Wednesday, 25 March 2020

Siapa perlu jalani saringan Covid-19.

Ramai orang tertanya-tanya, "jika terdengar ada orang di kampung saya kena Covid-19, patutkah saya pergi mendapatkan saringan Covid-19?"

Contoh tempat saringan yang disediakan di Korea Selatan. Medical Mythbusters Malaysia sedang dalam usaha untuk mencipta alat ini bagi membantu memudahkan saringan Covid-19 di Malaysia 


"Bagaimana pula caranya untuk menjalani kuarantin di rumah, contohnya sementara menunggu keputusan swab Covid-19?"

"Bagaimana jika kita terpaksa berkongsi rumah dengan orang lain, sedangkan kita perlu dikuarantin dan orang lain tidak perlu?"

Saya kongsikan dalam video ringkas ini
- Apakah simptom-simptom Covid-19.
- Siapakah yang patut menjalani ujian saringan.
- Bagaimanakah cara menjalani kuarantin selama 14 hari.

Terima kasih Deen Studios atas kerjasama ini.

Jemput dengar dan kongsikan untuk menyebarkan kefahaman di kalangan sahabat-sahabat kita

Terima kasih.

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Medical Mythbusters Malaysia

Ps :jemput tonton video yang dihasilkan dengan kerjasama Deen Studios ini, untuk memudahkan pemahaman kita ya.

Friday, 20 March 2020

Kenapa perlu kurangkan penyebaran virus Covid-19? KATIL HOSPITAL DI MALAYSIA CUKUP KAN?


Tahukah anda berapakah nisbah katil Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit atau ICU) lengkap dengan alat bantuan pernafasan atau ventilator dengan penduduk?

USA : 34 katil ICU untuk setiap 100,000 orang rakyatnya

Itali : 14 untuk setiap 100,000 orang. Ketika kemuncak wabak Covid-19 di sana, kesemua ventilator habis digunakan dalam masa seminggu setengah.

Malaysia: Jumlah ada 1670 ventilator di seluruh negara. Akan ditambah 800 lagi.

Jumlah : 2470 ventilator untuk 32 juta rakyat Malaysia.

Nisbah : 7.7 ventilator untuk setiap 100,000 rakyat.

Jangan lupa, bukan pesakit Covid-19 sahaja akan perlukan ventilator ya.

Pesakit-pesakit lain yang juga perlukan ventilator :
- selepas pembedahan major
- pesakit kanser
- selepas stroke
- kemalangan jalan raya
Dan banyak lagi.

Ventilator pula tak sama untuk bayi, kanak-kanak dan orang dewasa.

Tak perlu risau, 80 peratus pesakit yang dijangkiti Covid-19, simptom biasa-biasa sahaja. Batuk, sakit tekak.

Nanti pulih sendiri in shaa Allah

15% perlu masuk hospital untuk rawatan lanjut.

5 % sahaja pun yang perlu masuk ICU.

Cukup kan katil ICU dan ventilator di Malaysia?

Betul kah ?

Mari kita mengira.

Andaikan 0.1% dari rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 = 32,000 orang

(Nauzubillahimin zalik, bukan saya doakan ya. Tetapi kita andaikan jika tiada Perintah Kawalan Pergerakan, ini tidak mustahil. Mudah-mudahan lebih rendah, saya hanya guna nombor ini untuk perkiraan)

5 % darinya akan perlu katil ICU dan ventilator
= 1600 orang pesakit

Jika 1600 orang yang perlu katil ICU dan ventilator ini, tidak semua jatuh sakit serentak, maka hospital masih boleh "cope". Mungkin sebulan ada 400 orang sahaja yang sakit kritikal.


Tetapi jika SEMUA ORANG JATUH SAKIT PADA MASA YANG SAMA?

DI MANA KITA NAK CARI 1600 VENTILATOR, untuk pesakit Covid-19, tanpa melupakan pesakit-pesakit lain yang turut memerlukan alat bantuan pernafasan?


Bayangkan pula jika lebih dari 0.1% rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19.

Jika 10%? Bererti 3. 2 juta dijangkiti dan 160,000 orang akan memerlukan katil ICU dan ventilator.

Jika 20%?

Ma shaa Allah, tak terbayang kan.

Bagaimana pula dengan DOKTOR PAKAR yang akan menjaga pesakit-pesakit yang menggunakan ventilator itu, atau dikenali sebagai Pakar Intensivist?

Tahukah anda di Malaysia ada kurang dari 30 orang Pakar Intensivist di seluruh negara?

Bagaimana jika mereka jatuh sakit? Mereka adalah aset negara, bersama dengan petugas-petugas kesihatan yang lain, yang patut dilindungi ketika ini.

Katil ICU dan alat ventilator mungkin boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi modal insan, tidak ternilai harganya.

Ditambah pula dengan pesakit yang menyembunyikan fakta yang mereka mungkin sudah dijangkiti Covid-19, menyebabkan lebih ramai petugas kesihatan mungkin dijangkiti atau perlu di kuarantin.

Sehingga semasa, diumumkan sudah ada 15 orang petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19, seorang daripadanya dirawat di ICU. Ini amatlah mendukacitakan bagi semua rakyat Malaysia terutamanya kami warga petugas kesihatan.

Ingat ya.

Jika rakyat Malaysia tidak memberikan kerjasama untuk memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 sekarang, tidak mustahil lebih ramai lagi pesakit akan memerlukan ventilator hingga kita tidak dapat menyelamatkan pesakit.

Sampai satu masa, kita akan sampai "CAPACITY THRESHOLD" kita atau tahap maksima yang boleh kita tampung.

Inilah yang dipanggil "Flattening The Curve"

Perintah Kawalan Pergerakan sekarang ini adalah bertujuan untuk mengurangkan penyebaran virus, supaya tidak terlalu ramai yang jatuh sakit pada masa yang sama.


Supaya hospital-hospital kita masih mampu menangani kes-kes yang datang.

Jadi pesanan akhir saya hari ini, DUDUK DI RUMAH

STAY AT HOME

Walaupun anda rasa seperti tidak berbuat apa-apa, sebenarnya apa yang anda sedang lakukan adalah SANGAT PENTING.

Ingatlah, setiap kebaikan yang kita lakukan, pasti Allah ganjari in shaa Allah.

Terima kasih atas kerjasama anda

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Bertugas dari rumah,
"Flatten the Curve"

Ps :Terima kasih kepada Deen Studios yang menghasilkan video ini bagi memudahkan pemahaman kita semua




Sunday, 15 March 2020

Apa itu social distancing dan apa peranan kita dalam mengurangkan penyebaran Covid-19 pada masa ini

Ini cara mudah untuk kita faham, mengapa ramai doktor - doktor meminta orang ramai untuk melakukan SOCIAL DISTANCING untuk mengurangkan penyebaran Covid-19 pada masa ini.

#SOCIALDISTANCING ini termasuk

- elakkan ke tempat awam yang ramai orang seperti perhimpunan, majlis keraian, festival, konsert, pub, mall

- jangan berkongsi benda peribadi seperti tuala, botol air minuman hatta sebatang pen! (ini doktor dan nurse di hospital selalu buat)

- elakkan berjabat tangan atau berpelukan. Boleh mulakan "salam mufti" (tangan kanan di dada kiri), lambai sahaja atau gaya namaste

- elakkan menyentuh tangan anda ke wajah, mulut, mata dan hidung

- jika kurang sihat, seperti batuk, selsema, demam, usah ke sekolah atau tempat kerja. Jika perlu ke hospital atau klinik, pakai mask dan pastikan etika batuk anda betul (tutup mulut dengan siku atau tisu, bukan dengan tangan)

- JARAKKAN diri anda dengan orang lain sekurang-kurangnya 2 meter pada setiap masa semasa di luar rumah



- sentiasa cuci tangan dengan air dan Sabun atau hand sanitiser yang mempunyai 60% alcohol

- sedaya mungkin, TINGGAL DI RUMAH setiap masa.

Biar lah anak-anak bosan sedikit cuti sekolah ini.

Mereka mungkin kurang risiko jangkitan teruk akibat Covid-19, tetapi ditakuti mereka boleh menjadi pembawa, dan jangkitkan kepada datuk nenek pula.

Jaga kebersihan sentiasa.

Mari jadi agen perubahan Covid-19 di Malaysia!

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Medical Mythbusters Malaysia

HOW SOCIAL DISTANCING HELPS!

Friday, 6 March 2020

Covid-19 punya angkara, hampir saya tak ada mask dalam Dewan Bedah

Alkisahnya hari ini saya nak membedah satu kes katarak.

Masuk dalam OT, saya terpusing-pusing cari mask tak jumpa.

Saya nampak beberapa orang pelajar perubatan pun sedang tercari-cari mask.
Saya tanya pada staff nurse, "Mana mask?" Staff nurse saya jawab, " Ada, doktor. Tapi kita simpan. Seorang boleh ambil satu je. Medical students kena bawa mask sendiri." Saya pun tanya kenapa begitu. Biasanya mask ada banyak.

Beliau jelaskan, sekarang stok semakin kurang.

Walaupun pembuat mask adalah kilang di Malaysia, bahan mentah adalah dari China.

Oleh kerana orang ramai beramai-ramai membeli mask berkotak-kotak simpan di rumah, maka stok dari pembekal semakin kurang sedangkan kilang tak dapat hasilkan mask baru. Bahan mentah pula tak sampai dari China!

Sambung Sister Hidayah, sister di Dewan Bedah, "Semalam saya contact supplier, doktor, biasa harga RM10 sekotak, sekarang RM40! Tapi kita terpaksa beli lah juga, takkan nak buat operation tak pakai mask!" Ma shaa Allah!

Tepuk dahi saya dibuatnya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Jika nak beli mask, tiada masalah sebenarnya.

Untuk pakai mask, memang digalakkan terutamanya jika anda ada batuk dan selsema, untuk elakkan daripada anda jangkitkan batuk dan selsema anda kepada orang lain. Apatah lagi jika anda nak ke tempat yang ada orang ramai.

Namun, jika anda sihat, apa yang lebih penting adalah kebersihan tangan ya.

Cuci tangan dengan kerap dengan air dan sabun, atau pakai alcohol hand rub.

Elakkan menyentuh mulut, wajah, dan mata.

Kasihanilah kami petugas hospital yang benar-benar perlukan mask semasa bekerja.

Apatah lagi petugas barisan hadapan atau frontliner yang berhadapan dengan Covid-19.
Mari kita fikir kan,
sanggupkah anda, contohnya jika ahli keluarga anda perlu pembedahan, saya tangguhkan atau batalkan , kerana saya tiada mask untuk dipakai kerana hospital habis stok dan tidak dapat supply?

Begitulah.

Terima kasih kerana memahami ya 😊


Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Bersyukur dapat mask hari ini
06032020

Buta di usia muda

Hari ini saya mendapat dua orang pesakit berusia awal 40an menjadi BUTA

Seorang adalah pesakit glaukoma, sudah di diagnosa beberapa tahun tetapi tidak ambil rawatan doktor, tidak datang hospital, datang kali ini tekanan dalam mata sudah terlalu tinggi.

Semua sudah terlambat.

Matanya sudah buta.

Beliau seorang engineer. Anaknya yang kecil kurang dari usia 5 tahun.

Ketika saya sampaikan berita padanya, menitis air matanya walaupun beliau seorang lelaki.

Datang jauh dari negeri Perak.

Saya berikan rawatan untuk turunkan tekanan dalam mata dan rujuk beliau ke Malaysia Association for the Blind (MAB) untuk beliau belajar kemahiran baru sebagai OKU penglihatan.

Beliau seorang ketua keluarga, perlu mencari nafkah keluarga. Perlahan beliau mengangguk. Lebih perlahan melangkah keluar bilik klinik, dipimpin kawannya yang sudi membantu membawanya ke hospital hari ini.

Contoh gambar saraf yang rosak akibat glaukoma (Gambar Ihsan Google) 

.
.
.

Pesakit kedua seorang penjawat awam

Sudah 7 tahun kencing manis tetapi tidak pernah periksa mata dengan doktor mata.

Menurut beliau, matanya kabur sejak minggu lepas. Mulanya kanan, kemudian kiri.

Saya bertanya, "Kenapa Puan tak datang minggu lepas?"

Jawabnya, "Saya ingat sebab salah makan ubat, jadi kabur."

Pelik juga saya. Kalau saya, mata kabur sedikit pasti dah panik.

Saya periksa, ada pendarahan di kedua-dua belah matanya akibat "diabetic retinopathy". Di sebelah kiri, hampir penuh dengan darah.

Paras gulanya kata beliau, selalu antara 10-11 mmol/L

Melihat keadaan matanya, saya rasa lebih kepada 15 mmol/L ke atas.

Saya terpaksa rujuk beliau ke hospital kerajaan lain kerana untuk rawatan laser, di Hospital UiTM, beliau perlu membayar RM1000 untuk sekali rawatan laser.

Beliau perlu sekurang-kurangnya 3 kali rawatan.

Mudah-mudahan matanya dapat melihat kembali.

Contoh mata yang mengalami pendarahan akibat kencing manis (Gambar Ihsan Google) 


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Jika anda ada masalah mata seperti glaukoma, ada sejarah keluarga glaukoma, atau ada penyakit seperti kencing manis, saya mohon berjumpalah dengan doktor mata di hospital atau klinik mata.

Sekurang-kurangnya setahun sekali.

Usahlah ambil mudah, atau percaya kepada ubat-ubatan, herba, petua dan sebagainya.

Orang boleh beri petua macam-macam tetapi apabila mata anda sudah buta, siapa lagi yang boleh membantu kita?

Please, saya mohon.

Puas saya menahan sebak di klinik hari ini, memikirkan bagaimana masa depan dua orang pesakit saya tadi.

Usia lebih kurang saya, yang seorang pasti tidak dapat melihat lagi wajah anak kecilnya.

Yang seorang lagi, saya berharap benar beliau akan ke hospital yang dirujuk untuk rawatan lanjut. Jika tidak, sarafnya boleh tertanggal dan beliau boleh buta kekal.

Hasbunallah wanikmal wakeel

Hanya Allah yang Maha Kuasa dan Maha menyembuhkan.

Tetapi takkan lah kita hanya berserah dan tidak mahu menjaga amanah nikmat penglihatan yang Allah sudah anugerahkan kepada kita ini dengan sebaiknya?

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah,
Hari penuh emosi.
02032020

Sunday, 1 March 2020

1 Mac 2020 : Malaysia mendapat PM baru



Siapa pun anda,
bangsa apa pun anda,
parti mana pun anda,
hari Isnin nanti anda datang klinik saya,
saya tetap layan anda sebagai pesakit saya dengan penuh hormat, in shaa Allah.

Kerana saya penjawat awam, saya setia kepada Raja, Negara dan PM.

Tak kira siapa pun PM itu.

Yang saya tak layan hanyalah PM tepi,
kerana nasihat perubatan mana boleh PM tepi,
jumpa doktor laaa.

#donestatusPM