Wednesday 24 August 2022

Merawat banduan akhir Penjara Sungai Buloh

 Oleh kerana #Penjara #SungaiBuloh trending hari ini, saya pun nak kongsikan kisah saya merawat pesakit dari penjara.


Alhamdulillah, saya berpeluang bekerja di Hospital Sungai Buloh pada 2008 sebagai MO, dan dari tahun 2013 hingga 2014 sebagai Pakar Mata . Selalu juga kami dapat pesakit dari penjara.


Mula-mula tu saya keliru juga kenapa ada banyak warna baju banduan. Ada ungu, merah, baju putih lengan merah.


Rupanya warna baju berbeza-beza mengikut hukuman. Baju ungu tu tahanan reman. Warna merah, tahanan lebih 6 bulan. Yang paling digeruni, pastinya baju putih lengan merah. Inilah banduan akhir, yang menanti hukuman mati mandatori.


Ada 2 pesakit yang saya tak boleh lupakan.


Pesakit pertama, ada katarak yang tebal. Tetapi oleh kerana banduan itu adalah tahanan akibat kesalahan merogol, Pakar kami ketika itu enggan menjalankan pembedahan untuknya. Kata Pakar tu, takut lah, nanti dah nampak, bila bebas dia buat lagi jenayah itu. Saya masa itu MO saja, diam sahajalah.


Pesakit ke dua, saya jumpa semasa saya dah jadi Pakar. Dia masuk ke bilik klinik, tangannya bergari kiri dan kanan kepada Pegawai Penjara. Dia mengadu matanya tak nampak tiba-tiba. Saya mengerling baju lengan merahnya.


Oleh kerana bilik klinik agak sempit, saya minta salah seorang pegawai membuka gari, lantas pegawai itu menunggu di luar.


Sambil saya memeriksa matanya, sempat saya bersembang. Dia asal orang Selangor, sudah berkahwin dan ada anak seorang.


Selesai pemeriksaan, semua nampak normal. Dia pun dibawa keluar, dan saya serahkan laporan perubatan kepada Pegawai Penjara.


Saya pun bertanya, "Encik, kenapa baju dia lain dari orang lain? Lepas tu sampai kena gari kiri kanan?"


Pegawai tu menjawab, "Oh dia banduan akhir, doktor. Pengedar dadah. Minggu depan dia ke tali gantung. Agaknya sebab tu dia mengadu tak nampak tu. Inilah peluang terakhir dia nak lihat dunia luar. "


Terkedu saya dibuatnya.


Subhanallah, mudah-mudahan, Allah terima taubatnya, dan pengakhiran yang baik buatnya dan kita.


Saya selalu ingatkan diri, jangan sangka orang yang tak baik sekarang, selamanya akan tak baik.


Sesungguhnya iman itu dinilai pada akhir hayat seseorang itu.


Hadith Rasulullah SAW:


"Demi Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Dia, sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli neraka, ia pun masuk ke neraka.


 Sesungguhnya di antara kamu ada orang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya tinggal sehasta, akan tetapi catatan mendahuluinya, akhirnya dia melakukan perbuatan ahli syurga, ia pun masuk ke syurga”


(HR. Bukhari dan Muslim).


Siapa pun kita, marilah kita terus beristiqomah untuk sentiasa melakukan kebaikan, dan menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.


Jika tidak dapat membantu orang, janganlah sampai menyusahkan atau menzalimi orang lain, apatah lagi mengabaikan amanah yang diberikan. 


Allahu Alam


24.8.2022

#drazlindarita

#kisahkehidupanDrAzlindarita




No comments:

Post a Comment