Wednesday, 3 February 2021

Pengalaman pertama kali jumpa kanak-kanak kanser dalam mata

Pertama kali saya jumpa pesakit retinoblastoma, adalah semasa saya dalam tahun 3 Sarjana Oftalmologi di Universiti Malaya. Saya ingat lagi hari itu hari Isnin. Kanak-kanak berusia setahun setengah itu tersangatlah comelnya. Baru laju nak berjalan. Budak perempuan Cina, rambut toncit, jalan pakai kasut bunyi cit cut cit cut di klinik kami. Ibunya kata, beliau nampak anaknya kadang-kadang juling. Kawan saya Dr Faizal periksa dalam matanya, mukanya berubah. Beliau panggil saya, "Aisyah, kau tengok ni." Saya pun berdebar. Panggil Prof pula. Prof minta kami panggil ibunya, kami terus nasihatkan untuk masuk wad, esok kami buat MRI, lusa masuk OT untuk pemeriksaan lanjut. Dalam OT hari Rabu, Prof dapati dalam KEDUA-DUA mata kanak-kanak itu ada kanser retinoblastoma. Sebelah sudah penuh dengan kanser, sebelah lagi ada kanser yang kecil. Yang penuh dengan kanser, perlu dibedah dan dibuang segera untuk elakkannya merebak ke otak . Yang satu lagi perlu dilaser. Kami dapatkan keizinan untuk terus membedah daripada ibubapa kanak-kanak itu, ketika itu juga. Alhamdulillah kedua-dua ibu bapanya mengizinkan, walaupun dengan esak tangis. Saya ingat lagi ketika Prof membedah, saya menangis dalam Dewan Bedah. Registrar saya yang juga seorang ibu, juga menangis. Prof saja sangat kuat hati. Respect saya pada Prof. Ketika itu saya janji dengan diri sendiri, saya TAK NAK buat sub kepakaran Paediatric Ophthalmology. Ia terlalu menyedihkan! Saya teringat anak saya! Tetapi apabila melihat kanak-kanak itu survive, rupanya pembedahan itu, dengan izin ALLAH, membantunya. Alhamdulillah, tahun ini tahun ke 4 saya bertugas sebagai Pakar Mata Kanak-kanak, selepas dibimbing oleh Prof yang sama. Inilah video saya, untuk memberi maklumat dan informasi tentang retinoblastoma kepada orang ramai, sempena Hari Kanser Sedunia hari ini. Ini link nya https://youtu.be/zSFuEUo9bEQ Saya masukkan di ruang komen, supaya cerita saya ini, turut dapat dibaca, apabila sahabat yang budiman, tolong share video saya ini . Terima kasih.

No comments:

Post a Comment