Monday 22 February 2021

SPM : sekeping kertas, tiket saya ke luar negara

SPM Sijil Pelajaran Malaysia Hanya satu kertas? Memang lah kertas. Tapi ia tiket saya nak pergi luar negara haha! Semasa saya di sekolah menengah, Abang saya yang kedua belajar di USA. Beliau selalu hantar gambar beliau main salji. Gambar itu saya letak di meja belajar saya di asrama. Sejak saya 9 tahun, Ayah dah pesan saya mesti jadi doktor. "Nanti boleh naik kapal terbang pergi London," Ayah kata. Saya tak pernah naik kapal terbang komersial seumur hidup saya ketika itu. Mak pula kata, "Kalau nak pergi luar negara, kena dapat biasiswa. Mak mana ada duit nak hantar. Nak dapat biasiswa, kena dapat 10A1!" Itu sahaja sudah cukup untuk memotivasikan saya untuk belajar sungguh - sungguh setiap masa.
Waktu sekolah, saya belajar. Waktu prep, saya belajar. Waktu riadah? Pun saya belajar juga. Orang lain di asrama ramai kawan, saya banyak buku. Rasanya tak ada orang nak kawan dengan saya, waktu riadah pun cari meja nak study. Impian saya adalah 10A1, nak dapat biasiswa, nak naik kapal terbang, pergi London! Waktu cuti, saya belajar dari 8 pagi sampai 11 malam. Mak saya kata, dia tak pernah ada anak macam saya. Makan pun kena ingatkan. Kadang Mak terpaksa bawa makanan pergi meja study saya sebab saya lupa nak makan. Alhamdulillah saya dapat 8A1, 1A2, 1 C3 (Add Maths). Masa tu punyalah kecewa, keputusan SPM keluar, saya mencangkung menangis tepi longkang depan office di sekolah. Macam tak bersyukur kan? Kawan-kawan lalu, geleng kepala. "Apalah Didi tu, dapat top 10 di sekolah kot, pun nak sedih." Saya tak peduli, saya telefon Mak dalam esak tangis, minta maaf saya kecewa kan Mak, terus naik bas dari Jasin sampai Muar. Saya tak dapat program forecast A level. Saya gagal. Saya hanya dapat masuk matrikulasi UKM Bangi. Di Matrikulasi Bangi, apabila ada kawan-kawan yang straight A SPM 1997, dapat panggilan ke luar negara untuk A Level, saya sedih sekali lagi. Saya pun pulun belajar lagi dan lagi. Saya target nak dapat 4.0 pula. Tak dapat pergi oversea pun, saya mesti nak masuk Medic. Saya tukar strategi, saya study pukul 5 pagi hingga 11 malam pula. Kalau saya tak faham, saya tanya kawan-kawan. Masa ni dah mula faham apa itu tahajjud, konsep berdoa, tawakkal selepas berusaha. Alhamdulillah semester pertama, dapat pointer 4.0. Semester kedua dapat 3.93. Alhamdulillah rupanya ada hikmah, MARA ada program ke luar negara juga, menggunakan keputusan matrikulasi. Alhamdulillah saya bersama 27 orang pelajar lain dari seluruh Malaysia, selepas menjalani temuduga, terpilih ke Ireland untuk program Sarjana Muda Perubatan. Rupanya ia lebih pantas berbanding kawan-kawan yang menduduki A level kerana mereka perlu menjalani 2 tahun, baru masuk tahun 1 Universiti. Saya hanya perlu 1 tahun matrikulasi, kemudian kerana cemerlang semasa temuduga, saya dapat masuk program 2 in 1 iaitu saya jalani Tahun 1 dan Tahun 2 Perubatan di National University of Ireland Galway serentak.
Punyalah susah nak lulus program tu. Baru nak adapt tempat baru, nak belajar accent orang Irish, nak salin nota, nak belajar banyak subjek, semua kena lulus, nak kena viva voce untuk hampir semua subjek! Maknanya peperiksaan semua subjek akan ada temuduga atau ujian lisan. Tak kisah lah Physiology ke, Biochemistry ke, Anatomy ke. Semua kena "defense" sampai Pensyarah yakin yang kita dah kuasai subjek.
Ini satu kekuatan NUI Galway. Jadi makin tahun, kami makin yakin bercakap dalam bidang Perubatan. Saya belum fasih berbahasa Inggeris masa itu, tetapi orang Irish tak selalu gelakkan saya. Kalau kena gelak pun saya buat bodo je lah. Saya memang bukan orang putih pun. Saya Melayu Jawa. Program 2 in 1 ini bererti, pada ketika kawan-kawan A level baru habis A level, saya dan kawan-kawan matrikulasi dah nak masuk tahun 3 Perubatan di Ireland. Maka saya gigihkan juga lah habiskan program yang macam boot camp itu. Berapa kali nangis, rasa nak quit tak payah cakap. Mujur ramai kawan-kawan bantu, pinjamkan nota, saling beri semangat dan study sama-sama. Apabila di luar negara, kita tak ada keluarga, sesama pelajar Malaysia jadi macam adik beradik.
Alhamdulillah saya lulus semua subjek dalam Sarjana Muda Perubatan, dengan Honours iaitu kepujian. Alhamdulillah, kejayaan ini semua dari Allah. Satu strategi baru saya belajar untuk lebih cemerlang lagi, adalah kaedah study group.
Alhamdulillah, semua ada yang berlaku ada hikmah. Tak dapat pergi A Level, saya bertemu jodoh di matrikulasi UKM. Semua bermula dengan sekeping kertas SPM itu. Tanpa keputusan SPM itu, pasti saya tak dapat masuk Matrikulasi UKM Bangi itu. SPM, ia bakal mengorak langkah pertama kehidupan berkerjaya anak-anak semua. Selamat maju jaya. Dream big till it scares you. And then work hard till it come true! Allah will reward you for it, surely! Have faith! All the best! Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah SPM 1997 Mak Ayah motivator terbaik saya

No comments:

Post a Comment