Showing posts with label taipei. Show all posts
Showing posts with label taipei. Show all posts

Saturday, 10 March 2018

Apa ada di Taiwan? (Bahagian dua : Yehliu Geopark, Jiufen Old Street, Air Terjun Shihfen dan menerbangkan tanglung di Pingxi)


Kenangan di Jiufen Old Street Taiwan

Hari ketiga di Taipei, kami memilih untuk mengikuti satu lagi bas pelancong ke utara Taipei . Berbeza dengan semalam yang mana penuh satu bas dengan warga Malaysia, kali ini hanya 17 orang kerana ada yang memilih untuk  ke tempat-tempat lain. Bayarannya NT$900 seorang.

Perjalanan selama satu jam keluar dari bandar Taipei, destinasi kami yang pertama adalah Yehliu Geopark. Di sini terdapat batu-batuan yang unik , yang terhasil akibat hakisan udara dan air laut. 

Panjang persisiran pantai ini adalah lebih kurang 1.7km dan dibahagikan kepada beberapa sektor. Namun hanya sektor 1 dan 2 yang dibuka untuk orang ramai, kerana sektor lain terdedah kepada tsunami kecil dan merbahaya untuk pengunjung. Tiket masuknya adalah NT$80 sahaja. 

Di pintu masuk Yehliu Geopark

Harga tiket NT$80

Hari yang agak berkabus

Salah satu batu yang berbentuk unik

Antara batu-batuan yang menarik adalah Kepala Ratu “Queen’s Head” , batu berbentuk gajah, cendawan dan lilin. Ada barisan yang sangat panjang untuk bergambar dengan batu Queen’s Head, dan kami tidak mahu membuang masa beratur, hanya mengambil gambar dari sudut belakangnya.



Bergambar bersama the Queen's Head.

Batu berbentuk cendawan atau mushroom 

Bersama beberapa pengunjung dari Korea. Memang mereka suka membuat bentuk hati itu, saya pun ikut sahaja hahah 



Dari Yehliu Geopark , kami ke Jiufen Old Street  yang merupakan salah satu ikon tempat pelancongan di Taipei. Oleh kerana jalan raya untuk mendaki ke Jiufen agak sempit, maka kami harus bertukar bas, dan menaiki shuttle bus ke atas. Ngeri juga melihat bas-bas yang saling berselisih, namun Alhamdulillah kami selamat sampai ke atas.

Jiufen Old Street yang masih mengekalkan reka bentuknya sejak 100 tahun lalu ini, menjadi sumber inspirasi pelukis kartun Spirited Away dan Totoro. Kerana itu, banyak cenderahati di sini, menampilkan watak-watak kartun-kartun ini. Cenderahati juga harganya agak berpatutan iaitu NT$90-100 untuk satu pelekat magnet dan NT$150-190 untuk satu rantai kunci.

Senibina Taiwan yang indah


Jiufen Old Street yang dihiasi tanglung 

Pemandangan laut yang cantik dari atas Jiufen Old Street

Hari Sabtu, kawasan ini agak sesak dengan pengunjung. Alhamdulillah kami terjumpa sebuah gerai menjual sotong goreng, maka dapatlah kami mengalas perut untuk makan tengahari. 

Selesai makan, kami ke Visitor Centre berdekatan untuk bersuci dan berwudhu. Oleh kerana ada restoran yang agak luas di situ, kami meminta izin untuk tumpang solat. Baik sungguh pekerja di situ, walaupun tidak faham apabila kami mengatakan “I want to pray”, mereka sangka kami mahu makan. Tetapi salah seorang pekerja itu, menggunakan Google Translate dan meminta saya bercakap pada telefon beliau.

Alhamdulillah dapatlah kami menunaikan solat dengan tenang, di tempat yang bersih. Mujur kami memang biasakan berjalan dengan membawa sejadah. Saya juga solat tanpa telekung , kerana suami saya selalu menekankan pakaian yang dipakai mesti cukup syarat untuk solat. Maka mudah untuk kami solat di mana-mana sahaja.

Gerai sotong goreng yang halal

Sedap juga tetapi banyak ajinomoto

Tumpang solat di sebuah restoran

Pemandangan dari restoran tempat kami solat

Selesai solat, kami turun semua ke kawasan bas ekspres kami dan meneruskan perjalanan ke air terjun Shihfen. Jika Jiufen bererti “sembilan” kerana asalnya hanya ada 9 keluarga yang tinggal di kawasan itu sebelum bermula perlombongan emas, shihfen pula bererti “sepuluh”.

Shihfen terletak kira-kira 30 minit dari Jiufen, dan kami berpeluang melawat air terjun tertinggi di Taiwan. Walaupun terpaksa berjalan sejauh 20 minit untuk melihat air terjun selebar 80 meter dan setinggi 30 meter ini, pemandangannya Subhanallah sangat menakjubkan. Apatah lagi ketika itu sudah hampir senja dan cahaya matahari sudah mula tenggelam di ufuk barat. Memang sangat menenangkan.


Pintu masuk kawasan Air Terjun Shihfen

Pemandangan yang indah dalam perjalanan ke air terjun


Air terjun Shihfen


Dari air terjun Shihfen, kami ke Pingxi yang terkenal dengan tempat menerbangkan tanglung atau “sky lantern”. Untuk orang bukan Islam, mereka menganggap ini cara mereka berdoa, dengan menuliskan hajat mereka ke atas tanglung dan kemudian menerbangkannya ke “syurga”.

Bagi kita umat Islam, pastinya syirik jika beriktikad sedemikian, hanya menerbangkan tanglung ini untuk sebuah pengalaman yang menyeronokkan. Sebuah tanglung harganya NT$150, dan harga sudah termasuk dalam pakej bas pelancong kami.


Apa yang agak lucu, adalah orang ramai menerbangkan tanglung ini di atas landasan keretapi. Saya sangka ia sudah tidak digunakan lagi. Sedang asyik saya merakam gelagat sahabat-sahabat menerbangkan tanglung, tiba-tiba ada sebuah motorsikal membunyikan hon, dan tiba-tiba semua orang berlari keluar dari landasan keretapi , kerana ada sebuah keretapi yang mahu lalu!

Ma sha Allah berdebar sungguh hati saya. Rupa-rupanya ada stesen keretapi yang berdekatan, dan orang ramai menerbangkan tanglung ini di atas landasan, kerana ia tidak ada pokok-pokok yang boleh mengganggu tanglung yang sedang terbang ke atas ke udara.





Meriah sungguh suasana di sini

Semakin senja, semakin banyak tanglung yang diterbangkan
 
Senja di Pingxi

Senja makin melabuhkan tirai, pemandangan semakin indah dengan tanglung-tanglung yang berterbangan. Namun kami harus pulang, kerana sudah tiba masanya kami pulang ke Taipei. Yang pasti pengalaman manis ini akan kami kenang hingga akhir hayat in shaa Allah.

Dari Pingxi, perjalanan mengambil masa sejam untuk ke kota Taipei. Walaupun mengikut jadual kami harus berhenti di sebuah pusat membeli belah bebas cukai, hampir semua orang tidak mahu membeli belah lagi, dan mahu ke restoran halal . Semua sudah lapar dan keletihan, kerana tidak dapat makan tengahari di Jiufen.
Di pintu masuk kedai bebas cukai. 

Bas menurunkan kami berdekatan hotel, dan sebahagian kami ke Restoran Halal Bismilla iaitu restoran makanan Thai, dan kami memilih untuk ke restoran sebelahnya iaitu Restoran Yunus. Restoran ini mendapat pensijilan halal , dan pernah dikunjungi VIP-VIP Malaysia seperti Dato Zahid Hamidi dan Dato Azmin Ali. Harga makanannya agak tinggi iaitu NT$290 untuk sepinggan nasi goreng, tetapi rasanya enak sekali.


Restoran Yunus yang luas


Pemilik restoran sendiri yang mengambil pesanan makanan

Antara pilihan makanan 

Gambar-gambar orang terkenal yang pernah ke restoran ini



Bergambar bersama pemilik restoran ini


Nasi goreng makanan laut pilihan Dr Hafiz


Daging goreng pilihan saya

Tak perlu ragu makan di sini kerana ada pensijilan halal 

Dari restoran, kami berjalan kaki ke hotel, melalui Taipei Arena, dan ia hanya mengambil masa 10 minit. Esok adalah hari terakhir kami di Taiwan dan in shaa Allah kami akan bersiar-siar di sekitar bandar Taipei sambil mencari cenderahati buat keluarga dan sahabat handai in shaa Allah ...

Bersambung


Monday, 5 March 2018

Apa ada di Taiwan? Panduan Melancong Muslim (Bahagian satu : Yangmingshan Park, Masjid Taipei & Taipei 101)

Kenangan melihat sakura di Yangminshan Park, Taipei


Penghujung tahun lalu, apabila suami saya mencadangkan untuk bercuti ke Taiwan, perkara pertama yang terlintas di hati saya adalah , “Taiwan? Apa yang ada?”

Namun suami saya kata, seronok juga mengembara ke negara yang belum pernah dilawati. Kata beliau, ia satu-satunya negara Asia Timur yang belum dilawati. Mati-mati saya sangka Taiwan adalah sebuah negara sendiri. Rupanya ia adalah sebuah pulau di bawah jajahan Republik Cina, tetapi mempunyai pemerintahan sendiri iaitu parti pembangkang. Rata-rata orang Taiwan tidak suka dikaitkan dengan negara besar itu. Budaya mereka pun agak berbeza.

Penerbangan Air Asia kami adalah pada pukul 10 pagi, dan kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyun pada jam 2.40 petang. Selepas urusan di imigresen dan tuntutan bagasi, kami menaiki bas ke bandar Taipei. Oleh kerana kami pergi bersama sekumpulan warga Malaysia yang lain, semua aturan ini sudah disiapkan lebih awal.

Perkara pertama yang saya nampak adalah, rakyat Taiwan amat mementingkan masa. Sejak dari Malaysia lagi pemandu pelancong kami sudah pesan, jika terlewat pemandu bas tidak akan menunggu kerana mereka sangat menepati masa.

Alhamdulillah sekitar jam 4, kami bertolak ke Taipei, dan perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Cuaca amat cerah, dan suhu 24 darjah.


Setibanya di Lapangan Terbang 

Tiba di hotel, Alhamdulillah sempat kami solat Zuhr dan Asar jamak. Dan setengah jam kemudian iaitu kira-kira jam 5.57 petang, masuk waktu Maghrib. Waktu siang di sini, seperti di Sabah dan Sarawak iaitu waktu Subuh dan Maghrib awal satu jam dari semenanjung Malaysia.

Pemandangan dalam perjalanan ke hotel

Hotel Sunworld Dynasty Taipei

Bilik yang luas dan selesa Alhamdulillah 

Selepas solat , kami ke rumah kenalan mertua saya iaitu Aunty Zai dan Uncle Ismail yang bekerja di kedutaan Malaysia di sana. Alhamdulillah Hotel Sunworld Dynasty yang disediakan sangat dekat dengan kediaman mereka, iaitu kira-kira 10 minit berjalan kaki sahaja .

Semasa berjalan kaki, saya sedar bangunan dan reka bentuk bandar di Taipei, banyak mirip kota di Jepun seperti Tokyo dan Yokohama yang pernah saya lawati. Orang-orangnya juga sangat sopan dan berhemah, saling tak tumpah seperti rakyat negara matahari terbit.

Sambil berjalan kaki, Uncle Ismail yang sudah 4 tahun tinggal di Taipei, menceritakan bahawa oleh kerana Taiwan pernah dijajah Jepun, mereka memang “berkiblatkan” Jepun dan bukan negara Cina. Menurut Uncle Ismail, Taipei juga sangat selamat, ada CCTV di setiap penjuru dan hampir tidak pernah dengar berita ragut atau rompakan. Paling kami kagum, menurut Uncle, ada kawannya yang pulang ke kampung selama sebulan, langsung tidak dikunci rumahnya dan semuanya selamat sahaja.

Bersama Uncle Ismail di hadapan hotel

Taipei Arena yang terletak dekat dengan hotel kami 

Alhamdulillah di rumah Aunty Zai dan Uncle Ismail, kami dijamu nasi putih, asam pedas ikan, ayam goreng dan tomato Taiwan yang segar. Berselera sungguh kami makan , apatah lagi ada kicap Jalen dari Malaysia sebagai penambah perisa.

Rumah Aunty dan Uncle agak luas dan selesa. Apartment 3 bilik, ruang tumu yang luas, ruang makan, ada satu bilik air dan ruangan dapur kering dan basah, sewanya RM10, 000 sebulan. Hampir tersedak saya mendengarnya. Tetapi begitulah kos sara hidup yang tinggi di Taiwan. Kata mereka, ,rumah apartment sahaja boleh mencecah harga RM10 juta.

Namun , kata Uncle, ramai juga orang kaya millionaire dan billionaire di Taiwan, hingga mereka ada kelab mereka tersendiri.





Selesai makan malam, kami berjalan-jalan di taman berdekatan, dan dapatlah saya melihat beberapa pohon sakura yang sudah mula berbunga. Sebelum ini saya pernah melihatnya di Tokyo, tetapi ini kali pertama saya menikmati keindahan bunga yang mekar setahun sekali ini, bersama buah hati saya. Pastinya sangat istimewa.

Bersama Aunty Zai & sakura

Sakura pertama kami

Ubike yang terkenal di Taipei, hampir sama dengan Obike di Malaysia. 

Dari taman bunga, kami ke stesen MRT untuk ke Pasar Malam atau Night Market. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Aunty dan Uncle, kami menaiki MRT  dari Nanjing Fuxing ke stesen Shilin. Uncle sudah meminjamkan kami dua keping kad seperti kad Touch & Go untuk tambang MRT. Satu perjalanan tersangat murah, iaitu NT$15-16 sahaja. Untuk kadar tukaran wang asing sekarang, NT$100 adalah lebih kurang RM13, tetapi untuk memudahkan, kami anggap sahaja NT$100 sama dengan RM10. Jadi sekali naik MRT, tambangnya hanyalah lebih kurang RM1.50!

Pasar Malam Shilin adalah antara yang terkenal, tetapi melihat di pintu masuknya ada banyak jualan makanan berundurkan daging khinzir, tak lalu pula rasanya nak melintas. Maka kami hanya berjalan di lorong-lorong kecil di sekitar pasar malam ini.

Antara yang banyak di jual adalah pakaian, sehelai sekitar NT$290-300 bererti dalam RM30 (sebenarnya RM39). Saya membeli buah strawberi yang sangat manis dengan harga NT$100 satu cawan, dan sayur-sayuran yang di-dihidrasi dan rangup, harganya NT$500 untuk 3 plastik.

Sekitar jam 10.30 malam, kami bergerak pulang ke hotel dengan teksi, kerana sudah tidak larat berjalan. Tambang teksi dari Shilin ke kawasan hotel kami (landmark Taipei Arena) adalah sekitar NT$200.

Sudah malam pun semua orang masih beratur.

Penuh juga MRT walaupun sudah malam 

Sekitar Shilin 


Strawberi yang manis, NT$100 satu gelas

Sihat sungguh snek orang sini, sayur-sayuran sahaja

Hari ke dua di Taipei, kami mengikut bas pelancong anjuran syarikat Skyway, untuk ke kawasan bandar. Bayarannya adalah NT$800 seorang. Sebelum bergerak, kami bersarapan di hotel, yang sangat mengambil berat keperluan pelancong Muslim, telah menyediakan kawasan makan yang halal untuk kami. Alhamdulillah lega rasa hati.


Cakoi Taiwan, yang dimakan bersama nasi putih 



Oleh kerana saya memang teruja untuk melihat bunga sakura, saya telah menempah sepasang skirt khas bertemakan bunga sakura, dari peniaga Instagram iaitu Doll Kertas untuk lawatan hari ini. Maklumlah semasa bernikah dahulu, kami masih bergelar pelajar perubatan dan belum mampu nak mengambil gambar “outdoor photoshoot”. Inilah peluang kami, sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke 15, Ogos nanti in shaa Allah



Bas kami bertolak dari hotel sekitar jam 8.45 pagi hari Jumaat itu, dan kagum saya melihat jalan raya yang tiada kesesakan lalu lintas. Mungkin kerana ramai yang menaiki kenderaan awam.

Perhentian pertama kami adalah sebuah kawah gunung berapi di kawasan Xiaoyoukeng, iaitu berdekatan Taman Negara Yangminshan. Gunung berapi ini yang terletak hanya satu jam dari bandar Taipei, suatu masa dahulu pernah aktif, tetapi sekarang sudah dorman. Namun di kawah ini, masih ada wap panas dan gas sulfur yang berbau , disebarkan. Hasil letusan gunung berapi ini dan beberapa gunung berapi lain di Taiwan, menyebabkan tanah di sini subur untuk bercucuk tanam.









Dari Xiaoyoukeng, kami ke Yangminshan Park untuk menikmati keindahan bunga sakura. Menurut pemandu pelancong, sekarang (awal Mac), masih awal dan bunga belum berkembang penuh, dan dijangka akan berkembang pada pertengahan Mac. Di sini agak awal, berbanding di Jepun yang rata-rata sakura berkembang pada akhir Mac dan awal April. Boleh baca pengalaman saya melihat sakura di Jepun , di sini (Cherry Blossom Journey Tokyo).

Dari pintu masuk Yangminshan Park, kami harus bertukar bas kerana jalannya agak sempit, maka bas ekspres kami tidak boleh masuk ke dalam kawasan taman. “Shuttle bus” ini agak kerap, dan bayarannya hanya NT$15 sekali naik. 

Shuttle bus menghantar kami ke kawasan taman bunga di Flower Clock , dan dapatlah kami bersiar-siar di kawasan itu. Ma shaa Allah memang cantik sungguh pemandangan di sini, dengan berlatar belakang gunung ganang, ada sungai yang mengalir di tengah-tengah taman dan bunga sakura yang berwarna merah jambu terang, menghiasi seluruh taman ini. Bertuah sungguh saya rasa dapat bersiar-siar di sini bersama buah hati saya.



Flower Clock







Selepas setengah jam di sini, kami kembali menaiki shuttle bus ke kawasan bas ekspres kami, dan kami bergerak ke bandar Taipei semula. Pada mulanya kami berniat mahu solat Jumaat di Masjid Besar Taipei atau Taipei Grand Mosque, tetapi perjalanan yang memakan masa sejam itu agak lewat, dan setibanya kami di masjid, orang ramai baru sahaja selesai solat Jumaat. Maka kami pun bersolat Zuhr dan Asar secara jamak sahaja.

Selesai solat, kami ke restoran makanan halal di sebelah masjid. Pemiliknya orang Indonesia, maka menunya juga makanan Indonesia seperti ikan goreng, nasi goreng dan sebagainya. Harganya juga agak berpatutan, NT$150 untuk sepinggan nasi goreng. Porsinya juga besar, boleh berkongsi berdua.

Ruang solat utama

Taipei Grand Mosque


Nasi Goreng

Nasi Pecal Ayam


Bersama Joyce, pemandu pelancong kami yang berminat dengan Islam Semoga Allah beri hidayah kepadanya in shaa Allah 

Dari masjid, kami ke menara mercu tanda Taipei iaitu Taipei 101. Jika bulan Oktober lepas saya ke Hong Kong dan menaiki Sky100 iaitu mercu tertinggi di sana, ternyata ada pesaing bangunan tertinggi di sini iaitu Taipei 101 ini. Ketinggiannya adalah lebih 500 meter, hingga katanya jika mercu in boleh dipindahkan ke selat yang memisahkan Taiwan dengan negara Cina, ia masih akan berdiri megah kerana kedalaman laut di selat itu hanyalah 100 meter.



Perbandingan ketinggian pencakar langit di dunia

Berbeza dengan Sky100 Hong Kong yang ultra moden, Taipei 101 masih mengekalkan senibina Cina yang unik, di mana bangunan ini dibahagikan kepada 8 sektor kerana nombor 8 adalah bermaksud “luck” atau bernasib baik. 

Oleh kerana hari agak berkabus, kami teragak-agak juga mahu menaiki menara ini. Pada pendapat saya, mungkin pemandangan lebih cantik jika menaiki menara ini  pada waktu malam. Tetapi menurut suami saya, mungkin malam kabus akan lebih tebal dan menghalang pemandangan juga. Maka kami putuskan untuk menaikinya sekarang.



Beberapa arca seni yang terdapat di luar Menara Taipei 101





 Selepas membayar harga tiket NT$600, kami menuju ke lif terpantas di dunia di sini, yang mampu membawa pengunjung daripada tingkat bawah ke tingkat 89 dalam masa kurang daripada 39 saat. Pengunjung juga boleh menaiki tangga ke balai pemerhati di tingkat ke-91.


 Sebuah teknologi mengawal kesan bencana alam terletak di tingkat ke-88 mampu mengawal kestabilan bangunan terhadap ancaman gempa bumi, taufan, dan angin Teknologi ini mampu mengurangkan sehingga 40% pergerakan menara.  Maha Suci Allah yang mengurniakan manusia dengan ilmu untuk membina bangunan setinggi ini di sebuah negara yang terdedah kepada taufan dan gempa bumi setiap tahun.

Alhamdulillah cantik pemandangan kota Taipei dari atas menara ini. Sempat saya rakamkan sebuah video Sembang-sembang Oftalmologi di sini.




Menaiki tangga untuk ke tingkat 91, dari tingkat 89


Pemandangan dari tingkat 91




Ini adalah wind damper yang membantu menstabilkan bangunan apabila dilanda angin kuat




Mencuba cold infusion tea berharga NT$80

Tepat jam 4.45 petang, kami turun semula untuk menaiki bas untuk pulang ke hotel. Alhamdulillah dua hari di Taipei, kami langsung tidak menggunakan data internet, kerana terdapat wifi di mana-mana secara percuma, dari Visitor Centre, tempat membeli belah (contohnya di Taipei 101 Mall), restoran-restoran dan di stesen MRT. Jadi tiada masalah untuk kami “check-in” di Facebook di tempat-tempat yang kami lawati, sebagai kenangan suatu masa nanti.

Esok kami akan ke bahagian utara Taipei pula, untuk melihat keindahan alam di sana. In shaa Allah nanti saya kongsikan ya.

Bersambung...