Tuesday, 2 February 2021

Kenapa saya nak anak saya jadi doktor

Ya, saya nak anak saya jadi doktor. Kalau diberi pilihan, saya nak anak saya jadi Pakar Bedah. Kenapa? Kerana saya jadi hamba apabila saya membedah. Saya jadi manusia paling hina, langsung tidak ada apa-apa, paling bergantung pada Allah, ketika saya membedah. Secanggih mana pun peralatan. Semahal mana pun microscope. Semoden mana pun mesin phaco. Tak kira berapa ratus pembedahan pun saya dah buat. Walaupun sehati-hati mana saya membedah, jika Allah kata KUN, maka akan berlaku komplikasi, walaupun pembedahan itu sepatutnya mudah. Ya, KUN, FA YA KUN. Jika Allah kata, "JADILAH, maka akan terjadilah" Orang beriman wajib beriman kepada qadha dan qadar Allah. Hadith Rasulullah SAW, “Allah telah menulis (di Luh Mahfuzh) segenap takdir makhluk 50, 000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi” (HR. Muslim) Sebelum pembedahan, semasa mengambil keizinan pembedahan, saya akan beritahu pesakit, "Encik /Puan, saya yang bedah Encik /Puan, tetapi Allah yang gerakkan tangan saya. Saya tak hebat. Semua ilmu, Allah yang beri pada saya. Yang hebat hanya Allah." Jika saya riak, Allah uji saya dalam pembedahan. Hari ini, pesakit saya sangat istimewa. Katarak beliau tidaklah keras. Sepatutnya mudah sahaja. Rupanya katarak yang lembut itu, lebih sukar dibedah. Berdegup kencang jantung saya. Ketika sipi-sipi komplikasi hampir berlaku, saya panjatkan doa, "Ya Allah, orang ini sangat baik, ya Allah. Dia seorang ibu yang baik. Anak-anaknya soleh dan solehah, semua berakhlak baik. Dia menjaga suaminya yang peritoneal dialysis setiap hari, ya Allah. Bantu dia Ya Allah. Dengan asbab amalan baik dia, Ya Allah, bantulah aku supaya pembedahannya lancar, Ya Allah. " Dan selepas itu, seperti air sungai yang mengalir, pembedahan berjalan lancar hingga selesai. Subhanallah. Allahu Akbar! Selepas pembedahan, makcik bertanya, berapa lama pembedahannya. Saya beritahu beliau jangkawaktunya. Beliau kata," Oh tak lama. Cuma rasa sengal sedikit." Alhamdulillah. Sungguh Allah itu Maha Penyayang, Maha Hebat. Yang Hebat itu, hanya Allah. Ya, saya teringin sangat anak-anak saya merasai apa yang saya rasai. Tetapi jika tiada pun, tidak apa. In shaa Allah mudah-mudahan ada di kalangan anak-anak murid pelajar perubatan saya, pasti ada yang bakal merasai, betapa indahnya menjadi hamba, ketika manusia melihatmu hebat. Merasai bagaimana Allah mentarbiah dirimu kembali ke posisi paling rendah, dan mengembalikan segala kejayaan, hanya kepada ALLAH. Alhamdulillah. Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah 2 Februari 2021 Shah Alam.

No comments:

Post a Comment