya. 


Semoga bermanfaat buat kita semua sebagai ibu bapa in shaa Allah . 


Yang pasti panduan terbaik kita adalah Rasullulah SAW yang bersabda : 


Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.


Riwayat al-Tirmidhi (3895)


#drazlindarita 

#kisahkehidupanDrAzlindarita

#HazaMinFadhliRabbi