Monday, 25 January 2021
Tiada bibik, maka hak kita untuk "memetir" pada anak?
Hari ni antara yang trending adalah ramai orang kata, "Iyalah, ada helper, ada bibik boleh lah artis tu lemah lembut dengan anak online class, tak kena masak, basuh baju, basuh berak anak."
Ya, saya sedar, sejak saya ada anak, saya pun jarang-jarang tak ada pembantu, jadi saya bukan contoh yang baik.
Alhamdulillah juga kejadian online class segala ni, berlaku dengan anak-anak saya 2 orang sudah di sekolah menengah, hanya seorang sekolah rendah dan seorang tadika.
Saya pula bekerja, dan kurang masa untuk memerhatikan anak-anak, maka mungkin kurang kesempatan untuk "memetir" dengan mereka hahaha.
Tapi itulah kan,
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
-Surah Al-Baqarah, Ayat 286
Saya nak beri contoh Mak saya.
Mak saya, sekolah sampai darjah 3 sahaja. Membesarkan kami 5 beradik, masa tu Mak bukan surirumah sepenuh masa.
Pagi Mak menoreh, tapi pagi Mak siapkan sarapan kami dulu, baru pergi kebun . Kami adik beradik semua bersiap, tak pernah pula dengar Mak jerit-jerit marah kami pagi-pagi.
Abang-abang 3 orang tu semua gosok baju sendiri, pandai saja sarapan sendiri. Saya je lah kecil lagi, kadang kala Ayah kena tolong ikatkan rambut sementara Mak carikan stokin abang lah, bungkuskan nasi lemak untuk jual kat sekolah lah.
Abang saya part time jual nasi lemak ni. Saya tak diberi tugasan ni sebab matematik kurang cekap. Haha.
Bila terfikir, agaknya pukul berapa Mak saya bangun masak sambal semua tu kan?
Kami pergi sekolah, Mak pergi menoreh. Adik kecil masa tu baby, Mak hantar rumah Mak dia, iaitu nenek kami.
Atuk dan nenek kami belah ayah, yang duduk serumah, Mak dah siapkan sarapan untuk mereka.
Kami balik tengahari, Mak dah balik dari menoreh, makanan tengahari dah siap.
Entah bila Mak masak.
Petang, kami balik sekolah agama, Mak pesan, "Kalau nak pergi main, sebelum Maghrib mesti balik. Solat Maghrib jemaah. Kalau Maghrib tak ada kat rumah, siap!"
Huuuuu itu je Mak gertak, kecut.
Maghrib berjemaah, lepas tu mengaji Mak juga yang mengajar.
Sejak saya darjah 3, Ayah kerja di KL.
Makan malam, semua Mak juga yang siapkan.
Bila fikir balik, sepanjang saya membesar, saya tak pernah dengar Mak saya ni menjerit ke, memekik ke marah kan kami.
Jangan salah faham, Mak garang! Bukan jenis lemah lembut sangat pun hehe.
Kalau tak nak mengaji, Mak suruh duduk dalam tandas!
Kalau buat bising masa Atuk nak rehat, Mak rotan!
Tapi mulut Mak tak bising.
Alhamdulillah, kami berlima, jadi manusia yang pandai hormat orang tua.
Pandai turun ke dapur bila hujung minggu nampak Mak masak.
Bila Mak suruh, tak berani nak lambat-lambat kan.
Rasa hormat dan sayang pada Mak Ayah tu, tak pernah surut.
Kami faham nilai sebuah buku adalah kena pakai untuk 5 beradik sebab lepas Ayah pencen askar, kami bukan orang senang.
Begitulah.
Ya, saya pun tak lulus juga, belum jadi ibu sebaik Mak saya, tetapi saya pun tak nak jadi ibu yang memekik menjerit marah anak. Sebab saya ada role model Mak saya yang baik.
Saya tak nak anak-anak ingat kenangan "dulu Ummi tu suka jerit-jerit marah-marah".
Sepatah kata Ustaz Abd Muien, Firaun yang jahat, bakal ahli neraka pun Allah suruh Nabi Musa bercakap LEMBUT dengan dia.
Anak-anak kita tak lah sejahat Firaun.
Kalau kita belum jadi ibu yang baik hari ini, biarlah kita bertekad jadi ibu yang baik mulai esok in shaa Allah.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Tak mungkin terbalas semua jasa Mak Ayah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment