Friday 6 March 2020

Buta di usia muda

Hari ini saya mendapat dua orang pesakit berusia awal 40an menjadi BUTA

Seorang adalah pesakit glaukoma, sudah di diagnosa beberapa tahun tetapi tidak ambil rawatan doktor, tidak datang hospital, datang kali ini tekanan dalam mata sudah terlalu tinggi.

Semua sudah terlambat.

Matanya sudah buta.

Beliau seorang engineer. Anaknya yang kecil kurang dari usia 5 tahun.

Ketika saya sampaikan berita padanya, menitis air matanya walaupun beliau seorang lelaki.

Datang jauh dari negeri Perak.

Saya berikan rawatan untuk turunkan tekanan dalam mata dan rujuk beliau ke Malaysia Association for the Blind (MAB) untuk beliau belajar kemahiran baru sebagai OKU penglihatan.

Beliau seorang ketua keluarga, perlu mencari nafkah keluarga. Perlahan beliau mengangguk. Lebih perlahan melangkah keluar bilik klinik, dipimpin kawannya yang sudi membantu membawanya ke hospital hari ini.

Contoh gambar saraf yang rosak akibat glaukoma (Gambar Ihsan Google) 

.
.
.

Pesakit kedua seorang penjawat awam

Sudah 7 tahun kencing manis tetapi tidak pernah periksa mata dengan doktor mata.

Menurut beliau, matanya kabur sejak minggu lepas. Mulanya kanan, kemudian kiri.

Saya bertanya, "Kenapa Puan tak datang minggu lepas?"

Jawabnya, "Saya ingat sebab salah makan ubat, jadi kabur."

Pelik juga saya. Kalau saya, mata kabur sedikit pasti dah panik.

Saya periksa, ada pendarahan di kedua-dua belah matanya akibat "diabetic retinopathy". Di sebelah kiri, hampir penuh dengan darah.

Paras gulanya kata beliau, selalu antara 10-11 mmol/L

Melihat keadaan matanya, saya rasa lebih kepada 15 mmol/L ke atas.

Saya terpaksa rujuk beliau ke hospital kerajaan lain kerana untuk rawatan laser, di Hospital UiTM, beliau perlu membayar RM1000 untuk sekali rawatan laser.

Beliau perlu sekurang-kurangnya 3 kali rawatan.

Mudah-mudahan matanya dapat melihat kembali.

Contoh mata yang mengalami pendarahan akibat kencing manis (Gambar Ihsan Google) 


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Jika anda ada masalah mata seperti glaukoma, ada sejarah keluarga glaukoma, atau ada penyakit seperti kencing manis, saya mohon berjumpalah dengan doktor mata di hospital atau klinik mata.

Sekurang-kurangnya setahun sekali.

Usahlah ambil mudah, atau percaya kepada ubat-ubatan, herba, petua dan sebagainya.

Orang boleh beri petua macam-macam tetapi apabila mata anda sudah buta, siapa lagi yang boleh membantu kita?

Please, saya mohon.

Puas saya menahan sebak di klinik hari ini, memikirkan bagaimana masa depan dua orang pesakit saya tadi.

Usia lebih kurang saya, yang seorang pasti tidak dapat melihat lagi wajah anak kecilnya.

Yang seorang lagi, saya berharap benar beliau akan ke hospital yang dirujuk untuk rawatan lanjut. Jika tidak, sarafnya boleh tertanggal dan beliau boleh buta kekal.

Hasbunallah wanikmal wakeel

Hanya Allah yang Maha Kuasa dan Maha menyembuhkan.

Tetapi takkan lah kita hanya berserah dan tidak mahu menjaga amanah nikmat penglihatan yang Allah sudah anugerahkan kepada kita ini dengan sebaiknya?

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah,
Hari penuh emosi.
02032020

No comments:

Post a Comment